Assalamualaikum,
fosterbrook neighbourhood, 1.01 petang.
Hari minggu yang sentiasa dinanti, selamat datang. Indah, aku duduk santai merenung jauh menembus jendela, menghayati biru langit tenang, bersama secawan aiskrim mintilicious. Subhanallah, terima kasih atas nikmat kehidupan sehari lagi bonus buat kami bernafas dibumiMu ini. Alhamdulillah.
Aku sangat sibuk kebelakangan ini, seminggu baru memulakan dunia obstetric dan gynaecology. Sangat hectic, sangat meletihkan. Percaya atau tidak, kedua-dua kakiku sakit-sakit lenguh dah seperti orang tua dah gamaknya. Agaknya tubuhku terkejut dengan kesibukan luar biasa yang memerlukan aku berlari-lari dalam scrub biru dari bilik bedah, ke ward, ke klinik, ke bilik bersalin, ke ruang lectures tanpa rehat. Confirm, to consider this area as my sub-specilaties later on, is really less likely! ^-^
Jumaat lepas, setelah habis saja tugas sepanjang hari, aku pulang dengan langkah lemah. Di fikiran hanya terbayang tilam empuk dan laptop miniku. Mahu tidur sepuasnya. Lama juga aku menunggu bas untuk pulang. Setelah 20 minit menunggu, bas tiba dan berpusu-pusulah manusia menempuh masuk ke perut bas. Sebaik aku melangkah masuk, aku mengerling sekilas kepada pemandunya. Pemandu bas tersebut seorang wanita umur pertengahan, berwajah lesu dan jelas kelihatan kedut-kedut usia di wajahnya. Melontar senyuman longlai kepada penumpangnya.
Selalunya aku akan memilih untuk duduk di tingkat atas, mengelak dari kepadatan menusia di tingkat bawah bas yang kebanyakan orang tua yang tidak mampu naik ke tingkat atas, dan yang lainnya menuju pulang ke rumah setelah bekerja seharian di kota dublin ini. Namun entah mengapa hari ini, aku memilih untuk berdiri di suatu sudut bas, dari mana aku bisa memerhatikan pemandu wanita tadi. Biasalah aku ni, serupa A. Samad Said dah gamaknya, seorang pemerhati dan pemikir. Merubah pemandangan simple menjadi complicated. Memandang manusia menembusi pandangan mata kasar. Meneroka yang rahsia, menyelongkar yang tersembunyi. Kerana KEHIDUPAN, terlalu dalam ertinya untuk didefinisikan.
Sepanjang 30 minit perjalanan aku untuk tiba ke rumah, sepnajang itu jugalah aku merenung tajam pemandu bas wanita tadi. Kulihat jelas wajahnya dari sebuah cermin belakang yang berada dihadapannya. Untuk seorang wanita pada umurnya, sudah tentu memandu bas dua tingkat begini bukanlah suatu perkara yang mudah. Kelihatan otot-otot di tangannya yang sudah timbul, yang tidak sepatutnya ada pada tangan seorang wanita yang seharusnya lembut dan rapuh, halus sekiranya disentuh. Manik-manik peluh sudah bergabung mengalir dari dahi ke dagu, disapu pantas. Sesekali aku lihat pemandu wanita itu mengeluh-ngeluh, sewaktu gagah dia memutar stereng sebesar diameter sebuah tayar itu. Dan tidak henti-henti dia merenung ke arah handphonenya yang terletak tidak jauh dari tempat pemandu. Mungkin merenung waktu, atau mungkin menunggu panggilan. Siapa tahu?
Disebalik raut wajahnya yang biasa, aku tahu wanita ini menyimpan seribu satu rintangan hidup. Jika tidak, mengapa akhirnya dia terpaksa menjadi seorang pemandu dublin bas yang kebanyakannya terdiri daripada kaum lelaki. Lagipun untuk umurnya, aku merasakan beliau sudah terlalu tua untuk membawa bas sebesar itu. Pasti sangat meletihkan, tiada keraguan. Namun aku pasti, pasti ada desakan yang melewati kemampuannya, ada suatu keprluan yang memaksanya bekerja begitu.
Wanita ini pastinya ibu kepada seseorang. Pasti dia terpaksa bekerja demi menyara anak-anak nya. Benar, tangan yang lembut menghayun buaian bisa menggoncang dunia. Jangan pernah bayangkan kekuatan dan apa yang bisa dilakukan oleh seorang ibu demi untuk membesarkan dan melindungi anak-anaknya!
Sebenarnya setiap kali aku terpandang seseorang yang begini, atau orang-orang tua yang terbiar meminta sedekah di jalanan, aku selalu tertanya-tanya, dimanakah gerangannya anak-anak mereka? Mengapa tega benar dibiar ayah dan ibu yang telah tua itu terbiar tanpa perlindungan. Terpaksa bekerja menyara hidup sewaktu kudrat tidak lagi segagah belia. Tidak kasihkah kita? Tidak sayangkah kita? Aku selalu bersetuju dengan kata-kata. " Seorang ibu dan ayah bisa menjaga sepuluh orang anak, tapi seorang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu dan ayah".
Kerana itu aku selalu mendidik adik-adikku, supaya menghormati orang-orang tua waima mereka hanya seorang peminta sedekah. Selalu aku memberi peluang kepada adik-adik kecilku untuk menjadi tangan yang memberi duit ke dalam cawan lusuh seorang peminta sedekah supaya mereka belajar menjadi tangan yang memberi, bukan yang asyik menerima. Biar mereka belajar bertanggungjawab kepada insan yang bukan ahli keluarga mereka. Bagi aku, setiap kali aku lihat orang-orang tua itu terdampar di lorong-lorong kotor, aku membayangkan apakah sekiranya satu hari nanti sekiranya aku mati, ibu ayahku menjadi begitu. Namun sudah pasti selagi aku dan adik beradikku hidup tidak sesekali kami benarkan ibu dan ayah kami bernasib sebegitu! nauzubillah, lindungi kedua ibu bapa kami dan ibu bapa seluruh dunia Ya ALLAH!
Sahabat, kadang-kadang kita terlalu asyik dengan dunia kita sendiri sehingga kita lupa bahawa kehidupan bukanlah sesuatu yang mudah dan ringkas. Sekiranya kita sedar, dalam hidup ini, kita di perkasa dan dilengkapi dengan berbagai-bagai tanggungjawab. Bukan saja tanggungjawab kita kepada diri dan keluarga tapi juga kepada agama dan masyarakat. Kerana itu aku selalu berimpian, untuk menjadi seseorang yang sentiasa dapat memberi agar bukan aku saja yang dapat menghayati erti kebahagiaan, tapi semua insan!
Apabila aku melihat orang lain, aku tahu, kisah kita tidak sama. Kita diuji dengan ujian yang berbeza. Aku teringat suatu ketika dahulu, aku pernah bersembang dengan seorang sahabat, aku katakan;
" Seorang pelacur itu belum tentu keji, mungkin dia sebenarnya lebih mulia dari kita! "
Dan sahabatku tadi melenting sakan membantah mengeluarkan ayat al quran dan nas, membuktikan betapa kejinya seorang pelacur itu. Aku tidak katakan melacur itu mulia atau dibenarkan atau tinggi darjatnya. Melacur memang sesuatu yang berdosa besar, tiada keraguan. Tetapi aku bukanlah orang yang suka melabel seseorang itu keji, jahat atau ahli neraka. Aku bukan orang yang suka menghakimi dan menjatuhkan hukuman sebelum aku mengetahui siapa dan latar belakang seseorang.
Siapa tahu, wanita itu melacur kerana dia dipaksa atau di ugut. Siapa tahu, wanita itu melacur kerana tidak tahu lagi cara lain untuk memberi sesuap nasi kemulut anak-anaknya yang kelaparan dirumah. Siapa tahu dia terpaksa terjun kedunia itu tanpa rela. Siapa tahu dia dijual oleh keluarganya sendiri. Siapa tahu dia terperangkap. Siapa tahu pelacur itu menjalani kehidupan seperti neraka, namun solat sujudnya setiap malam menangisi ketakutan menghadapi api neraka!
...Kerana cerita kehidupan kita tak sama, perjalanannya berbeza. Jadi apa hak kita untuk menghukum dan menjatuhkan label kepada seseorang? Apa yang membuat kita begitu pasti bahawa kita lebih mulia dari mereka?
Hanya Allah yang tahu segala cerita.. Hanya Allah yang tahu setiap mata yang menangisi dosa-dosanya..Hanya Allah tahu bibir mana yang tidak putus menyebut asma'nya.. Hanya Allah tahu, tangan mana yang tidak putus-putus menginfakkan hartanya..Hanya Allah tahu, dahi mana yang setiap malam sujud mengharap keampuannya.. Hanya Allah tahu hati mana yang setiap detik tidak putus merindui Tuhannya.. Ya, mungkin kita rasa kita orang agama, mulia. Tapi adakah mata kita mampu menangisi ketakutan seksa api neraka? Belum tentu.
Sahabat, jangan mudah menghukum atau melabel atau menghakimi orang lain. Cerita kita semua tak sama. Mungkin seseorang itu jahat diluarnya, namun kisahnya tiada siapa yang tahu. Kita melihat dunia, jangan hanya menggunakan mata kasar, kita gunakan mata hati. Setiap dari kita mampu menjadikan dunia ini lebih baik untuk dihuni.Hakikatnya manusia semuanya sama saja di mata Allah, yang membezakan kita adalah keimanan dan ketaqwaan padaNya. Dan kita juga tidak akan pernah tahu tahap ketaqwaan seseorang. Tidak semestinya wanita bertudung labuh itu lebih tinggi taqwanya dari wanita yang bertudung biasa. Semuanya rahsia Allah.
Berbalik kepada kisah pemandu bas tadi yang telah membawa aku jauh berfikir. Sebenarnya apabila aku melihat wanita ini, aku membayangkan sedihnya sekiranya ibuku yang terpaksa memandu bas sepertinya. Namun aku akan pastikan ibu dan ayah akan meniti hari-hari tua mereka dengan rehat santai sahaja, kerana aku dan adik beradikku akan menjaga mereka sebagaimana mereka telah membesarkan kami dengan sempurna. Aku panjatkan syukur kepada Allah kerana telah memberikan aku keupayaan untuk pergi sejauh ini, insyaAllah setahun lagi dengan izinNya aku akan bergelar seorang doktor perubatan, dan sedikit lagi aku akan sudah mampu menampung sepenuhnya ibu dan ayah. Supaya jalan cerita kami, sentiasa berkisarkan senyuman ibu dan ayah.
Walau cerita kita tidak sama, namun aku sentiasa mendoakan semua ibu dan ayah seluruh dunia bahagia dunia akhirat!
p/s ; maaf, aku seorang pemikir. Maaf menjadikan suatu fenomena biasa menjadi sebuah entry.
"Bertafakkur dan berfikir sejenak itu lebih baik dari beramal sepanjang malam. "
Jom layan lagu faveret ku ini yang bait lagunya terlalu bagus dan indah untuk dihayati!
No comments:
Post a Comment