... I am A restless brain ...

Saturday, March 2, 2013

pesta melapah daging manusia.

Assalamualaikum,


Dah lama benar aku menunggu saat untuk menitip entry ini. Tentang sesuatu yang cukup menganggu aku zahir dan rohani. Aku menulis entry ini bukan sebagai seorang manusia yang bersifat maksum. Bukan juga sebagai seorang wali yang sempurna dari cela. Aku menulis dari kaca seorang manusia biasa. Manusia yang melalui pahit manis hitam putih ranjau kehidupan. Seorang manusia yang pernah berada dalam zaman jahiliyah dan kembali kepada cahaya islam, malah kadangkala tersungkur lagi dan lagi. Sungguh manusia bersifat lemah.


Dua hari lepas, ketika isu pertempuran di Lahad Datu timbul dan menguasai ruangan maya dunia, maka bertimbunlah komen2 memenuhi setiap inci newsfeed ruang muka buku. Sebagai seorang perantau yang bertapa beribu batu dari tanah air, hanya skrin kecil inilah menjadi sumber aku mengorek maklumat tentang apa, bagaimana dan siapa bagi isu yang meletup-letup ini.



Aku secalit pun tidak hairan sekiranya isu ini dipolitikkan tiba-tiba. Dalam masa pilihanraya yang semakin hampir, isu kambing mati kebuluran pun boleh diperbesar-besarkan. Pada musim ini juga, fitnah, makian, cacian, carut marut menjadi juadah kegemaran baik halwa telinga mahupun penglihatan. Malah, ramai antara kita seronok melapah daging saudara masing2, ada juga yang mengkafirkan dan sanggup membuang saudara sendiri. Yang dulunya bersahabat baik kini bermasam muka. Yang dulunya berkasih sayang putus keluarga. Fitnah dianggap hanya sebaris kata-kata mudah yang meluncur laju dari lidah masing2, sedang kita tidak sedar ini semua membuatkan barisan ummah semakin goncang dan hanya menunggu masa untuk tumbang. Jaga-jaga. Sila jaga-jaga.


"Fitnah itu lebih bahaya daripada pembunuhan". (al-Baqarah: 191)

"Jangan kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela, yang gemar menyebarkan fitnah". (al-Qalam: 29).


Sedang ralit aku mencari kebenaran isu ini, aku terbaca komen seseorang yang cukup membuat aku panas hati. Apa yang buat aku marah sangat sebenarnya ialah, si polan itu telah mengeluarkan status yang sangat bersifat provoking, penuh maki hamun dan tuduhan berunsur fitnah. Pantas aku menekan butang kecil, UNFRIEND. Seorang lagi rakan hilang dari friendlist muka bukuku. Maaf, aku tidak mahu menjamu juadah maki hamun dan fitnah setiap kali aku membuka ruangan muka buku. Ini bukan kali pertama, ramai lagi yang telah aku remove kerana hal yang sama.


Ada rakan pernah menegur aku mengatakan bahawa aku tidak pernah mengulas apa2 tentang politik di muka bukuku menandakan aku tidak ambil pusing dan tidak kisah tentang ummah. Mereka juga mengkritik aku dengan mengatakan, aku leka dengan duniaku sehingga aku lupa tanggungjawabku untuk berjuang mengangkat jentera Islam setelah kegemilangan khalifah diranapkan apabila jatuhnya empayar turki uthmani tanggal 1924.


Aku hanya tersenyum. Aku tidak terbentak. Diamku bukan bermaksud aku tidak tahu, bisuku bukan kerana aku tidak endah. Ya, mungkin bagi mereka sekiranya aku tidak melepas amarah dan mendomba di muka buku itu bermakna aku tidak kisah perihal ummah. Mereka silap. Selama Islam bertapak dalam hati ini, aku tidak pernah sekalipun mempelajari bahawa Islam diperjuangkan melalui perang mulut. Islam diperjuangkan menggunakan fitnah makian yang bisa menjatuhkan seseorang. Islam ditegakkan melalui celaan yang tuduhan tanpa usul periksa. Islam yang aku anuti bukan begitu. Bukan begitu. Dan aku juga bukan jenis manusia yang bercakap tidak menggunakan akal. Aku bukan manusia yang sesukanya menuduh tanpa bukti. Maklumat yang disampaikan harus aku proses, aku telahi, aku amati dan aku teliti dalam-dalam, dan kemudian barulah aku akan mencipta persepsi dan pendirian. Barulah aku mengadili isu ini dengan bijaksana dan rasional.


Aku tersenyum sendirian lagi. Mereka mungkin tidak tahu bahawa politik merupakan salah satu perkara yang paling aku minati sejak kecil. Malah guru-guruku sejak di bangku sekolah mengesyorkan aku berkecimpung dalam arena politik atas penglibatanku di sekolah dulu. Kerana aku diajar tentang kepimpinan oleh ayahku yang merupakan ketua skuad dalam ketenteraan. Malah, parlimen juga selalu menjadi rancangan paling aku ikuti. Bagaiamana bisa mereka menuduh aku kera sumbang dalam politik. Berkatalah dan berpersepsilah apa saja terhadapku, maka aku berlapang dada. Allah lebih mengetahui setiap isi hati.


Politik itu sebahagian dalam Islam. Setiap yang bergelar muslim tidak boleh menidakkan politik dalam hidup mereka. Namun berpolitik dalam Islam juga mempunyai ilmu dan adabnya. Aku bukanlah orang yang cukup faqih dalam bidang ini, namun aku cukup menyanjung politik zaman Rasulullah dan para sahabat. Tidak pernah pula aku dengar dalam politik zaman Nabi membenarkan cacian makian dan tuduhan, malah sanggup mencela saudara seislam sendiri. Yang lebih menghampakan dan seribu kali menyedihkan, contohnya dalam pada ketika ini, yang berkata-kata sebegitu ialah rakan2 seperjuangan yang cukup tinggi pendidikan dan dikenali dengan ketinggian ilmu agama. Yang cukup dihormati dan dikagumi akhlak luar dalamnya. Namun bila tiba saja politik, akhlak mulia tadi hilang tiba-tiba. Yang ada hanyalah kata-kata kesat dan kasar. Itulah yang kadangkala membuatkan aku ralat. Bukankah dalam Islam kita diajar dengan akhlak ketika berbicara. Tidak kiralah betapa salah pun pihak yang satu lagi, pertengkaran dan peperangan mulut tidak menyelesaikan masalah. Maaf saudara, saya hilang hormat pada saudara. Saudara tidak istiqamah. Di satu sudut saudara penuh akhlak tawadhuk, datang isu yang saudara benci saudara berubah dan kehilangan nilai-nilai islami. Maka saya rasa memang lebih baik saya mendiamkan diri dari berbicara seperti saudara.


Sahabat, saya bukanlah alim ulama yang mulia, hendak mengajar orang lain bagaimana hendak beragama. Namun saya tidak rela Islam yang saya anuti dicemari oleh perkara-perkara sebegini. Kenangkan Rasulullah. Kenangkan bagaimana reaksi baginda ketika berdepan dengan penduduk Thaif. Walaupun penduduk Thaif mencederakan baginda, namun bagina mendoakan mereka. Ingat reaksi baginda kepada seorang yahudi buta yang siang malam mengeji mencaci baginda, namun sehingga hujung nyawa baginda menyuapkan makanan kedalam mulut yahudi buta tadi. Kalau benarlah pihak yang sebelah lagi tersalah, kita lawan mereka dengan cara yang lebih berhikmah. Bukan dengan cara memaki hamun.


Apatah lagi dalam sesuatu perkara yang kita tidak pasti benar tidak faktanya. Sekiranya tidak tahu, jangan terlalu cepat membuat spekulasi. Jangan terlalu cepat membina prsepsi. Kita kaji dan teliti. Kita kan orang berilmu. Orang Islam berjuang menggunakan akal, ilmu dan tenaganya. Bukan hanya menggunakan emosi. Orang yang bijak berfikir sebelum berkata, merancang sebelum bertindak. Ada cara lain yang lebih baik untuk menentang dan mempertahankan agama. Agama Islam disebarkan oleh Nabi atas kemuliaan akhlak dan keindahan agamanya. Jangan kita cemari ia.



Sahabat. Saya faham sekarang semua ingin menjatuhkan kebatilan dan menegakkan kebenaran. Saya begitu juga. Dengan cara dan medium masing2. Tapi tolonglah. Hentikan pesta fitnah makian amarah sebegini. Ingat bagaimana cara Nabi. Waima semasa pembukaan Mekkah, Nabi tidak menuntut pertumpahan darah. Islam pasti akan menang, tapi bukan dengan cara begini. Apatah lagi bertelagah sesama saudara seagama. Berdebatlah dengan penuh hikmah. Bukan dengan amarah. Ingat lisan kita melambangkan ketinggian peribadi, kehalusan akhlak dan keunggulan taqwa.



Ingat. Punca tamadun Islam jatuh adalah kerana kita orang Islam bertelagah sesama sendiri. Berleluasanya budaya fitnah. Jangan jatuh sekali lagi wahai pemuda pemudi Islam!

No comments: