... I am A restless brain ...

Sunday, March 24, 2013

Renungan yang tajam lagi menakutkan!

Assalamualaikum,

Malam sabtu. Malam kegemaran.

Aku ada sesuatu untuk dikongsi.


Sebelum aku cerita panjang lebar, aku perlu beritahu yang aku punya satu fiil. Ramai orang kadangkala salah faham dengan fiil aku ini. Fiil di mana, kadangkala aku lebih suka memilih untuk berseorangan dalam waktu-waktu tertentu. Sebagai contoh seminggu sekali aku akan ke Dublin city seorang diri, tanpa minta ditemani. Semasa di kolej, aku gemar keluar berseorangan berjalan mengelilingi padang kolej, hingga aku hilang dalam dunia sendiri. Di rumah pula, pantang ada peluang, aku akan start kereta dan meluncur laju seorang diri di kota syurga dunia kuala lumpur.


Bagi orang yang tidak mengenali aku, mereka mungkin beranggapan aku tidak mempunyai ramai teman. Iyalah, wanita biasanya lebih gemar berteman. Cukup takut berseorangan atau dipanggil kera sumbang. Di sekolah, budaya 'geng' atau 'klik' sudah cukup sinonim dengan perempuan. Aku pula lebih gemar menjadi 'parti bebas', semua kawan pun aku sayang, tak perlukan perbezaan. Alhamdulillah, setakat ini, aku tidak pernah kesunyian kerana Allah mengirim ramai sahabat sayang fillah buat aku, sahabat2 yang juga memahami, untuk waktu tertentu, farah syazana perlukan masa keseorangan untuk dia hilang dalam dunianya sendiri.


Ada sebab mengapa untuk waktu tertentu, aku perlu berjalan dibumi Allah sendirian. Kerana apabila aku sendirian, aku dapati diri aku lebih peka dan teliti dengan apa yang berlaku di sekeliling aku. Bila aku sendirian, aku sebenarnya telah keluar seketika dari lingkungan 'comfort zone' dan terjun melihat realiti hidup yang kadangkala sangat menakutkan. Apabila bersendirian, aku rasa lebih dekat dengan diriku sendiri, aku lebih dekat dengan Allah. Mengamati hakikat kehidupan, dan berfikir, dan berfikir, dan berfikir!!




Banyak yang telah aku fahami, dalam kembara soloku ini setiap kali. Ini salah satunya yang aku mahu kongsi.


Aku memulakan pengembaraan soloku yang setiap seminggu sekali dengan menaiki bas. Selalunya aku suka memilih untuk duduk di tingkat atas di bahagian hadapan sekali, betul2 di depan cermin besar tingkat dua bas supaya aku boleh tengok segala2nya dari situ sepanjang perjalanan ke city tanpa distraction penumpang bas yang lain. Satu contoh distraction yang paling aku pantang, kalau ada pula couple2 mat saleh yang sibuk bercumbu-cumbuan di dalam bas, macam dah tak ada rumah sendiri. Dahlah aku masih bujang, bergegar-gegar iman aku dengan perasaan tidak senang.


Ini bumi barat, tentunya yang dapat aku lihat ialah budaya barat yang cukup 'pure'. Even hakikatnya aku rasa lifestyle di Malaysia sudahpun jauh lebih dasyat dari lifestyle barat. Maklumlah, westernization in progress. Satu perkara yang aku kerap sangat perhati ialah pandangan 'membunuh' lagi 'menakutkan' dari kaum adam terhadap kaum hawa.



Gadis2 barat ni kebanyakannya seksi-seksi, cantik-cantik, dan stylo. Dari hujung rambut, sampailah hujung kuku kaki. Semua cantik. Mereka cukup menjaga penampilan. Pada aku, ada hikmahnya kenapa Allah berikan negara2 barat ni winter, sebab pada musim sejuk, budaya fesyenista mereka agak terbatas sebab terlalu sejuk. So, tak bolehlah mereka pakai seksi je sepanjang tahun kan. Haaa tapi bila dah masuk musim bunga atau summer, aku rasa kaum adam lah yang akan jadi golongan yang paling menderita zahir dan batin. Terutamanya yang muslim dan yang masih belum berumahtangga, dengan kata lain, rakan2 seperjuangan aku lah.


Kenapa? Sebab pada musim panas atau musim bunga, barulah kita akan nampak mereka berpakaian macam yang selalu kita tengok dalam filem2 barat tu, macam dalam filem 'sex and the city' tu, skirt pendek, baju low cut, sleeveless. Wanita barat memang cukup suka bergaya. Pada mereka, kecantikan ialah anugerah yang harus dibanggakan. Bukan saja kaum adam, sebenarnya aku turut sama terseksa juga, kalau dah skirt atas paras lutut, kan dah jadi aurat sesama perempuan, maka aku juga akan menanggung dosa.


Semestinya, apabila wanita cantik seksi menaiki bas, aku akan memerhati mata lelaki2 yang berada disekitar aku. Ada yang melempar pandangan biasa, ada juga yang memandang dengan pandangan nakal. Tidak kurang ada yang tidak melepas pandang. Ada sekali tu, seorang wanita muda seksi memakai skirt atas paras lutut dan berbaju sleeveless berada di depan pintu bas hendak turun di stesyen seterusnya. Aku betul2 berada disebelahnya, mahu turun di stesyen selepasnya. Sebaik wanita muda itu turun dari bas, aku terlihat pemandu bas tadi melihat tajam mengikut liuk lenggok langkah gadis tadi keluar dari bas, tersenyum nakal sambil menjilat-jilat bibirnya! Meremang bulu roma aku dibuatnya! Ya Allah, pandangan lelaki itu cukup menakutkan! Sumpah seram!


Di dalam kelas, pemerhatianku tidak lepa. Rakan-rakan perempuanku ada yang suka memakai baju yang mempunyai potongan leher yang agak besar. Kalau kami sedang buat praktikal, yang memerlukan kami terbongkok2 sedikit di bedside, maka akan lebih jelaslah 'ternampak' sesuatu dari potongan leher berkenaaan. Aku selalunya akan mengalih pandangan, dan rakan lelakiku pula biasanya hanya bertindak 'cool'. Ada juga yang suka duduk diatas meja dengan skirt pendek mereka sedang rakan lelaki duduk di atas kerusi berhadapan dengan mereka. Aku yang berada disitu sudah merah padam muka, malu. Namun, yang lelaki hanya berlagak biasa. Tapi, aku dapat juga menangkap pandangan-pandangan tajam nakal dalam 'lagak biasa' mereka. Bagi mereka, itu semua normal. Namun aku pasti, bergegar juga hati mereka. Nak menggegar iman, mereka belum Islam.


Untuk yang bukan Islam, mungkin mereka tidak fikir ini semua satu masalah. Kerana mereka boleh mengamalkan seks bebas di luar ikatan perkahwinan. Tapi aku cukup simpati dengan rakan-rakan lelakiku yang muslim. Yang belum beristeri. Aku pasti ini semua cukup menyeksa perasaan dan rohani mereka. Apa yang nak dihairankan sekiranya pandangan tajam lagi menakutkan itu dilempar sang adam, kerana memang fitrah mereka mempunyai satu nafsu sahaja, nafsu terhadap wanita. Dan jangan kita pandang rendah pada pandangan itu, sekiranya sang adam tadi tidak dapat mengawal nafsu mereka, hawa akan binasa!


Pernah satu ketika, ketika aku berjalan keseorangan di satu lorong market di tengah bandar dublin, aku disapa seorang lelaki arab. Tubuhnya gempal dan besar, menegur aku. Dia mahu meminta pertolongan dari aku, katanya, dia mahu kahwin. Dia tahu aku beragama Islam, jadi dia minta aku bertanyakan kepada sesiapa yang juga mahu berkahwin supaya mereka boleh disatukan. Suaranya seakan merayu, katanya dia baru tiba di dublin dua minggu lalu, dan dia merasakan keperluannya untuk berkahwin sekiranya dia mahu terus tinggal di dublin. Aku faham sangat maksud lelaki itu, tapi untuk mencarikan teman hidupnya, aku tidak mampu. Lalu aku menyuruhnya untuk meminta pertolongan dari pihak Dublin Mosque. Kasihan.


Melihat semua ini membuat aku cukup takut. Siapa yang harus dipersalahkan? Lelaki atau perempuan? Apa yang aku ceritakan tadi tidak hanya berlaku dibumi dublin, tapi juga di bumi Malaysia. Pandangan nakal dan menakutkan dari sang adam sebegitu sudah jadi lumrah yang tidak dapat dielakkan. Kerana itu banyak berlaku kes rogol, kes cabul dan seumpamanya! Jangan cerita, even satu ketika dulu aku pernah melihat satu cubaan meraba di dalam KTM di kuala lumpur. Mungkinkah bumi ini sudah tidak selamat lagi untuk didiami oleh kaum wanita?


Jangan pandang enteng hal ini. Wahai hawa, jagalah diri dan pakaian kita agar kita tidak merangsang gelojak nafsu lelaki-lelaki disekeliling kita. Kalau dia tidak dapat kita, dia akan membahayakan hawa-hawa yang lain. Kerana itulah turunnya perintah menutup aurat dan menjaga maruah. Untuk menjaga dan melindungi kita. Allah sayang pada kita. Allah tidak mahu kita binasa. Lagipun, jangan kita asyik menyalahkan sang adam kerana tidak dapat mengawal nafsu serakah mereka. Tanya diri kita, adakah kita penyebabnya?


Rasulullah saw bersabda:

"Dua kelompok dari penduduk neraka yang aku belum melihatnya, (kelompok pertama) yaitu wanita yang berpakaian (pada hakikatnya) ia telanjang, merayu-¬rayu dan menggoda, kepala mereka seperti punuk onta (melenggak-lenggok, membesarkan konde), mereka tidak masuk surga dan tidak mendapatkan baunya. Dan (kelompok kedua) yaitu laki-laki yang bersamanya cemeti seperti ekor sapi yang dengannya manusia saling memukul-mukul sesama hamba Allah. "(HR. Muslim)


Pada yang lelaki pula, selain menundukkan pandangan, anda juga punya peranan. Pastikan isteri, anak, adik, kakak kita tidak direnung dengan renungan beracun sebegini. Pastikan aurat mereka terjaga rapi. Ingat, menjaga seorang anak perempuan, lebih payah dari menjaga sekandang lembu. Payah, namun ini hakikatnya.


Bagi aku, perempuan ni sangat cantik. Rambut cantik, kulit cantik, setiap inci tubuh mereka cantik. Allah cipta wanita ni terlalu cantik. Sebab tulah sekaya atau selengkap manapun seorang lelaki, wanita juga yang mereka mahukan. Sealim ulama mana pun lelaki itu, iman mereka bisa digegar hawa. Susah, payah, kadangkala bagi aku menakutkan, tapi inilah kehidupan.


..."Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani". (Surah Al-Ahzab 33: Ayat ke-59)


Wahai hawa, gunakan perisai hijab untuk melindungi kecantikan kita dari diratah mata-mata yang tidak berhak. Dunia ini bahaya. Perintah aurat diturunkan bukanlah untuk menindas kita, tapi untuk mengangkat darjat kita. Barang yang cantik berharga letaknya di dalam bekas yang bertutup rapi, bukan yang terdedah dihurung bahaya.


Pandangan lelaki penuh nafsu itu sumpah menakutkan! Ada gaya macam seekor harimau hendak menerkam mangsanya. Jangan jadikan diri kita mangsa. Ya Allah, ingatkan kami kepada apa yang kami lupa, ajarkan kami kepada apa yang kami tidak tahu. Jauhkan kami dari tipu daya dunia yang membinasakan!



No comments: