Assalamualaikum,
Syukur alhamdulillah, aku masih diberi peluang dan keupayaan untuk terus menulis di ruang serba daif ini. Setelah melalui satu lagi minggu yang cukup meletihkan, sibuk dan mencabar. Ya Allah, beri kami daya kekuatan untuk terus berjalan menempuh pengembaraan di dunia sementara ini.
Hari ini aku akan berkongsi satu lagi kisah, tentang seorang anak gadis bernama Fatimah. Aku mengenali Fatimah lima tahun yang lalu, kalau ku kira2 sekarang mungkin Fatimah sudahpun berusia 18 tahun. Mengapa kisah Fatimah sangat penting buat diriku? Kerana Fatimah juga merupakan salah seorang insan yang telah membuka mata dan hatiku dengan lebih luas dan jelas memahami apa sebenarnya erti kehidupan. Melalui Fatimah aku mula melihat kehidupan dari perspektif yang berbeza, aku belajar untuk lebih bersyukur, aku belajar untuk lebih tabah dan matang. Ini kisahnya.
'Annoying'kah Fatimah?
Sudah menjadi norma di sekolah, yang jelita, kacak dan berharta sentiasa dianggap sempurna, menjadi perhatian dalam setiap suasana, yang tidak memiliki paras rupa yang cantik dan miskin sering dipandang sebelah mata. Kewujudan mereka sering tak dianggap, tidak ada tak apa, ada pun tidak memberi sebarang kelainan. Iyalah, yang kaya biasanya datang dari keluarga berpendidikan tinggi, dibesarkan dalam didikan dan asuhan yang cukup serba serbi. Yang cantik pula sering diberi perhatian, sering menjadi seri pada setiap yang memandang.
Fatimah, ketika itu berusia 13 tahun, seorang gadis biasa. Tubuhnya sederhana, kulitnya hitam manis, hidungnya penyet sedikit, seingat aku di atas bibir kanannya ada kesan parut jahitan selebar 2 cm. Bila dia berbicara, ada kedengaran sedikit sengau pada percakapannya, aku tidak pasti samada ia sejak lahir atau kesan kisah silamnya. Dimata rakan2 sebayanya, Fatimah tidak cantik, tidak istimewa, kewujudannya tidak dianggap penting. Kadang2 bagi mereka kehadiran Fatimah dianggap begitu 'annoying'.
Fatimah tidak punya ramai kawan. Baik lelaki mahupun perempuan. Adapun, itupun rakan 'serumah' dengan Fatimah. Fatimah punyai seorang adik, namanya Lina. Itulah insan paling rapat dengan Fatimah, itu sahaja yang Fatimah miliki. Di sekolah, bukannya Fatimah kera sumbang, cuma tak ramai yang mahu berdampingan dengan Fatimah. Bagi mereka, Fatimah has got nothing to offer. Fatimah tidak cantik, Fatimah tidak berharta, dari segi akademik, Fatimah sedikit ketinggalan dari rakan-rakannya yang lain. Ini antara alasan2 mereka mengapa mereka selalu menjauhi Fatimah, ini apa yang Fatimah ceritakan pada aku pada satu petang ketika aku meluangkan masa untuknya, dengan sebak, dengan hati yang sarat dengan luka.
..." Kak Sya, siapalah yang nak berkawan dengan orang tak cantik macam Imah. Sudahlah hitam, ada parut di muka. Mereka cakap, mereka malu nak kawan dengan Imah. Mereka ada geng2 mereka sendiri, bukan calang2 orang boleh jadi sebahagian dari geng mereka. Imah kadang2 cemburu tengok mereka, mereka cantik, kaya, barang semua mahal2. Ramai orang suka kawan dengan mereka, baik lelaki dan perempuan. Imah bukan tak cuba nak baik2 dengan mereka, tapi mereka tak nak layan Imah.."
..."Lagi satu yang buat Imah sedih, mereka suka cakap Imah suka mengendeng2 dengan mereka, nak cari populariti lah melalui mereka. Nak ambil kesempatan dari mereka. Nak guna barang2 mereka. Nak pinjam2 duit mereka. Imah tahu Imah memang tak ada duit. Duit belanja yang Imah dapat Imah selalu simpan, kadang2 memang Imah tak dapat duit belanja, Imah bawa bekal. Kadang2 Imah sendiri tak sedar Imah ada terminta makanan mereka, atau minta untuk lihat barang2 mereka. Bila mereka makan yang sedap2 di kantin, Imah rasa macam automatik Imah nak minta rasa sedikit, sebab Imah memang susah nak dapat makan makanan yang agak mahal yang mereka beli di kantin. Imah tak ada duit. Bila mereka bawa barang2 cantik kesekolah, contohnya alat tulis yang cantik2, barang perhiasan comel2, automatik Imah minta nak tengok, sebab Imah tak dapat miliki apa yang mereka dapat. Imah tahu Imah tak akan dapat beli, tapi at least Imah dapatlah merasa untuk pegang barang2 tu. Imah tak sangka pula mereka rasa macam Imah nak ambil kesempatan ke atas kelebihan mereka..."
..." Lagi satu yang buat Imah sebak sangat Kak Sya, salah seorang dari mereka selalu sebut2 Imah macam ni, 'Kau ni annoyinglah Fatimah'. Mula2 Imah tak tahu annoying tu apa, iyalah Imah tak pandai english macam diorang. Imah balik rumah, Imah buka kamus, Imah check maksud perkataan annoying tu. Lepas Imah tahu, Imah rasa sedih, Imah rasa terhina. Imah tahu mereka selalu ejek2 suara Imah. Suara Imah sengau, mungkin menyakitkan telinga mereka yang mendengar suara Imah. Tapi apa yang boleh Imah buat Kak Sya? Imah tak minta semua ni.."
..." Kak Sya, Imah ni bodoh dalam banyak benda. Imah bukan saja tak pandai kat sekolah, Imah kadang2 tak tahu macam mana nak bawa diri Imah depan orang. Apa yang Imah buat semua salah. Cara jalan Imah pun orang nak complaint, cara Imah cakap pun ada orang tak puas hati, kadang2 bila Imah senyum pun orang boleh salah faham. Kak Sya, makin Imah besar, Imah makin keliru dengan banyak benda. Imah tak tahu nak buat macam mana, siapa nak ajar Imah? Siapa nak bagitau Imah apa yang Imah buat tu salah? Imah tak ada sesiapa yang Imah boleh minta tunjuk ajar. Bila Kak Sya datang, barulah Imah boleh banyak tanya. Sebelum ni, tak ada siapa kisah, tak ada siapa peduli...Kadangkala Imah rasa, lebih baik Imah tak ada kat dunia ni, lagipun, tak ada siapa yang nak Imah hidup.."
Aku mendengar keluhan Fatimah, tekun dan hati yang sedikit tergetar. Memahami jiwa remajanya yang penuh pergolakan, aku juga pernah melalui usianya, dan ia bukan suatu perkara yang mudah. Mari, aku kenalkan siapa Fatimah sebenarnya, dan bagaimana aku mengenalinya. Fatimah merupakan salah seorang penghuni rumah anak2 yatim kerajaan di Kajang. Aku mengenalinya sewaktu aku dan rakan2 menjalani aktiviti kebajikan ketika aku menuntut di Kolej mara banting. Sebenarnya, sudah lama menjadi keinginan aku untuk berada lebih dekat dengan anak2 kurang bernasib baik begini, dan KMB merupakan titik tolak permulaannya kecintaan aku kepada sebuah dunia baru. Aku jatuh cinta sedalam2nya kepada semua anak2 ini, semua anak2 yang tidak memiliki apa yang aku miliki. Aku kesana setiap 2 minggu. Sebelum aku kesana, rakan2 ku sibuk benar berpesan. Sampai saja disana, jangan tanya2 sangat kisah silam mereka, nanti mereka sedih, mereka tak suka. Lagipun, kita bukannya akan lama disana. Itu pesan mereka.
Lain pula apa yang aku buat. Sampai saja disana, aku tidak merancang untuk membina sebarang sempadan. Aku suka duduk bersama mereka, bertanya tentang diri mereka dan kisah hidup mereka. Disitulah aku mengenali Loqman, seorang kanak2 lelaki comel bertubuh kecil, bertahi lalat di atas kening, berada disitu kerana ayahnya dipenjarakan atas kesalahan mengedar dadah. Dia bercerita kisah hidupnya dengan senyuman, dan tidak putus2 dia menyatakan harapan menanti saat ayahnya dibebaskan dan semoga dia dapat merasai kembali nikmat seorang ayah. Disitu juga aku mengenali Ahmad, seorang kanak2 lelaki berkulit gelap, seorang India muslim. Dia berada disitu kerana ayahnya lari meninggalkannya dan murtad, dan dia tidak pernah menemui ayahnya sejak itu. Seperti Loqman, hasrat Ahmad juga untuk melihat ayahnya kembali kepada Islam, dan mengambilnya keluar dari rumah anak2 yatim itu.
Disitu juga aku kenal Fatimah dan Lina. Kisah silam mereka lebih perit, ibu mereka meninggal dunia dibunuh ayah mereka, itupun didepan mata mereka sendiri. Ketika itu ibu mereka sarat mengandung, dan perutnya dipijak oleh ayah mereka yang pulang meminta wang untuk berjudi. Setiap aku mendengar kisah2 mereka, hatiku bergetar. Aku rasa malu dengan kanak2 kecil yang berada dihadapanku ini. Aku teringat betapa lupa dirinya aku sewaktu aku melalui usia seperti mereka, aku selalu betah cakap ibu dan ayahku, aku degil, aku keras kepala. Dan bagaimana anak2 kecil dihadapanku ini mampu menampung ujian dariNya yang terlalu berat dan tidak tertanggung oleh kebanyakan dari kita? Mereka masih terlalu kecil untuk semua itu. Mereka masih terlalu naif untuk memahami hikmah disebalik segala kepahitan itu.
Setiap kali aku berpeluang melawat mereka disana, aku belajar tentang banyak perkara. Ya, apa yang Imah ceritakan betul, kanak2 ini memang lost dalam banyak perkara. Mereka sedikit clumsy, mereka tidak mahir untuk mengurus diri. Tapi bagi aku itu normal, mereka masih terlalu muda. Teringat aku pada suatu hari seorang adik perempuan disitu (aku tak ingat namanya) bertanya aku tentang isu haid. Aku terkejut sangat bila mereka cakap yang mereka tidak tahu mandi wajib, even mereka tak tahu yang mereka sepatutnya membersihkan sanitary pad mereka selepas digunakan. Mereka tidak tahu langsung ilmu2 perempuan itu, walhal aku rasa hampir lebih 10 orang penghuni perempuan disitu sudah mencecah usia remaja. Aku tertanya2, takkan penjaga disitu tidak endah perkara2 sebegini? Tapi melihat dari cara penjagaan rumah tersebut, aku tahu ia tidak dijaga dengan baik. Staff mereka asyik bertukar, bekerja disitu makan gaji. Iyalah, under kerajaan kan, rumah itu bukan dibuka oleh seseorang yang kasih benar dengan anak2 ini. No wonderlah ramai dari mereka punya masalah kulit, masalah kebersihan. No wonderlah ramai yang tak mahu kawan dengan mereka kerana anggap mereka ni pengotor.
Lalu aku menerangkan kepada mereka pentingnya menjaga kebersihan ketika datang bulan, dan perihal mandi wajib. Subhanallah, penting sangat kot perkara ini, berkaitan dengan ibadah solat dan ibadah2 lain. Dulu aku kecil2 pun, aku banyak belajar dari ibu dan ustazah disekolah. Masa mula2 dulu aku pun bukannya tahu tentang benda2 ni, maklumlah anak perempuan sulung, panik juga time mula2 dulu, mujurlah ibu mengajar aku, penuh kasih sayang. Tapi untuk mereka, siapa yang ada? Siapa yang sudi menjadi rujukan, mendidik mereka hal2 kedewasaan penuh kasih sayang. No wonderlah mereka selalu dipinggirkan, kerana ternyata mereka selalu dianggap 'lembab' oleh sesiapa yang memandang. Oleh sesiapa yang tidak mengetahui apa yang mereka terpaksa lalui.
Teringat aku sewaktu aku kebelakang membantu kanak2 perempuan disitu menukar pakaian dalam bilik mereka yang cukup kecil dikongsi beramai2, sebaik anak kecil itu membuka tudung, aku terkejut. Adik kecilku ini botak! Aku lihat adik2 perempuan yang lain disitu, semuanya botak! Aku tanya, apa dah jadi? Anak kecil berusia 7 tahun dihadapanku ini tidak menjawab terus, sebaliknya dia menitiskan air mata. Rakan2 lain yang ada bersama kami juga, diam, cuba menahan tangis. Aku juga terdiam. Cuba memahami dalam2 apa yang sedang berlaku. Perlahan2 anak kecil dihadapanku ini, "Ayah man (nama pengetua disitu,bukan nama sebenar) botakkan kami semua sebab masalah kutu.. Saya malu sangat dengan kawan2,malu nak pergi sekolah, mereka semua ejek saya botak.."
Aku masih ingat ketika itu aku cukup marah. Rasa nak je pergi depan ayah man tu dan protes! Even fatimah yang dah besar tu pun dipaksa untuk dibotakkan! Have u lost your mind?! Ayah man ni tak ada anak perempuan ke?! Fikirlah sikit, mereka ni manusia, mereka ada hati dan perasaan. Apatah lagi mereka ni perempuan. Cuba kita ingat balik, masa kita mula2 meningkat remaja dulu self-concious kita sangat tinggi. Kita nak kelihatan cantik, kita pay attention pada banyak perkara perihal kecantikan diri, even perkara remeh temeh. Budak perempuan yang meningkat remaja sedang cuba mencari identiti, mencari personaliti, masa tu jugalah kita ada crush dengan orang itu, orang ini, yang lebih membuatkan kita lebih self-concious. Tapi apa daya mereka untuk melawan ayah man. Bengang betul aku, kalau iyapun masalah kutu, belilah ubat kutu. Masalah kutu dikalangan budak2 ni biasa. Dulu masa kecil2, kalau aku atau adik2 terkena kutu dari kawan2 tadika, ibu akan lumur ubat kutu dikepala, ibu juga beli sikat kutu tu, yang rapat2 giginya, pastu ibu akan duduk belek kepala kami, mencari kutu atau telur kutu. Aku ada ibu dan ayah nasib baiklah. Tapi ayah man pun boleh beli ubat kutu dan suruh mereka pakai dikepala mereka, dan mereka boleh belek kepala mereka sesama sendiri. Bukannya terus botakkan. Kalau lelaki boleh terima, ini budak2 perempuan yang meningkat dewasa kot. Kalau ayah man ada anak perempuan, ayah man akan botakkan kepala dia jugak ke? takkan.. So please, kalaupun sayang ayah man pada anak sendiri tak sama pada anak2 ini, at least, fahamilah mereka sebagai manusia, punya hati dan perasaan.
Berbalik pada kisah Fatimah. Setiap kali aku kesana, ada saja perkara yang Fatimah buat untuk aku. Fatimah tulis dua pucuk surat untuk aku, isinya pelik, lirik2 lagu, tapi aku tahu, Fatimah mungkin tidak pandai mengekspresikan dirinya,itu cara Fatimah menyatakan sayangnya pada aku. Fatimah juga ada beri aku satu hadiah. Sampai dikolej, aku buka bungkusan kertas putih yang diberi Fatimah, sebuah frame gambar. Aku tahu Fatimah beli frame ini dikedai 2 ringgit. Even aku tahu harganya dua ringgit, nilainya terlalu mahal bagi aku. Nilai 2 ringgit itu terlalu besar untuk anak2 yatim yang tidak punya simpanan yang banyak. Sebagai balasan, aku hadiahkan Fatimah sebuah beg sekolah yang cantik. Bukan kepalang gembiranya Fatimah. Aku tahu betapa besarnya rasa kasih sayang yang Fatimah letakkan pada hadiahnya itu. Lalu aku letakkan gambarku dan ibu pada frame itu, supaya setiap kali aku melihat frame itu, aku akan mengingati Fatimah dan aku akan panjatkan rasa syukur aku kerana aku memiliki ayah dan ibu serta keluarga yang sempurna, yang tidak dimiliki Fatimah.
Semakin dekat detik aku untuk menamatkan pengajian di KMB, aku semakin jarang melawat mereka di kajang. Aku kesal, kerana aku terlalu sibuk untuk ujian akhir untuk melayakkan aku keluar negara, aku semakin jauh dari mereka. Fatimah selalu menghubungi aku melalui hp ku, dia menelefon dari public phone. Dia pernah menyatakan hasratnya untuk lari dari rumah tersebut, kerana tidak tahan dengan layanan penjaga disitu. Ramai kanak2 disitu sudah lari sebenarnya. Tidak hairanlah, Loqman pernah tunjukkan aku rotan yang diguna ayah man pada mereka, hujungnya sudah berbelah seribu, cukup menjelaskan penggunaannya. Ada satu ketika Fatimah menangis menghubungiku, kerana ayah man bertindak mengoyakkan buku sekolahnya dihadapan semua penghuni disitu, kerana ayah man dapat tahu fatimah menghantar surat untuk seorang kawan lelakinya. Dia malu. Ayah man ni pun fikirlah, ada cara lain yang lebih baik untuk mendidik kan. Ianya memalukan, janganlah sampai menjatuhkan maruah mereka dihadapan kawan2 mereka. Entahlah, kadang2 aku buntu bagaimana hendak membantu.
Sebaik aku tamat KMB, aku dapat panggilan dari Lina, adik fatimah. Kata Lina, Fatimah sudah lari dari rumah tersebut. Sebulan kemudian, Fatimah menghubungi aku, katanya dia sekarang tinggal bersama seorang mak cik rakan sekolahnya, yang mana mak cik tersebut memberi kebenaran Fatimah tinggal bersama mereka dengan syarat Fatimah menjaga bayi mereka, itupun tanpa gaji. In return, Fatimah dapat rumah untuk berlindung, dan makanan untuk terus hidup. Aku merayu pada Fatimah supaya pulang kerumah anak2 yatim tersebut, kerana biarpun sedikit perit, at least Fatimah boleh sekolah. Fatimah akan dapat sijil, Fatimah boleh kerja. Pendidikan sangat penting apatah lagi untuk Fatimah yang tak punya keluarga. Itu sahaja harapan untuk buat masa depan Fatimah lebih cerah. Tapi sayang,sejak aku fly ke dublin, aku lost contact dengan Fatimah, sehingga kini, aku tidak pernah lagi mendengar khabar fatimah.
Satu dialog aku dan fatimah yang aku tidak pernah lupa;
"Kak sya, kenapa Allah tak sayang Imah? Imah tak ada keluarga, Imah tak cantik macam Kak sya, Imah tak pandai macam kak sya, kak sya dapat belajar luar negara. Imah tak ada apa2. Kenapa Allah benci sangat dengan Imah?"
"Sebelum akak jawab, akak nak tanya satu soalan dulu boleh?"
Fatimah mengangguk.
"Dalam banyak2 manusia, siapa yang Allah paling sayang sekali, paling kasih, paling dekat denganNya?"
Fatimah diam, berfikir. "Nabi Muhammad?" Jawabnya.
"Pandai! Cuba Imah ingat balik, Nabi Muhammad kan anak yatim sama macam Imah. So kalau Imah kata sebab Imah anak yatim Allah benci Imah, salah tu. Sebab Allah sayang sangat Nabi kita even Baginda anak yatim. Maknanya Allah tak benci Imah, malah sebenarnya Allah sayang sangat dengan Imah. Allah sayang kakak, Allah bagi perantara ibu ayah akak, tapi Allah sayang Imah tanpa perantara, Allah sayang Imah direct, sepenuh kasih sayang! Jadi Imah ni memang sangat2 jadi kesayangan Allah! Ingat tu!"
************************
Kini, setiap kali aku ke rumah2 anak yatim, tak kira dimana saja, aku pasti teringatkan Fatimah. Aku harap satu hari nanti, kita akan berjumpa kembali, dan aku dapat menebus kesalahan aku kerana membiarkan Fatimah terumbang ambing. Maafkan kakak sebab kakak terlalu sibuk dengan pelajaran kakak, sehingga membiarkan Fatimah. Kakak kena belajar pandai2, jadi doktor, bila kakak lebih kaya, kakak akan dapat lebih membantu adik2 lain macam Imah.
Sahabat, jika kita terjumpa insan2 seperti Fatimah, stop judging them if they are making mistakes. Mereka terpaksa melalui kehidupan yang cukup payah, di luar kemampuan kita mungkin. Stop judging, start loving. Do our part, help them, love them, guide them. Mereka insan2 istimewa kesayangan Allah, siapalah kita untuk menilai. Semoga kita jadi insan yang lebih bersyukur dengan nikmatNya insyaAllah...
No comments:
Post a Comment