... I am A restless brain ...

Saturday, February 4, 2012

Aku sangat merinduimu..""kekasihku""...subhanallah..

Assalamualaikum..

Fosterbrook Neighbourhood, 8.06 pagi.

Bagaimana hatiku tidak bergetar disaat aku mengingatimu...

Bagaimana jiwaku tidak luluh disaat aku merinduimu...

Bagaimana cintaku tidak pernah surut biarpun kita tidak pernah bertentang mata..

Pagi sabtu yang tenang.. Kesibukan sepanjang minggu sarat bergelumang kerja dan tugasan di hospital. Bergelumang dengan buku-buku perubatan yang tidak mungkin pernah habis dibaca.. Dunia..Dunia..Dunia..

Celik sahaja mataku pagi tadi seawal pukul 530 pagi, rasa syukur kupanjatkan, alhamdulillah, diberi 'bonus' satu hari lagi untuk aku menghirup nafas dibumi Allah yang fana ini. Ku mahu gagahkan diri untuk bangun solat sunat tahajud, tapi seluruh tubuh seolah-olah di gam di tilam (alasan bodoh aku lagi!!). 'Aku mahu bangun solat sunat!' Detak hatiku lagi. Mata ku masih pejam sedang rohku sudah terjaga. Sedar-sedar sahaja, jam sudah pukul 630 pagi. Subhanallah! Lemah sungguh imanku! Lihatlah umat akhir zaman seperti aku, lemah!! Ya Allah ampunkan hambaMu ini sambil dalam hatiku berazam untuk bangun solat malam esoknya insyaAllah. Jadikan aku sehebat Sultan Muhammad Al Fatih yang menawan Constatinople, yang berperang disiang hari, dan solat malam terhadapMu disebelah malamnya. Langkah terus laju menuju ke bilik air, mengambil siraman segar wudhu, mendirikan solat subuh. "Sesungguhnya sekiranya indah solat subuh seseorang anak adam itu, maka indahlah sepanjang harinya".

Hari ini, hari maulid Nabi. Hari kelahiran Rasulullah saw, buah hati kita. 12 rabiul awal hari isnin tahun gajah. Teringat aku pada sebuah buku kecil yang pernah ibu belikan untukku sewaktu aku kecil dahulu yang bertajuk, "Tentera Bergajah". Aku baca buku iu penuh minat dan bermula daripada buku kecil itulah aku mula meminati sirah-sirah nabi dan sahabat. Pada awal aku membaca buku itu, aku sebenarnya belum memahami sepenuhnya, siapa Rasulullah padaku, mungkin kerana aku masih kecil. Alhamdulillah, ibu dan ayah menghantar aku ke sekolah agama dan bermula dari situlah, minat aku dalam pelajaran sirah semakin membuak-buak. Aku mula mengumpul buku-buku sirah keluaran darul numan dan membaca penuh minat. Semakin lama aku mengenali, aku menyintai dan menyimpan rasa rindu kepada insan-insan yang tidak pernah aku bertemu muka, yakni tokoh-tokoh zaman Rasulullah. Dan hari ini, hari kelahiran Rasulullah..Siapa Rasulullah pada kita? Mengapa kita harus menyintai dan merinduinya??


Aku bukanlah alim ulama. Hafazan aku pun tidak mantap. Mengambil gelaran 'wanita solehah' pun sungguh aku tidak layak. Entah apa kedudukanku disisi Allah dan disisi Rasulullah pun aku tidak tahu. Mungkin kedudukan ku terperusuk jauh ke tujuh petala bumi. Hina, sungguh aku insan hina disisi Allah dan baginda. Aku insan penuh dosa dan kesilapan. Namun sungguhpun aku sungguh tidak layak mendampingi baginda, benarkan aku untuk mengungkap rasa cinta dan rindu yang tidak terbendung. Benarkan aku untuk menyintaimu dan sentiasa merinduimu Ya Rasulullah. Aku mohon, benarkan aku..

Saya mohon, tontonlah video ini..bergetarkah hati kita?




Mungkin ada tertanya-tanya, malah mempersoalkan, mengapa kita perlu menyintai Rasulullah, merindui baginda, mengasihi baginda, mungkin lebih dari ayah kita sendiri. Bagaimana kita hendak menyintai dan merindui seseorang, yang tidak pernah kita temui? Bagaimana kita hendak merindui seseorang yang tidak pernah meninggalkan sebarang kenangan dan memori dalam kehidupan kita? Bagaimana rasa cinta itu boleh tumbuh kepada seorang insan yang telah meninggalkan kita sejak beribu-ribu tahun dahulu? Siapa baginda?


Maka sahabat, kenalilah baginda.. Susurilah lembaran sirah baginda.. Baginda ialah penghulu kita.. Malah penghulu semua Nabi-Nabi sebelum baginda.. Rasuilullah, kekasih Allah. Kita ini, umat baginda. Kenalilah baginda..Kenalilah baginda. Dan nanti sahabat akan tahu bahawasanya biarpun kita dan baginda tidak pernah bersua muka, cinta baginda pada kita melebihi cinta ayah dan suami dan isteri kita pada kita. Cinta baginda pada kita lebih dari pada baginda menyintai isterinya sendiri. Dan bagaimanakah bongkaknya kita mengatakan kita tidak menyintai banginda??


Sekiranya kita menyusuri sirah baginda, kita pasti akan jatuh hati..jatuh hati kepada sifat dan peribadi baginda..akhlak dan kelembutan baginda..Kita akan jatuh cinta malah akan berkata, sekiranya aku mahu bersuami, aku mahu suami yang seperti baginda! Namun adakah aku semulia Siti Aisyah dan Siti Khadijah untuk suami yang sebaik itu?


Disaat-saat meniti detik kewafatan baginda, tahukah kita perkataan yang paling banyak meniti bibir baginda. Perkataan itu ialah 'UMMATI' yakni 'umatku'! Disaat baginda meniti sakaratul maut yang amat menyakitkan itu, baginda berdoa, " Ya Allah ringankanlah sakaratul maut untukku dan untuk UMATKU!" Dan bagaimanakah hati kita tidak bergetar saat kita merindui baginda?! Fikirkan, sekiranya suami kita meninggal dunia, dalam kesakitan yang terlalu sukar digambarkan itu, adakah suami kita itu masih mengingati kita, menyayangi kita dan mendoakan kita? Cinta mereka tak terbanding dengan cinta Rasulullah pada kita!! Ya Rasulullah, aku menyintaimu juga! Bagaimana mungkin kita tidak menyintai insan yang terlalu menyintai kita ini sehingga kedetik-detik terakhir kehidupan banginda! Bagaimana mungkin kita tidak mengasihi insan ini.. Kerasnya hati kita..


Dan roh baginda ingin pergi menemui Yang Maha Pencipta, yang meniti bibir baginda bukanlah nama isteri dan anak-anak baginda yang baginda kasihi. Tapi Baginda tetap berulang kali menyebut, "ummati..ummati..ummati.."..ummatku..ummatku..ummatku.. Dan baginda berkata kepada Malaikat Jibril, "Aku tidak tenang selagi aku tidak tahu apakah nasib ummatku setelah aku pergi nanti.." Maka Jibril berkata berlandaskan wahuyu dari Allah, " Jangan bimbang wahai kekasih Allah, sesungguhnya Allah mengharamkan syurga bagi umat nabi-nabi sebelummu, selagi umatmu belum memasuki syurga. " Subhanallah!!! Subhanallah.. Allah memuliakan kita sebagai umat pertama yang akan memasuki syurga. Untungnya kita menjadi Umat baginda. Adakah boyfriend yang kita cintai itu akan memikirkan kita disaat kematiannya? Lagu-lagu kini yang bodoh dengan lirik, 'akan kunantimu dipintu syurga' ternyata bohong dan palsu! Dan bagaimanakah hati kita tidak bergetar disaat kita merindui insan agung ini..


Tahukah kita di padang Mahsyar nanti, seluruh umat manusia akan dihimpunkan. Kita dalam keadaan bertelanjang, matahari hanya sejengkal di atas kepala. Peluh-peluh manusia membanjiri segenap kawasan. Pada hari tersebut, kita tidak akan ingat lagi kepada suami, isteri, ibu, ayah, dan anak-anak tercinta. Kita tidak hiraukan lagi tentang aib rupa orang-orang disekeliling kita. Apa yang kita bimbangkan ialah diri kita. Bagaiamanakah timbangan hisabku nanti? Berat disebelah kiri atau kanan? Dengan tangan kiri atau kanan buku amalanku akan diserahkan? Kalau kanan, beruntunglah. Kalau kiri maka celakalah! Bagaimanakah mampu aku menghadap Tuhanku dalam keadaan yang serba hina ini? Bagaimana sekiranya aku jatuh kedalam neraka sewaktu aku melalui titian sirat..


Pada waktu ini, yang kita mahu hanya pertolongan. Pertolongan ini adalah syafaat dari Nabi kita, Rasulullah saw. Maka beruntunglah pada orang -orang yang sentiasa berselawat ke atas baginda, yang menyintai baginda, dan merindui baginda. Ketahuilah, sekiranya kita merindui Rasulullah, baginda juga akan merindui kita. Rasulullah tahu setiap kali kita mengingatinya dan berselawat ke atasnya. Maka beruntunglah oirang-orang ini yang pasti akan mendapat syafaat dari baginda dan akan dipermudahkan sewaktu melepasi hisab (perhitungan amalan), mizan(timbangan amalan), dan
sirat (titian ke syurga atau neraka). Malah orang-orang yang mendapat syafaat ini akan mendampingi baginda kesyurga penuh nikmat dan rahmat itu..subhanallah.. semoga kami tergolong dalam golongan yang mendapat syafaat dari baginda..


Sahabat... ingatlah, bahawa cinta manusia lain pada kita, tidak sehebat cinta Rasulullah pada kita. Teringat aku dua kisah, yang setiap kali aku mengingatinya, air mata aku menitis sebak membayangkan betapa mulianya hatimu Ya Rasulullah. Yang pertama Kisah Nabi dan penduduk Thaif, disaat baginda dilempar batu oleh penduduk Thaif sehingga mengalir darah baginda hingga kekaki. Dan jibril telah menawarkan diri untuk menghempap bukit Thaif keatas penduduk Thaif kerana memperlakukan insan mulia itu sebegitu. Namun tahu apa jawapan Rasullullah? Baginda bahkan memanjatkan doa kepada Allah agar penduduk Thaif diberi hidayah: “Allahummahdii qawmii fainnahum laa ya’lamuun” (Ya Allah berilah hidayah kepada kaumku ini, karena mereka masih juga belum faham tentang erti Islam). Lembutnya hatimu Ya Rasulullah. Bagaimana hatiku tidak bergetar saat aku mengingatimu!

Kisah kedua ialah kisah Rasullulah dengan seorang pengemis Yahudi Buta. Di suatu sudut pasar Madinah Al-Munawarah seorang pengemis Yahudi buta hari demi hari apabila ada orang yang mendekatinya ia selalu berkata “Wahai saudaraku jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya kalian akan dipengaruhinya”. Setiap pagi Rasulullah SAW mendatanginya dengan membawa makanan, dan tanpa berkata sepatah kata pun Rasulullah SAW menyuapi makanan yang dibawanya kepada pengemis itu walaupun pengemis itu selalu berpesan agar tidak mendekati orang yang bernama Muhammad. Rasulullah SAW melakukannya hingga menjelang baginda SAW wafat. Setelah kewafatan Rasulullah tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta itu. Suatu hari Abubakar r.a berkunjung ke rumah anaknya Aisyah r.ha. Beliau bertanya kepada anaknya, “anakku adakah sunnah kekasihku yang belum aku kerjakan”, Aisyah r.ha menjawab pertanyaan ayahnya, “Wahai ayah engkau adalah seorang ahli sunnah hampir tidak ada satu sunnah pun yang belum ayah lakukan kecuali satu sunnah saja”. “Apakah Itu?”, tanya Abubakar r.a. Setiap pagi Rasulullah SAW selalu pergi ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang berada di sana”, kata Aisyah r.ha.

Keesokan harinya Abubakar r.a. pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikannya kepada pengemis itu. Abubakar r.a mendatangi pengemis itu dan memberikan makanan itu kepada nya. Ketika Abubakar r.a. mulai menyuapinya, si pengemis marah sambil berteriak, “siapakah kamu ?”. Abubakar r.a menjawab, “aku orang yang biasa”. “Bukan !, engkau bukan orang yang biasa mendatangiku”, jawab si pengemis buta itu. Apabila ia datang kepadaku tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut dengan mulutnya setelah itu ia berikan pada ku dengan mulutnya sendiri”, pengemis itu melanjutkan perkataannya.

Abu bakar r.a. tidak dapat menahan air matanya, ia menangis sambil berkata kepada pengemis itu, aku memang bukan orang yang biasa datang pada mu, aku adalah salah seorang dari sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Ia adalah Muhammad Rasulullah SAW. Setelah pengemis itu mendengar cerita Abubakar r.a. ia pun menangis dan kemudian berkata, benarkah demikian?, selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, ia tidak pernah memarahiku sedikitpun, ia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, ia begitu mulia…. Pengemis Yahudi buta tersebut akhirnya bersyahadat dihadapan Abubakar r.a.

Dan bagaimanakah mungkin hati kita tidak bergetar saat kita merinduinya.....Bagaimana air mata ini tidak menitis setiap kali kita membaca sirah tentang baginda..Bagaimanakah mungkin..Ya aku tidak pernah menatap wajahmu, malah aku cemburu pada sahabat-sahabatmu yang dapat merasai kehadiranmu, dan betapa hancur luluhnya hati mereka disaat peemergianmu..

Ya Rasullullah..aku cinta dan aku rindu..Bilakah kita bisa bertemu dan layakkah aku yang hina ini untuk menemui dan bersamamu di syurga nanti. Bagaiaman jika diri ini dihumban ke dalam neraka, adakah masih bisa untuk aku menemuimu..Sahabat..cintailah Rasulullah.. Maka bagindalah manusia yang selayaknya untuk kita cintai. Semoga, dirimu dapat merasai getar kerinduan ku ini dan semoga kita dapat bertemu nanti di akhirat sana.

Salam cinta dan rindu dari insan hina serta muflis tanpa Allah swt..

No comments: