... I am A restless brain ...

Sunday, October 23, 2011

BHGN AKHIR~~bagaimana aku jatuh cinta pada'nya'... (hijabku,kemuliaanku.. ) ..

Assalamualaikum..

..Bahagian akhir..

Hijab bukan pilihan. Hijab adalah kewajipan. Sebuah perintah dari Pencipta kita. Sesekali tidak pernah aku mengatakan bahawa orang yang berhijab itu lebih baik dari yang tidak berhijab. Tidak sama sekali. Kerana bagiku nilaian iman itu adalah milik Allah Taala. Kita manusia tiada hak untuk menghukum dan mengadili. Malah adakalanya orang yang tidak berhijab itu jauh lebih baik dari yang berhijab. Disini, tidak pernah terniat aku untuk membezakan sesiapa jua kiranya. Malah aku ini hanyalah insan yang banyak dosa, tidak layak untuk menilai sesiapa..Cuma..Aku hanya terlalu ingin berkongsi dengan sahabat semua betapa tingginya nilai hijab itu dan betapa ia memberi kesan dalam kehidupanku..



Sesungguhnya mahunya kita seawal kita mahu berhijab ialah datang dari keyakinan. Orang yang mengikhlaskan hatinya untuk berhijab, pertama sekali yang ingin dilakukannya ialah memahami mengapa perlunya kita berhijab? Pernah seorang rakanku yang bukan muslim bertanya kepadaku, malah ramainya rakan2 mat saleh ku asyik bertanyakan soalan yang sama. Kata mereka, "You know what, you will look much more pretty when you are not wearing this veil". Malah ada juga antara mereka yang mengatakan Hijab ialah suatu penindasan terhadap wanita muslim. Namun benarkah hijabku ini suatu penindasan?

Sebab itu dari awal entry pertama aku menyatakan betapa pentingnya kita membezakan antara TAHU dan FAHAM. Kerana apabila kita tahu, kita akan cuba faham, dan apabila kita faham, disitulah terbitnya keyakinan.

Boleh kita tanya Allah mengapa Allah mewajibkan hijab untuk wanita?

Firman Allah bermaksud: “Wahai Nabi, suruhlah isterimu dan anak
perempuanmu serta wanita yang beriman, supaya melabuhkan jilbab mereka
bagi menutup seluruh tubuh mereka (semasa mereka keluar). Cara yang
demikian lebih mudah untuk mereka dikenali (sebagai wanita yang baik),
maka dengan itu mereka tidak diganggu. (Ingatlah) Allah adalah Maha
Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Ahzab, ayat 59).

Allah katakan bahawa salah satu sebabnya adalah supaya kita tidak diganggu. Teringat aku sebuah sirah Nabi yang aku dapat sewaktu mengahdiri sebuah sesi usrah, tentang kisah bagaimana turunnya perintah untuk memakai hijab buat wanita. Sebaik turunnya perintah pemakaian hijab, maka para sahabat Nabi ketika itu dengan pantas mengoyak pakaian mereka sendiri dan berlari memakaikan pakaian yang dikoyakkan tadi untuk menutupi aurat isteri2 mereka.Tiada penundaan, sebaik turunnya perintah, ketika itu juga mereka akur dan patuh. Selari dengan makna Islam itu yakni tunduk dan patuh. Namun kita umat masa kini, berjuta kali agaknya kita dididik untuk berhijab, kiralah sendiri berapa lama kita mahu tunduk dan patuh. Aku juga, mengambil masa bertahun-tahun lamanya untuk melaksanakan perintah berhijab dengan sempurna. Betapa lemahnya kita semua umat akhir zaman..

Salah satu alasan yang sering kita wanita utarakan sebaik ditegur tentang isu aurat ialah, kita belum bersedia. Kita tidak terbiasa memakai hijab sejak kecil. Teringat aku kata-kata naqibahku dulu, jika kita beralasan begitu, cuba kalau kita ditanya begini, " Sekiranya malaikat maut datang untuk mencabut nyawa, bisakah kita menjawab yang kita tidak bersedia? "





Ada juga yang mengatakan bahawa keluarga kita semuanya tidak bertudung, maka kita tidak biasa. Dan kita juga sering berkata bahawa orang yang sedia berhijab itu memang sudah dilatih sejak kecil bertudung, dan kita tidak. Memang, setiap orang ada ujian masing2. Ada bahagian masing2. Namun sesungguhnya kita sudah dewasa. Sudah boleh membezakan yang baik dan buruk. Kerana sekiranya kita beralasan begitu, secara tidak langsung kita sebenarnya tidak mencintai keluarga kita. Tahu mengapa saya berkata begini? Kerana ini ;

EMPAT golongan LELAKI yg akan DITARIK masuk KE NERAKA oleh wanita. Siapakah lelaki-lelaki malang ini??

1. AYAH: Seorang lelaki yang telah memberikan segala keperluan agama seperti didikan solat, menutup aurat dan sebagainya kepada anak perempuannya. Berusaha keras agar anak perempuannya hidup selesa dan berjaya dalam apa jua yang mereka lakukan. Tapi sayang anak-anak perempuannya pula tidak menutup aurat serta melakukan maksiat diluar pengetahuannya. Walaupun lelaki ini telah menunaikan segala tanggungjawabnya terhadap agama, lelaki berjasa ini tetap bakal bersama anak perempuannya ke NERAKA!

2. SUAMI: Seorang lelaki yang bersusah payah mencari sesuap nasi buat wanita kesayangan yang dikahwininya. Sebaliknya, isteri bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami serta tidak menutup aurat ketika keluar dari rumah. Ada juga isteri yang menutup aurat, tetapi keluar rumah diluar pengetahuan suami. Sekalipun lelaki bergelar suami ini soleh, dia tetap bersama isterinya ke NERAKA!

3. ADIK BERADIK LELAKI: Seorang lelaki yang kakak atau adik perempuannya yang belum berkahwin dijaga, dibantu serta dilindungi dari segala mara bahaya yang mendatang.. Kakak dan adik perempuannya pula tidak menutup aurat, keluar bermaksiat bersama bukan mahram, serta tidak menunakan solat. Lelaki ini bukan sahaja tidak mampu melindungi kakak dan adik perempuannya, bahkan akan turut menemani mereka di NERAKA!

4. ANAK LELAKI: Seorang lelaki yang menjaga ibunya, menunaikan segala suruhan serta taat kepada ibubapa dan agama. Malangnya si ibu tidak menutup aurat, tidak menjaga maruah diri dan agama. Ketahuilah bahawa anak lelaki kesayangan ini akhirnya besama-sama dengan ibu mereka di NERAKA!

Nauzubillah min zalik..Tidak kasih kah kita pada ayah yang telah membesarkan kita, suami yang mencintai kita sepenuh raga, abang yang membesar bersama kita, dan anak lelaki yang telah kita kandungkan sembilan bulan sembilan hari? Jika kita kasihkan mereka, mengapa kita heret mereka ke neraka sama?

Dan siapa pula yang berani mengatakan bahawa dalam Islam wanita ditindas? Lihatlah betapa besarnya peranan wanita dalam kehidupan sehingga dia mampu mengheret empat lelaki sekaligus atas kelalaiannya. Ya Allah.. Ampuni kami yang lemah lagi hina ini..

Dan satu lagi sebab yang famous mengapa wanita tidak mahu berhijab. Ada sesetengah dari kita mengatakan bahawa kita tidak cantik dalam hijab itu. Malah aku akui aku sendiri pernah suatu ketika dahulu terlalu taksub dengan dunia fesyen moden yang memperagakan tubuh wanita, menampilkan wanita-wanita cantik sehingga setiap anak remaja kini berlumba-lumba ingin terjun kedunia glamour yang begitu mengasyikkan. Dunia, hebat sungguh tipu dayamu!

Memang, memang wanita amat cantik bila dia tidak bertudung. Mana tidaknya, dengan rambut ikalnya yang beralun lembut ditiup angin, leher jinjang nya yang halus mulus, dan anting-anting labuh ditelinganya yang bergetar indah setiap kepalanya bergerak, bisa menggugat iman sesiapa sahaja yang memandang...




Malah aku akui, bila saja aku menonton drama-drama melayu yang heroinnya semua memang cantik jelitawan lah kan, dengan pakaian skirt, solekan cantik, timbul juga rasa cemburu dibenak hati. "Cantiknya dia..Cantiknya baju dia..Bestnya kalau dapat jadi cantik macam dia.." Itulah kita manusia bersifat lemah. Yang syaitan dengan seronoknya bermain-main dengan jiwa manusia yang kita yang rapuh. Bohonglah kita kalau kita kata kita tak mahu jadi cantik. Fitrah manusia suka kepada kecantikan.

Dan disinilah sebenarnya Allah menduga. Menduga keimanan kita. Sebab itulah dari awal sudah saya katakan, yang keikhlasan berhijab datang dari keyakinan dan keimanan. Siapa kata wanita berhijab tidak cantik? Dulu aku sangat mengagumi kecantikan model2 wanita yang seksi dan berhiaskan dengan solekan berinci2 itu. Namun kini tidak lagi. Aku lebih mengagumi dan mencemburui wanita bertudung labuh, terutamanya yang memakai purdah itu. Sungguh aku cemburu!


Aku selalu mengagumi wanita-wanita yang bertudung labuh kini. Jika dulu aku tidak mahu, sekarang aku jatuh cinta! Cuma mungkin aku belum sehebat mereka untuk memakai tudung besar labuh itu. Tapi aku berazam agar suatu hari nanti, aku akan menjadi salah seorang wanita bertudung labuh insyaAllah. Aku mengagumi kehebatan mereka, keyakinan mereka. Rasa cinta mereka. Rasa cinta pada Allah, pada Islam, dan pada empat golongan lelaki tadi. Subhanallah, Kau berikanlah aku kekuatan itu insyaAllah. Terima kasih kerana telah membuka mata dan hati ini, dan memberi aku peluang untuk berada dalam makrifah kasih sayangMu Ya Allah!

Hijab adalah kasih sayang dr ALLAH SWT bukan penindasan. Betapa Allah mengangkat martabat wanita ke tempat yang lebih tinggi, dengan melindungi kehormatannya. Sekiranya kita tidak mempunyai paras yang cantik dan kita bertudung, dan kita bimbang tiada siapa yang akan sedar kecantikan kita, ingatlah, Allah telah berjanji pada kita;

Allah S.W.T berfirman, “Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.” (an-Nur':26)

Allah itu tidak akan sesekali memungkiri janji Nya pada kita. Jadi jangan kita takut. Pernah tak kalian terbaca perumpamaan ini?

" Wahai muslimah..sebaik-baik wanita adalah wanita yang solehah..sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah..Perhatikan wahai Muslimah, perilaku sepohon epal yang rendang.Apabila musim berbuah berkunjung tiba, akan tumbuh buah- buah ranum.Merah dan gebu.Manis sekali.Jadi pada ketika ini banayak 'tangan-tangan' yang kepingin untuk merasa, memetiknya dengan rakus.Kesemuanya berebut- rebut untuk memetik untuk merasa kemanisan epal- epal yang merah masak.

Epal- epal ini banyak dikalangannya, yang merah ranum lagi manis, dengan sendirinya dan dengan sengajanya menjatuhkan diri sendiri ke tanah.Tanpa perlu bersusah payah untuk dipetik.Tatkala epal ini jatuh ke tanah,tangan-tangan yang rakus ini dengan tangkas mencapainya dan dimamah dengan serakusnya.Ada dikalangan epal ini, yang jatuhnya tidak dihiraukan oleh tangan-tangan yang bersih,lalu dibiarkan ia membusuk di tanah,sebagai habuan tupai-tupai nakal yang berkeliaran mencari rezeki, tanpa perlu bersusah payah menggapainya sendiri.Bagi tangan-tangan yang bersih ini,epal yang baik dan berkualiti,letaknya bukan ditanah,digumpali dengan kotoran dan sampah.Hilang sudah tarikan warnanya, serta kemanisan buahnya.Mana mungkin epal sebegini menjadi pilhannya?



Nun, jauh di atas, epal yang terbaik dan yang paling ranum akan kekal ditangkai.Merah dan menggebu.Sukar untuk dilihat kerana letaknya disebalik daun-daun sebagai perlindungan.Tangkainya juga tinggi,susah untuk digapai.Hanya yang benar-benar ikhlas berhajat untuk mendapatkan epal yang terbaik ini akan berusaha untuk mendapatkannya, bukan tangan-tangan yang kasar lagi rakus kerana hanya epal yang rendah akan menjadi pilihan mereka, selayaknya bagi mereka.Walaupun kadangkala epal terbaik ini risau tidak disunting mana-mana tangan manusia.Namun dia yakin,bahawa janji Allah itu pasti.Jadi, ia akan kekal dimana tempatnya berada.

Hanya tangan yang bertuah,akan berusaha mencari dan mendapatkannya.Tidak boleh direntap begitu saja sebaliknya perlu dipetik dengan cermat agar buahnya tidak jatuh dan luka.Agar bisa dinikmati secangkir madu dari manisnya epal yang terlindung..merah..segar..dan ranum..Hanya yang bertuah akan memiliki dan hanya yang bertuah yang dapat menikmati.."

Kita tentunya mahu menjadi epal yang baik itu, sukar dilihat namun terlalu tinggi martabatnya. Subhanallah. Mari kita buka hati kita untuk memahami kasih sayang Allah kita. Ya Allah, tunjukkan kami insan lemah ini kepada jalanMu Ya Allah..


Sahabat.. Jangan tunggu sehingga esok hari, kerana siapa tahu, esok tempat kita bukan lagi didunia ini, tetapi di alam yang selepasnya. Jangan kita leka kerana persinggahan kita yang terlalu sebentar ini. Islam itu perlu dicari, dan banyak ujiannya. Aku juga tidak mendapat Islam dan keyakinan dengan tiba-tiba, tapi aku berusaha mencarinya, dan hingga kini masih berusaha. Iman tak dapat diwarisi dari ayah dan ibu yang bertaqwa. Jangan tunggu hingga esok! Sebelum aku berundur, ingin aku kongsi sebuah video yang terlalu amat amat memberi kesan padaku sehingga kini, bergetar segenap jiwa dan menggigil ketakutan bila menghayati setiap bait liriknya. Takut..Takut bila masa kita sudah habis..

Sahabat maafkan aku sekiranya ada yang terluka. Aku insan serba lemah penuh kekurangan. Doakan aku berjaya bertudung labuh itu suatu hari nanti!!






Ya ALLAH! sungguh aku telah jatuh cinta!

No comments: