Assalamualaikum,
Sebenarnya dua tiga hari ini, aku sangat tertekan dilanda masalah peribadi. Konflik jiwa yang terpaksa aku simpan sendiri. Rasa dunia sekeliling seolah mahu runtuh. Aku bermuhasabah, mencari Allah dalam diri. Benarlah kata orang, rasa syukur dapat mengubat segala kekecewaan.
Bila aku rasa lelah dan serba kekurangan, aku suka lihat dunia sekeliling. Meneyedari betapa bertuahnya diri, dan betapa ramainya insan yang lebih kekurangan di dunia ini. Aku ingin menulis, tapi otakku yang serabut beku mengekang jari ini dari terus menaip.
Aku cuba mencari titik mula ilham. Biasanya aku mendapat ilham apabila aku melihat manusia disekeliling. Dimana dapat aku lihat manusia? Ya, Instagram merupakan 'Malaysia' buat aku. Melihat gambar-gambar dan komen-komen membuatkan aku banyak berfikir. 'Pictures speak a thousand words'. Aku lihat obsesi, minat, hidup, pemikiran, mentaliti masyarakat seangkatan melaluinya. Ya, dunia instagram yang banyak menipu dan melalaikan. Kita memilih gambar untuk dipapar. Gambar pilihan semestinya yang cantik dan indah belaka, maka kita hanyut dalam obsesi dan keindahan. Semestinya aku tidak terkecuali dari dunia yang menipu ini. Walau hakikatnya, kehidupan tidak boleh 'dipilih'.
Untuk mengubat tekanan jiwa ini, aku ingin berkongsi sebuah cerita yang sudah lama ingin aku kongsi. Semoga ini dapat mendidik aku dan kamu tentang erti syukur. Dan menyedarkan kita betapa disebalik obsesi indah kita tentang 'indah' dunia, tersimpan seribu satu hakikat hidup yang mungkin tak mampu kita hadapi. Kita terlepas pandang. Aku harap perkongsian ini bermanfaat dari aku yang serba daif dan kekurangan ini.
Kisahnya begini.
Aku punya obsesi, dengan kata lain, IMPIAN. Selain menjadi seorang anak, isteri, ibu dan doktor yang berjaya, impian aku ialah untuk bekerja dengan masyarakat, terutamanya 'masyarakat yang memerlukan'. Aku ingin jadi 'kakak' kepada semua anak-anak istimewa seperti anak-anak mama Puan Norlina Alawi. Anak-anak yang miskin, terbiar, yatim piatu dan terbuang. Ya, mereka obsesi aku. Maka, setiap kali aku punya peluang pulang ke malaysia, aku cuba untuk melakukan sesuatu untuk anak-anak ini. Sejak 6 tahun lalu, aku hanya fokuskan kepada penghuni-penghuni comel Keluarga Besar Puan Norlina Alawi. Mereka telah menjadi 'adik-adik' aku dengan izin Puan Norlina.
Tapi untuk cuti winter yang lalu, aku terfikir untuk menambah bilangan 'adik'. Aku mencari-cari rumah kebajikan lain untuk dijadikan 'keluarga'. Biasanya kerja-kerja sebegini dilakukan melalui persatuan-persatuan. Ia seakan menjadi norma dan mentaliti masyarakat kerja-kerja sebegini hanya dijalankan melalui pertubuhan rasmi. Amat sedikit untuk orang-orang persendirian ingin turun padang dan melibatkan diri dalam dunia 'gelap' anak-anak jalanan sebegini. Ada, tapi tak ramai. Memang sukar untuk aku memohon kebenaran untuk mengadakan program kerana mereka sering bertanya aku dari pertubuhan mana dan atas tajaan syarikat mana. Aku hanya balas, aku hanyalah orang persendirian bersama rakan-rakan terdekat. Kami hanyalah wakil masyarakat dan bukan pertubuhan.
Alhamdulillah dengan bantuan rakan-rakan terdekat, aku berjaya mendapat kebenaran dari sebuah pertubuhan anak-anak yatim di tengah2 bandaraya kuala lumpur dan mereka menjemput aku untuk datang berbincang. Maka kami membuat temujanji di suatu petang khamis, dan alhamdulillah, seorang teman rapatku sudi menemani aku untuk pertemuan ini. Disinilah, sekali lagi hidup mendidik dan menyedarkan aku tentang gelapnya lorong-lorong yang tak pernah aku lalui, tapi ia ada disekitar aku. Hidup yang tak akan dipapar di dalam instagram, yang tak akan di hebah di muka-muka buku. Kehidupan yang membuat aku malu dengan diri sendiri.
Tiba hari yang dijanjikan, aku dan rakanku berjaya mencari rumah kebajikan tersebut dengan sedikit sesat. Aku merenung halaman rumah kebajikan itu dalam-dalam. Kami membatu seketika di dalam kereta. Berkira-kira untuk masuk atau tidak. Hati aku berbelah bahagi. Ini bukan kali pertama aku datang bertandang memohon kebenaran untuk mengadakan sedikit majlis untuk anak-anak istimewa di rumah sebegini. Setiap kali itu, tubuh aku menggigil berdebar. Lebih-lebih lagi aku bukanlah datang sebagai jutawan dengan wang sejuta untuk diinfakkan. Aku bukanlah bussinessman yang dapat memberi mereka kemewahan. Aku bukanlah ahli politik yang dapat memberi mereka imbuhan bulanan. Bukanlah cendekiawan bijak pandai untuk mengajar erti kehidupan.
Aku datang hanyalah sebagai seorang ahli masyarakat yang prihatin. Datang dengan sehelai kertas perancangan untuk mengadakan sebuah majlis kecil perkongsian motivasi untuk adik-adik, disamping menjamu mereka dengan sedikit juadah yang termampu kami hidangkan dengan wang simpanan kami. Aku tahu ini mungkin nampak kecil bagi orang lain, namun ia besar maknanya buat aku dan rakan-rakan. Aku tahu aku bisa dipandang enteng, tapi bagi aku ia adalah tanggungjawab sebagai seorang insan. Kaki aku selalu memilih untuk berpatah balik dan melupakan saja susah payah merancang itu dan ini. Mereka bukan darah daging atau saudara aku. Aku masih muda, pun bukanlah kaya raya. Hidup saja seperti biasa seperti orang lain, living my life to the fullest. Guna duit yang aku ada, melancong, beli baju baru, kasut Jimmy Choo, beg tangan Ted Baker. Nanti dah kerja, dah kaya, bolehlah sedekah apa yang patut. Itulah yang selalu syaitan bisikkan pada aku.
Namun hati dan iman tetap menyokong langkah aku. Kami sudah di muka pintu, maka kami percaya Allah telah membawa kami ke mari. Aku dan rakanku menggagahkan diri untuk masuk jua. Walau tegaknya rumah ini di tengah kota kuala lumpur, halaman rumah kelihatan sedikit usang. Anak-anak kecil berlarian di luar rumah. Sebelum sempat aku memberi salam, terdengar tempikan seorang wanita pertengahan abad dari dalam rumah. "Kenapa berlari-lari ni, masuk dan buat kerja masing-masing!!!"
Tempikannya kuat sekali membuatkan kami sedikit gugup. Dihadapan kami seorang wanita berusia 40-an, dengan wajah sedikit garang. Biarlah aku namakan beliau, Puan Y. Pakaiannya biasa-biasa saja, sedikit comot bagi aku dengan peluh dan sedikit kotoran di baju. Aku memberanikan diri memperkenalkan diriku dan rakanku dan aku menyatakan tujuan kedatangan kami kemari. Mendengarkan aku, Puan Y memandang kami sinis, seolah tidak senang dengan kedatangan kami, tetapi beliau tetap memaniskan muka dan memperkenalkan dirinya. Ya, beliau adalah penaung rumah kebajikan tersebut. Kami dijemput masuk.
Rumah besar itu didalamnya sedikit kotor dan tidak teratur. Kelihatan beberapa wanita muda memegang anak-anak kecil. Kami terus duduk dimeja makan yang terletak diruang tamu. Puan Y masih kelihatan garang dan terus berkata begini pada kami;
"Kalau kamu berdua datang, sekadar nak buat program untuk memenuhi kredit universiti kamu atau nak cari publisiti, minta maaf, saya tak boleh benarkan. Ini bukan rumah minta sedekah atau meminta simpati. Saya kena cakap dengan kamu awal-awal." Jelasnya, garang.
Rakan aku disebelah dah tak senang duduk. Ada juga muka macam masa tu juga nak angkat kaki dan balik. Kedatangan kami seolah betul2 tidak diundang. Belum sempat aku buka mulut, Puan Y sudah seakan memberi kata tidak kepada kami. Subhanallah. Disaat itu, aku sendiri seakan terketar berhadapan dengan wanita yang mulia ini. Tapi aku beranikan diri. Aku datang dengan niat yang ikhlas, tidak mengharap sebarang pengiktirafan atau ganjaran. Datang kerana Allah. Mungkin kekuatan itulah yang memberi aku keberanian untuk berbicara dengannya.
"Puan, kami datang bukan dari mana-mana universiti atau pertubuhan. Saya seorang pelajar perubatan, dan ini rakan saya, dia seorang researcher di MARDI. Kami datang sebagai ahli masyarakat, rasa bertanggungjawab nak berjumpa, berkenalan dan berkongsi pengalaman dan ilmu dengan adik2 disini. Saya kumpulkan rakan-rakan saya dari pelbagai bidang untuk turun padang dalam aktiviti kemasyarakatan sebegini. Kami datang untuk memberi bukan untuk menerima apa-apa. Kalau puan tidak keberatan, tujuan kami ialah untuk membina ukhwah dengan adik2. in sha Allah bila saya dah bergelar doktor, puan kalau perlu apa-apa, hubungi saja saya untuk bantuan melalui ukhwah ini dan bukan melalui surat-surat rasmi."
Puan Y terdiam mendengar kata-kata saya. Sedetik selepas itu, wajahnya yang garang berubah manis. Kami lega. Sekurang-kurangnya situasi ketika itu tidak tegang lagi. Tanganku aku masih berpeluh. Rakanku disebelah pula masih membisu. Puan Y kemudiannya mula bercerita tentang rumah yang ditubuhkannya lebih sepuluh tahun yang lalu. Puan Y juga membawa kami 'tour' seluruh rumah. Kedengaran dari sebuah bilik dua orang wanita bangsa arab bertekak sesama sendiri. Suara mereka kuat menggegar segenap rumah. Tiba-tiba Puan Y bertempik kearah kedua wanita arab tadi menyuruh mereka diam. "Mereka ni kalau dah bagi muka macamtulah! Nak hidup beramai-ramai, beradablah sedikit dengan orang! " marah Puan Y. Rakanku sudah memegang tangan aku. Kehidupan yang sedang aku lihat ini, menakutkan. Penuh tempikan. Tiada kata-kata manja.
Puan Y membawa kami ke sebuah bilik. Bilik ini penuh dengan anak-anak kecil yang tidur bergelimpangan di atas lantai. Kelihatan beberapa wanita muda yang melayan anak-anak kecil ini.
"Ini bilik untuk ibu-ibu tunggal. Ada lagi dua asrama di tempat lain, satu untuk anak-anak perempuan. Satu lagi untuk anak-anak lelaki. Mereka datang dari pelbagai latar belakang, datang sini cari perlindungan untuk diri mereka, dan anak-anak kecil mereka. Ini dan itu adik beradik. Yang ini pula tujuh beradik.." Terang Puan Y sambil menunjuk kearah beberapa anak kecil yang tidur lena. Subhanallah. Bagaimana mereka hendak membesar dengan sempurna dalam kehidupan sebegini.
Selesai 'tour', kami duduk kembali di meja tadi. Kali ini muka Puan Y kembali serius. Aku berdebar kembali. Kami ada tersalah cakapkah?
"Tentang apa yang kamu dan rakan kamu usulkan tadi. Saya suka dengan semangat kamu, tapi saya rasa anak-anak saya tak perlukan program-program motivasi untuk peperiksaan atau kerjaya. Apa yang mereka lebih perlukan ialah program mengajar mereka tentang kehidupan. They have to learn about survival. Mereka lebih perlukan kursus adab dan tatatertib sebab ada antara mereka yang memang tak tahupun macam mana nak bercakap dengan orang. Bukan mereka kurang ajar tapi mereka membesar dilorong-lorong, dijalanan, mereka tidak pernah diajar dengan adab sopan. Kalau kamu berkomunikasi dengan mereka, jangan ambil hati dengan cara mereka yang kasar. Ada antara datang dari keluarga ayah kaki judi minum arak dan memaki hamun orang, jadi anak mereka pun asyik memaki hamun orang. Ini bukan salah mereka tapi memang itu yang mereka lihat sejak mereka dilahirkan...
Kamu nak bercakap tentang tips belajar, kerjaya dan profesion. Kamu tahu tak ada antara anak-anak dibawah jagaan saya yang tak pernah sekolah, tak pernah tahu membaca dan menulis. Bagaimana kamu nak bercakap dengan mereka tentang sekolah walhal mereka tak pernah pergi sekolah. Ada juga yang datang dari keluarga yang mana ibu bapa mereka terlibat dengan jenayah, kadangkala mereka akan sedikit agresif dan tersalah laku. Saya rasa apa yang anak-anak saya lebih perlukan ialah kursus asas untuk berkomunikasi, ajar mereka cara untuk bertata tertib bila berhadapan dengan orang. Lebih baik kalau kamu boleh panggil pakar motivasi untuk anak-anak saya. Dan kamu dari bidang perubatan kan, ada antara anak-anak saya yang perlukan bantuan psikiatri. Kalau kamu boleh dapatkan pakar psikiatri mungkin akan sangat membantu...
Jika kamu hendak bantu anak-anak saya, kamu tidak boleh datang hanya sekali dan kemudian hilang. Untuk membantu mereka, kamu kena menjalin ikatan dengan mereka. Kamu kena kerap datang dan beri semangat dan tunjuk ajar. Kamu kena bina kepercayaan dengan mereka. Ini memerlukan banyak komitmen dari pihak kamu dan pihak mereka. Boleh kamu berdua lakukan yang macam saya cakap ni?" Jelas Puan Y panjang lebar.
Aku dan rakanku terdiam. Sentap. Subhanallah. Untuk sekejap kami rasa kami telah singgah ke sebuah dunia lain. Dunia yang amat berbeza dari dunia kami yang lengkap serba serbi, seolah dunia kami sejuta kali lebih indah dan sempurna dari dunia yang baru kami singgah ini. Bersediakah kami?
Selepas perbincangan yang agak panjang, kami berangkat pulang dengan hati dan kepala yang cukup berat. Sebaik masuk ke dalam kereta, kami berdua terdiam, mambatu. Kami tidak boleh berfikir apa-apa. Seolah-olah di bahu kami baru saja diletakkan sebuah tanggungjawab yang amat berat. Kami seolah tidak boleh berdiri bersama tanggungjawab tersebut. Rakanku perlahan berkata, "Sya, i think we are not ready for this task."
Aku mengangguk perlahan. Bersetuju. Aku rasa amat ralat, aku sedih. Namun kata rakanku benar, kami belum bersedia untuk tanggungjawab seberat itu. Aku masih harus pulang ke dublin menamatkan pengajian, rakanku pula masih mencari kerja yang lebih tetap dan mencari tapak kukuh untuk kerjayanya. Kami belum bersedia untuk komitmen seberat ini. Aku genggam lumat-lumat kertas perancangan yang aku bawa tadi. Sedikit pun tidak disentuh Puan Y.
Aku pulang ke dublin tanpa kembali ke rumah itu semula. Setelah berbincang dengan rakan-rakan, kami sepakat bahawa kami tidak dapat melaksanakan permintaan Puan Y. Mana kami nak dapatkan pakar motivasi? Mana kami nak dapatkan Pakar Psikiatri? Kosnya terlalu besar dan kami belum mampu. Aku juga masih belum bekerja. Untuk datang selang 2 minggu juga agak mustahil bagi kami yang semuanya baru menjejak alam kerjaya. Maafkan kami. Kali ini, kami gagal dalam misi kami.
Aku berazam. Salah seorang dari kami harus menjadi pakar motivasi. Salah seorang dari kami harus menjadi pakar psikiatri. Aku pula bercita-cita nak jadi pakar kanak-kanak. Sebab itulah aku dan rakan-rakan kena belajar berjaya setinggi boleh, supaya kami sendiri dapat turun padang menjadi tenaga yang diperlukan. Tanpa perlu wang, pertubuhan atau surat rasmi. Kami akan datang kembali dengan kepakaran dan nawaitu ikhlas kerana Dia. Untuk mereka yang memerlukan.
Ya, mereka perlukan kita. Kita pula hanyut selalu dengan usia muda kita, keremajaan kita. We talk about shoes. We talk about brands. We talk about dresses. We talk about movies and stuffs. But they talk about survival. Kalau kita semua asyik menuding jari menyuruh orang lain, siapa yang nak buat semua ini? Memang, kita masih muda, kita boleh pilih untuk hanya menutup mata, memekakkan telinga. Buat-buat tak tahu, lagipun bukan darah daging kita. Tapi kalau semua orang ambil posisi tidak mahu membantu, siapa lagi?
Di instagram kita boleh terlalu obses dengan orang yang memang sedia cantik, memang sedia popular, memang sedia kaya, memang sedia comel, dah sedia sempurna. Kita ambil tahu dan mengikuti setiap pergerakan mereka, apa mereka buat, dan kalau mereka minta tolong dengan pantas kita kesana. Tapi mengapa kita tidak obses dengan mereka di dunia yang satu lagi. Dunia yang tidak cantik, tidak kaya, tidak sempurna. Dunia gelap, penuh cacat cela. Yang sempurna lebih diangkat kesempurnaannya, yang kekang terus terbiar dengan kekangannya.
Kita juga selalu diperingatkan dengan palestine, syria, dan negara-negara Islam bergolak. Alhamdulillah sekurang2nya kita peka. Namun, bagaiamana dengan pergolakan dunia gelap di tanah air kita sendiri? Pekakah kita? Butakah kita untuk melihat 'kekalahan' dan 'kematian' bangsa sendiri? Kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat esok. Bagaimana masa muda kita dihabiskan? Bagaimana harta kita dibelanjakan? Pedulilah kita dengan ummah?
...Hidup aku penuh dengan ujian dan tekanan. Kadangkala aku rasa ingin rebah dan tersungkur. Tetapi dunia gelap yang telah aku lihat itu sentiasa mengingatkan aku betapa bertuahnya aku mendapat segala nikmat dariNya. Jika aku, kau, dia dan mereka lemah, siapa yang ingin menerangi kembali dunia yang gelap itu? Kita tak perlukan wang berjuta atau harta selautan. Untuk ini, kita hanya perlukan keikhlasan dan kasih sayang. Sekecil-kecil zarah kebajikan pun akan dikira di hadapan Allah swt.
Doa kesejahteraan aku panjatkan untuk ketabahan Puan Y yang memilih untuk menerangi kegelapan dunia itu. Aku harap lebih ramai Puan Y dan Puan Norlina akan dilahirkan dalam generasi aku. Hanya insan terpilih diberikan Allah tugas seberat itu. Ya Allah, maafkan kami atas kelemahan kami. Allahuakbar.
No comments:
Post a Comment