... I am A restless brain ...

Tuesday, October 16, 2012

..judgemental.. ( SATU : Kisah Nora )

Assalamualaikum,


Selepas insiden yang baru berlaku, to be honest, aku rasa janggal sedikit ketika ingin melakar entry seterusnya. Maklumlah, sekuat dan segagah aku pun, hati wanita, kalau di'cedera'kan, lambat juga mahu sembuh dan melupakan. (^_^) Tapi tidak sedikit pun aku menanam kemarahan atau sekelumit kebencian. Ingin aku mencontohi sabar dan murninya jiwa Rasulullah, ketika baginda menghadapi penduduk Taif yang menjamu tubuh baginda dengan lemparan batu, tapi subhanallah, baginda menyambut kelakuan itu dengan sepotong doa untuk mereka;

“Ya Allah berilah hidayah kepada kaumku sesungguhnya mereka tidak mengetahui “

Aku tidak mungkin dapat menjadi sepertimu Ya Rasulullah, tapi sedayanya aku akan mengikut jejakmu. Aku rindu.. (T_T)


Pesan ibu, api lawannya air. Benci lawannya kasih sayang. Sekiranya seseorang melempar cela kita jangan melawan, kita balas dengan senyuman. Sekiranya kita membalas dengan celaan juga, kita tidak ubah seperti mereka. Tapi jangan biar diri dipijak, teguh mempertahankan dengan cara yang bijak dan teratur.


Apa yang telah berlaku tidak akan mematahkan semangat aku untuk terus menulis. Apa yang paling penting, aku tahu nawaitu aku dalam setiap penulisan, aku berharap aku dapat berdakwah melaluinya, biarpun aku sedar, siapalah aku, insan penuh kekurangan dan kelemahan. Namun berbekal ilmu yang sedikit dan pengalaman yang tidak seberapa, aku berkongsi cerita. Allah lebih mengetahui, apa yang tersembunyi dalam setiap hati.


Tapi terima kasih kepada insan itu, dek kejadian itu, aku mendapat ilham mengisi ruang daif ini yang telah lama sunyi tanpa sebarang luahan minda. Pada entry kali ini aku ingin garapkan beberapa kisah2 benar bersandarkan tema , "being judgemental." Kisah2 yang aku ceritakan benar2 berlaku, tapi mungkin aku terpaksa olah sedikit untuk menjaga beberapa perkara. Namun intinya tetap sama, malah dari kisah2 inilah aku belajar untuk memahami masyarakat yakni mengenali manusia bukan hanya dari kaca mataku sahaja, tetapi menerusi hati.


Kisah Satu : Kisah Nora



..... Siapa yang tidak kenal pada Nora, gadis paling hot dalam sekolah. Dia bukan sahaja memiliki paras rupa yang cukup menawan, dia juga anak orang kaya berasal dari Kuala Lumpur. Lihat saja barang2nya, semua stok2 branded belaka, tak mainlah barang2 pasar malam. Kalau setiap hujung minggu, kereta Noralah yang paling mahal memasuki perkarangan asrama, siap dengan driver. Minta apa saja, permintaan Nora pasti dipenuhi.

..... Peminat Nora? Jangan ceritalah, bersusun dan beratur panjanglah jejaka2 sekolah yang tergila2kan dan mahu memiliki Nora. Kalau katalah ada request2 hantar2 cokelat anjuran persatuan, Noralah akan jadi penerima cokelat terbanyak. Kalau nak diundi wanita paling cantik, maka Noralah penerima anugerahnya. Di mata semua orang, hidup Nora memang cukup sempurna, tanpa sebarang cela. Nora oh Nora.


..... Maka biasalah, bila dah cukup serba serbi, pastilah ada yang iri hati. Kalau sang lelaki semuanya memuja, boleh tekalah apa reaksi 'rakyat jelata' sekolah bergelar wanita. Ramai yang iri hati, tak kurang juga yang mengutuk mengeji. Apatah lagi Nora memang cukup terkenal kerana Nora memang cukup seksi, terutamanya di luar sekolah. Nasib baiklah dalam sekolah semuanya wajib bertudung, kalau tak entah lagi teruklah kutukan dan kritikan terhadap Nora. Tapi yang aku peliknya, Nora tahu saja ramai yang mngkritik penampilannya, malah ada juga yang sound direct to the face apatah lagi dalam usrah2 dan ceramah2 agama. Lebih2 lagi satu sekolah tahu sebelum masuk ke asrama Nora tidak berapa pandai nak solat, apatah lagi mengaji. Nora tidak pernah ambil kisah. Nora hanya buat tak tahu. Bukan sekali dua Nora disindir sinis dalam majlis2 agama. Aku masih ingat satu dialog dalam sebuah majlis usrah yang diadakan di asrama, " Tak guna muka saja lawa, harta berjuta2 tapi miskin agama". Ketika itu semua memandang Nora sinis. To be honest, aku memang tak setuju dakwah disampaikan dengan cara sebegitu, tapi entahlah, aku pun tidak pasti kenapa ketika itu aku tidak bersuara.


Kadangkala ada yang menggelar2 Nora dengan nama2 yang tidak elok, Nora abaikan saja. Tetapi bagusnya Nora, biarpun ramai lelaki yang terhegeh2 menagih cintanya, nora tidak pernah melayan. Dan tidak pernah pula aku lihat Nora bertindak memarahi dan mengutuk kembali rakan2 yang melukai hatinya. Nora bagi aku seorang gadis yang agak pendiam dan perahsia, kawan pun tak ramai. Selain daripada the fact that dia anak orang kaya dan berasal dari kuala lumpur, tak ramai yang tahu lebih lagi tentang dirinya. Tentang pelajarannya, Nora seorang pelajar yang sederhana saja.


Pada ketika itu, selepas menang pilihanraya Student Union, aku telah dilantik menjadi Timbalan Ketua Pelajar, ketika itu aku tingkatan tiga (sekolahku hanya ada menengah rendah). Tidak pernah pun aku mendamba posisi itu, namun dengan takdirnya, aku kini bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan dan menjadi orang kanan kepada pengetua yang menyalurkan suara pelajar. Jadi, pada ketika itulah, aku banyak mengetahui dengan lebih dekat rakan2 seperjuangan aku disitu. Tentang Nora, aku tidak ambil port sangat. Dia pun bukan sekelas dengan aku. Aku lebih senang menjadi pemerhati bebas dengan segala ragam dan cerita luar dan dalam asrama. Jujurnya, aku juga cukup kagum dengan kesempurnaan hidup yang dimiliki Nora. Iyalah, orang cantik kan, kaya pula tu. Aku pula, tahap so so saja haha


Sewaktu di tingkatan 3, ditakdirkan, bilik aku terletak tidak jauh dari bilik Nora. Sejak aku kecil, cita2 nak jadi a samad said, menjadi pemikir dan pemerhati bebas. Sejak itu jugalah aku mula memerhatikan siapa Nora yang sebenarnya. Kebetulan pula pagi2, aku dan Nora punya persamaan, kami memilih untuk mandi awal sekitar 5.45 pagi, so aku selalu bertembung dengan Nora. Nora setiap kali bertembung dengan aku, dia tidak pernah lokek senyuman. Aku pula jenis yang mesra alam, jadilah disitulah terbinanya sebuah ikatan persahabatan antara aku dan Nora. Aku jenis yang memang tak reti bergeng2 sejak bangku sekolah, so mudah sahaja untuk aku rapat dengan Nora.


Hari demi hari, aku semakin mengenali Nora. Disinilah aku mula menyedari disebalik 'kesempurnaan'nya yang dicemburui ramai itu, tersimpan sebuah rahsia yang terlalu pedih, yang Nora simpan kemas di sebalik seraut senyumannya yang cukup manis. Patutlah Nora selalu saja mengelak soalan2 yang aku ajukan tentang keluarganya, Nora sebenarnya sedang menanggung beban yang tidak tertanggung, aku juga mungkin tidak akan setabahnya yang sentiasa tersenyum walau apa jua kejian yang rakan lain lemparkan kepadanya.


Nora, tidak pernah bercerita tentang keluarganya walaupun hubungan kami semakin rapat. Aku juga tidak suka memaksa, aku yakin sekiranya Nora memerlukan aku dan bersedia untuk bercerita, dia akan dengan rela membuka semua rahsia hidupnya. Sehinggalah pada suatu petang ahad, disaat semua pelajar pulang dari rumah mereka dan kembali ke asrama, ketika itu aku sudah tiba awal dan aku mengambil kesempatan itu untuk membasuh baju ku yang bertimbun2. Sedang aku seronok bernyanyi sambil menyental bajuku disinki, Nora tiba2 datang padaku dan menangis. Aku tidak pernah lihat Nora menangis sebegitu sekali, pada aku Nora memang sentiasa tersenyum.


Aku pegang tangan Nora perlahan menarik dia ke tangga belakang asrama berdekatan dengan dewan. Disitulah kami selalu bersembang2 santai setiap petang. Nora masih tak henti menangis, sampai merah lebam wajahnya yang sememangnya putih melepak itu. Aku duduk diam disebelahnya, menunggu hingga tangisannya reda. Biarlah dia melepaskan semua air matanya yang sarat itu, dan aku masih sabar memrenung wajahnya. Mengapa Nora? Aku masih tertanya2.


Perlahan ketika itu, Nora membuka cerita. Agaknya sudah tidak tertanggung lagi beban yang dipikul hati gadis remaja berusia 15 tahun itu. Membuka kisah hidupnya yang dianggap 'sempurna' itu, tetapi penuh kisah duka luka.


Ya, keluarga Nora memang kaya raya. Apa saja yang Nora minta, semuanya dia dapat. Tapi hakikatnya, hidup Nora tidak seindah disangka. Nora dibesarkan dalam sebuah keluarga yang tiada langsung nilai Islam. Dia dibesarkan dalam keadaan tidak mengenali agamanya sendiri. Solat tidak pernah, al quran pun dia tidak kenal sebelum dia masuk ke sekolah ini. Ayahnya memang berstatus tinggi dan kaya, tapi ayahnya jauh terpesong dari agama. Ibunya pula seolah tidak berdaya, menurut saja perintah ayah Nora. Kadangkala ibunya dimaku hamun sekiranya tidak menurut perintah.


Mengapa Nora berpakaian seksi? Bukannya Nora tidak pernah terlintas untuk bertudung dan menutup aurat seperti orang lain. Malah ibunya juga cuba untuk menutup aurat. Tetapi yang jadi masalahnya, ayahnya menentang keras keinginan mereka dan bertindak melarang mereka untuk bertudung. Ayahnya lebih suka Nora berpakaian cantik dan bergaya dengan fesyen2 remaja terkini. Nora sambung bercerita, dengan suaranya yang tenggelam timbul. Lebih menakutkan, menurut Nora, ayahnya suka mengajak Nora keluar berdua, dan apabila mereka keluar berdua, mereka kelihatan seperti pasangan kekasih, sambil ayahnya memeluk pinggang Nora di khalayak ramai. Nora selalu cuba untuk menolak, tapi apakan daya, ayahnya terlalu berkuasa pada dirinya. Apa kuasa Nora. Nora hanyalah anak gadis yang masih di tampung hidup oleh ayahnya.


Makin Nora meningkat dewasa, keadaan jadi lebih menakutkan. Ayah Nora, kerap benar minum arak. Setiap malam, Nora akan dilanda sejuta ketakutan. Setiap malam apabila ayahnya pulang dari kelab, ayahnya akan balik dalam keadaan mabuk, dan setiap kali itulah ayahnya akan mengetuk2 pintu bilik Nora minta dibuka. Tapi Nora tak pernah buka. Nora takut. Nasib baiklah Pak Mat tukang kebun Nora sentiasa menyelamatkan keadaan. Pak Mat selalu membantu ibu Nora bawa ayah pulang ke bilik tidur mereka. Ibu pula sering jadi mangsa amarah dan pukulan ayah. Pernah sekali apabila ayahnya mabuk, ayahnya telah mengoyakkan semua buku2 sekolah Nora, dan Nora telah dimarahi teruk oleh gurunya di sekolah. Nasib baik hingga hari ini, Nora masih tidak diapa-apakan. Nora tidak melawan atau cuba membuat laporan polis untuk melindungi ibunya, dia tidak mahu ibunya diapa2kan.


Biarpun aku bersahabat baik dengan Nora, aku secara jujurnya memang tidak berkenan langsung dengan cara Nora berpakaian, terlalu seksi bagi aku. Bukan apa, aku bimbang dia diapa2kan lelaki yang menagih cintanya. Sepanjang persahabatan kami, aku selalu saja menegur, ketika itupun aku adalah salah seorang naqibah disekolah, jadi Nora faham sahaja niat aku dan Nora sentiasa mendengar.Tapi Nora masih tetap begitu. Selesai aku ber'ceramah' dengannya dia hanya tersenyum dan membalas, "Doakan aku". Aku juga membantunya dalam perihal solat dan membaca al quran. Jujur kadangkala aku stress juga mengajar Nora membaca al quran kerana seolah aku mengajar budak berusia 4 tahun mengaji, lebih2 lagi ketika itu PMR hampir menghampiri, tapi aku kuatkan hati. Siapa sangka, lain kisah disebalik Nora yang berada dihadapanku ini. Aku yang mendengar kelu, perasaanku bercampur baur. Nora, bagaimana selama ini kau mampu berdiam diri dan memendam segalanya sendirian.. Oh Nora..


Sejak peristiwa itu, pandangan aku terhadap Nora berubah 360 darjah. Aku terkilan kerana suatu masa dahlu, aku juga pernah mempunyai tanggapan buruk terhadap Nora. Aku juga kesal kerana membiarkan orang2 lain bertindak kejam ke atas Nora. Aku kesal membiarkan ahli2 naqibah lain bertindak sinis pada Nora dalam setiap majlis agama tanpa cuba mengenalpasti masalah sebenar Nora. Tanpa disedari, seluruh sekolah telah menganiayai dan bertindak kejam terhadap Nora.


Sejak peristiwa itu juga cara aku memandang manusia berubah. Ibu selalu berpesan kepada aku sewaktu aku kecil yang kita harus baik kepada semua orang, tak kira serendah mana pun mereka dimata masyarakat. Waima mereka hanyalah seorang pengemis. Kerana setiap insan mempunyai hati dan perasaan yang harus dijaga. Mereka juga boleh terluka. Tapi sebenarnya kebanyakan dari kita lupa fakta yang semua insan darjatnya sama saja disisi Allah, tak kira yang kaya atau yang miskin, yang membezakan setiap dari kita ialah iman dan taqwa. Malulah kita kalau kita masih berjalan angkuh di atas muka bumi dan merasakan kitalah yang paling sempurna.


Salah satu norma dalam masyarakat kita ialah kita selalu bersangka2. Dalam kehidupan seharian yang kita lalui, kita mudah sekali menilai orang lain. Dengan sekali pertemuan kita mudah melabel orang itu dan ini. Siapa tahu orang yang nampak sombong itu mungkinkah berhati dermawan, yang nampak diam itu mungkinkah dirinya khusyu' meniti butiran zikir, orang yang berpakaian lusuh dan sederhana mungkinkah mereka bersifat wali. Teringat aku sewaktu jaulah aku ke Mesir, seorang ustaz berpesan kepada kami, "Jangan kita ambil enteng kepada pengemis dan orang2 yang berpakaian lusuh di tepi2 jalan di tanah Mesir, ramai antara mereka ialah wali Allah".

Apa yang kita harus memahami dengan umur yang Allah s.w.t berikan ini kita sebenarnya even masih belum dapat mengenali diri kita sendiri, justeru itu bagaimana pula dengan waktu yang singkat kita boleh sewenang2nya tega menilai orang lain. Tambahan lagi penilaian kita terkadang hanyalah sebuah refleksi dari paradigma kita sendiri untuk emenuhi kehendak manusiawi yang suka berteka teki. Maka yang paling layak membuat penilaian ialah Allah s.w.t, kerana Dia bukan sahaja mengetahui apa-apa yang dilakukan oleh manusia malah apa yang difikirkan termasuk segalanya yang ada dalam naluri manusia yang kadangkala tidak kita sedari.

Melalui nota cintaNya:
“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya
dan Kami lebat dekat kepadanya daripada urat lehernya.” ( Surah Qaf : 16 )


Lagi satu point yang aku sangat nak utarakan ialah, ingatlah, tak semua dari kita cukup bernasib baik dibesarkan dalam didikan agama. Tak semua dari kita dibesarkan dalam keadaan yang selesa dan sempurna. Setiap manusia mempunyai cerita dan kisah disebalik siapa mereka pada hari ini. Sekiranya kita melihat sesuatu yang amat salah dimata kita, dan menjadi tanggungjawab kita untuk menegur, buatlah dengan cara yang betul dan berhikmah. Aku masih begitu cinta dengan kisah Rasulullah dengan yahudi but. Kepada yang tidak tahu sila google (^_^). Setiap kali aku hendak berlaku tidak elok dengan orang yang menyakiti aku aku selalu peringatkan diriku dengan kisah ini. Aku rasa malu pada diriku sendiri dan malu pada Rasulullah sekiranya aku bertindak mengasari orang yang menyakiti aku. Mengapa Rasulullah yang sehabat2 manusia itu boleh bersabar dan mengapa bukan aku?


Apa yang penting yang kita harus ingat ialah yang hukum tetap hukum. Yang salah tetap salah. Dalam hal Nora, biarpun aku tahu kisahnya yang sebegitu, aku tidak akan biarkan Nora terus hanyut dalam dunia tanpa keindahan Islam. Aku tetap akan membantu Nora mempertahankan auratnya. Aku tetap akan membantu Nora memperindahkan solat dan bacaan al qurannya. Dari segi aurat contohnya ramai yang menjadikan keadaan sebagai alasan. Contohnya;


'Keluarga memang tak bertudung, jadi perlukan masa untuk bertudung'.

'Masih belum bersedia untuk bertudung, nak pakai tudung kena dari hati. Nanti bila dah betul2 bersedia barulah boleh pakai dan tak buak2 lagi'.


Harus diingat, lebih2 lagi apabila kita jelas dengan hukum dan perintah Allah tentang isu ini, dan kita sudah cukup dewasa untuk membuat pilihan tanpa halangan orang lain, alasan MASA dan BELUM BERSEDIA sudah tidak lagi relevan. Apa jua keadaan, hukum tetap ditegakkan. Kita tidak boleh mem'fleksible'kan agama mengikut kemahuan kita. Lagipun, mahukah kita mati dalam keadaan kita mengingkari arahannya. Bagaiamana kalau belum sempat sedia, ajal sudah menjemput. Dalam soal hukum agama, yang salah tetap salah.


Lagi satu contoh yang amat aku suka kaji ialah kita lihat dalam masyarakat kita, ramai yang melacur untuk menyara keluarga, terutamanya golongan ibu tunggal yang tidak berpendidikan dan miskin. Tindakan mereka melacurkan diri ternyata amat salah disisi agama, tiada kompromi. Tapi yang boleh membezakannya ialah cara kita memahami isu ini. Bukannya apabila kita bertemu pelacur kita sudah mengutuk, mengeji dan melabel mereka sebagai 'ahli neraka'. Tindakan kita tidak membantu sama sekali. Siapa tahu mungkin wanita itu telah dipaksa untuk melacur sejak kecil, diugut, dipaksa dan sebagainya. Sudahlah kita tidak membantu malah kita memburukkan keadaan. Ya, kita harus tegas hukum nya ialah haram, tapi perlahan2 kita fahamilah apa sebenarnya yang menyebabkan mereka jadi sebegitu dan bantulah mereka tanpa menilai dan menghukum. Please, stop being judgemental. Seorang pendakwah tidak harus cepat menilai malah mereka akan membuka ruang yang luas untuk seseorang berkongsi masalah dan mendapatkan tunjuk ajar.


Allah mendatangkan ujian kepada setiap manusia dengan cara yang berbeza. Harus diingat biarpun kita lahir dalam Islam, kita tidak semestinya mati dalam keadaan Islam. Kemiskinan ialah ujian, kesenangan juga ujian. Jadi sebagai orang yang diberi banyak kelebihan, saya ambil contoh diri saya, alhamdulillah saya diberi keupayaan akal yang tinggi, keluarga yang sempurna, ilmu agama, jadi tugas saya ialah untuk membantu orang2 yang tidak mendapat apa yang saya dapat pada hari ini. Kita semua bertanggungjawab untuk membantu. Nikmat yang diberi itu bukan hanya untuk manfaat diri sendiri, tapi jadilah tangan sentiasa memberi, hati yang sentiasa terbuka. Sedangkan Allah bersifat Pemurah tetap memberi rezeki kepada orang menyekutukannya yakni orang2 kafir, apatah lagi kita sesama Islam. Malulah pada diri sendiri sekiranya kita tega menghina mengeji orang lain tanpa mengenali dan meneliti setiap yang terjadi.


Berbalik pada kisah Nora, bila kami tamat PMR, aku melanjutkan tingkatan atas aku di mrsm jasin. Nora pula tidak berapa cemerlang dalam PMR dan dia menyambung pelajarannya di sekolah biasa. Pada awal perpisahan kami masih berhubung, tapi semakin lama kami lost contact. Nombor telefonnya sudah berubah. Pernah aku cuba menjejaki Nora tapi gagal. Nora hilang dari hidup aku tanpa khabar berita. Aku hanya mampu mendoakan Nora sentiasa dilindungi dibawah lindngan rahmat kasih sayangNya. Aku akan tetap sentiasa mendoakan Nora.


Aku berharap coretanku memberi manfaat kepada semua yang membaca. Yang baik dari coretan ini bawalah, yang buruk tinggalkanlah. InsyaAllah kalau diberi kekuatan aku akan ceritakan dua lagi kisah.

Okay, kelas dah nak start balik. wassalam (^_^)




























































No comments: