... I am A restless brain ...

Sunday, February 24, 2013

...'transit' neraka untuk ke syurga...

Assalamualaikum.


Today, I am broken. Tanpa menyedari aku telah melakukan dosa-dosa kecil itu, aku terleka seketika. Bangun dari tidur, aku bergegas ke bilik air, mengambil wudhu, membentang sejadah. Sujud dalam sunyi Tahajjud. Air mata mengalir perlahan. Panas mengalir dan meluncur ke pipi. Sayup syaitan berundur dan iman menerjah. Dalam hening detik itu, dapat aku rasakan kasih sayang Tuhan memeluk perlahan. Terasa nyaman kehangatan makrifahNya, menahan aku dari jatuh tersungkur dan hilang arah.


Bagaimana bisa menjaga hati, sekiranya cinta yang paling utama itu tidak kita beri kepada Allah. Fitrah, manusia diciptakan berpasangan. Fitrah, manusia diberi rasa cinta, kasih, rindu, dendam. Fitrah, dada berdebar apabila sang adam sudah mula menawan takhta di persada hati. Tatkala cinta kasih membelai naluri, syaitan dan nafsu mula mengambil peranan. Gadis solehah bisa jadi punah. Anak perempuan yang taat bisa berpaling tadah. Purdah dan hijab membaluti tubuh bisa hilang. Kewarasan akal dan rasional hampir melayang. Yang ada hanyalah so called 'cinta suci yang membara'. Cinta I Jump You Jump. Cinta Lautan api sanggup kurenangi. Ibu bapa juga sanggup dibuang. Dek penangan cinta manusia. Hebat.


Aku masih membatu di hamparan sejadah. Mendakap makrifah Allah yang masih damai membelai. Aku memandang langit di jendela yang ternganga. Aku mencari kembali akar untuk kembali berpaut. Ya Allah, tetapkan hati ini dari jatuh ke tangan syaitan. Aku menenangkan resah hati yang cuba ditawan nafsu serakah yang jahanam. Ingat Allah.. Ingat Allah..


Manusia. Memang cepat lupa. Hari ini mereka menangis ketakutan kerana terkenangkan azab api neraka. Kononnya insaf, mahu kembali, mahu bertaubat. Hari esok mereka tertawa terbahak-bahak bagaikan hidup selamanya. Itulah aku. Itulah aku.


Aku menulis kali ini, dengan penuh rasa loya dan hiba ke atas diriku sendiri. Mengenangkan betapa cepatnya aku lupa setelah diberi peringatan. Mengenangkan betapa kadangkala aku anggap azab neraka itu hanyalah cerita rekaan. Azab kubur itu hanyalah kisah dongengan. Aku percaya azab itu pedih, tapi aku tidak berbuat apa-apa untuk menghindarinya. Jujur, ibu dan ayah mencukupkan aku dengan bekalan ilmu agama. Tafsir al-quran telah sama-sama aku telahi bersama rakan-rakan bulatan gembira. Sirah-sirah Nabi dan sahabat lancar benar dihujung lidah. Tapi mengapa hati masih terasa goyah. Mengapa nafsu juga yang mahu aku ikuti? Mengapa syaitan juga yang aku dampingi? Sungguh manusia bersifat pelupa.





Aku pelik dengan diriku. Aku pelik dengan manusia. Kenapa kita beria-ia mahu orang menyanjung, memuji, sedangkan kita biarkan Allah melaknat diri kita. Ketika aku menelusuri muka buku, aku selalu mengintai profile2 artis-artis muda yang digilai rakan-rakanku. Benar, mereka cantik, seksi, popular. Beribu-ribu like, berjuta-juta follower. Pujian cantik sudah lali di tutur, tidak kurang juga sang lelaki yang memberi komen 'kotor' dan 'bernafsu'. Namun empunya diri sudah lemas dibuai pujian, ancaman lelaki-lelaki gatal dianggap bagai tiada makna. Siapa yang tidak suka dipuji cantik. Aku pun suka dipuji cantik. Siapa yang tidak gembira digilai ramai. Benarlah, kecantikan, kemasyhuran, harta bisa menggelapkan mata. Membuatkan kita lupa. Aku juga selalu lupa.


Masalah aku dan kita sebagai manusia ialah bukan kerana kita tidak tahu azab kubur, azab neraka, timbangan amalan, dosa dan pahala. Kita semua tahu yang setiap perbuatan kita akan dibalas dengan setimpal diakhirat sana, tapi kita ada dua masalah besar yang telah memadam rasa takut kepada azab Allah;

Yang pertama, kita terlalu asyik dengan keindahan dunia yang menipu ini. Banyak kali dah Allah mentioned dalam Al Quran yang dunia ni penuh tipu daya. Dunia ini hanyalah persinggahan sebagaimana persinggahan seorang musafir yang singgah sebentar untuk berehat. Maka akhirat itu ialah abadi. Tapi kita tetap mahukan dunia ini.

“Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain daripada main-main dan senda gurau belaka. Sesungguhnya kampung akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?” (Surah al-An’am, ayat 32)

Yang kedua, kita mudah lupa. Kita insaf, kita akui kelemahan diri, kita akui kita penuh dosa. Tapi sebaik keluar dari kelompok peringatan, kita lupa Allah, lupa segala laranganNya. Yang ada didepan kita hanyalah keseronokan dunia. Dunia.


“Dan apabila manusia itu ditimpa kemudharatan, dia memohon (pertolongan) kepada Tuhannya dengan kembali kepada-Nya; kemudian apabila Tuhan memberikan nikmat-Nya kepadanya lupalah dia akan kemudharatan yang pernah dia berdoa (kepada Allah) untuk (menghilangkannya) sebelum itu, dan dia mengada-adakan sekutu-sekutu bagi Allah untuk menyesatkan (manusia) dari jalan-Nya. Katakanlah: “Bersenang-senanglah dengan kekafiranmu itu sementara waktu; sesungguhnya kamu termasuk penghuni neraka.” (Q.S Az-Zumar : 8 )

.........................

Mari sebentar kita bermuhasabah. Saya serba daif ini ingin berkongsi sedikit ilmu, hasil perkongsian bulatan gembira. Saya ingin mengenalkan semua sahabat dengan seseorang. Dia, adalah orang yang terakhir sekali akan masuk ke syurga. Tonton video ini;





Orang yang disebutkan dalam hadith ini boleh jadi diri kita sendiri. Kita semua sedia maklum yang setiap orang Islam itu pasti akan merasai syurga. Diakhirat nanti kita akan ditimbang diatas timbangan mizan, dan dihisab amalan. Selagi kita mati dalam Islam (kalau mati dalam Islam lah), kita diberi jaminan akan mendapat syurga walau apapun keputusan timbangan. Tetapi walau ada jaminan, kalau sekiranya timbangan kita berat diatas amalan kejahatan, maka kita dipersilakan merasai neraka Allah dahulu. Satu perkara yang kita selalu kena muhasabah, berapa pastikah kita bahawa pengakhiran kita nanti ialah sebagai seorang muslim?


Setelah lemah lutut mendapat amalan dengan tangan kiri, kita harus melalui sirat. Dikatakan orang yang bertaqwa dan para Nabi dan para sahabat, para ulama melalui titian sirat selaju kelajuan kilat, maka yang berdosa dan berat timbangan kiri merangkak-rangkak ketakutan melihat neraka yang mengaum dibawah titian sirat tersebut. Maka jatuhlah mereka didalam neraka, seperti yang disebutkan dalam hadith ini. Orang kuffar dan syirik, selama-lamanya menjadi bahan bakar api neraka, manakala orang islam yang berat timbangan kiri tadi, akan menjadi penghuni sementara neraka. Merekalah orang yang diceritakan dalam hadith ini, yakni orang yang terakhir yang akan memasuki syurga.


Tempoh sehari didalam neraka tidaklah sama tempoh sehari ketika didunia. Maka menderitalah orang-orang Islam yang harus transit di neraka terlebih dahulu. Ya benar, kita tidak akan membayangkan betapa azabnya api neraka kerana kita tidak pernah melihat dan merasai. Namun orang-orang yang beriman pasti tahu dan wajib percaya bahawa azab api neraka dan kenikmatan syurga itu adalah pasti. Tapi yang peliknya, mengapa aku dan manusia masih tidak takut akan apa yang telah dijanjikan. Mengapa keras benar hati kita sedangkan telah banyak kali kita diperingatkan? Ingatlah, azab Allah itu pedih.


Setelah lunyai badan diseksa dalam api neraka, barulah sang hamba tadi dapat keluar dari neraka yang penuh azab itu, untuk menuju ke syurga. Seperti dalam hadith dalam video ini, mereka diberi peluang untuk meminta dari Tuhan mereka Allah swt. Mereka memohon sepohon pokok yang mana mereka dapat berteduh dan meminum air darinya. Dan dikatakan sebelum mereka memasuki syurga, mereka telah diberikan 3 batang pokok dan pokok yang terakhir dikatakan berada dihadapan pintu syurga. Ada juga dikisahkan yang mana hamba tadi pengsan ketika dia mengintai ke dalam syurga, mungkin kerana terlalu indahnya syurga. Dan dikatakan juga tempoh untuk hamba tadi dari saat mereka keluar dari neraka, merentas tiga pokok tadi dan memasuki syurga adalah amat lama. Dan dikatakan bahawa orang islam yang terpaksa menanggung azab api neraka atas semua perbuatan mereka terlebih dahulu sebelum memasuki syurga akan mempunyai tanda berwarna hitam di dahi apabila mereka memasuki syurga yang menandakan mereka sudah menerima azab dari perbuatan mereka. MasyaAllah. Susah dan azab benar bila transit. Tapi ramai benar antara kita yang bagai menempah tiket transit ini. Sebab itulah kita ambil mudah perintah Allah, kita buat laranganNya. Bagi mereka, asal Islam, pasti merasa syurga kan..



Sahabat, kita tahu dan percaya. Tapi kita masih mahu membuat dosa. Kita tidak menjaga aurat, kita buat perkara yang Allah larang, kita abaikan solat, kita ponteng puasa, tidak tunaikan zakat, berlaku zalim kepada fakir miskin, kita merampas harta anak yatim, kita makan duit haram, kita memberi riba, kita berzina, kita perkotak katikkan agama. Tahukah kita bahawa setiap apa yang kita lakukan didunia akan dicatat dan dibalas. Walau pun sebesar zarah, tiada satupun yang akan dilepas pandang oleh malaikat raqib dan atid.



Kita berjalan dengan bongkak. Kita rasa kita mampu hidup selamanya. Kita sangka kita akan sempat bertaubat apabila kita sudah tua. Namun siapa dapat menjamin bahawa kita masih hidup sehingga hari esok? Siapa tahu yang Izrail sudah tiba dimuka pintu, ingin mencabut roh dari jasad. Siapa tahu bahawa di detik seterusnya kita sudah dibaluti kain kaffan dan taubat itu sudah tidak dapat kita lakukan? Jadi mengapa kita selalu bertangguh dalam memohon keampunan? Tidakkan kita tahu bahawa Allah itu sungguh Pengasih dan Dia sentiasa ingin mengampunkan hamba-hambaNya yang ingin kembali?



Tutuplah aurat. Solatlah. Sujudlah. Allah merindui hamba-hamba yang merinduiNya. Percayalah, bahawa api lilin pun tak mampu kita tahan, apatah lagi api neraka yang mengaum dan menyambar orang-orang yang sesat didunia.


Aku menulis kerana aku juga terlalu penuh dengan dosa. Aku menulis dengan air mata yang berlinangan, ingin memperingatkan dan diperingatkan. Aku bukan maksum. Aku juga tidak lepas dari kesilapan. Dalam terang mentari aku hilang, pabila malam sunyi aku menangis. Mengenangkan cepat benar aku terlupa. Namun aku tidak putus asa untuk kembali dan memohon ampun kerana aku tahu, Allah Maha kaya, maha pengampun. Selagi hati kita rasa resah apabila kita melakukan dosa, bermakna iman kita masih kuat untuk membawa kita kembali. Jangan terus sesat dan hanyut. Buatlah sekarang, berubahlah sekarang kerana tiada siapa pasti bahawa kita memiliki hari esok. Saat nafas terhenti, tiada apa lagi yang bisa menyelamatkan kita dari azab api neraka. Menangislah, kerana air mata itulah yang dapat menyelamatkan kita dari api neraka..




Manusia bersifat lemah dan pelupa. Tapi itu bukan alasan untuk terus hilang dalam dosa. Selalulah mendekatkan diri dengan Allah dan sahabat-sahabat yang soleh supaya kita sentiasa diperingatkan.


Ya Allah. Dengarilah kami. Kasihani kami. Sesungguhnya ketika segala perbuatan kami dibentang dihadapan seluruh manusia dipadang mahsyar, entah bagaimana kami mampu menahan malu apabila kejelekan amalan kami dipapar dihadapan seluruh manusia. Paling aku takut, sekiranya Engkau tidak mahu melihatku. Ampunkan kami. Ampunkan aku..










Saturday, February 23, 2013

..bersangka dan prasangka..

Assalamualaikum.


Dublin sejuk amat. Sejuk menggigit tulang. Menjadikan perjalanan jihad ke hospital setiap hari menjadi semakin sukar. Menjadikan setiap langkah di ganjari pahala. Moga Allah redha.


Aku ingin kongsi sebuah kisah. Moga sedikit sebanyak dapat dijadikan iktibar.


Nak kata aku tidak berpuas hati, tidaklah. Nak kata aku membenci, lagilah bukan. Nak kata aku buruk sangka, aku berusaha untuk tidak. Cuma kadangkala aku pelik dengan mulut manusia yang suka mencaci, mengadu domba, dan memburuk-burukkan orang lain? Yang lebih menghairankan aku, kadangkala, orang yang di hina itu bukanlah seorang yang memang termaktub kejahatannya, tapi orang yang sedang berjuang ke arah kebaikan. Jaga2, ingat bahawa kelak apabila kita berhadapan dengan Tuhan, hanya mulut akan dibisukan, kerana ia terlalu banyak menipu dan mendustakan. So, mulut yang terlalu banyak bercakap, I dont think ia akan banyak mengganjarkan kebaikan.






Kisahnya begini, sejak enam tahun lepas, Allah telah mentakdirkan perkenalan aku dengan mama atau lebih dikenali dengan nama Puan Norlina Alawi. Beliau telah banyak kali keluar TV atas ketabahan beliau memperjuangkan nasib anak2 anugerah beliau. Beliau merupakan pengasas rumah perlindungan yang pernah dikenali sebagai PERNIM 6 tahun yang lalu. Dimana organisasi yang ditubuhkan ini, melindungi kanak-terbiar, kanak2 yang dijangkiti HIV, dan anak2 yatim. Aku jatuh cinta pandang pertama dan sehingga kini, alhamdulillah, cinta itu terus mekar mengiring waktu. Aku telah menjadi 'anak' mama, dan kakak kepada penghuni rumah tersebut. Alhamdulillah. Dan kini PERNIM telah ditukar status menjadi sebuah rumah keluarga, yakni KELUARGA BESAR NORLINA ALAWI (KNAB). Walaupun aku jarang benar dapat melawat mama dan adik kerana jarak jauh yang memisahkan, hubungan kami tetap utuh, alhamdulillah, ukhwah kami berlandaskan cinta kerana Allah. Batas ruang dan waktu tidak memisahkan.



Mama sudah menganggap aku seperti anaknya sendiri. Setiap kali aku ingin meraikan adik2 dengan apa juga jemputan, usahaku tidak pernah ditolak mama tidak kiralah betapa sibuknya rutin beliau. Apa yang menariknya tentang mama, mama tidak pernah menggangap anak2 dibawah jagaan beliau sebagai anak yatim, anak terbiar atau anak buangan. Anak2 yang dipeliharanya adalah ANAK ANUGERAH, dan dalam usaha mama menjaga dan mendidik, beliau tidak menagih simpati atau sedekah. Kata mama, beliau tidak mengambil sebarang pemberian "sedekah" dari orang luar kecuali daripada aku dan orang2 terdekat. Mama tidak mahu anak2 anugerahnya dilabel sebagai peminta sumbangan dan simpati orang. Bagitulah mama yang aku kenal.






Mama seorang yang suka tersenyum, beliau tidak pernah lokek dengan senyuman. Namun, setiap kali aku bertemu mama, mama akan memeluk aku dan menangis. Mama menangis bercerita kepadaku tentang perjalanannya yang penuh liku, menahan cemuhan dan persepsi negatif orang tentang dirinya, tentang usahanya memperjuangkan anak2 jagaannya. Dunia, memang memeningkan. Tetap ada juga golongan manusia yang suka mencemuh dan menfitnah wanita ini yakni antara wanita yang paling hebat dan mulia yang pernah aku kenali.



Pernah suatu ketika ketika aku bertemu dengan sekumpulan rakan lama yang memang sedia tahu hubungan baik dan mama, mereka pernah membawa cerita;

A :..."Kau yakin ke mama tu betul2 nak jaga anak2 yatim? Mak aku kata dia suka cari publisiti, keluar tv sana sini. Dia boleh beli itu ini, guna duit sumbangan yang orang bagi untuk anak2 yatim yang dia jaga.."

B:..."Mak aku kata Puan Norlina tu tak jaga anak2 dia betul2 pun. Tak bagi orang rawat kanak2 yang ada HIV tu. Dia pakai cantik2 mesti guna duit sumbangan yang orang bagi kat dia.. Kau jaga2 farah, kau tu doktor, takut silap2 nanti dia gunakan kau pulak.."


Hai... Banyak sangat orang tu kata, orang ni kata. Kenapa asyik nak berkata2 saja. Buktinya ada ka? Kalau tak ada, dah boleh jatuh hukum mengumpat dan menfitnah. Dosa fitnah lebih besar dari dosa membunuh. Nauzubillah. Bukan sekali dua aku terdengar kata-kata umpatan dan persepsi sebegini dari masyarakat luar tentang mama. Dah banyak kali. Malah lantaran mulut2 sebegini, pertubuhan mama tidak lagi mendapat sumbangan zakat dengan alasan, tidak memenuhi syarat. Anak2 jagaan mama yang sepatutnya mempunyai bahagian dalam zakat telah dinafikan haknya. Malah kadangkala, ada juga pihak yang tidak mahu merawat anak2 mama yang sakit dek HIV. Entah jujurnya, aku tidak tahu dimana silapnya. Apakah kekangannya. Aku bukan saja mengasihani mama, malah aku sedih mengenangkan nasib adik-adikku yang dibawah jagaan mama.Yang seramai hampir 50 orang itu.





Ya, aku tidak nafikan, setiap orang boleh mempunyai persepsi dan perspektif dalam hidup. Setiap orang bebas untuk mempunyai pandangan dan telahan terhadap sesuatu. Namun, semua itu tidak memberikan hak kepada kita untuk menghukum. Dulu, apabila terlalu ramai orang mengata itu dan ini, hati aku sedikit goncang, mahu memilih kebenaran. Tapi setelah 6 tahun aku bersama keluarga besar mama, aku pasti, mama insan terpilih, insan tabah yang diberi amanah untuk memperjuangkan anak2 yang kurang bernasib baik. Beliau satu dalam sejuta.


Kalaulah benar mama mengambil kesempatan keatas anak2 jagaannya, mengapa anak2 jagaannya tidak sekalipun aku lihat berkeadaan kotor dan selekeh. Baju2 mereka baju yang berjenama bukan sekadar baju pasar malam. Mama sendiri mempunyai 7 orang anak kandung yang tinggal bersama anak2 anugerahnya yang lain, dan sekiranya sahabat ke rumah mereka, saya pasti kalian tidak boleh membezakan anak kandungnya dan anak2 yang dipeliharanya. Mama tidak pernah membezakan mereka.


Sepanjang 6 tahun, saya telah melihat 2 orang anak jagaan mama yang dijangkiti HIV pulang kerahmatullah. Dengan izin Allah, saya menyaksikan saat2 nazak kedua2 arwah. Malah saya telah memangku dan menyuapkan makanan kedalam mulut arwah. Yang paling membuatkan saya kagum tentang mama, sebagai seorang doktor saya amat tahu manifestasi penghidap HIV yang sekiranya tidak dijaga dengan baik, akan kelihatan lah banyak luka2 dan kulit mereka akan sangat mengerikan. Tapi subhanallah, disaat2 akhir pemergian Nurin, kulit Nutin sangat bersih, membuktikan betapa mama menjaga Nurin dengan penuh perhatian dan kasih sayang sehinggakan tiada satupun luka berani keluar dari tubuh kurusnya. Yang ada hanyalah luka ulcer didalam mulut, yang membuatkan Nurin sukar untuk makan dan minum. Dan di saat2 akhir pemergiannya, tidak putus2 mama memeluk dan mencium Nurin tanpa sedikitpun rasa geli atau takut dijangkiti HIV. Malah sebelum Nurin tenat, mama telah membawa Nurin ke pedalaman menaiki sampan untuk Nurin bertemu datuknya dan mama juga sempat membawa Nurin mengerjakan umrah sebelum beliau menghembus nafas terakhir. Walau Nurin bukanlah darah dagingnya. Mampukah kita melakukan yang sama seperti mama? Bahagian mana yang dikatakan mama mengambil kesempatan? Untungnya Nurin kerana ditakdirkan dipelihara mama sewaktu beliau singgah di dunia sementara ini.



Itu belum termasuk anak2 dibawah jagaan mama yang ramai mendapat keputusan cemerlang didalam upsr,pmr, dan spm. Mama tidak pernah lokek menghantar mereka kekelas tambahan. Ada antara kita dalam masyarakat yang apabila anak kandung sendiri meminta kelas tambahan pun, mereka enggan. Apatah lagi bukan darah daging. Tepuk dada, tanya iman. Sedalam manakah kita sanggup berkorban untuk saudara2 kita yang bukan darah daging sendiri. Dan kini, teganya mulut masing2 mengata nista untuk orang yang berjuang kerah kebaikan.


Selalu apabila saya bertemu mama, saya akan mengatakan ini kepada mama. "Mama, kita tidak boleh halang orang dari bercakap. Mereka akan terus bercakap untuk memuaskan hati dan hasad masing2. Apa yang penting, kita tahu, yang kita buat semua ini bukan untuk memuaskan hati mereka, kita buat semua ini kerana Allah. Kita buat semua ini kerana kita mengejar akhirat, kerana kita cintakan DIA. Mereka boleh cakap apa saja, tapi malangnya, mereka tak akan dapat jadi seperti mama. Mereka tak akan dapat menjadi ibu kepada anak2 anugerah ini seperti mama. Kita berlapang dada saja mama. Bukanlah dunia ini kita inginkan, kita kejar apa yang ada diakhirat sana".


Dan ini lah yang selalu mama katakan setiap kali saya memohon maaf kerana tidak dapat memberikan sumbangan besar untuk adik2, "Farah, bila kamu dah berjaya, ambillah anak2 yatim dan jadikan mereka anak2 kamu. Itulah saham kita yang paling besar untuk akhirat. Harta tak penting dan tak akan membuatkan kamu kaya. Yang penting, kamu kaya jiwa."

"Barangsiapa mengerjakan kebaikan walau sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan) nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan walau sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan) nya pula.” ( Surah Az-Zalzalah ayat 7-8 )


IN SHA ALLAH mama. Demi Allah yang bisa membolak balikkan hati. Tetapkan kami diatas jalanMu.


Tujuan coretan ini digarap bukanlah dengan tujuan aku untuk menyanjung2 mama atau sesiapa jua. Cuma kadangkala aku ralat dan sedih dengan dunia. Bagi yang mereka2 dan mencemar nama mama, saya cabar anda, mampukah anda menjaga dan memelihara anak2 yang dijangkiti HIV dalam rumah sendiri walau untuk tempoh sebulan? Oklah, apa kata jaga dan pelihara anak2 yatim yang sihat seperti anak sendiri yang seramai 40 orang untuk masa sebulan, dalam rumah anda sendiri? Mampukah anda? Saya tidak mampu. Saya belum setabah dan semulia mama.Kalau anda mampu mengatasi kebesaran jiwa mama, maka anda bebas untuk mengkritik. Sekiranya tidak, apa kata kita hentikan tohmahan dan prasangka dan kita doakan saja kebaikan mereka.


Dari Abu Hurairah r.a, dari Nabi SAW, baginda bersabda, “Sesungguhnya, aku telah melihat seorang lelaki berguling-guling ( bergembira ) di dalam syurga hanya kerana dia memotong dahan pokok di bahu jalan yang menganggu manusia.” ( Riwayat Muslim )





Malah secara jujurnya, kerana saya sedar saya ini insan penuh dosa, saya menceburkan diri saya dengan mama dan anak2 anugerahnya. Kerana saya suka betah cakap mak ayah saya, saya mengambil keputusan untuk kerumah anak2 yatim supaya saya boleh muhasabah diri saya dan lebih bersyukur atas kurniaan ibu dan ayah dalam hidup saya. Kerana saya sering lupa untuk bersyukur, saya kerumah mama untuk saya menyedarkan diri saya betapa banyaknya anugerah dan nikmat yang telah diberikan pada diri saya. Supaya saya sentiasa beringat dan bersyukur. Pun begitu, saya tetap kerap terlupa untuk menghargai apa yang saya miliki. Sungguh, manusia itu bersifat pelupa.



Dalam hidup ini, saya tidak nafikan ada banyak perkara yang pelik, hairan, yang kita tak suka, yang kita suka, yang kita tahu, yang kita tak tahu. Oleh itu, banyaklah persepsi yang timbul dan tercipta. Hati yang bersih, ialah hati yang bebas prasangka dan memaafkan. Sekiranya ada perkara yang kita kurang senang, maka berlapang dadalah. Manusia tidak lari dari kesilapan, tapi biarlah Allah saja yang menghukum. Mari kita sama2 sentiasa membersihkan hati dan berlapang dada. dengan hati yang bersih, hidup menjadi berkat, rezeki menjadi murah dan melimpah, ilmu pun senang masuk dan melekat. in sha Allah. semoga mulut kita tidak menjadi sebab kita diheret ke neraka. Daripada kita asyik melihat dan mencari kelemahan orang lain, baik kita memperbaiki diri sendiri dan bermuhasabah.


..."Jangan pandang remeh kepada kebaikan-kebaikan yang ‘kecil’, kerana mana tahu kebaikan-kebaikan ‘kecil’ itu lah yang akan mendatangkan pahala yang besar kerana keikhlasan kita ketika melakukannya". [QUOTED]
Semoga Allah redha.