... I am A restless brain ...

Saturday, October 22, 2011

bagaimana aku jatuh cinta pada'nya'... (Aku perosak fesyen! ) ..garapan 1..

Assalamualaikum..

11.10 pagi, kota dublin..

Pagi sabtu yang murung..Langit di luar tidak secerah selalu..Matahari juga seolah-olah menyorok di celah-celah awan yang mendung..Kini cuaca sudah semakin tidak menentu..suhu sejuk serendah 3 degree baru2 ini..aaaahhh..winter yang menakutkan bakal tiba..terpaksalah lagi aku keluar seawal pagi meredah salji tebal dan angin pantai sejuk yang bakal meresap kesegenap tulang tubuhku..Namun begitulah sunnatullah..Pasrah aku tabah menempuh hari-hari yang mendatang..

Akhirnya, dapat juga aku menghadap tenang laptop miniku sambil jari jemariku menari-nari mengikut melodi fikiranku yang tidak sabar-sabar ingin meluahkan perasaan..Kali ini gelombang irama akalku tenang, sekiranya diterjemah dalam bentuk lagu, dapat juga sebuah lagu balada cinta agaknya. Cinta? Ya! Hari ini aku ingin menceritakan kepada kalian tentang kisah cintaku! (kontroversi sungguh bunyinya kan!) (^_~)v

Aku ingin menceritakan sebuah kisah cinta agung. Cinta yang terlalu agung tiada tolok bandingannya. Cinta pada siapa? Pada kekasihku? Siapa kekasihku?!! ecececece (ada gaya2 mak kassim selamat pula ye..)Bukan kisah cinta itula..Kisah itu, tidak mahu kucanang-canang pada dunia.. Bersuami pun belum, tiada pun kisah yang istimewa..

Tapi..Aku ingin ceritakan bagaimana aku jatuh cinta kepada.......sehelai kain yang kugunakan untk melitupi kepalaku...dan auratku..yakni HIJABKU..


Terasa malu sebenarnya untuk membuka pekung di dada, menceritakan betapa jahilnya aku suatu masa dahulu..Begitu jahil tentang bab aurat..Akan aku ceritakan bagaimana hodohnya kisah silamku, hingga aku akhirnya jatuh cinta kepada hijabku kini.. Terlalu jatuh cinta.. Bukan aku jatuh cinta pada hijabku kerana semua ahli keluargaku bertudung.. Bukan aku jatuh cinta kerana fesyen tudung masa kini semakin popular tudung ekinlah, wardinalah, melilit2 dikepala..Bukan juga kerana bakal suamiku lebih gemar aku bertudung..Tetapi kerana aku faham, hijab itu adalah tanda kasih cinta dan hadiah dari Allah swt untuk mengangkat darjatku dan menjagaku..

Inilah kisah cintaku..perjalananku..menacri cinta..

Aku bertudung seawal aku darjah tiga. Ketika itu aku hanya bertudung di sekolah. Aku mula memakai tudung secara terus seawal aku berusia sepuluh tahun. Ibu membelikan aku tudung yang berwarna warni ala2 mak cik gitu. Aku anak sulung perempuan ibu. Aku tiada kakak. Jadi cabaran terbesar menjadi anak sulung perempuan ini ialah proses mencari identiti. Bagaimana nak berpakaian. Bagaimana nak mengenakan tudung dengan betul. Seriusly nak kata aku ni memang sangat kurang pandai bab-bab fesyen ni. Tuhan saja yang tahu berapa juta kali agaknya aku diejek abang sulungku kerana berpakaian hodoh amat. Gelaran perosak fesyen tu memang dah jadi title aku. Umur baru nak masuk 12 tahun tapi pakaian aku memang ikut trend mak cik -mak cik. Kdang-kadang aku cemburu dengan rakan-rakanku yang pandai bergaya disekolah, mereka semua ada kakak dan ibu yang pandai bergaya. Aku jadi sedih sangat..




Aku tidak menyalahkan ibuku kerana itu, kerana aku tahu ibu juga memang sangat sederhana bab-bab fesyen ni. Dan aku sangat cinta kepada ibuku yang sederhana itu. Tapi biasalah, jiwa remaja kan, ingin nampak cantik, mahukan perhatian. Jadi mulalah aku mencari fesyen apakah yang 'suit' dengan diriku. Aku ingat lagi antara baju-baju aku sewaktu aku mengambil UPSR. Semuanya ketat-ketat belaka. Dengan jeansnya, dengan baju saiz 'S' nya.. Vogue la kononnya. Konon-kononnya tak mahu ketinggalanlah dengan rakan-rakanku yang lain. Aku juga mahu tampil cantik dan bergaya. Biar pun aku bertudung, namun auratku tidak ditutup dengan sempurna..



