... I am A restless brain ...

Wednesday, February 9, 2011

Pelangi Petang Milikku.. ~~Perjalanan 3~~

~~... sambungan perjalanan 2 ...~~

Aku kaget. Sebaik aku menoleh tubuh sasa itu sudah benar-benar berdiri rapat dihadapanku. Nyaris saja aku berlaga tubuh dengannya. Dan mata kami bertentangan. Mataku yang penuh api kemarahan sebentar bertukar salju ketika aku menatap terus sepasang mata bundar yang sedang juga terpaku menatap mataku. Dunia sekitar kami tika itu sunyi seketika, dan aku seolah-olah sedang terapung di awang-awangan di sebuah taman penuh bunga. Oh kacaknya...




"Cik buku..." Aku yang sedang terbang tadi jatuh terbungkam ke bumi nyata. Astaghfirullah.. Umi ajar kita orang perempuan tak boleh duduk serapat ini dengan lelaki yang bukan muhrim. Boleh membawa kepada maksiat kata umi. Umi tegah anak-anak umi bercampur bebas dengan lelaki. Kenapalah anak umi ini selalu ingkar pesan umi. Aduhai Laila Juwita..Pantas aku berundur dua tiga langkah dari tubuh sasa dan sepasang mata dihadapanku yang telah membawa aku terbang ke alam fantasi bodohku tadi.

"Apa cik buku? Awak ingat nama saya ni buku ke? Muka je hensem, pakai kemas-kemas tapi langsung tak hormat orang lain.." Tuturku marah sambil membetulkan lipatan tudungku yang senget dek aksi memalukan tadi. Nasib baik tak ada orang perasan aku buat babak hindustan kat sini, kalau tidak malu aku..

"Amboi garangnya.. Dah awak kerja kat kedai buku, tak salah rasanya saya panggil awak cik buku kan. Anyway, tak payah nak kecoh-kecoh ye cik buku. Saya nak cari Oxford Handbook untuk Clinical Medicine, boleh tolong carikan? Saya tunggu kat depan kaunter sana ye. Anyway thanks for your compliment, saya memang tau yang saya ni handsome", selamba lelaki itu membalas. Mendidih darah aku mendengar kata-kata bongkak lelaki itu. Dahlah kurang sopan, perasan, dah tu boleh arah-arah aku itu dan ini. Minta maaf tidak, terima kasih jauh sekali. Simpati aku dengan mamat poyo itu, kaya harta, kaya rupa, tapi miskin pekerti, miskin budi bahasa. Sia-sia je Allah murahkan rezeki. Panjang aku mengomel sendirian sambil meyusun langkahku mencari buku yang dimintanya tadi. Aku tahu benar buku yang dimintanya, kerana aku juga ingin memiliki buku yang sama nanti, apabila aku mendapat peluang meneruskan pengajianku sebagai doktor perubatan. Tanpa sebarang senyuman, aku memberikan padanya di kaunter pembayaran, dan lelaki itu terus hilang dari pandangan sebaik memecut laju sebuah kereta mewah Honda Accord berwarna hitam.

"Kenapa Aila..Nampak awak manyak marah saja.." Puan Ling majikanku menegur aku yang tidak habis-habis mencebik masam.

" Takda apalah Kak Ling. Saya manyak angin la sama itu orang. Takda hormat sama orang lain. Harap kaya saja, tapi manyak kurang ajar. Saya tolong dia cari buku, jangan kata mau cakap terima kasih, senyum pun takda la Kak Ling. Saya memang manyak angin sama orang ini macam.." Balasku dengan pelat-pelat cina. Kelakar juga kadangkala apabila aku berbahasa begitu, tapi aku rasa lebih mesra dengan Kak Ling apabila berborak dengan pelat seunik itu.

"Haiya Aila. Jangan marah-marah. Awak sudah manyak cantik marah bikin muka buruk saja. Itu orang nama dia Tengku Zakri. Dia punya bapak ada syarikat manyak besar punya. Manyak kayala itu orang. Anak dia belajar doktor dekat itu universiti Islam. Manyak pandailah itu budak. Dia selalu mari sini beli buku. Jangan marah la Aila.Awak punya pasal, saya bagi awak balik awal ini hari haaa...Senyumla Aila.." Panjang Puan Ling bercerita tentang Tengku Zakri yang sombong itu. Aku hanya diam dan mengiyakan saja. Bagus juga sebab aku dilepaskan awal hari ini. Dapat jugalah aku singgah di pasaraya besar dan membelikan uniform yang Mia minta aku belikan.


****************************

Pertemuan dengan Tengku Zakri itu sudah 3 minggu berlalu. Tidak aku nafikan bahawa aku terpaku juga dengan wajah kacak dan karakter yang dibawanya. Tapi aku benci kepada lelaki sombong, kaya dan tidak tahu menghormati orang lain. Bukan tidak ada orang yang meminatiku sejak aku dibangku sekolah dulu, boleh dikatakan lebih sepuluh orang lelaki pernah menagih cinta dariku. Hampir tiap-tiap hari, ada saja hadiah diletakkan di dalam mejaku. Surat, bunga malah bekal makanan yang dibekalkan oleh ibu mereka juga diberikan padaku. Tapi satu pun tidak kulayan, tidak satupun pernah aku ambil dan simpan. Kebanyakan pemberian mereka, aku letakkan kemas di meja kosong belakang kelas, dengan satu nota kecil bertulis ungkapan maaf kerana tidak dapat menerima pemberian mereka itu. Malah ada juga yang selalu menggelar aku sombong dan kera sumbang. Aku juga selalu menjadi mangsa umpatan rakan-rakan perempuanku disekolah, iyalah, siapa yang tidak iri hati apabila namaku sering menjadi menjadi pujaan lelaki. Boleh aku katakan, zaman persekolahanku dulu tidak seindah pelajar lain. Namun aku bersyukur kerana Allah masih memberikan aku peluang dan ruang untuk menuntut ilmu dan aku sering ingat pesan umi, "Kunci untuk merasa tenang dan bahagia adalah dengan sentiasa bersyukur.Kecantikan, kekayaan, kebijaksanaan semuanya adalah ujian samada kita sedar ataupun tidak. Semakin sukar ujian yang diberi, tandanya semakin sayang Allah pada kita. Walau kita miskin, sekurang-kurangnya kita semua sihat, tidak cacat, malah dapat juga umi menyekolahkan kamu semua agar jadi orang yang berguna. Jika kita susah, ada orang lain lebih susah dari kita.."

"Aila.." Tersentak aku apabila suara halus umi menegur. Aku menoleh melihat wajah umi yang putih bersih. Baru lepas mandi agaknya. Cantik benar umi walau kelihatan kedut-kedut halus dibawah mata tanda umi makin dimakan usia. " Ya umi.."

"Ini ada surat untuk kamu Aila.. Posmen baru hantar tadi. Surat dari universiti agaknya. Ini ada lambang MARA di luar surat ini.." Lembut tutur umi dan hatiku terus diserang sejuta debaran. Oh Tuhan.. Bingkas aku bangun mengambil surat tersebut dari tangan umi dan membukanya. Mataku laju membaca isi kandungan surat yang selalu kunanti-nanti itu. Terus aku memeluk tubuh umi dengan linangan mutiara jernih yang deras jatuh dari mata bundarku. "Umi.. Anak umi ini akan jadi doktor.."

Umi membalas pelukanku lebih erat. Terdengar esak tangis kegembiraannya perlahan di telingaku. Saat itu merupakan saat paling bahagia buat aku dan umi. Kalaulah walid masih ada, pasti ketika itu juga dia akan memainkan lagu kegemaran kami dengan seruling tuanya. Oh walid, kalaulah walid masih ada.. Malam itu juga umi memasakkan lauk istimewa kegemaranku, asam pedas ikan keli. Mia dan Sohan tidak putus-putus memuji kakak sulungnya ini dan mereka juga berazam kuat untuk mengikuti jejak langkahku..

*******************************

Seawal pagi lagi umi sudah sibuk di dapur menyediakan sarapan pagi. Mia dan Sohan pula tidak jemu membantu aku mengemas barang-barang keperluanku ke dalam sebuah beg baju berwarna merah hati yang kubeli di pasar borong minggu lalu, khas untuk kubawa ke tempat baru nanti. Hari ini ialah hari pendaftaranku ke matrikulasi perubatan Universiti Islam Antarabangsa. Alhamdulillah berkat doa umi dan adik-adik, aku mendapat peluang melanjutkan pelajaran dalam bidang yang amat aku idam-idamkan sejak dulu lagi. Sebenarnya aku mendapat tawaran biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di Sheffield, United Kingdom. Tapi dengan berat hatinya aku terpaksa menolak tawaran tersebut kerana tidak tergamak rasanya aku ingin meninggalkan umi, Sohan dan Mia meneruskan hidup tanpa aku disini. Sebagai anak yang paling sulung, masih jelas terngiang-ngiang pesan walid padaku dulu, "Umi, Mia dan Sohan walid pertanggungjawabkan mereka kepada Aila. Aila yang paling tua, tugas Aila ialah sentiasa berada di samping mereka di saat susah mahupun senang. Meraka semua amat memerlukan Aila. Ingat, Aila adalah tulang belakang umi dan jangan sesekali Aila tinggalkan umi keseorangan.."

Walau agak berat hatiku untuk melepaskan peluang keemasan ini, aku terpaksa memohon kepada MARA untuk menukar temapat yang ditawarkan kepada institusi didalam negara sahaja. Umi pada mulanya menentang keras keputusanku menolak tawaran biasiswa ke luar negara itu, tegas umi mengatakan bahawa umi mampu menjaga Mia dan Sohan tanpa aku. Umi mahu aku terus terbang merantau dan mengutip seberapa banyak ilmu dan pengalaman, namun akhirnya umi akur kepada keputusan yang telah aku ambil. Akulah pengganti walid, biar ke tahap manapun aku berada aku tetap akan menggalas amanah yang telah walid wasiatkan kepadaku dulu.

"Kak Aila, Mak Cik Uda dah sampai tu. Mari sini barang-barang Sohan hantar ke kereta ya.." Tegur Sohan memecah lamunanku. Disebabkan Universiti terletak agak jauh dari rumah, terpaksalah umi meminta pertolongan dari Mak cik Uda meminjamkan keretanya kepada kami sekeluarga. Kami telah banyak terhutang budi kepada Mak cik Uda yang telah banyak membantu kami sejak kami berhijrah ke Kuala Lumpur. Mak cik Uda adalah sahabat baik umi sejak di bangku sekolah dulu.

"Terima kasih adik kakak.. Nanti bila kakak ada duit kakak belikan Sohan kasut bola ya.." Balasku lembut pada Sohan. Makin kacak adik lelakiku ini. Wajahnya saling tak tumpah iras-iras wajah walid. Sohan tersenyum manja. Mia juga turut tertawa melihat gelagat kami.

Perjalanan kami memakan masa hampir satu jam. Setibanya aku di ruang universiti, aku dan umi terus masuk ke ruang pendaftaran untuk mendaftar, manakala Sohan dan Mia duduk menunggu barang di kereta. Hati yang girang dan bersemangat tadi tiba-tiba berubah menjadi gementar dan tidak enak apabila mataku liar memandang ke arah pelajar-pelajar lain yang berpakaian kemas, bersama barang-barang keperluan yang lengkap dan mewah. Ada yang datang dengan kereta-kereta mahal, mereka juga berpakaian cantik dan segak. Sedang aku tidaklah membawa barang keperluan yang banyak dan baju-bajuku juga semuanya baju lama dan agak lusuh. Kasut hitam yang ku pakai inipun ku beli dari kedai kasut murah berharga sekita lima belas ringgit sahaja. Yuran pengajianku ditampung penuh oleh MARA namun wang pedahuluan pendaftaran terpaksa aku pinjam dari Mak cik Uda. Tiba-tiba aku rasa amat rendah diri dan terasing. Layakkah aku berada disini? Senyuman yang aku ukir sejak pagi tadi hilang tiba-tiba, terasa ingin sahaja aku pulang sahaja ke rumah dan melupakan hasrat untuk bersama-sama berjuang untuk meraih gelaran doktor di sini.




"Aila dah lupa pesan umi pada Aila? Bukan kekayaan dan pangkat yang menentukan kehebatan seseorang. Manusia di mata Tuhan semua sahaja, yang membezakan kita adalah taqwa. Allah tidak akan membebani seseorang manusia dengan sesuatu yang tak mampu dipikulnya. Maka Aila sudah terpilih untuk berada disini, jadi jangan sesekali Aila terfikir untuk berundur sebelum berperang" Tegas suara umi menegur bagai memahami badai resah yang melanda jiwaku. Aku memandang wajah umi yang berjalan disisiku sambil tangan umi hangat menggengam jari jemariku. Terasa bagai ada suatu semangat dan kekuatan umi salurkan dari genggaman tangannya terus masuk lalu membakar semangatku semula. " Lakukan ini demi Allah, demi umi dan adik-adik, dan demi walid. Aila kebanggaan kami.." Kata-kata umi terus menusuk kehati kecilku. "Baik umi.." Bergetar suaraku sambil mencium tangan umi perlahan.

Sesudah selesai semua proses pendaftaran, umi, Mia dan Sohan membantuku mengemas barang-barang di asrama yang disediakan. Kami turut berkenalan dengan rakan sebilikku, namanya Zulaikha yang berasal dari Kuala Lumpur. Pada sebelah petang, umi dan adik-adik terpaksa berangkat pulang. Tiba-tiba satu perasaan sedih menyerang dan aku tidak dapat menahan dari menitiskan air mata saat aku memeluk umi, Mia dan Sohan. Mana tidaknya, sepanjang aku bernafas dibumi Tuhan ini tidak pernah sekalipun aku pernah berpisah dengan tiga insan yang amat aku sayangi ini. Walaupun umi tidak mempamerkan kesedihannya, tapi dapat kulihat umi sembunyi-sembunyi mengesat air matanya dengan hujung lengan bajunya. Aku tahu umi wanita yang tabah. Jarang sekali umi menangis di hadapan kami sekalipun aku tahu jauh disudut hatinya dia sangat merindui dan menangisi pemergian walid.

"Kalau Aila ada duit lebih, Aila akan balik jenguk umi, Mia dan Sohan ya..Sohan..Mia.. jaga umi baik-baik. Belajar pandai-pandai sayang.."Ringkas pesanan aku ucapkan dengan suara bergetar menahan tangis.Mia dan Sohan juga mula menangis. Lalu kereta mereka bergerak perlahan meninggalkan perkarangan asrama, semakin lama semakin hilang dari pandangan mata. Oh Tuhan, Kau berikan padaku kekuatan...

***************************

"Ika, kau dah siap ke belum? Slot aktviti pagi dah nak mula dah ni" Cemas aku menegur Zulaikha yang masih menghadap cermin sambil mengenakan eye liner di mata kirinya. Zulaikha memang kuat bergaya, make up sentiasa lekat pada wajahnya. Maklumlah, gadis bandar.

"Kau pergi dululah Aila, aku nak touch up sikit lagi ni. Nanti aku jumpa kau kat sana ye.." Balas Zulaikha selamba.

Aku hanya tersenyum melihat gelagat Zulaikha. Sudah lima hari aku tinggal sebilik dengan Zulaikha, aku sudah agak kenal dengan perwatakannya. Dia seorang yang mesra, cuma karakternya yang kuat melaram itu membuatkan cara kami berbeza, namun kami serasi bersama. Aku terus mencapai beg galasku dan berjalan pantas menuju ke luar asrama. Jam sudah menunjukkan pukul 8.55 pagi dan sesi pagi itu akan bermula 9.00 pagi. Minggu Orientasi pelajar baru ini akan berakhir dua hari lagi. Aku terus mempercepatkan langkah menuju ke dewan besar.

Setibanya aku di sana, aku terus meluru untuk masuk kedalam dewan, namun aku ditahan oleh beberapa orang senior di depan pintu.

"Kenapa datang lambat ni..Ohh baru lima hari disini dah tunjuk besar kepala datang lambat. Macam mana nak jadi doktor ni.." Sergah salah seorang senior perempuan yang berbadan agak gempal. Aku hanya tunduk, bagaikan pesalah yang hanya menunggu masa untuk dihukum. Sesekali aku mengangkat muka memandang satu persatu sekumpulan manusia yang berdiri dihadapanku ini, tiba-tiba mataku terhenti apabila terpandang sepasang mata bundar yang seakan-akan pernah kulihat suatu masa dulu. Ya, dialah Tengku Zakri, lelaki yang pernah kutemui di kedai buku dua bulan lalu. Dia juga memandangku sambil tersenyum sinis. Oh, kau gelakkan aku ye. Tak apa, hari ini hari kau, esok lusa kau tunggulah! Aku terus merungut sendirian.




"Ni nak hukum apa ni abang kakak semua. Adik kita yang comel ni dah pandai datang lambat.." Senior perempuan tadi terus bersuara, macam mak tiri Snow White pula.

"Nampak muka macam pandai nyanyi je..Kalau abang nak dengar adik nyanyi lagu Negaraku boleh ke adik.." Tiba-tiba Tengku Zakri bersuara. Aahhh..Ni dah kira kes naya ni. Seganlah aku kena menyanyi seorang diri depan semua senior ni. Memang cari pasal dengan aku Tengku Zakri ni. Selalunya mereka denda ketuk ketampi 20 kali saja, tiba-tiba Tengku poyo ni pulak nak suruh aku nyanyi.

"Betul-betul.. Nyanyi...Laila Juwita" Senior perempuan itu terus menyambut saranan Tengku Zakri sambil membaca nama di name tag yang tersangkut di tudungku.

Tak pasal-pasal aku malu habis hari itu. Maka terpaksalah aku menyanyi dengan sumbangnya lagu Negaraku dihadapan enam orang senior sebelum aku dapat masuk kedalam dewan. Ini semua angkara Tengku Zakri perasan handsome tu. Tak sangka pulak dia adalah salah seorang seniorku disini. Benci betul! Zulaikha juga didenda kerana datang lambat, tapi dia hanya disuruh ketuk ketampi. Aku pula yang mendapat hukuman istimewa lain dari yang lain. Selesai sesi pagi itu, aku terus menuju ke taman di belakang fakulti sambil membawa bekalan roti kosong dan air mineral yang menjadi santapanku setiap hari. Aku tidak mampu untuk berbelanja di cafe setiap hari seperti pelajar lain. Biasanya duit biasiswa yang aku dapat aku simpan untuk belanja aku pulang kerumah dan juga membeli keperluan umi dan adik-adik. Aku juga gemar duduk di taman ini pada waktu rehat sambil melihat burung-burung berkicau dan bermain-main di dahan pohonan disitu.

" Cik buku..." Tengku Zakri muncul entah dari mana. Hampir tercekik aku kerana terperanjat dengan kehadirannya secara tiba-tiba. Dia tersenyum lembut padaku.



....bERSAMBUNG..............

No comments: