Assalamualaikum,
Fosterbrook Neighbourhood, 9.09 pagi.
Dah dua tiga hari aku tak berapa sihat. Terlantar lemah di katil, semalam aku demam menggigil. Diserang flu teruk lantaran terjangkit apabila aku memegang seorang kanak-kanak yang menghidap pneumonia di hospital tiga hari lalu. Sejak awal lagi kami telah diberi amaran tentang pentingnya basuh tangan setiap kali memegang pesakit. Haha Padan muka aku. Tak apalah, sakit itu penghapus dosa, semoga kesakitan ini menghapus dosa-dosa kecilku.
Namun digagahkan jua kudrat untuk bangun dan menelaah buku, tiba-tiba teringat ruang blogku yang sunyi sepi tanpa entry. Minggu ni, tak ada cerita yang menarik, tapi, ada sebuah kisah yang dapat aku kongsikan agar sama-sama dapat kita telusuri hikmahnya.
Ya, tentang P.H.D, S.W dan M.J, yakni Perasaan Hasad Dengki (P.H.D), sikap Syak Wasangka (S.W) dan Mulut Jahat (M.J)/ 'badmouthing'.
Begini, aku baru saja memasuki rotation Paediatrics seminggu yang lalu. Sekali lagi boleh dikatakan aku ini lone ranger jugalah, kerana aku seorang saja yang berhijab dalam ramai-ramai tu. Jadi sewaktu lecture atau tutorial, memang confirm doctor akan cam aku, so likelihood nak tidur or main2 dalam kelas sangat tipis haha. Tapi aku sudah lali, so buat macam biasa sajalah.
Kami dibahagikan group, dan aku dapat partner seorang lelaki canadian yang berbangsa Cina. Aku memang tak pernah rapat dengan dia, kenal begitu-begitu saja. Tapi redah sajalah. Untuk 6 minggu saja, tapi aku sangat harap partner aku kali ini adalah seorang yang baik dan boleh serasi denganku.
Tapi tiba-tiba datang seorang lelaki American kepadaku dan menyatakan hasratnya untuk mengambil partnerku itu jadi partnernya. Katanya, "We are good friends, we want to be together". Erkkkk bingung aku sekejap. Boleh pulak macam tu kan, nak kira kawan2 baik pulak.. Kalau nak diikutkan lagi kesianlah kat aku kan kalau nak kira kawan2 ni. Tapi aku malas nak bising2, aku iyakan saja. 'Tak profesional langsung! Esok dah kerja bolehlah kan tukar-tukar team ikut kawan2 baik!', Cetus hatiku sedikit marah.
Jadi aku pun kena ambillah partner dia, seorang Arab yang sudah lama menetap di Ireland. Oklah kot desasku, layan... Dia baik, ok2 sajalah. Malas nak serabutkan kepala, asalkan aku dapat belajar dengan baik.
Satu saja masalah dengan partner baruku ini, like i said, dia baik, cuma kadang2 aku rasa dia suka benar bercakap buruk pasal orang. Tak sampai sehari, sudah macam2 keburukan yang dia ceritakan tentang si mamat American tadi. Katanya, selamat lah dia boleh partner dengan aku, sebab si American tadi sangat pelik dan awkward, dia memang tak nak langsung bekerja dengan si American tadi. Aku ni, benda-benda macamni memang aku cukup rimas. Ini dah masuk kategori 'MENGUMPAT'. Aku memang dah lama bersara dari parti 'makan daging orang lain' ni. Dah berhenti sejak dari zaman sekolah lagi sejak satu peristiwa besar yang benar-benar memberi aku pengajaran supaya tidak bercakap buruk tentang orang lain.
Jadi, aku senyum sajalah bila partner aku ini buka cerita, dan aku kata, "Im sorry I dont really know him, so I cant say anything about him". Walaupun adalah terasa hati sikit dengan perbuatan si American tadi yang bertukar partner atas alasan 'kawan baik'. Tapi apabila sudah dihembus2 begitu, timbullah S.W yakni syak wasangka dalam hatiku terhadap si American tadi. Ni yang tak best ni sebab kami akan saling menghadap muka masing2 selama 6 minggu. Nak suruh partnerku ni diam, kesian pulak sebab dia memang suka bercakap. So the best way, aku diam sajalah.
Tapi rupa-rupanya parti 'makan daging saudara sendiri' ni tidak terhenti disitu saja. Rupa-rupanya partnerku ini memang suka buat 'komentar' tentang orang lain. Ada sekali tu dia kata yang salah seorang registrar kami rude, atas alasan registar itu jarang tersenyum pada kami. Ada sekali tu juga, dia mengutuk seorang rakan malaysianku dengan mengatakan yang rakanku itu hanya layak menceburi Palliative Medicine kerana peribadinya yang sangat membosankan. Haiiihhhh.. Cubalah buka topik lain selain bercerita keburukan orang, topik ayam bertelur ke..topik rusa panjat pokok ke.. kan lagi best. Apa yang best sangat bercakap tentang orang lain? Perfect sangatkah diri tu?
Tapi tulah, the best way untuk menangani situasi ini ialah, aku mendiamkan diri. Karang aku sound direct kang, hubungan kami bermasaalah, susah pula untuk aku belajar get along dengan dia. Tapi itulah, tak seronoklah begini. Bukanlah nak katakan hatiku ni putih suci bersih amat, tapi aku memang kalau boleh tak nak terlibat dalam 'badmouthing' people ni. Hati jadi busuk lama2. Then jiwa pun jadi tak tenang setiap kali bertembung dengan orang yang terlibat itu.
Pada minggu depan, kami berlima termasuk dengan partner 'lama'ku, partner 'baru'ku, si American tadi dan seorang perempuan canadian, akan ditempatkan di luar bandar, 3 jam dari dublin. Aku memang benci sikit bila kena away ni, sebab satu, terpisah dari rumah. Dua, terpisah dari rakan-rakan malaysian yang lain. Kena pandai2 survivelah kan. Dulu masa aku satu group dengan budak2 irish, memang best. Aku ni macam anak emas, ke sana sini mereka akan tumpangkan. Irish friends ni baik, selalu ambil berat pasal aku. Untuk kali ni, kami harus book accomodation kami sendiri. Kena cari tempat tinggal sendirilah. Aku tengok group2 lain, semuanya book accomodation bersama, duduk berbincang, dan aku ingatkan group aku juga begitu. Lama juga aku tunggu topik accomodation ni keluar dari mulut mereka, tup2, rupa2nya mereka sudah book bertiga lama dah. Bila aku utarakan hal ini pada partner arabku, terus saja dia menjawab dia tak kisah, dia boleh ulang alik menggunakan keretanya dari rumahnya yang memang berdekatan dengan tempat yang akan kami pergi tu.
Aku sedikit bengang, aku bengang dengan yang bertiga tu yang langsung tidak bertanyakan atau berbincang denganku, dan aku agak terasa hati juga dengan partner arabku yang bagiku agak selfish. Pada fikiranku, dia juga seorang muslim, instead of terus membuat keputusan begitu, at least dia boleh bertanya tentangku, aku seorang muslimah. Gnetleman lah sikit kan.Tapi itulah, dari situ kita boleh menilai seorang muslim yang protective atau tidak huhu dengan kata lain, yang boleh dibuat suami! Dan dia tentu tidak! Tak baik..tak baik..tak mengapalah.. Aku akan survive sendiri.
Akhirnya tinggallah aku terkontang kanting mencari accomodation sendirian. Alhamdulillah, setelah dua hari mencari, aku jumpa sebuah accomodation di rumah satu couple Irish yang sudah tua dengan harga 20 euro satu malam. Cuma itulah, aku akan berulang alik ke hospital sendirian. Tak mengapalah, aku sudah biasa sendirian begini di tanah barat ini, bak kata ibu, im his tough daughter! (^-^)
Begitulah alkisah minggu pertamaku dalam Paediatrics. Actually ada beberapa point yang aku nak ulas sikit dari apa yang aku ceritakan tadi;
1) Yang pertama sifat syak wasangka. Aku pasti sifat ini paling sukar dikikis kerana ia menjadi senjata paling utama syaitan untuk melaga-lagakan manusia. Sifat ini sekaligus mengubah cara kita melihat dunia. Dengan prasangka kita seringkali berasa tidak senang dengan orang lain. Sebagai contoh dalam ceritaku tadi, lantaran termakan sikit2 kot cerita partner arabku, aku merasa kurang senang setiap kali berjumpa dengan si American tadi, walhal aku belum cukup kenal hati budinya. Lebih2 lagi, apabila aku dapat tahu yang dia berbangsa yahudi. Lagi tambah tidak senang. Tapi harus diingat tak semua yahudi itu zionis. Jadi aku sebenarnya tiada alasan untuk tidak menyenanginya, apatah lagi hanya dengan mendengar cerita-cerita yang aku sendiri kurang pasti kebenarannya.
Atau contoh lain ada seorang rakan baru mendaftar di kelas yang sama. Dan dia kelihatan sangat pendiam dan tidak mahu bergaul dengan orang lain. Kerana sifat manusia yang suka bersangka-sangka ini, mulalah kita cop rakan tadi sebagai sombonglah, macam baguslah. Anyway is that the right thing to do? Sia-sia belajar tinggi2, namun peribadi masih tak tumpah seperti peribadi anak-anak kecil. Orang yang bijak tidak akan berhujah tanpa bukti.
Atau sebagai contoh dalam isu semasa sekarang, saat pilihanraya umum makin menghampiri, berbagai2 statement dan fitnah tersebar meluas di ruang2 facebook. Tanpa usul periksa, atas rasa syak wasangka dan setia pada parti kononnya, kita pun dengan gembiranya menyebarkan lagi dengan lebih meluas berita yang kita sendiri tidak pasti akan kebenarannya. Tanpa kita sedari kita telah melakukan fitnah hanya dengan gerakan hujung jari. Kita katakan orang ini menyeleweng wang yang sekian-sekian, tapi apa buktinya? Sekali lagi aku katakan, orang yang bijak dan berilmu, malah orang yang bertaqwa tidak bercakap dan mengaum tanpa bukti. Jangan jadi seperti burung tiong yang hanya bising2, tapi intinya tiada. Jadilah seperti kancil yang geraknya diam tapi kemas berisi akalnya. Percayalah, sifat syak wasangka ini bisa menghancurkan bukan saja diri dan orang lain, malah umat islam seluruhnya.
"Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain. Dan janganlah sebahagian kamu menggunjing sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang." (QS. Al-Hujurat : 12)
Aku menulis bukan untuk ditujukan pada sesiapa. Aku sendiri punya masalah syak wasangka ini, yang sedang cuba perlahan-lahan aku kikis. Malah aku selalu ditegur oleh seorang 'sahabat'ku kerana dia sangat mengenali aku. Katanya kunci untuk membina sebuah rumahtangga yang bahagia ialah dengan menghilangkan syak wasangka kerana syak wasangka boleh meruntuhkan hubungan yang dibina bertahun-tahun lamanya. Lagipun dengan bersifat husnozhon (bersangka baik), hati akan lebih tenang, belajar pun lapang saja dadanya. Tidak kisahlah kalaupun orang ini dan itu bersikap tidak baik pada kita, kita berhusnuzhon sajalah, moga-moga kebaikan terlimpah atas kita. Orang yang tidak berprasangka wajahnya tenang, senyumnya tidak putus. Semoga kita tergolong dalam golongan ini insyaAllah.
2) Yang kedua ialah 'badmouthing' atau M.J. Kita tahu kan yang apabila di padang mashyar nanti, semua anggota akan bersuara kecuali mulut. Sebab dengan mulut ni kita boleh buat bermacam-macam dosa, dosa memaki, mencaci, menfitnah, mengutuk, menipu, mencebik, menengking, menyindir dan bercakap benda-benda lagha. See, its such a long list. Sebab itulah mulut harus dibisukan sewaktu kita menghadap Allah, kerana sudah cukup banyak rasanya mulut berbuat onar sewaktu kita diatas muka bumi.
Teringat aku dulu aku dan ibu suka benar bercerita sok sek sok sek dalam kereta pasal itu dan ini, last2 dimarahi ayah. Ayah cukup pantang kalau kami bercerita tentang orang lain. Kata ayah, sajalah tu buat dosa kering. kih3. Biasalah perempuan kan, mulut asyik nak bercakap. Tak terkecuali aku yang actually memang agak peramah. Kadang2 dengan orang yang aku baru jumpa pun aku boleh bersembang panjang berjela. Masa aku dibangku sekolah dulu, aku ni memang agak aktif jugalah menyertai kelab bersembang santai di bilik2 tv di asrama. Topik bualan tentulah berkenaan orang itu dan ini. Kadang2 aku jadi pendengar setia saja, kadang2 aku menyampuk. Biasanya orang yang diumpat itu orang2 yang tidak disukai umumlah. Seronok pula dengar keburukan orang dan tentulah perbuatan ini didorong oleh P.H.D. Tapi ada satu kejadian yang berlaku yang membuatkan aku terus bersara dari arena 'mengumpat' ini.
Kejadian yang mana ketika itu di dalam kelas rakan-rakanku sibuk mengata seorang pelajar yang cantik digilai ramai, ketika itu aku jadi pendengar saja. Entah kenapa mulut aku gatal, aku menyampuk tentang sesuatu ditengah perbualan rancak itu, sebab lelaki yang dikatakan ada hubungan dengan sipolan ini pernah juga cuba mengorat aku. Tup3 keesokan harinya tiba-tiba keesokan harinya heboh satu sekolah kononnya aku jadi perampas kekasih sipolan yang diumpat tadi. Isshh tolonglah! haha Tapi itulah akibatnya, hanya kerana 1% saja isi yang aku tambah dari kelab mengumpat semalamnya, seluruh kesalahan tiba-tiba jatuh di bahu aku. Angin juga dibuatnya, sampai aku terpaksa berjumpa personally dengan sipolan yang diumpat, dan orang yang membawa mulut kepada sipolan untuk meng'clear'kan namaku yang telah busuk. Dahlah ketika itu aku berada dalam perwakilan pelajar, tidak senang sangat rasanya apabila perkara sebegini berlaku.
Salah aku juga, degil. Ibu dah banyak kali pesan, jangan terlibat dengan kelab2 sebegini, kerana even hanya satu ayat saja yang kita tokok tambah, akhirnya kita akan terpalit sama. Lagipun dah terang2 mengumpat dilarang dalam Islam. Berdosa besar. Berdosa besar.
Sabda rasulullah saw;
"Tahukah kamu apakah yang dimaksudkan dengan Ghibah itu?. Lalu mereka menjawab : Allah dan rasulNya yang lebih tahu. Maka sabda nabi s.a.w : iaitu kamu membicarakan saudaramu tentang sesuatu yang dia tidak menyukainya. Kemudian nabi ditanya : bagaimana jika pada saudaraku itu terdapat apa yang saya katakan tadi?. Rasulullah s.a.w menjawab : Jika padanya terdapat apa yang kamu bicarakan itu maka bererti kamu mengumpatnya dan jika tidak seperti apa yang kamu bicarakan itu maka bererti kamu telah menuduhnya" ( Riwayat imam Muslim, Abu Daud, Tarmizi dan Nasai’e)
Sejak itu, aku jadi agak pendiam. Aku cukup elak dari duduk sekali apabila 'kelab2 mengumpat' ini dibilik TV. Aku tidak mahu dengar, aku juga tidak mahu menokok tambah. Aku cukup terkesan dengan apa yang telah berlaku. Cukuplah sekali, jangan buat kesalahan berkali2. Pernah juga aku dikata sombong kerana asyik bersendiri, tapi tak mengapalah. Allah lebih tahu. Alhamdulillah sampai sekarang, aku kurang dan jarang benar berbicara hal yang tidak elok tentang orang lain. Pendirianku, never judge people, dan jangan mengatakan sesuatu yang aku sendiri tidak tahu kebenarannya.
3) Yang ketiga sikap P.H.D. Aku rasa dalam cerita aku tadi yang ini tak jelas sangat kelihatan, tapi impaknya akan sama saja seperti sifat syak wasangka dan badmouthing. Ibu ayah selalu berpesan, untuk hidup tenang, kita kena elak perasaan hasad dengki dengan orang. Teringat aku sewaktu aku kecil2 dahulu, ayah selalu memarahi kami adik beradik terutamanya aku dan along kerana kami selalu bergaduh. Dulu, masa aku berumur 9 tahun, sewaktu pertama kali aku khatam al-quran dengan along, aku masih ingat yang aku asyik duk berlumba-lumba dengan along siapa yang akan khatam dahulu. Ketika itu along berumur 10 tahun. Habis bacaan aku tunggang langgang dan laju bak bullet train london-paris, gara-gara nak khatam sebelum along. Tapi aku tahu, ketika itu ibu dan mama (mak angkat yang ajar aku mengaji) memang sengaja nak bagi along khatam dahulu sebab along abang aku, dan dia berumur 10 tahun. Hakikatnya aku khatam lebih awallah kan sebab aku ketika itu 9 tahun. Tapi biasalah budak-budak, aku memang cukup tak puas hati, sampai kerumah aku menangis, last2 kena marah teruk dengan ayah sebab ayah kata aku dengki dengan along. Ayah cakap adik beradik tak boleh dengki mendengki, kena sayang dan kasih, barulah hati akan gembira, keluarga jadi harmoni.
Aku rasa, orang yang paling aku dengkikan sepanjang hidup aku ialah along. haha. kenapa? sebab berebut kasih sayang dan perhatian kedua orang tuaku kot.. Along memang anak emas ibu dan ayah sejak kecil, maklumlah sebelum ami dan ina lahir, hanya along saja lelaki, sulung pula tu diikuti aku, anis dan wawa. Jadi memang sayang benarlah kedua orang tuaku dengan along ni walaupun along ni nakal2 sikit sejak dia menjejak alam sekolah menengah. Antara ramai2 adik beradikku, boleh dikatakan di sekolah aku yang selalu dapat markah cemerlang, pegang jawatan tinggi2 sejak sekolah rendah. Namun semua tu tak dapat hilangkan pangkat along sebagai 'anak emas' keluarga. Lebih2 lagi perangai along yang hanya berdiam diri setiap kali dimarahi, lain pula aku yang suka memberontak, kurang kasih sayang kot haha.. Tambahan lagi ibu suka benar masak masakan kegemaran along, berbanding lauk kegemaran aku. Ada kadangkala ibu tidak ingat lauk kegemaranku apabila dia beli nasi lemak dihujung minggu. Hancur luluh hati ku yang kenit rapuh ketika itu kih3 hahaha lawakkan aku ni. Banyak sungguh terasa hati.
Akibat rasa P.H.D itu, hubungan aku dan along jadi tawar. Masa kami toddler, kami memang rakan gusti. Along selalu buat 'stonecold stunner' kat aku atas katil ibu dan ayah. Nasib baik tengkuk aku tak patah atau senget. haha Tapi menjejak alam remaja, hubungan aku dan along tak serapat dulu. Kami jarang berjumpa kerana masing2 duduk di asrama. Dan hubungan kami makin renggang lantaran aku mencemburui along kerana aku merasakan ibu dan ayah tidak pernah menyedari ber'harga'nya aku (eceeeewaaah haha), dan along juga mencemburui aku kerana dia merasakan ibu dan ayah melebih2kan aku kerana kepandaian aku disekolah.
Nampak kan, bagaimana P.H.D boleh merosakkan hubungan. Namun semakin kami meningkat dewasa, kami jadi makin matang. Aku masih ingat kata-kata ayah. Sekiranya kita merasa susah dan benci akan kesenangan yang dikecapi orang lain, hati tidak akan pernah tenang. Tenang itu datangnya dari hati yang bersih. Hati yang bersih datang dari sifat redha dan cukup dengan apa yang ada, dan meredhai bahagian yang dinikmati orang lain. Bagi kita bahagian kita, bagi mereka bahagian mereka. Macam yang ibu selalu pesan;
"Sekiranya kita ingin berjaya dalam ilmu pengetahuan, kita harus pandang pada orang yang lebih hebat dan berusaha untuk menjadi lebih baik darinya,
Tapi sekiranya kita melihat dunia dan isinya, kita harus lihat kepada mereka yang lebih payah dan susah dari kita, ia mendidik kita untuk rasa bersyukur."
“Jauhkanlah (oleh kamu) dengki (hasad) kerana ia akan memakan kebaikan sebagaimana api memakan kayu bakar.” – (Hadis riwayat Abu Daud)
“Janganlah saling hasad dan jangan mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah saling bermusuhan serta saling mendiamkan dan jadilah kamu bersaudara.” (Hadis riwayat Muslim)
Pengalaman adalah guru yang terbaik. Dan sesiapa yang tidak belajar dari sejarah akan mengulanginya. Aku dan along sudah dewasa, dan diapun dah nak berkahwin hujung tahun ni. Masing2 membesar dan belajar menjadi lebih matang, dan hubungan kami bertambah baik. Aku tidak pernah lokek dengan along, dan dia juga begitu. Malah kami kini saling berkongsi rahsia dan menjadi tempat rujukan apabila kami dilanda masalah. P.H.D itu sudah tiada lagi lantaran kami sedar yang kasih sayang ibu dan ayah pada kami tidak pernah berbelah bahagi. Ia mendidik kami menjadi insan yang lebih baik.
Aku kagum dengan kedua ibu bapaku, sepanjang aku membesar dalam didikan mereka, tidak pernah sekali aku dengar mereka bercakap buruk atau dengki kepada orang lain. Lagipun apalah yang kami hendak rungutkan sangat walhal alhamdulillah rezeki dan nikmatNya pada kami sudah tidak terkira banyaknya. P.H.D hanya akan membuat hati kita merasa tidak tenang dan kotor. Kami hidup dalam lingkungan kemampuan kami, kemewahan yang dikecapi orang lain tidak pernah menganggu gugat ketenangan kami. Malah biarpun keluarga kami tidaklah sekaya mana, ayah tidak pernah lokek menyelit duit2 kertas merah dan biru kehijauan itu di poket anak-anak buahnya. Sebab itulah rezeki ayah sentiasa ada kot.. Benar kata ayah, bagiku bahagianku, dan bagi mereka, bahagian mereka.
4) Last point ialah peri pentingnya memilih kawan. Bukanlah hendak memilih bulu atau nak kawan2 yang best saja, tapi kawan yang berada disekeliling akan memberikan impak yang besar kepada kita. Sebagai contoh aku yang sudah mula membina syak wasangka lantaran partnerku yang sering berkata buruk tentang si American tadi. Rakan2 yang kita pilih untuk mendampingi kita akan menjadi cermin untuk kita. Sekiranya kawan2 kita ialah yang orang2 yang beriman, maka kita akan turut sama tidak ketinggalan untuk meningkatkan keimanan kita.
"Bersahabat dengan orang yang soleh dan dengan orang yang jahat persis seperti berkawan dengan pengedar minyak wangi dan tukang besi (yang menghembus bara api). Pengedar minyak wangi sama ada ia memberi anda sebahagian atau anda membeli bau-bauan daripadanya atau sekurang-kurangnya anda mendapat juga baunya. Manakala tukang besi pula samada ia menyebabkan baju anda terbakar atau anda mendapat bau yang hapak." (Riwayat Abu Daud)
Malahan apabila kita dihimpun di padang mashyar nanti, kita akan dihimpun bersama rakan2 yang sentiasa bersama2 didunia. Sekiranya kawan2 kita adalah orang2 yang beriman, maka tergolonglah kita dalam kelompok orang yang beriman. Rakan yang baik akan membawa kita kejalan yang baik. Apbila berbual, masing2 akan mengelak dari mengumpat dan memburukkan orang lain. Hati akan lebih tenang, jiwa jauh prasangka, mulut kita suci terjaga.
Entry ini ialah sekali lagi peringatan untuk diriku dan rakan2. Apalah faedahnya kita prasangka, dengki atau memburukkan orang lain selain menambah dosa. Jangan lihat apa yang kita tidak ada, sebaliknya lihatlah apa yang telah kita miliki dan belajar lah bersyukur. Orang yang bersyukur dan redha dengan orang lain, hatinya tidak gundah, jiwanya tenang dan tidak resah. Maka ketenangan itulah harta yang paling berharga berbanding harta yang melimpah ruah.
Gunakan nikmat mulut dengan sebaiknya. Orang yang bijak tidak berkata yang buruk dan sia2.
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam.” (Shahih, HR. Al-Bukhari dan Muslim dari shahabat Abu Hurairah)
Sama-sama kita perbaiki diri. insyaAllah.
No comments:
Post a Comment