... I am A restless brain ...

Tuesday, September 13, 2011

BODOH kah aku..'LOSER' kah aku..

13 september 2011, 10.11 pagi, dlm library Vincents hospital, Dublin

Assalamualaikum,

Hari yang buruk. Hari yang kuharapkan semoga ia takkan berulang lagi. Seawal pagi aku sudah terasa begitu demotivated. Untuk pertama kalinya aku rasakan bahawa aku seorang LOSER.

Pagi ini sepatutnya aku harus tiba di wad orthopaedic seawal 6.30 pagi. Tapi dek kepenatan yang teramat sangat semalam, aku mengambil keputusan untuk datang selepas wad roundku tamat dan terus menghala ke Operating Theatre yang akan bermula seawal 8.30 pagi. Pagi yang cerah tapi entah mengapa hatiku berasa tidak enak. Seolah-olah sesuatu yang buruk akan berlaku hari ini. Tiba saja di Resroom pelajar, aku menyarung whitecoat putihku dan menyusun langkah laju ke dewan bedah. Tambah memburukkan keadaan, setelah puas aku cuba menghubungi rakan-rakan teamku yang lain, tiada satupun balasan dari mereka aku terima. Aahhh sudah.. Entah ada tutorialkah pagi ini dan aku tidak tahu? Mana pula mereka pergi. Seperti biasa menjadi satu-satunya pelajar asing didalam kumpulan bukan perkara mudah. Selalu sahaja ketinggalan. Hati kena selalu kuat dan kental.

Laju aku menukar kepada pakaian scrub biru dan menyarung surgical cap dikepala. Hatiku bergetar lagi, tidak enak. Kelibat rakan-rakanku yang lain masih tidak kelihatan. Mana pula mereka pergi ni. Keseorangan aku melangkah pantas ke bilik bedah 6. Menolak perlahan pintu scrub area, aku lihat consultantku sedang bersedia untuk scrubbing in (membasuh tangan dan memakai pakaian sterile). Perlahan aku bertanya, "Is this Orthopaedic Surgery?". Beliau mengangguk, "Come in!"

Aku masih tidak nampak kelibat teamku yang lain. Mana pula mereka pergi? Tiba-tiba seorang pakar bius menyapa aku, " Do you want to scrub in today?" Aaaahhhh sudah! Scrub in ini bermaksud beliau mahu aku membantu surgeonku dalam pembedahan hari ini. Bermaksud aku akan join la mengorek kaki patientku yang sudah terlantar tidak sedarkan diri di meja bedah, aku akan potong bersama beliau, aku akan menjahit kaki pesakit bersama beliau. Aaaaaahhhh...padan muka aku. Siapa suruh masuk seorang diri. Bukan aku tidak mahu. Siapa yang tak mahu pengalaman sebegini kan. Cuma aku sedikit bimbang aku gagal memahami arahan surgeonku dengan baik. Maklumlah ketika pembedahan, surgeon akan pakai mask, so suara beliau akan sedikit perlahan dan kurang jelas untuk orang melayu asli seperti aku. Contohnya macam aku dengar orang kecek kelantan pun aku kurang pick up haha. Lagipun accent orang Irish ni, mereka suka bercakap laju. Karang lain dia suruh aku buat, lain pula yang aku buat. Bimbang.. Bimbang.. Tapi aku tersenyum dan mengangguk tanda setuju dengan hati penuh debaran.

Teknik nak masuk scrub in ni bukan mudah. Leceh amat amat (lainlah kalau dah biasa kan). Kena korek kuku, berus tangan, pastu kena basuh tangan dengan iodine 3 4 kali juga sampai kesiku. Pastu lepas basuh tangan tak boleh sentuh benda lain walau hidung sendiri. Baju sendiri pun tak boleh sentuh. Nak dijadikan cerita, hari ni aku terasa aku ni tak layak jadi doktor. Aku tak tahulah pakar bius ni yang cerewet ke, atau aku memang tak ada bakat jadi pakar bedah (memang aku tak minat sangat huhu). Beberapa kali aku basuh tangan dan nak pakai scrub, aku asyik salah buat. Agaknya dah dekat sepuluh kali dia kata aku 'contaminated'. Dan aku kena buat benda yang sama dekat 4 5 kali, dan banyaklah baju scrub yang terbazir kerana aku. Aku dah start rasa demotivated. Ada nursing student kat dalam bilik bedah dah tengok-tengok semacam kat aku. Muka aku dah terasa tebal 10 inci. Segan semua orang duk tengok aku terkial-kial nak scrub in, dekat setengah jam masih 'contaminated'. Aku rasa pakar bedah tupun tak nak aku tolong dia dah. Last2, pakar bius ni kata kat aku, " Its ok, you dont have to scrub in, you can just go and watch the surgery".

Masa tu aku rasa nak nangis time2 tu jugak. Aku mula berkira-kira samada aku nak masuk ke tak dalam bilik bedah tu setelah aku tahu semua orang dalam bilik tu macam nak gelakkan tengok kebodohan aku yang tak pandai nak scrub in. Aku tak pernah scrub in pun. Maka dengan losernya aku keluar dari bilik bedah tu, menuju ke bilik locker, mencapai handphone ku dan mendail nombor rumahku di Malaysia. Duduk terperuk di satu sudut di locker room, aku menangis teresak-esak bercerita pada ibu apa yang telah berlaku. Aku terasa begitu down dan terasa diri begitu bodoh. Aku rasa demotivated. Aku terasa macam aku tersingkir dari medan perang sebelum peperangan bermula. Aku menangis dan bertutur dalam bahasa melayu, dan Irish yang keluar masuk nak tukar baju scrub dalam bilik locker semua pandang pelik kepada aku.Aku tak peduli, aku just rasa nak menangis, terasa betul2 tak layak jadi doktor. Puas ibu nasihati aku supaya masuk semula kedalam dewan bedah tadi tapi aku betul2 tak ada rasa nak kembali semula kesitu. Selepas ibu, aku dail nombor Amir, penasihat keduaku selepas ibu dan ayah. Puas juga Amir menasihati aku, namun gagal juga. Kaki ini rasa sekrang juga nak lari balik Malaysia, air mata masih menitis laju, teresak-esak.

Kata ibu, biasalah kalau dimarahi atau ditegur. Lumrah belajar. Namun mungkin aku terlalu manja. Tapi to be honest aku tak kisah kalau dimarahi, tapi aku terasa diriku seperti seorang loser yang akhirnya disingkirkan kerana tak layak. Loserkah aku? Jika aku seorang loser aku tidak mungkin masih berjuang dibumi Dublin ini. Aku lantas menukar bajuku semula dan bergerak turun mencari rakan teamku yang lain. Rupa-rupanya mereka ada surgery tutorial bersama Prof Duignan. Hati masih sakit. Terasa mahu pulang kerumah tetapi hati tidak mahu.

Akhirnya disinilah aku, di komputer hujung di dalam libarary menaip entry ini. Sekadar meringankan perasaan yang berat tertanggung di dalam. Tiba-tiba timbul rasa kesal kerana tidak menguatkan hati untuk masuk kembali kedewan bedah tersebut. Sepatutnya aku lebih tabah dan cekal. Sepatutnya aku tidak mengaku kalah. Benar kata ibu, jatuh bangun itu lumrah. Langit takkan selalu cerah. Aku takkan selalu 'pandai'. Kadangkala kita perlu jadi bodoh untuk belajar bangun dan berlari kelangit. Betul kata Amir, angap ini satu pengalaman. Pengalaman adalah guru terbaik. Jangan melarikan diri dari masalah, melarikan diri tidak akan menyelesaikan masalah. Lagipun aku bukan seorang pengecut. Aku harus salah sebelum aku tahu apa yang betul. Aku seharusnya tetap berdiri dan melangkah maju biar taufan menolak aku kebelakang atau membuat aku tersungkur. Itulah kekuatan yang ibu dan ayah telah tanam kedalam diriku sejak kecil. Jika ujian sebegini pun aku sudah mengaku kalah, bagaimana nanti sekiranya datang badai yang lebih besar menduga diri?

Hari ini aku belajar sesuatu. Mungkin aku nampak seperti seorang loser yang lari dari bilik bedah tapi at least hari ini aku ingin mendidik hati. Wahai hati, jadilah hati paling cekal dan tabah menempuh kehidupan. Mungkin hari ini aku tak berjaya scrub in dalam pembedahan, mungkin esok aku akan jadi Pakar bedah paling berjaya. Yang penting kita tahu selagi Allah ada disisi, apa yang harus kita bimbangkan. Belajar dari kesilapan, jangan lari apabila masalah datang menjengah. Jadilah seperti Nabi Ayub yang mana kebergantungannya hanya pada Yang Esa. Mulai saat ini aku berjanji aku akan jadi lebih tabah, aku akan jadi lebih cekal. InsyaAllah, dengan segala cabran ini, aku akan menjadi seorang manusia yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah cemerlang dalam ilmu kehidupan. Aku bukan bodoh, dan aku bukan Loser. Hari ini, Allah telah mendidik aku lagi, menegur aku terus ke hati. Didiklah aku Ya Allah, pimpinlah aku. Terima kasih atas sokonganmu ibu ayah dan amir serta keluarga yang tercinta.

Ok, nak berlari balik ke Luke's ward untuk tutorial hehe

Ganbate ne!!

Wallahualam

Saturday, September 10, 2011

ANGKUH?? ..ikutlah resmi padi..makin berisi makin tunduk..

10 september 2011, 10.37 pagi

Assalamualaikum..

Huaaarrrggghhh dr pukul 6 pagi tadi aku mengumpul semangat untuk menyelak helaian2 buku medicku, namun ternyata hingga detik ini ia tetap belum berhasil. Entah mengapa aku tidak rasa untuk belajar seawal pagi sabtu ini. Mohon sebentar untuk aku melarikan sejenak fikiranku dari dunia perubatan dan berlari jauh kedunia khayalanku...

Pagi ini dingin, namun nyaman. Jiwa sainsku ingin sejenak berubah menjadi jiwa sang pujangga yang menyusun bait-bait indah kata-kata. Alangkah bagusnya jika aku dapat duduk di hulu sungai sambil menghayati keindahan air terjun di dalam hutan. Disitulah tempat yang sangat aku cintai,namun hingga kini ternyata sukar sekali untuk aku meluangkan masa dan memasang khayalan ditempat sebegitu. Sambil memerhati manik-manik air terjun yang pecah terhempas ke batu,lantas memercik kepipi. Segar dan menghidupkan jiwa. Aaaahhh jauh sungguh jiwaku pergi, namun disinilah aku dikamar ku di Dublin, memerhatikan luar jendela yang hanyalah rumah2 batu yang bersusun. Aku harap satu hari nanti, aku dapat melarikan diri dari kesibukan ini, dan duduk tenang di pinggir sungai sambil mendengar desir air yang berzikir nama Rabbnya..Akan kutunggu saat itu.

Masih..masih mengumpul rasa untuk belajar hari ini, namun masih belum berhasil. Lantas jari jemari ini laju menekan punat-punat kecil laptopku sambil sekali lagi memuntahkan perasaan..Maka ikutlah resmi padi..makin berisi makin tunduk..

Entah mengapa aku begitu suka kepada kata-kata ini. Cukup mapan sekali sekiranya aku letakkan dalam konteks kita dewasa ini. Manusia zaman kini kebanyakan sudah lupa kepada nilai yang diutarakan dalam peribahasa ini, maka setinggi manapun kita sudah mendaki, namun masih kita hanyalah hambaNya yang lemah lagi hina. Lihat kita sekarang, dimanakah kita. Aku lihat diriku, dimanakah aku? Ya, aku sudah berlari jauh, dan mendaki tinggi. Belum sampai diperingkat paling tinggi, namun untuk wanita seumpama aku, sudah cukup untuk timbul rasa sombong dan bongkak. Bakal bergelar doktor, menuntut di tanah barat, sudah merantau hampir seluruh Eropah. Maka layakkah aku untuk bersikap angkuh? Bukan sahaja angkuh kepada manusiua, malah angkuh kepada Allah...

Tapi bagi diri ini, aku tidak punya apa-apa sebenarnya. Semua yang aku miliki hari ini, tiada satu pun, tidak walau sebesar zarahpun adalah milik aku. Baik paras rupa,baik pakaian, harta, malah keluarga, semuanya bukanlah hakku yang mutlak. Semuanya milik Allah, semuanya milik Allah yang mutlak. Semua ini hanyalah pinjaman. Maka apa yang dapat aku banggakan? Mana satu dari kepunyaanku yang aku mahu angkuhkan?

Namun ada antara kita yang lupa. Lupa diri. Lupa keluarga dan lupa segalanya apabila sudah menjejak ke langit. Apabila kita mula kaya, kita lupa kepada yang miskin. Apabila kita memegang PHD kita lupa kepada siapa kita yang sebelumnya. Kita lupa kepada guru-guru sekolah rendah kita yang mengajar kita menulis baca. Malah apabila kita sudah bergelar doktor pakar, kita pandang rendah kepada guru-guru tadika kita. Kita katakan, " Aaaahh, kerja guru tadika, orang tak sekolah pun boleh kerja guru tadika.." Angkuh, begitu angkuh. Malah kita lupa sewaktu kita masih bodoh dan masih belum pandai memegang pensel, guru tadika itulah yang memegang lembut jemari kita dan menghayun pensel menggarap A B dan C..Kita terlalu angkuh dengan pencapaian kita sehingga kita tiba-tiba buta hati.Mengapa kita terlalu mudah lupa bagaimana kita bermula?

Dan apabila kita kaya, kita berharta.. Pengemis bukan lagi saudara seislam kita. Duit kita berjuta, harga sehelai baju kita dapat membeli juadah untuk 300 fakir miskin. Namun kita angkuh, terlalu angkuh. " Aaaaahhh apa standard beli baju kat sini, baju murahan!" kata kita. Maka kita pergilah membeli sehelai baju nipis yang mungkin kainnya hanya 1 meter sahaja, tapi bernilai hampir 1000 ringgit. Sedangkan kita tahu, dengan duit sebanyak itu kita mampu membiayai persekolahan seorang anak fakir miskin, yang mana dengan seribu itu mungkin dapat menerangi kehidupan anak miskin itu dek kerana buta huruf dan tidak mampu kesekolah. Angkuhkah kita..angkuhkah aku..Sekiranya esok hari malaikat Izrail memanggil aku pergi, dapat aku bawa semua hartaku yang berjuta itu masuk kelianglahat bersama dan menjadi penebus dosa-dosaku yang menggunung tinggi? Maka sekiranya aku seorang doktor pakar yang dihormati disegani, mana sahaja aku pergi karpet merah dibentang untukku, namun setelah aku kembali ke hadrat Ilahi maka di manakah sebenarnya terletaknya darjatku?

Kita angkuh, begitu angkuh dengan pencapaian kita. Kita berpangkat tinggi, berkahwin dengan keluarga yang terkenal dan disegani. Tiba-tiba kita lupa kepada ibu tua dan ayah yang sudah berambut putih di pondok kecil tempat kita dibesarkan. Kita lupa kepada keringat ayah yang membanting tulang empat kerat memberi kita sesuap makanan. Kita lupa kepada air mata ibu yang menitis dek kerana kita terlantar dihospital dek demam panas. Kita lupa kepada setiap detik yang telah mereka korbankan untuk menjadikan kita seorang manusia. Tiba-tiba kita menjadi lupa, lupa pada segalanya. Malah kita berasa malu, malu sekali untuk mengakui asal usul kita. Kita angkuh. angkuh sekali.. Maka ibu dan ayah tua itu pergi menghadap Ilahi dalam air mata kerinduan kepada anak yang telah mereka tatang hingga dewasa..Kita lupa..Sekali lagi kita lupa dari mana kita bermula..

Ikutlah resmi padi..makin berisi makin tunduk.. Maka semakin jauh kita melangkah, semakin kita menginsafi bagaimana semua nya bermula. Satu perkara yang kita harus selalu ingat. Benamkan dan lekatkan kuat-kuat dalam ingatan. Bahawasanya tidak ada satupun harta yang miliki hari ini adalah milik kita. Tidak walau sebesar zarah. Semuanya milik Allah, subhanallah, Allah yang telah menciptakan kita. TanpaNya kita muflis, kita tidak punya apa-apa. Malah jari jemari yang sedang ligat menaip ini adalah milikNya jua. Semua nya pinjaman untuk kita didunia. Anytime..Anytime Allah boleh ambil kembali dari kita. Ingat, kesenangan adalah ujian, maka kesusahan juga adalah ujian dariNya. Hari ini kita orang paling kaya dalam dunia, esok KUN FAYAKUN, kita muflis. Hari ini kita gadis paling cantik, menjadi idaman tiap jejaka, esok KUN FAYAKUN kita cacat sebelah muka. Tidak ada yang kekal selain Allah..

Apa yang membezakan antara kita adalah keimanan dan ketaqwaan kita disisi Allah. Itulah satu-satunya bekal yang akan kita bawa menghadapNya. Itulah saja yang dapat menyelamatkan kita dari disentuh api neraka. Kita pandang jijik pengemis yang menadah tangan pada kita, mana kita tahu pengemis itu jauh lebih mulia dari kita. Tiada siapa yang boleh menilai kita selain Allah. Kita pandang jijik kepada pelacur yang melacur di jalanan, namun siapa kita untuk menghakimi mereka? Apa kita tahu tentang apa yang telah mereka lalui sehingga mereka terjebak dalam neraka dunia seperti itu? Kita tidak tahu, maka jangan kita berlagak Tuhan untuk memandang hina kepada sesama kita. Itu dosanya dengan Tuhan, janganlah kita menghukum perkara yang kita tidak jelas. Fikirlah mungkin dosa kita jauyh menggunung tinggi dari pelacur itu.

Maka indahnya jika kita dapat mengikut resmi padi, makin berisi makin tunduk. Makin kita merendah diri, makin kita dihormati. Semakin kita mendalami ilmuNya, semakin terasa oooooohhh betapa kerdilNya aku disisiMu Tuhan. Aku yang belajar ilmu perubatan, malah apa jua ilmu sekalipun, semakin tinggi pelajaran kita, semakin kita menghayati kebesaran Tuhan. Betapa menakjubnya setiap kejadian, menyebabkan kita berasa betapa rendahnya diri ini.Sesuai dengan sifat kehambaan yang seharusnya ada dalam setiap diri. Apa nak dikejarkan dengan dunia, entah esok lusa kita mungkin dipanggil pulang oleh Allah. Hidup ini pendek. Singkat perjalanan maka yang kita kejar adalah kehidupan selepasnya, kehidupan disisi Allah.

Makin rendah hati kita, makin kita akan mendekatiNya. Biar siapapun kita, yang membezakan kita disisi Allah hanyalah iman dan ketaqwaan. Jangan kita malu dengan ibu bapa kita yang mungkin satu hari nanti tidak lagi sekuat ketika mereka muda. Satu hari nanti mereka akan terkencing dalam seluar, mereka mungkin perlu dipapah kesana kemari. Ingatlah, sekiranya kita menjaga mereka dengan penuh keikhlasan, darjat kita jauh lebih tinggi, terlalu tinggi disisiNya. Ingat kisah jiran Nabi Musa di syurga? Yang jiran Nabi Musa di syurga ialah seorang lelaki yang menjaga rapi dua ekor khinzir yang besar, yang mana khinzir tersebut adalah ibu bapa lelaki tersebut yang dilaknat Allah. Subhanallah, maka kita manusia dikurniakan akal dan hati untuk memahami, fikirkanlah..

Aku, kamu dan dia semua bersaudara. Kita semua sama.Maka dari Allah kita datang, padaNya kita akan kembali. Subhanallah..

Jangan lupa, tuturlah alhamdulillah selalu. Makin kita mensyukuri nikmatNya , makin berlipat gandalah nikmat yang akan Allah berikan..

Maaf mengomel dihari minggu..hehe

wallahualam

Sunday, September 4, 2011

Antara PENGORBANAN, CINTA dan IMPIAN..

4th September 2011, 8.43 pagi

Assalamualaikum..

Sepi benar pagi ini.. Namun terasa nyaman dan tenang sekali. Sesekali apabila angin dingin pagi menghembus ke wajah dari bukaan kecil jendela kamarku, aku terasa dilahirkan semula. Seolah-olah baru aku tersedar dari keletihan dan kesibukan mengejar dunia. Rumahku terasa begitu sunyi, sekali lagi, disini aku semula. Dibumi Dublin, keseorangan di rumah yang kuhuni dibumi asing ini, kerana housemates ku yang lain masih menikmati cuti raya panjang yang begitu menyeronokkan. Sedang aku sudah sekali lagi memulakan perjalanan dalam perjuangan mengejar cita-cita; menggulung segulung ijazah MEDICAL DEGREE dan mengutip ilmu dan kebijaksanaan dari guru hebatku yakni; PENGALAMAN.




Sedang perlahan aku memutarkan irama indah kegemaranku oleh YIRUMA (kiss the rain), jari jemariku ligat memuntahkan apa yang sedang berada didalam fikiranku. Jujurnya, hati masih terasa sakit dek terpaksa berjauhan dari orang-orang yang tercinta sekali lagi. Sedang hatiku begitu enggan pulang ke tanah asing ini lagi, tapi jiwaku kuat mengatakan bahawa Farah Syazana sememangnya bukanlah seorang anak gadis lemah yang akan mengaku kalah sebelum menamatkan perjuangan, maka gagah juga kakiku longlai meninggalkan ruang perlepasan di KLIA tempoh hari.

Antara pengorbanan, cinta dan impian. Cinta dan impian adalah dua perkara yang terlalu diinginkan oleh setiap insan, tapi berapa ramaikah antara kita yang sanggup melaksanakan pengorbanan? Lebih-lebih lagi dek pengorbanan itu kita terpaksa berendam air mata setiap hari dan terpaksa menempuh perkara-perkara yang paling kita benci didunia ini. Semestinya, seperti manusia biasa yang lain aku ingin memiliki cinta, yakni cinta paling agung dari Allah dan Rasul-rasulNya, dari ibu dan ayah tercinta, dari along dan adik-adik yang sentiasa dirindui..InsyaAllah, cinta dari lelaki yang bakal kupanggil suami dan cinta dari keluarga nya juga, cinta dari rakan-rakan yang setia malah cinta dari seluruh umat Islam seislam dan sesaudara. Maka kerana cinta, hidup kita jadi lebih indah dan bermakna, kerana cinta membuatkan kita lebih mengerti tentang erti sebuah kehidupan. Kerana cinta kita punya semangat dan sebab untuk terus maju dalam hidup. Bahawa siapa dapat menyangkal, bahawa cinta itu adalah kurniaan Allah yang paling indah, kerana kerna cinta juga, kita mengenal pencipta kita. Ya, aku ingin sekali memiliki cinta itu, malah aku sedang memilikinya, cuma aku kini sedang berada jauh dari cinta-cintaku. Terlalu jauh sehingga aku merasakan hatiku telah hilang,hanya jasadku sahaja yang berada dibumi Dublin ini. Hanya jasad dan akalku.




Berbicara tentang impian. Impian adalah harapan.Impian ialah keinginan. Tanya diri kita sejak bila kita sudah pandai memasang impian. Jika aku, dari bayi lagi aku sudah pandai mereka impian yang lebih tepat aku bahasakan angan-angan pada waktu itu.Impian aku sewaktu kecil seawal umur 3 tahun ialah, aku ingin ayah selalu berada disisi aku, along dan ibu kerana sewaktu aku kecil, ayah selalu outstation, bekerja jauh dari kami. Maka aku selalu berharap maka satu hari nanti ayah akan selalu disisi kami, kerana kami amat merindui kehadirannya.

my lovely dad..



Sewaktu aku melalui alam tadika, impianku adalah untuk berpuasa penuh seawal umur 5 tahun, seperti along yang ketika itu berusia 6 tahun. Maka aku masih ingat sewaktu semua rakan-rakanku enak menikmati hidangan tengahari didalam kelas, aku duduk keseorangan di laman tadika menahan lapar sambil memerhatikan bangkai seekor kucing dimamah semut api. Dalam hatiku, "hai..semut api pun tak puasa..". Dan semakin aku meningkat dewasa, impian-impianku mula menjadi semakin besar dan semakin melibatkan orang-orang disekelilingku. Tidak seperti sewaktu aku kecil impianku berlegar berkenaan diriku sahaja. Baik impian ingin khatam al-quran lebih dahulu dari along, impian mendapat tempat pertama dalam kelas (kerana ayah cakap kalau dapat nombor 1-3 ayah akan belikan hadiah terutamanya set barbie yang amat aku sukai ketika itu, malah aku dapat kumpul set dapur,set rumah, set bilik tidur barbie hahahaha), impian mendapat 5A dalam UPSR dan bergelar tokoh pelajar sekolah, impian lulus cemerlang 8A dalam PMR dan impian cemerlang dalam SPM 10A1 dan terbang melanjutkan pelajaran ke tanah barat, mengejar cita-cita menjadi seorang doktor perubatan. Namun impian-impian ini adalah satu landasan untuk mengejar impian sebenarku. Impian sebenarku ialah, aku ingin membalas jasa bakti kedua ibu bapaku yang selama ini telah berkorban segalanya..segala-galanya untuk menjadikan aku seorang manusia yang baik dan berjaya. Yang telah melayan kerenah nakalku dan mengada-ngada. Yang telah mengikat perut untuk memberikan aku apa yang aku mahukan. Yang telah meredah malam pekat menghantar aku kekelas tambahan supaya aku bergelar pelajar cemerlang. Yang telah memberikan aku bekalan agama sehingga lidahku fasih ayat-ayat suci al-quran dan aku mengenal Islam dan iman sehingga aku kenal dan cinta pada penciptaku. Impianku adalah untuk membahagiakan ibu bapaku dalam setiap detik kehidupan mereka, sehingga mereka tidak sesekalipun akan merasa penat kerana telah membesarkan aku. Walau aku tahu dengan segunung emas pun tidak setimpal dengan apa yang telah mereka lakukan buatku maka dalam setiap detik hayatku, adalah untuk membuat mereka rasa bahagia. Maka aku belajar bersungguh-sungguh untuk buat mereka rasa bangga. Maka aku menjaga diriku supaya mereka tidak merasa malu atau dihina. Aku cuba menjadi seorang manusia berguna kepada semua agar seluruh dunia tahu bahwa ibu dan ayah telah mendidik aku menjadi seorang manusia yang baik.

beloved mom...



Berbicara tentang CINTA, IMPIAN dan seterusnya PENGORBANAN.Perkara yang paling aku tidak suka dalam hidupku ialah, berada jauh dari keluargaku. Biarpun usia aku makin meningkat tua, berada disamping keluarga adalah segalanya yang aku mahukan. Kerana berada disisi mereka, aku rasa aku dapat melindungi mereka,mungkin kerana sebagai kakak yang sulung, aku bersifat sangat protective. Apabila dekat, aku rasa aku dapat berada disisi mereka disaat-saat mereka paling rapuh. Tapi atas rasa CINTA, dan demi melaksanakan IMPIAN ku, aku terheret jua akhirnya untuk melaksanakan PENGORBANAN. Pengorbanan berada jauh dari sisi mereka. Jujur aku katakan, biarpun kadangkala apabila orang kata, pabila kita dewasa, kita mahukan freedom. Kita mahukan ruang untuk hidup sebagai seorang dewasa, bebas dari sekatan orang tua. Kita boleh pergi kemana kita suka tanpa perlu meminta kebenaran, kita boleh keluar malam. Kita boleh buat apa yang kita mahu, kita bisa cari syurga dunia yang selama ini mungkin kita tidak jumpa dek terkurung didalam rumah. Tapi ternyata, RUMAHKU TETAP SYURGAKU. Aku rasa lebih bahagia mengemas rumah, mencuci baju-baju kerja ibu ayahku. Aku rasa lebih bermakna menghantar adik-adik kecilku kesekolah dan mengambil mereka pulang kerumah. Aku rasa lebih gembira begitu. Pelikkah aku? Tapi itulah duniaku, dan juga syurgaku.

Menulis sendirian di kamarku dibumi Dublin ni membuat aku berasa sedikit tenang. Aaaah seolah-olah terasa aku masih berada di Malaysia berleter pada adik-adik kecilku ami dan ina kerana lambat solat dan menyepahkan rumah. Tapi disinilah aku, sekali lagi menguatkan hati dan perasaan untuk meneruskan perjuangan. Perjalanan menjadi semakin payah. Setiap kali apabila pesakitku tidak memahami aku dan aku tidak memahami apa yang mereka katakan (kerana accent mereka terlalu pekat), aku menjadi sangat frust dan sedih. Terasa ketika itu juga aku ingin pulang ke Malaysia. Lebih-lebih lagi berada keseorangan di rumah begini. Apabila aku kadangkala terasa begitu asing dan tersisih kerana terlalu sedikit bilangan pelajar Malaysia dalam batchku, aku mula berasa putus asa dan ingin sahaja menarik diri. Berjalan sendirian di kota Dublin dan melihat sekeliling dipenuhi mat-mat saleh, aku berasa asing, tiada hangatnya kemesraan silaturrahim. Tiada azan berkumandang,tiada hangatnya Islam. Semua ini memberi aku luka dan air mata. Tapi apabila aku rasa ingin lari dari masalah dan cabaran, aku teringat kata-kata yang ibu coret dalam sepucuk suratnya dulu;

"Adik..sesungguhnya hidup ini terlalu sukar untuk ditempuh..Sesekali kakimu terpijak kelikir yang melukai kakimu, maka anggaplah ia sehampar permaidani yang lebih enak untuk diinjak.. Sekiranya adik terjatuh, maka bangunlah semula, sesungguhnya ibumu ini telah mengajar adik bertatih sejak adik mula belajar berjalan..Dan ketahuilah bahawa ibumu ini akan tetap menyayangimu walau apapun jua keadaannya.."

Ibu selalu cakap hidup perlukan banyak pengorbanan. Ayah selalu pesan yang kesusahan mendidik untuk menjadi lebih kuat untuk menempuh kehidupan. Maka setiap kali air mataku menitis dek rindu kepada cinta-cintaku yang kutinggalkan jauh di Malaysia, aku tersedar bahawa pengorbanan ini yang menyatukan cinta dan impianku.



Maka wahai rakan seperjuangan.. Hidup ini memerlukan pengorbanan. Tanpa pengorbanan kita tidak akan tahu menghargai perkara-perkara yang kadangkala kita anggap remeh sedangkan ia sebenarnya terlalu penting untuk kita. Tanpa pengorbanan juga cinta yang kita ada tidak di kukuhkan dan impian yang kita ada tidak terlaksana. Kesusahan dalam hidup akan menjadikan kita insan yang berbeza. Bak kata ayah, kepahitan akan mendidik jiwa. Pengalaman memupuk kematangan. Dan air mata, mengumpul ketabahan. Tak sabar rasanya ingin menamatkan study ini kurang dua tahun dari sekarang kerana aku juga kini telah memasang satu lagi impian indah baru yakni impian ingin membina keluarga sendiri. Semakin lama impianku semakin besar bukan? Dan aku akan terus membina impian kerana dengan impian, akan bertambahlah cinta dan akan menuntut lebih banyak lagi pengorbanan. Dengan pengorbanan terasa hidup ini lebih bermakna.



Buat ibu, ayah, along, anis, wawa, ami, ina, 'abg feeeeef' sekeluarga..Terima kasih atas sokogan dan dorongan serta kasih sayang. Sokongan kalianlah bekalan ku untuk kuat menjalani hari-hari yang mendatang.

Lets strive for infinite excellence till jannah!

Salam sayang dari bumi Dublin.

Wallahualam