... I am A restless brain ...

Tuesday, November 29, 2011

Kau bukan suamiku 2..(Antara istana dan syurga,aku pilih syurga)

Assalamualaikum..

Fosterbrook neighbourhood, 7.40 malam.

SAMBUNGAN kepada ; Kau bukan suamiku 1..(Antara cinta dan taqwa,aku pilih taqwa).

Seperti yang aku janjikan dalam entry sebelum ini, aku hanya ingin menitipkan mengapa cinta-cinta zaman kini banyaknya menuju kehancuran masyarakat..Cinta yang seharusnya menjadi damai dan aman telah menjadi racun..

Sebelum jari jemari ini menari dengan lebih ligat di atas papan kekunci ini, ingin aku nyatakan apa sahaja yang aku coretkan di dalam entry ini hanyalah pendapat peribadiku berdasarkan apa yang telah aku lihat dan pengalaman peribadiku yang tidak seberapa. Aku insan yang tidak lekang dari dosa dan penuh kelemahan. Namun aku rasa sudah menjadi tanggungjawab setiap dari kita untuk saling berkongsi dan memperingatkan insyaAllah, dengan izin dariNya jua..


Aku suka benar kepada lagu nasyid ini, "Kerana cinta". Bait-bait rangkapnya, sungguh mengusik perasaan.



"Cinta itu cahaya sanubari, kurniaan Tuhan fitrah insani, dan dimana, terciptanya cinta disitu rindu bermula..."

Tapi kenapa zaman kini terlalu banyak cinta manusia yang terlalu pelik dan luar biasa, melampaui batas yang sepatutnya? Aku sedang menetap di bumi Dublin. Sudah empat tahun aku hidup di perantauan, sudah masak benar aku dengan kerenah mat saleh dan gaya hidup mereka. Apakah erti cinta untuk mereka, aku kurang pasti. Apabila aku bercerita tentang cinta seorang muslimah dalam Islam itu hanya untuk lelaki bergelar suami, mereka gelakkan aku. Masing2 mereka kebanyakannya pernah tidur bersama kekasih hati mereka. Bila aku bertanya adakah kekasih mereka itu adalah bakal teman hidup mereka, mereka kata, tengoklah dulu..aiyooo...Seks bebas tanpa nikah sangat berleluasa. Setiap hari aku terjebak melakukan dosa mata dek kerana pakaian mereka yang terlalu seksi, menggoncang iman setiap yang memandang. Jika aku sudah begini apatah lagi kaum adam yang menuntut disini. Hanya iman sahajalah yang mampu menjadi benteng yang memelihara mereka dari mendekati zina. Tidak cukup dengan itu, ketika aku berada didalam bas atau kapal terbang boleh pula pasangan2 kekasih mat saleh ini bercumbu-cumbuan dan berasmaradana dikhalayak ramai.Tanpa segan silu atau rasa malu. Lebih-lebih lagi aku tidak lama lagi insyaAllah dengan izin Allah akan bergelar doktor. Setelah masuk clinical aku selalu juga terpaksa melihat aurat orang lain sewaktu surgery ataupun pemeriksaan diklinik. Benar2 menduga keimanan sebagai muslim. Apatah lagi ramai antara kami yang masih belum berumahtangga.

Tidak payah jauh-jauh kebumi barat, Malaysia juga sedang dengan semangatnya ingin menyaingi dunia barat dalam hal ini. Pakaian masyarakat Malaysia pun sudah tidak jauh beza dengan dengan gadis2 mat saleh. Seronok benar kaum-kaum adam menjamu mata melihat kulit putih bersih sang hawa sambil mula membayangkan fantasi yang jahat. Dari itu timbullah nafsu serakah yang banyak menggadai maruah gadis-gadis muda antara kita. Semuanya dikatakan kerana cinta..Cinta..Cinta..Ya Allah, jauh sungguh kami dari agamaMu..

Salah siapa semua ini berlaku.. Salah siapa peningkatan seks luar nikah semakin naik mendadak.. Salah siapa ramai anak-anak muda tanpa segan silu menjadi pembunuh bayi yang mereka sendiri lahirkan.. Salah siapa seks bebas bukan lagi menjadi perkara luar biasa di Malaysia.. Salah siapa?

Seperti aku katakan, aku pernah merasai bagaimana rasanya dicintai. Sungguh rasanya begitu manis, sehinggakan sekiranya benteng diri tidak cukup kuat, cinta ini mampu mengheret kita kekancah dosa. Ia mengkhayalkan dan melalaikan. Jadi berhati-hatilah apabila kita jatuh cinta. Cinta yang sejati hanya lah cinta yang halal yakni selepas perkahwinan, cinta buat lelaki bergelar suami. Jangan mudah menyerahkan mahkota paling berharga itu demi memenuhi hasrat lelaki yang tidak benar-benar menyayangi kita..

Ketahuilah bahawa apa yang telah berlaku hari ini adalah salah setiap seorang dari kita. Apabila manusia tidak lagi berpegang pada hukum hakam Allah, kerana itulah manusia semakin jauh dari jalan yang sepatutnya. Aku tidak menyalahkan remaja-remaja ini seratus peratus. Aku percaya mereka juga sebenarnya tidak mahu diri mereka jadi begitu. Jadi setiap dari kita seharusnya buka minda dan fikirkan semula mengapa semua ini terjadi. Berhentilah menyalahkan orang lain dan berhentilah menjadi self-centered. Ini bukan masalah individu itu sahaja, ini masalah ummah.

Yang pertama, masalah keruncingan sosial dewasa ini adalah kerana runtuhnya institusi kekeluargaan. Teringat aku kata-kata Nouman Ali Khan, seorang pendakwah bebas dari United States. Katanya, institusi kekeluargaan sangat penting untuk melahirkan seuah masyarakat yang unggul. Kerna itulah wahai sahabatku yang dikasihi. InsyaAllah sekiranya sudah tiba masa untuk para sahabat memilih teman hidup, pilihlah mereka kerana agamanya. Kerana ingatlah, pasangan anda itu akan menjadi ayah atau ibu kepada anak-anak yang bakal dilahirkan. Pilihlah seorang ibu yang dapat melahirkan putera dan puteri yang bakal mewarisi perjuangan Islam. Yang dapat menyayangi dan mendidik anak-anak dengan sebaiknya, mendidik akhlak mereka, mendidik sahsiah dan peribadi yang mulia.. Remaja yang terlanjur atau yang bermasalah biasanya datang dari broken family, atau keluarga yang terlalu sibuk bekerja. Apabila mereka kurang kasih sayang dari keluarga, mereka akan mencari kasih sayang di luar rumah. Cinta itu fitrah, diperlukan oleh setiap manusia. Dari situlah lahirnya cinta-cinta sehingga tersilap langkah. Bagiku, mereka tersilap langkah bukan salah mereka sepenuhnya. Seharusnya mereka itu dijaga dan dipantau oleh keluarga yang sepatutnya membimbing mereka kearah yang benar.. Mereka terabai..Mereka kurang panduan..

Yang kedua ialah kerana masyarakat kita hari ini tidak lagi berpegang kepada ajaran Islam. Sesetengah dari kita hari ini lebih suka mengikut cara barat berbanding nilai-nilai yang diterapkan dalam Islam. Lihat saja cerita-cerita di televisyen, pelakonnya kini sudah mengalahkan pelakon barat dalam berpakaian. Sesungguhnya itulah imej masyarakat kerana kita tidak lagi peduli bagaimana mereka hendak berpakaian dan berfesyen. Seterusnya ia terus menjadi trend dan ikutan anak-anak muda. Malah ramai antara kita sudah tidak kisah bagaimana anak, adik, kakak atau kawan2 kita berpakaian. Imej kini makin seksi dan seksi. Seterusnya berlaku cinta pandang pertama pasangan kekasih. Sang adam tidak mampu melawan godaan yang secara terang2an dan berleluasa. Maka ramailah yang tersalah langkah. Berlakulah cinta menggadai maruah..

Yang ketiga ialah mentaliti adat dan budaya telah mengalahkan hukum hakam Islam dalam masyarakat. Lelaki tertarik kepada perempuan dan perempuan tertarik kepada lelaki adalah fitrah. Manusia sememangnya diciptakan berpasangan, malah ini disebut didalam Al-Quran. Perkahwinan ialah sesuatu yang sangat dituntut dalam Islam. Apabila seorang lelaki atau wanita itu telah mencapai umur yang sesuai dan telah timbul rasa cinta antara mereka maka kahwinkanlah mereka. Masalahnya ialah adat budaya dan mentaliti masyarakat kini telah menjadikan perkahwinan itu satu perkara paling sukar untuk direalisasikan. Adat dan tradisi lebih penting. Yakni; untuk mengadakan majlis perkahwinan, yang lelaki itu mesti berduit, paling kurang pun dua puluh ribu untuk majlis walimah. Tidak cukup dengan itu mesti dah ada rumah, dah ada kereta, kerja yang tetap. Aku tak nafikan memang semua ini difikirkan ibu bapa supaya anak mereka yang berkahwin itu dapat hidup selesa selepas berkahwin. Tetapi sebenarnya konsep perkahwinan itu telah disalah ertikan. Sang pengantin akan berhabis berpuluh ribu dan berhutang sana sini untuk majlis perkahwinan besar-besaran, menjadi papa kedana selepas berkahwin. Walhal tujuan sebenar perkahwinan itu telah diabaikan, yakni memurnikan dan menghalalkan perhubungan dua orang insan dan menyelamatkan mereka dari berada di kancah dosa dengan lebih lama. Sebab itu sekali lagi aku tidak menyalahkan seratus peratus insan-insan yang telah tersilap langkah sebelum berkahwin. Mungkin mereka mahu sahaja berkahwin tetapi mereka tidak mampu kerana perkahwinan itu telah menjadi hampir mustahil bagi mereka terutamanya buat yang miskin dan tidak berharta. Bagi aku juga, aku tidak mengimpikan perkahwinan yang gah dan menjadi wedding of the year, kerana berkat dan indahnya sebuah walimah itu terletak pada kesederhanaan dan nawaitu kedua pasangan tersebut, yakni bersatu dalam keredhaan Allah. Sesungguhnya itu yang aku cari. Aku kejar bukan istana dari harta berjuta yang bakal suami aku mampu carikan, tapi aku mengejar syurga. Dan syurga itu terletak pada keredhaan Allah swt.

Aku telah merantau ke Mesir dan fenomena sama berlaku disana. Di mesir sekiranya seorang lelaki ingin meminang seseorang wanita mereka mesti mempunyai duit yang banyak. Dress perkahwinan mereka sahaja sudah mengjangkau ribuan ghinih (currency mereka tak tahu macam mana nak eja hihi). Dan pihak lelaki itu mest membelikan
mertua mereka peti sejuk dan perabot-perabot rumah dan akan mereka berarak bersama barang-barang ini di hari perkahwinan mereka. Tapi kebanyakan pemuda mesir ini miskin. Populasi penduduk Cairo sahaja sudah mencapai jutaan penduduk. Mereka tinggal hanya dibalik bangunan-bangunan usang. Sewaktu aku berjalan di Taman Al-Azhar di Mesir aku lihat banyak pasangan kekasih, berjalan intim dan mesra. Mushrif yang mengikuti kami kata kesian pada mereka, perkahwinan telah menjadi hampir mustahil buat mereka kerana kebanyakan mereka miskin dan tidak mampu memiliki gadis-gadis yang mereka cintai, maka berlakulah banyak kemaksiatan. Dan gadis-gadis muda itu biasanya akan berkahwin denga lelaki-lelaki tua yang banyak wang. Adakah Malaysia juga sedang ingin cuba menjadi seperti Mesir dalam hal ini? Aku kurang pasti.

Dan kebanyakan masyarakat kita juga terlalu memandang kepada status kewangan dan profession. Sekali lagi aku tidak nafikan, mestilah kita dan ibu bapa kita mahu memilih pasangan yang mempunyai masa depan yang cerah. Tapi aku sedih apabila melihat ramai antara kita yang terpaksa berkahwin lambat hanya kerana terpaksa menunggu pasangan mereka mengumpul duit yang cukup. Dan sementara tahun-tahun mereka mencari wang ini, sekiranya benteng diri tidak cukup utuh, maka berlakulah perkara-perkara yang tidak diingini sebelum berkahwin. Salah siapakah ini?

Perkahwinan bukan suatu beban. Ia suatu ibadah. Hayatilah firman Allah yang bermaksud: "Dan kahwinilah orang yang sendirian di antara kamu, dan orang yang layak (berkahwin) daripada hamba yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan mengkayakan mereka daripada rezeki-Nya. Dan Allah Maha Luas Pemberian-Nya dan Maha Mengetahui." (Surah al-Nur, ayat 32)

Allah menyatakan disitu, sekiranya mereka MISKIN, Allah akan mengkayakan mereka dari rezekiNya. Itu janji Tuhan. Kita lebih tega melihat dua insan ini menanggung dosa lebih lama hanya kerana mereka tidak mampu mempunyai kewangan yang kukuh sehinggakan perkahwinan mereka terpaksa ditunda kerana kita mengambil kira pandangan manusia.

Sabda Baginda SAW bermaksud: "Nabi SAW menyuruh kami supaya berkahwin dan melarang kami membujang. Larangan itu beliau tekankan dengan cukup keras dengan bersabda: "Nikahilah wanita yang subur dan penyayang, kerana aku berasa bangga melihat umatku yang ramai pada hari kiamat kelak." (Riwayat Ahmad)

Kadang kala aku berasa cemburu kepada rakan-rakan yang Allah telah mempermudahkan jodoh mereka. Mereka kahwin dalam keadaan mereka berdua belum bekerja, tidak pun mempunyai kewangan yang besar hanya ala kadar, tapi alhamdulillah mereka berjaya diijabkabulkan dengan sokongan keluarga yang memahami konsep perkahwinan dalam Islam, yakni membersihkan hubungan anak mereka yang sudah bertemu pilihan hati. Supaya anak mereka boleh menyalurkan nafsu dalam cara yang halal dan menjauhkan anak mereka dari maksiat sebelum berkahwin. Dan ketahuilah, apabila kita bersatu dalam keadaan yang diredhaiNya, maka zuriat yang bakal dilahirkan itu akan menjadi zuriat yang soleh dan solehah. Alhamdulillah aku gembira bagi pihak mereka. Dan aku tidak putus-putus berdoa agar Allah menghadirkan buatku seorang pemuda yang bisa membahagiakan aku hingga ke akhir nyawa.

Satu lagi perkara yang membimbangkan aku apabila aku punya cinta sebelum berkahwin ialah, aku risau segala salah lakuku menyumbang dosa kepada kedua ibu bapaku. Aku selalu memohon doa kepada Tuhan agar mengampunkan dosa kedua ibu bapaku kerana ketahuilah hai sahabat, cinta tanpa perkahwinan akan menyumbang banyak dosa dalam catatan malaikat raqib, dan dosa-dosa yang kita lakukan ini mengalir terus kepada kedua ibu bapa kita juga. Aku cinta amat kedua ibu bapaku, aku tidak mahu mereka menanggung siksa di atas kesalahanku. Ya Allah ampunilah kami..

Sebelum aku berundur diri, aku ingin berkongsi cerita tentang contoh perkahwinan dalam Islam yang diredhai pada zaman Rasullullah pada seorang sahabat yang bernama Saad.

Saad seorang pemuda yang berkulit gelap dan tua. Pada suatu hari, beliau datang menemui Rasulullah menyatakan hasratnya yang beliau terlalu amat ingin mendirikan rumah tangga. Maka Rasululllah pun menulis sepucuk surat dan berkata kepada Saad, " Kau bawalah surat ini kepada sebuah keluarga yang tinggal didalam sebuah dusun dihujung kota. Berikah surat ini padanya"

Maka Saad pun pergilah memberikan surat ini kepada lelaki di rumah tersebut. Didalam surat itu, Rasullullah mencadangkan supaya lelaki itu mengahwinkan anak perempuannya yang solehah dan cantik dengan Saad. Bapa wanita itu agak keberatan melihatkan Saad yang hitam dan tua hendak dikahwinkan dengan anak gadisnya yang serba sempurna itu.

Maka bapa gadis itu menceritakan hal tersebut kepada anak gadisnya, maka dengan patuh dan redha, anak gadisnya bersetuju. Tetapi bapa gadis itu mencadangkan supaya gadis itu melihat dulu rupa Saad, supaya anak gadisnya berubah fikiran. Namun jawab gadis itu, " Saad telah dicadangkan oleh Rasullullah sendiri untukku maka aku tahu Saadlah lelaki terbaik untuk diriku.."

Maka bapa gadis itu akur dan berkata kepada Saad, " Kau sediakan mahar untuk anak gadisku sebanyak ini, dengan harapan Saad tidak dapat menyediakan wang sebanyak itu.

Maka Saad berasa sedih kerana beliau sangat miskin lantas terus menemui Rasullullah. Maka Rasullullah pun berkata, "Jangan bersedih wahai Saad, kau pergilah menemui sahabat-sahabatku dan mintalah mereka sumbangan untuk menyediakan maharmu".

Maka Saad pun pergilah meminta kepada Saiyidina Abu Bakar, Sayidina Umar dan para sahabat yang lain sehingga cukup wang maharnya. Dengan hati yang gembira Saad menuju semula ke rumah gadis solehah tadi. Gembira bukan kepalang Saad dapat juga menunaikan hasratnya untuk berkahwin.

Dalam perjalanan menuju ke rumah tersebut, semboyan peperangan kedengaran memanggil pejuang-pejuang Islam ke medan peperangan. Langkah Saad terhenti. Beliau terus berfikir samada mahu kemedan perang atau ke rumah gadis tersebut. Akhirnya Saad membuat keputusan untuk membeli pedang dengan duit mahar tersebut dan terus menuju ke medan peperengan melupakan hasratnya untuk berkahwin.

Saad tewas sebagai syuhada dalam peperangan tersebut. Sebaik Rasullullah mendengar berita kematian Saad, pantas Rasullullah menuju ke medan peperangan tadi sambil menangis dengan kuat sehingga terkejut para sahabat yang lain melihat Rasulullah begitu. Apabila menjumpai mayat Saad, Rasullullah menangis. Tetapi tiba-tiba Rasullulah ketawa dan tidak lama selepas itu baginda memalingkan muka.

Para sahabat hairan melihat tingkah laku Rasullullah lalu bertanya kepada Rasullullah. Rasullulah berkata," Aku ketawa kerana aku gembira melihat roh Saad dikejar oleh ramai bidadari yang diturunkan dari syurga untuknya sebagai ganti perkahwinannya. Saad lari kerana beliau malu dikejar ramai bidadari. Dan aku berpaling kerana salah seorang bidadari yang mengejar Saad menyelak kainnya sewaktu mengejar Saad."

Begitulah tinggi sifat malu Rasullullah dan Saad. Dab besarnya ganjaran buat yang lebih mengejar cinta Allah berbanding cinta manusia.

Ya Allah, semoga kami sentiasa terus hidup berlandaskan keredhaanMu..

Kerana antara istana dan syurga, aku pilih syurga..

No comments: