... I am A restless brain ...

Sunday, March 17, 2013

telah gugur beliau sebagai syahid. kita bila lagi?

Assalamualaikum.


Dah pukul 11 pagi. Buku dah ada depan mata. Muka surat pun dah diselak tersedia. Topik, peptic and duodenal ulcer. Aku hanya menunggu minda untuk hadir dan fokus. Tapi akal seolah belum bersedia untuk membaca. Faham, Jemari ingin menulis. Digerakkan ilham dari DIA.


Dua hari lepas ruang facebook ku dihujani sebuah berita yang mengejutkan lagi menyedihkan. Seorang dari rakan seperjuangan kami telah pulang ke rahmatullah. Berita kematian selalunya bagai terbiasa bagi kami, apatah lagi apabila memasuki dunia perubatan. Kami lihat manusia datang dan pergi dari dunia ini setiap hari. Tetapi pemergian sahabat ini luar biasa. Bagi semua yang mengenalinya, gugurnya beliau sebagai syuhada.


Jujurnya aku tidak mengenali akhi ini. Namun newsfeedku semalam penuh dengan cerita dan kisah hidup beliau. Penuh dengan doa sahabiah mengiringi pemergian beliau. Subhanallah, ditunjukkan Allah betapa beliau pergi dalam kemuliaan dan penghormatan, biarpun meninggalkan dunia ini dalam usia hanya 24 tahun.


Kita selalu meminta dari Allah khusnul khatimah. Iaitu mati dalam kemuliaan. Mati dalam Islam. Tapi bukan semua orang akan dapat pengakhiran khusnul khatimah, melainkan dengan izinNya. Sahabat, tahu tak , aku sebenarnya merasa sungguh cemburu dengan akhi ini. Aku tidak mengenalinya namun aku rasa begitu cemburu. Mengapa? Kerana perginya beliau dalam khusnul khatimah. Beliau ditimpa kemalangan sebaik pulang dari program Shahadatul Haq, sebuah program dakwah. Kata seorang rakan, beliau merupakan salah seorang speaker untuk program tersebut. Subhanallah, jarang sekali dewasa ini aku dapat lihat rijal seangkatan seusiaku pulang dengan keadaan yang sungguh mulia. Beliau pulang dengan kejayaan syahid in sha Allah!


Satu perkara yang asyik berlegar di dalam fikiran aku bila Allah tunjukkan pada aku peristiwa ini. Aku lihat suatu gelombang semangat dari sahabat-sahabat beliau sebaik berita pemergian beliau dihebahkan di muka buku. Kesedihan menyelubungi sebentar, namun aku rasa dalam sedih itu, ada suatu kegembiraan dan kebanggaan yang tidak dapat digambarkan. Gembira perginya sahabat ini dalam keadaan cukup mulia. Dalam syahid! Maka suatu semangat ingin berlumba-lumba mengikut jejak akhi ini seolah dipaparkan dalam setiap bait status dan ucapan takziah buat beliau. Seolah inilah yang sebenar-benar mereka nak taip, "Akhi Iman, tunggu kami! Kami akan mengikut jejak langkahmu!" Bergegar-gegar semangat ini dalam setiap jiwa yang begitu merindui panggilan syahid itu!



Namun, apakah terasa gegarannya ini dalam hati yang berada dalam jasad kita? Cuba tanya hati kita? Terasakah kita getaran itu? Ataupun kita tidak pernah terfikir tentangnya. Kita rasa asing tentangnya. Kita selalu dengar perkataan SYAHID. Tapi kita tidak pernah sinonimkan diri kita dengan perkataan ini. Kita selalu membayangkan syahid itu hanya berlaku pada zaman Nabi dan sahabat. Syahid itu hanya berlaku dibumi bergolak Iraq, Iran, Palestin, Syria. Pernah tak kita rasa semangat jihad itu? Pada zaman sahabat, tahukah kita apakah impian terbesar mereka?


Mereka tak bina impian-impian duniawi macam kita. Mereka tak impikan rumah besar. Kereta besar. Harta bertimbun-timbun dalam akaun. Melancong sana -sini. Mereka tak impikan pangkat dan darjat tertinggi. Siang malam mereka hanya memohon satu perkara dari Allah. "Ya Allah, tolong berikan kami syahid. Tolong berikan kami syahid!" Mereka menangis-nangis di lantai sejadah mohon mati syahid. Setiap kali mereka keluar berperang memerangi kaum kuffar, tahukah kita mereka sebenarnya tidak mengimpikan untuk kembali ke pangkuan keluarga. Mereka sangat berharap mereka akan gugur di medan pertempuran sebagai syuhada!


Bagaimana dengan kita? Kita menangis-nangis dilantai sejadah minta degree, minta nak kaya, minta suami macho, isteri cantik, minta anak ramai, minta itu, minta ini. Pernahkah kita minta syahid? Dimana hilangnya nilai ini dalam diri kita? Dimana hilangnya semangat ini? Tidak rindukah kita kepada syahid. Pulang kepada Allah tanpa sebarang hisab. Pulang kepada Allah dalam keadaan suci bersih. Pulang terus terbang ke syurga indah yang telah tersedia. Apa yang kita asyik sangat dengan dunia ini? Sampai kita lupa tanggungjawab yang telah Allah berikan sepanjang melalui persinggahan dunia ini?


Ya, dunia memang melalaikan. Terutamanya aku. Mudah sangat leka. Aku sangat pathetic bila aku lalai dengan dunia yang dah tentu2 aku tahu sementara cuma. Lalai dengan duit yang banyak dalam akaun aku tu. Padahal tak sedar diri duit tu pun duit MARA, duit amanah rakyat. Lalai dengan beg tangan, baju, purse, kasut. Maklumlah, duduk oversea, makin bertambah meroyanlah bershopping. Murah katanya. Lalai dengan sempurnanya keluarga dan harta. Lalai dengan so called high education, maklumlah, belajar negara omputih! Lalai dengan cinta manusia. Lalai dengan semuanya!!!


Terutamanya, lalai dengan usia muda. Lalai dengan so called 'keremajaan'. Aku rasa aku masih muda dan ini belum masanya untuk aku bermati-matian memperjuangkan amanah-amanah yang telah aku ambil dariNya pada hari aku dilahirkan ke dunia. Sampai sebenarnya aku terlupa yang kematian tidak mengenali usia. Hello??? Allah dah tunjuk banyak kali. Lihat akhi Iman, perginya dalam usia 24 tahun, lebih muda dari aku. Maka apa jaminannya yang aku tak akan mati esok, lusa, tulat atau pada saat selepas ini? Apa jaminan kita?


Tiada apa yang lebih menyedihkan sebenarnya melainkan mendengar seseorang yang sudah tahu hukum hakam agama, tahu ini haram dan itu tidak boleh, tapi masih berkata, "Kami belum bersedia." " Nantilah, mungkin bukan sekarang." Nantilah, belum dapat hidayah."


Sahabat, banyak kali sangat Allah mentioned dalam al-quran.

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka ” QS 13:11


"Katakanlah, Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan". (QS al-Jumu’ah, 62:8)


Mati tak boleh tunggu kita nak berubah. Belum bersedia? Itu bukan alasan. Ini baru bercakap pasal nak merubah diri. Belum lagi bercakap tentang tanggungjawab dakwah. Peranan ibadah dan khilafah. Hai, jangan terlalu jauh ketinggalan sahabat! Jangan terlalu jauh kelalaian menyesatkan kita!


Sebelum akhi Iman pulang ke rahmatullah, inilah kata-kata beliau kepada murabbinya;

"Dakwah dan tarbiyah adalah nadiku. mana mungkin aku hidup tanpanya."


Beliau seusia kita. Tetapi lihatlah betapa kefahaman dan keinginan jihad telah jauh membezakan diri kita jauh dari dia. Dia telah syahid, kita bila lagi? Nak tunggu tua? Itupun kalau sempat merasa usia tualah!


Ayuh sahabat! Hidup bukan sekadar diri dan keluarga. Hidup bukan sekadar satu pusingan waktu yang tidak bermanfaat dan cliche'. Bayi > kanak2 > remaja > dewasa > tua > mati. Hidup bukan sekadar itu. Mari kita beri makna kepada kehidupan kita.


Berjihadlah. Jihad datang dalam berbagai cara. Berbaktilah, bakti hadir dalam berbagai usaha. Dakwah dan tarbiyah bukan sekadar terjadi dalam usrah, ceramah dan program agama yang disampaikan oleh uztaz bertauliah. Setiap kata-kata yang diucap dan ditulis juga merupakan dakwah dan tarbiyah. Setiap nasihat dan teladan yang baik merupakan dakwah.



Wahai diri. Wahai aku. Ya, terutamanya aku. Dan wahai sahabat. Kita masih diberi waktu, berubahlah. Ya Allah, ingatkan kami kepada apa yang kami lupa. Ajarkan kami kepada apa yang kami tidak tahu.

p/s : aku bukan siapa-siapa Ya Allah. Bukan wanita semulia siti khadijah, fatimah dan aishah. Namun, matikan aku, keluarga, sahabat dan umat islam seluruhnya dalam khusnul khatimah. Seperti akhi Iman. Al fatihah.

No comments: