Assalamualaikum..
Fosterbrook neighbourhood, 3.45 petang..
Hari ini dingin.. Sedingin perasaanku. Hatiku beku, sedingin cuaca di luar jendela, namun jari jemariku ligat mahu menari di atas papan kekunci laptop miniku ini. Pada coretan kali ini, akan aku coretkan sebuah rasa yang telah lama aku pendam dan simpan dek kerana takut melukai hati sesiapa. Tapi pada hari ini aku ingin titipkan ia di ruang blogku yang daif ini. Tujuanku bukan untuk menuding jari atau mengadu domba, sekadar sama2 aku mahu mengajak sahabatku semua merenungkan kisah ini agar sama2 kita muhasabah diri kita kembali, ya, diri kita yang telah banyak benar terpalit dosa ini.
Aku cinta padamu. I love u. Wo ai ni. Aishiteru. Tumse mujhe pyar kar tehu.
Aku rasa kalimah2 ini bukan lagi kalimah yang asing buat kita. Namun aku rasakan ia telah sebati dengan sesetengah dari kita. Aku juga tidak terkecuali. Kita selalu beranggapan itulah kata-kata keramat yang dianggap tinggi dan suci. Jiwa bergetar, fikiran melayang dan terasa diri berada di awang-awangan apabila lafaz ini ditutur buat sang kekasih yang dicintai sepenuh jiwa. Tapi sayang, kebenarannya, kalimah ini tanpa sebuah ikatan perkahwinan yang sah, tanpa sebuah hubungan yang halal antara wanita dan lelaki yang ajnabi (asing) adalah palsu. Hampa. Kecewa. Dan dusta.
Cinta juga bukanlah sesuatu yang kotor. Bukanlah sesuatu yang perlu dihindar atau dijauhi. Tidak juga Allah ciptakan ia sebagai sesuatu yang tercemar. Cinta ialah anugerah, cinta adalah tanda kasih sayangNya. Cinta adalah tunjang kehidupan, mencintai Allah, RasulNya, ibu ayah dan keluarga, sahabat dan sesama Islam bersaudara. Maka ia bukanlah busuk sama sekali. Malah Allah berfirman ;
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal saleh, kelak Allah yang Maha Pemurah akan menanamkan dalam (hati) al mawaddah (kasih sayang)". QS Maryam ayat : 96.
Dan teringat aku kepada satu nota ringkas yang pernah diberikan oleh seorang temanku sewaktu disekolah dahulu. Ringkas kata-katanya, namun amat bermakna buatku ;
Sabda Rasullallahi Sallallahu Alaihi Wasallam:
Ertinya: Allah Taala menjadikan Rahmat seratus bahagian, 99 bahagian ditahan dan satu bahagian diturunkan ke bumi. Daripada satu bahagian itu seluruh makhluk menaburkan kasih sayang, sehingga kamu melihat, binatang mengangkat kakinya kerana khuatir terpijak anaknya.
( Hadis Riwayat Bukhari Muslim)
Begitulah besar dan agungnya rasa cinta yang telah Allah berikan buat kita dibumi, walau hanya satu bahagian sahaja yang dilepaskan ke bumi, namun kita sendiri dapat merasa betapa ia menguasai manusia dan makhluk-makhluk Allah yang lain.
Cinta mengandungi kuasa yang sangat besar, kuasa yang sangat luar biasa. Kerana cintalah seorang ibu rela berkorban sekalipun nyawanya demi sang anak. Seorang suami tak menghiraukan lelah dan peluh yang bercucuran demi anak isterinya. Para sahabat rela berkorban demi Allah dan Rasul-Nya, Muhammad SAW. Dan Romeo yang rela berkorban nyawa (cinta membuta tuli) untuk sang julietnya..
Tetapi manusia yang telah mencemarkan cinta ini. Atas nama cinta, penzinaan berlaku. Atas nama cinta kita sanggup derhaka kepada ibu dan ayah yang mencintai kita sepenuh raga. Atas nama cinta kita tega jadi pembunuh, membunuh satu nyawa kecil yang tidak berdosa. Menjadi makanan kepada ulat-ulat sampah dan semut-semut api kelaparan. Apa dosa manusia kecil itu? Mengapa mereka pula menjadi mangsa? Nyawa bayi kecil yang tidak berdosa? Semuanya atas nama cinta?
Salah siapa semua ini berlaku? Siapakan yang harus dipersalahkan? Adakah kita harus menyalahkan seratus peratus kepada sang pelaku semata-mata dan pihak yang lain boleh melepas tangan? Tidak, aku tidak bersetuju. Dan kerana itulah aku menitipkan entry ini ..
Aku tidak sama sekali mahu menuding jari hanya kepada lelaki dan wanita yang ajnabi yang telah tersalah langkah itu. Ya, memang mereka sang pelakunya. Mereka telah bercinta. Mereka berkasih sayang. Tetapi kasih sayang itu tercemar dek hubungan cinta sebelum perkahwinan. Salah siapa? Adakah kita mahu melepas tangan? Kita seharusnya menuding jari kepada setiap anggota masyarakat, ya, setiap dari kita, termasuk diri kita sendiri. Inilah natijahnya apabila manusia semakin jauh dari Islam, apabila hukum hakam Islam dan ajaran Islam itu dipandang remeh, menjadi panduan kedua selepas undang-undang yang dicipta manusia, itupun kalau sesetengah dari kita masih lagi mahu mengambil al-quran dan sunnah sebagai panduan hidup. Tentang ini, akan aku garap dengan lebih lanjut dalam siri kedua entry ini insyaAllah..
Cinta itu indah. Cinta itu manis. Malahan ia adalah fitrah. Malah Allah berfirman ;
“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak…” – Aali-’Imran: 14.
Dan Rasulullah sendiri bersabda ;
“Diberi rasa cinta padaku dari dunia kalian: wanita dan wangi-wangian dan dijadikan penyejuk mataku dalam solat.” – HR Ahmad, Nasa’i, Hakim dan Baihaqi.
Sekali lagi aku ingin bertanya salah siapa cinta kita pada hari ini ialah kebanyakannya cinta diluar perkahwinan. Cinta zina. Cinta membunuh bayi luar nikah. Cinta menggadai maruah. Cinta kahwin lari. Salah siapa?
Sahabat, aku tidak menulis entry ini secara hentam keromo. Mungkin ada antara pembaca yang berkata, "eleh, engkau belum pernah bercinta, manalah kau tahu what it feels like. Entah-entah kalau dah bercinta, jauh lebih teruk dari kami!"
....Aku juga pernah menyintai. Secara perlahan cinta itu datang dan menyentuh hati. Datang entah dari mana, tahu2 sahaja, ia sudah mengambil tempat di satu ruang jauh didasar hati. Siapa kata ketika aku menulis entry ini, aku hanya tahu meng 'comment' orang lain semata-mata tanpa mahu berada di tempat mereka yang berkenaan, as im not in their shoes. Aku merasainya. Aku tahu keindahannya. Aku tahu kenyamanannya. Aku tahu kemanisannya. Aku tahu semua perasaan itu. Aku juga pernah dibuai rasa cinta. Tanpa aku sedari, aku sebenarnya telah mengkhianati sebuah cinta suci yang seharusnya aku hadiahkan untuk seorang lelaki bernama suami.
Sahabat yang dikasihi, terutamanya sahabatku yang bergelar hawa, srikandi.. Tahukah kita bahawa cinta kepunyaan kita itu hanyalah milik seorang lelaki bernama suami. Ia bukan kepunyaan lelaki bergelar baby boy. Bukan kepunyaan lelaki bergelar kekasih. Bukan kepunyaan lelaki bergelar abang angkat. Bukan juga boyfriend. Ia ialah hak mutlak seorang lelaki bernama suami. Percayalah, sekiranya benar-benar sang lelaki ini menyintai kita sepenuh raga, jika benar-benar seorang lelaki ini menyayangi kita, dia tidak akan sanggup membawa kita kekancah dosa. Dia tidak akan membawa kita ke gerbang maksiat. Sang lelaki yang benar-benar mahukan kita, mereka akan menghormati maruah dan kehormatan diri kita. Sang lelaki ini tidak akan mencalari kesucianmu dengan kata-kata cinta kosong. Dia akan melindungi maruahmu dengan tidak menyentuh kulit halus mulus kepunyaan kita itu. Sang lelaki akan memurnikan hubunganmu dengan sebuah hadiah bernama perkahwinan, memilikimu secara sah dan membahagiakanmu sepanjang hayatnya. Yang paling indah ialah, dia akan memimpin tanganmu bersama-sama menikmati syurga Allah yang tidak terhitung nikmatnya itu..
Andai dapat kuputar waktu, tidak aku ingin jatuh cinta. Tidak aku ingin menaruh rasa kepada lelaki yang bukan milikku yang sah. Tidak aku mahu merasai cinta sebelum akad nikah dilafaz. Aku tidak mahu! Setiap hari, jiwa ini dibebani dosa. Ya, mungkin aku tidak berbuat apa-apa dengannya, aku tidak menemuinya setiap hari, aku tidak berdua-duaan dengannya. Berjumpa dengannya pun hanyalah beberapa kali sahaja dalam setahun. Boleh dikira dengan jari. Malah, tidak pernah aku membenarkan mana-mana adam menyentuh diriku dan mencalari kehormatan diri ini. Tetapi ada bibit - bibit rindu yang diapi-apikan syaitan. Astagfirullah. Astagfirullah. Malah aku selalu berangan-angan, bahawa apabila sampai detik ketikanya, sang adam impian akan datang menyunting aku dan memurnikan aku menjadi isterinya yang sah. Tanpa sebarang tangguh. Namun, perjalanan tidak semudah angan-angan. Perjalanannya terlalu penuh liku dan halangan.
Aku selalu menasihati rakan-rakanku. Ujarku, jangan hiba sekiranya hatimu masih belum berpunya. Jangan hiba sekiranya belum ada sang adam yang sudah melafazkan cintanya padamu. Sebenarnya Allah sedang memelihara kamu dari cinta kotor dan tercemar. Sampai saat ketikanya, sang adam pilihan Tuhan itu akan datang dan mengambil tanganmu dan memperisterikanmu dalam keadaan yang paling suci. Bebas dari cinta tercemar sebelum berkahwin. Indahnya menjadi sepertimu. Engkau masih solo bukan kerana engkau tidak cukup cantik dan terbaik untuk dipilih oleh sang adam yang mencari, tetapi kerana Allah menjagamu. Jangan kau pandang aku bahagia kerana dicintai lelaki, hakikatnya aku menderita. Sekiranya aku diberi peluang untuk mengundur waktu, aku mahu menjadi wanita solehah yang bebas cinta diluar pernikahan dan hanya menunggu sambutan murni sebuah pernikahan. Namun inilah ujian buatku dari Tuhan, menguji keimananku dengan ujian cinta ini. Ujian yang telah menyeksa jiwa hambaMu ini, setiap detik dan ketika.
Ya, aku diuji dengan cinta manusia sejak aku masih remaja. Secret admirer. Peminat dalam diam. Adalah sedikit sebanyak sejak aku dibangku sekolah. Aku tidaklah secantik orang lain, aku hanya wanita biasa. Sederhana. Entah apa yang mereka lihat dalam diriku, aku tidak tahu. Namun tidak surut ujian ini hinggalah aku dewasa. Aku bukanlah orang yang mudah jatuh cinta. Aku bukanlah gadis yang polos yang mudah dicuri hatinya. Namun Allah itu berkuasa membolak balikkan hati, akhirnya aku jatuh cinta pada seorang yang amat-amat aku benci sewaktu aku menuntut di kolej persediaan. Aku masih ingat, aku pernah kata begini padanya, "If u are the last man on earth, still I will never marry u!".
Seperti yang aku katakan, cinta datang tiba-tiba, tanpa kita sangka, dan tanpa kita pinta. Makin kita lari, makin ia mengejar. Allah yang memegang cinta itu, dan Dia letakkan satu dalam hatiku buat lelaki itu. Setelah sekian lama lelaki itu asyik direject oleh aku, akhirnya hati ini jatuh hati juga. Dan aku sangka perjalanan itu akan mudah, rupa-rupanya ia penuh berliku dan payah. Aku selalu mahu tidak mahu bercinta lama-lama kerana bagi aku, sekiranya sang lelaki itu benar-benar mahukan aku, dia akan cepat-cepat memperisterikan aku. Namun ternyata, cinta ini terlalu sukar dan payah. Ini ujian yang terlalu berat dariMu Ya Allah..
Orang selalu kata padaku, "Untung kau, ramai orang mahu". "Untung kau, sudah berpunya". "Untung kau, tak payah susah-susah mencari, orang yang mencari kau". Untung? 6 tahun sudah berlalu, aku masih dalam penantian, dalam sebuah penantian yang panjang. Entah bila penantian ini akan berakhir, aku kurang pasti, terlalu samar untuk dipastikan. Namun apa yang penting disini bukanlah kisah cintaku, tetapi betapa aku menderita terperangkap dalam cinta yang belum halal.
Aku tahu dosa dan pahala. Aku tahu hukum dan hakam. Aku menghayati bait-bait terjemahan al-quran. Dan betapa aku cinta kepada agama yang aku anuti, dan iman yang aku miliki. Dan aku tahu hukum cinta sebelum perkahwinan. Ya betul, aku menjaga batas yang seharusnya aku jaga. Jarak kami beribu batu,nak berjumpa memang tidaklah. Tapi bagaimana soal hati. Soal hati yang merindui seorang lelaki ajnabi.
Ingat Rasulullah SAW bersabda;
“Ingatlah, dalam tubuh manusia itu ada segumpal daging. Kalau segumpal daging itu baik, maka akan baiklah seluruh tubuhnya. Tetapi, bila rosak, nescaya akan rosak pula seluruh tubuhnya. Segumpal daging itu bernama hati!” (HR. Bukhari dan Muslim).
To be honest setiap detik sepanjang 6 tahun ini aku dibayangi dosa. Aku tidak pernah tenang. Setiap detik aku memohon ampun atas dosa kelemahan ini, kerana tidak mampu menjadi hamba Nya yang solehah. Aku tidak mahu Allah tidak redha dengan kehidupanku. Aku tidak mahu Allah gelapkan hatiku. Siapa kata bercinta dan mempunyai kekasih itu manis? Siapa kata bercinta sebelum berkahwin itu indah? Ia amat menyeksakan bagiku. Aku lebih mahukan cinta Allah dari cinta lelaki itu. Dan aku tidak putus-putus berdoa agar Allah mengampuni kelemahan hati dan nuraniku ini.. Dengan hati yang dicemari nafsu, bagaimana hati aku akan lapang dalam menuntut ilmu perubatan ini? Bagaimana hatiku akan tenang menghadapai kesulitan hidup?
Kerana itu aku selalu menasihati rakan-rakanku, jangan sesekali menerima cinta lelaki yang tidak menjurus kearah perkahwinan. Jangan bersedih kerana mereka masih solo. Jika orang selalu mencemburui aku kerana mempunyai sang pencinta, aku pula selalu cemburu kepada teman seperjuangan yang suci dari cinta tanpa ikatan perkahwinan. Kerana aku tahu Allah sedang melindungi kesucian hati dan iman mereka, dan aku anggap Allah sedang mengujiku dengan cinta manusia.
Kerana itu buat sahabatku yang masih single, bersyukurlah Allah sedang melindungimu, menjagamu dari dicemari cinta-cinta dusta di luar perkahwinan. Sekiranya engkau sudah ada yang mahu, ketahuilah cinta itu adalah untuk menguji keimananmu, pertahankan maruahmu, jangan biarkan tangan-tangan penuh nafsu itu mencemari mahkotamu. Bersyukurlah anda masih belum punya kekasih, kerana cinta sang kekasih ini adalah ujian yang amat berat buat sang pencinta Allah swt. Terlalu berat sehingga ia bisa mengheret kita ke jurang neraka..
Perkara yang paling aku takuti ialah, bagaimana sekiranya aku mati pada esok hari dalam keadaan hati ini yang tidak Engkau redhai.. Sudikah Engkau menerima hambaMu yang penuh dosa ini..
Aku selalu memohon pada Yang Esa, jika benar dia milikku, maka satukan kami dalam keadaan beriman dan Engkau redhai. Sekiranya dia bukan untukku, tolong pisahkan kami dalam keadaan kami redha antara satu sama lain. Aku tidak mahu cinta ini membuatkan aku jauh dariMu. Aku tidak mahu cinta ini membuatkan Engkau murka padaku. Aku lemah Ya Allah.. Aku tidak pandai selain Engkau menunjukkan aku jalan yang lurus.. Aku jahil Ya Allah..Aku tidak tahu selagi Engkau tidak membimbingku Ya Rabb.. Aku tahu rasa cinta ku padanya memenuhi fitrahku untuk rasa disayangi sebagai seorang manusia.. Fitrahku untuk dicintai.. Tapi Ya Allah.. Tapi Ya Allah..
Antara cinta dan taqwa, aku pilih TAQWA.
No comments:
Post a Comment