Bukanlah aku katakan aku ini membesar tanpa didikan agama yang cukup..Ibu bapaku telah memberikan aku ilmu agama yang cukup sempurna..cukup sempurna..Aku khatam al-quran seawal aku darjah empat, malah aku juga merupakan pelajar terbaik sijil Pendidikan Sekolah Rendah Agama (PSRA) dulu.. Tambahan lagi selepas itu, aku ditawarkan masuk ke dua buah sekolah agama terkemuka di Kuala Lumpur, salah sebuahnya ialah Sekolah agama Maahad Hamidiah Kajang. Malu sebenarnya untuk aku ceritakan disini, tapi tak mengapa, aku kongsi kebodohanku ini, untuk kita ambil pengajaran. Aku tidak mahu meneruskan pengajianku di situ lagi, kerana disitu, aku perlu memakai tudung labuh! Tudung besar yang labuhnya hingga keparas pinggang itu! Aku keluar dari sekolah itu sebaik aku ditawarkan masuk ke MRSM.. Terukkan aku? Malu mengimbas betapa jahilnya aku dulu.. Dan sayang seribu kali sayang.. Pelajar yang pintar ilmu agama ini begitu jahil tentang bab aurat...Begitu lemah sekali benteng yang didirikan untuk dirinya yang bergelar wanita..Begitu suka dia merendahkan lagi martabatnya yang telah Rasulullah perjuangkan untuk golongan wanita suatu masa dahulu.. Jahilnya aku..

Sebab itulah mengapa kita seharusnya faham, beza antara TAHU dan FAHAM. Ada antara kita yang tahu, tapi tidak faham. Ada yang tahu dan faham. Dan ada juga yang tahu dan faham, tapi buat-buat tak faham. Keras benar agaknya hati kita ini, hati manusia. Dulu, ilmu agama itu penuh di dada, namun kalau aku hanya tahu, namun tidak cuba faham, apatah lagi amalkan, ternyata ilmuku itu tidak berguna sama sekali.. Allah swt dalam buku cintaNya dalam Surah Al Hajj ayat 54,

“Dan juga supaya orang-orang yang beroleh ilmu mengetahui bahawa ayat-ayat keterangan itu benar dari Tuhanmu, lalu mereka beriman kepadanya, sehingga tunduk taatlah hati mereka mematuhinya dan sesungguhnya Allah sentiasa memimpin orang-orang yang beriman ke jalan yang lurus.”

Subhanallah.. Ya Allah ampunkan hambaMu yang begitu jahil ini..Cinta benar hambaMu ini pada dunia, sehingga aku leka memperagakan kecantikan rupa paras yang telah engkau berikan buat diriku..Bodoh benar aku suatu masa dahulu..Aku sedar betapa kewajiban menutup aurat itu adalah salah satu syiar dalam Islam, namun aku pandang remeh. Aku malu ditertawakan, maka aku tega memperagakan sesusuk tubuh yang sepatutnya aku lindungi. Aku begitu kisah dengan kata-kata orang, sehingga aku lupa betapa murkaNya Engkau pada diriku..


Kata orang.. Jangan lupakan sejarah kerana jika kita lupa, kita akan mengulanginya.. Dan aku tidak pernah melupakan Farah Syazana yang dulu, kerana aku sedar kerana sesungguhnya itu permulaan aku mencari cinta. Sebuah cinta yang telah menjadi sumber ketenagan hati menempuh kehidupan fana dan sementara ini. Dulu, saat aku begitu gemilang dengan setiap kejayaan yang telah aku raih, aku lupa bahawa sijil2 yang dipenuhi A itu ternyata kosong tanpa sebuah roh yang mengenali Allah dan agamanya. Dulu aku rasakan agamaku hebat kerana menjadi pelajar terbaik disekolah, namun sebenarnya diriku tika itu aku masih terlalu bodoh tentang apa itu Islam.Aku khatam berkali-kali namun aku tidak memahami setiap kalimah buku cintaku itu yakni Al-Quran..

Imam Ja’far al-Shadiq as berkata,

”Jika Allah menCINTAi seorang hamba, Allah ilhamkan kepadanya ketaatan, Allah biasakan ia dengan qana’ah (menerima apa yang ada), Allah karuniakan baginya pemahaman agama, Allah menguatkannya dengan keyakinan, Allah cukupkan baginya dengan sifat al-kafaf (merasa cukup dengan rezeki yang memadai) , Allah memakaikannya dengan sifat al-‘afaf'"

Alhamdulillah..hingga kini masih menitis air mataku kesyukuran, kerana Allah telah menyelamatkan aku.. Allah menyelamatkan aku dari kejahilan dan kebodohan yang terlalulama..Allah..Alhamdulillah.."Barangsiapa yang dikehendaki Allah dengan kebaikan maka dijadikannya FAQIH (kefahaman yang mendalam) terhadap ilmu agama" (HR.Bukhari-Muslim)..

Dan sebaik aku melangkah masuk ke MRSM..Disinilah Allah mula menyentuh hati seorang aku, hati seorang gadis remaja mentah bodoh lagi jahil ini.. Dan disinilah kisah cinta aku bermula.....

BERSAMBUNG DALAM GARAPAN 2....

No comments: