... I am A restless brain ...

Sunday, February 24, 2013

...'transit' neraka untuk ke syurga...

Assalamualaikum.


Today, I am broken. Tanpa menyedari aku telah melakukan dosa-dosa kecil itu, aku terleka seketika. Bangun dari tidur, aku bergegas ke bilik air, mengambil wudhu, membentang sejadah. Sujud dalam sunyi Tahajjud. Air mata mengalir perlahan. Panas mengalir dan meluncur ke pipi. Sayup syaitan berundur dan iman menerjah. Dalam hening detik itu, dapat aku rasakan kasih sayang Tuhan memeluk perlahan. Terasa nyaman kehangatan makrifahNya, menahan aku dari jatuh tersungkur dan hilang arah.


Bagaimana bisa menjaga hati, sekiranya cinta yang paling utama itu tidak kita beri kepada Allah. Fitrah, manusia diciptakan berpasangan. Fitrah, manusia diberi rasa cinta, kasih, rindu, dendam. Fitrah, dada berdebar apabila sang adam sudah mula menawan takhta di persada hati. Tatkala cinta kasih membelai naluri, syaitan dan nafsu mula mengambil peranan. Gadis solehah bisa jadi punah. Anak perempuan yang taat bisa berpaling tadah. Purdah dan hijab membaluti tubuh bisa hilang. Kewarasan akal dan rasional hampir melayang. Yang ada hanyalah so called 'cinta suci yang membara'. Cinta I Jump You Jump. Cinta Lautan api sanggup kurenangi. Ibu bapa juga sanggup dibuang. Dek penangan cinta manusia. Hebat.


Aku masih membatu di hamparan sejadah. Mendakap makrifah Allah yang masih damai membelai. Aku memandang langit di jendela yang ternganga. Aku mencari kembali akar untuk kembali berpaut. Ya Allah, tetapkan hati ini dari jatuh ke tangan syaitan. Aku menenangkan resah hati yang cuba ditawan nafsu serakah yang jahanam. Ingat Allah.. Ingat Allah..


Manusia. Memang cepat lupa. Hari ini mereka menangis ketakutan kerana terkenangkan azab api neraka. Kononnya insaf, mahu kembali, mahu bertaubat. Hari esok mereka tertawa terbahak-bahak bagaikan hidup selamanya. Itulah aku. Itulah aku.


Aku menulis kali ini, dengan penuh rasa loya dan hiba ke atas diriku sendiri. Mengenangkan betapa cepatnya aku lupa setelah diberi peringatan. Mengenangkan betapa kadangkala aku anggap azab neraka itu hanyalah cerita rekaan. Azab kubur itu hanyalah kisah dongengan. Aku percaya azab itu pedih, tapi aku tidak berbuat apa-apa untuk menghindarinya. Jujur, ibu dan ayah mencukupkan aku dengan bekalan ilmu agama. Tafsir al-quran telah sama-sama aku telahi bersama rakan-rakan bulatan gembira. Sirah-sirah Nabi dan sahabat lancar benar dihujung lidah. Tapi mengapa hati masih terasa goyah. Mengapa nafsu juga yang mahu aku ikuti? Mengapa syaitan juga yang aku dampingi? Sungguh manusia bersifat pelupa.





Aku pelik dengan diriku. Aku pelik dengan manusia. Kenapa kita beria-ia mahu orang menyanjung, memuji, sedangkan kita biarkan Allah melaknat diri kita. Ketika aku menelusuri muka buku, aku selalu mengintai profile2 artis-artis muda yang digilai rakan-rakanku. Benar, mereka cantik, seksi, popular. Beribu-ribu like, berjuta-juta follower. Pujian cantik sudah lali di tutur, tidak kurang juga sang lelaki yang memberi komen 'kotor' dan 'bernafsu'. Namun empunya diri sudah lemas dibuai pujian, ancaman lelaki-lelaki gatal dianggap bagai tiada makna. Siapa yang tidak suka dipuji cantik. Aku pun suka dipuji cantik. Siapa yang tidak gembira digilai ramai. Benarlah, kecantikan, kemasyhuran, harta bisa menggelapkan mata. Membuatkan kita lupa. Aku juga selalu lupa.


Masalah aku dan kita sebagai manusia ialah bukan kerana kita tidak tahu azab kubur, azab neraka, timbangan amalan, dosa dan pahala. Kita semua tahu yang setiap perbuatan kita akan dibalas dengan setimpal diakhirat sana, tapi kita ada dua masalah besar yang telah memadam rasa takut kepada azab Allah;

Yang pertama, kita terlalu asyik dengan keindahan dunia yang menipu ini. Banyak kali dah Allah mentioned dalam Al Quran yang dunia ni penuh tipu daya. Dunia ini hanyalah persinggahan sebagaimana persinggahan seorang musafir yang singgah sebentar untuk berehat. Maka akhirat itu ialah abadi. Tapi kita tetap mahukan dunia ini.

“Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain daripada main-main dan senda gurau belaka. Sesungguhnya kampung akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?” (Surah al-An’am, ayat 32)

Yang kedua, kita mudah lupa. Kita insaf, kita akui kelemahan diri, kita akui kita penuh dosa. Tapi sebaik keluar dari kelompok peringatan, kita lupa Allah, lupa segala laranganNya. Yang ada didepan kita hanyalah keseronokan dunia. Dunia.


“Dan apabila manusia itu ditimpa kemudharatan, dia memohon (pertolongan) kepada Tuhannya dengan kembali kepada-Nya; kemudian apabila Tuhan memberikan nikmat-Nya kepadanya lupalah dia akan kemudharatan yang pernah dia berdoa (kepada Allah) untuk (menghilangkannya) sebelum itu, dan dia mengada-adakan sekutu-sekutu bagi Allah untuk menyesatkan (manusia) dari jalan-Nya. Katakanlah: “Bersenang-senanglah dengan kekafiranmu itu sementara waktu; sesungguhnya kamu termasuk penghuni neraka.” (Q.S Az-Zumar : 8 )

.........................

Mari sebentar kita bermuhasabah. Saya serba daif ini ingin berkongsi sedikit ilmu, hasil perkongsian bulatan gembira. Saya ingin mengenalkan semua sahabat dengan seseorang. Dia, adalah orang yang terakhir sekali akan masuk ke syurga. Tonton video ini;





Orang yang disebutkan dalam hadith ini boleh jadi diri kita sendiri. Kita semua sedia maklum yang setiap orang Islam itu pasti akan merasai syurga. Diakhirat nanti kita akan ditimbang diatas timbangan mizan, dan dihisab amalan. Selagi kita mati dalam Islam (kalau mati dalam Islam lah), kita diberi jaminan akan mendapat syurga walau apapun keputusan timbangan. Tetapi walau ada jaminan, kalau sekiranya timbangan kita berat diatas amalan kejahatan, maka kita dipersilakan merasai neraka Allah dahulu. Satu perkara yang kita selalu kena muhasabah, berapa pastikah kita bahawa pengakhiran kita nanti ialah sebagai seorang muslim?


Setelah lemah lutut mendapat amalan dengan tangan kiri, kita harus melalui sirat. Dikatakan orang yang bertaqwa dan para Nabi dan para sahabat, para ulama melalui titian sirat selaju kelajuan kilat, maka yang berdosa dan berat timbangan kiri merangkak-rangkak ketakutan melihat neraka yang mengaum dibawah titian sirat tersebut. Maka jatuhlah mereka didalam neraka, seperti yang disebutkan dalam hadith ini. Orang kuffar dan syirik, selama-lamanya menjadi bahan bakar api neraka, manakala orang islam yang berat timbangan kiri tadi, akan menjadi penghuni sementara neraka. Merekalah orang yang diceritakan dalam hadith ini, yakni orang yang terakhir yang akan memasuki syurga.


Tempoh sehari didalam neraka tidaklah sama tempoh sehari ketika didunia. Maka menderitalah orang-orang Islam yang harus transit di neraka terlebih dahulu. Ya benar, kita tidak akan membayangkan betapa azabnya api neraka kerana kita tidak pernah melihat dan merasai. Namun orang-orang yang beriman pasti tahu dan wajib percaya bahawa azab api neraka dan kenikmatan syurga itu adalah pasti. Tapi yang peliknya, mengapa aku dan manusia masih tidak takut akan apa yang telah dijanjikan. Mengapa keras benar hati kita sedangkan telah banyak kali kita diperingatkan? Ingatlah, azab Allah itu pedih.


Setelah lunyai badan diseksa dalam api neraka, barulah sang hamba tadi dapat keluar dari neraka yang penuh azab itu, untuk menuju ke syurga. Seperti dalam hadith dalam video ini, mereka diberi peluang untuk meminta dari Tuhan mereka Allah swt. Mereka memohon sepohon pokok yang mana mereka dapat berteduh dan meminum air darinya. Dan dikatakan sebelum mereka memasuki syurga, mereka telah diberikan 3 batang pokok dan pokok yang terakhir dikatakan berada dihadapan pintu syurga. Ada juga dikisahkan yang mana hamba tadi pengsan ketika dia mengintai ke dalam syurga, mungkin kerana terlalu indahnya syurga. Dan dikatakan juga tempoh untuk hamba tadi dari saat mereka keluar dari neraka, merentas tiga pokok tadi dan memasuki syurga adalah amat lama. Dan dikatakan bahawa orang islam yang terpaksa menanggung azab api neraka atas semua perbuatan mereka terlebih dahulu sebelum memasuki syurga akan mempunyai tanda berwarna hitam di dahi apabila mereka memasuki syurga yang menandakan mereka sudah menerima azab dari perbuatan mereka. MasyaAllah. Susah dan azab benar bila transit. Tapi ramai benar antara kita yang bagai menempah tiket transit ini. Sebab itulah kita ambil mudah perintah Allah, kita buat laranganNya. Bagi mereka, asal Islam, pasti merasa syurga kan..



Sahabat, kita tahu dan percaya. Tapi kita masih mahu membuat dosa. Kita tidak menjaga aurat, kita buat perkara yang Allah larang, kita abaikan solat, kita ponteng puasa, tidak tunaikan zakat, berlaku zalim kepada fakir miskin, kita merampas harta anak yatim, kita makan duit haram, kita memberi riba, kita berzina, kita perkotak katikkan agama. Tahukah kita bahawa setiap apa yang kita lakukan didunia akan dicatat dan dibalas. Walau pun sebesar zarah, tiada satupun yang akan dilepas pandang oleh malaikat raqib dan atid.



Kita berjalan dengan bongkak. Kita rasa kita mampu hidup selamanya. Kita sangka kita akan sempat bertaubat apabila kita sudah tua. Namun siapa dapat menjamin bahawa kita masih hidup sehingga hari esok? Siapa tahu yang Izrail sudah tiba dimuka pintu, ingin mencabut roh dari jasad. Siapa tahu bahawa di detik seterusnya kita sudah dibaluti kain kaffan dan taubat itu sudah tidak dapat kita lakukan? Jadi mengapa kita selalu bertangguh dalam memohon keampunan? Tidakkan kita tahu bahawa Allah itu sungguh Pengasih dan Dia sentiasa ingin mengampunkan hamba-hambaNya yang ingin kembali?



Tutuplah aurat. Solatlah. Sujudlah. Allah merindui hamba-hamba yang merinduiNya. Percayalah, bahawa api lilin pun tak mampu kita tahan, apatah lagi api neraka yang mengaum dan menyambar orang-orang yang sesat didunia.


Aku menulis kerana aku juga terlalu penuh dengan dosa. Aku menulis dengan air mata yang berlinangan, ingin memperingatkan dan diperingatkan. Aku bukan maksum. Aku juga tidak lepas dari kesilapan. Dalam terang mentari aku hilang, pabila malam sunyi aku menangis. Mengenangkan cepat benar aku terlupa. Namun aku tidak putus asa untuk kembali dan memohon ampun kerana aku tahu, Allah Maha kaya, maha pengampun. Selagi hati kita rasa resah apabila kita melakukan dosa, bermakna iman kita masih kuat untuk membawa kita kembali. Jangan terus sesat dan hanyut. Buatlah sekarang, berubahlah sekarang kerana tiada siapa pasti bahawa kita memiliki hari esok. Saat nafas terhenti, tiada apa lagi yang bisa menyelamatkan kita dari azab api neraka. Menangislah, kerana air mata itulah yang dapat menyelamatkan kita dari api neraka..




Manusia bersifat lemah dan pelupa. Tapi itu bukan alasan untuk terus hilang dalam dosa. Selalulah mendekatkan diri dengan Allah dan sahabat-sahabat yang soleh supaya kita sentiasa diperingatkan.


Ya Allah. Dengarilah kami. Kasihani kami. Sesungguhnya ketika segala perbuatan kami dibentang dihadapan seluruh manusia dipadang mahsyar, entah bagaimana kami mampu menahan malu apabila kejelekan amalan kami dipapar dihadapan seluruh manusia. Paling aku takut, sekiranya Engkau tidak mahu melihatku. Ampunkan kami. Ampunkan aku..










No comments: