...Sambungan perjalanan 1...
Hatiku cemas bercampur takut. Difikiranku hanya ada umi. Apa yang telah berlaku pada umi? Aku bergegas menaiki tangga rumah lantas menjengah ke ruang tamu. Kulihat sekumpulan manusia duduk di perkarangan ruang tamu, bersama beberapa dulang hantaran di hias cantik berwarna ungu lembut. Mereka semua serentak memandang ke arahku yang tiba-tiba muncul tanpa memberi salam. Mataku terus mencari kelibat umi di antara kumpulan manusia yang tidak kukenali itu. Aku terlihat wajah umi yang merah padam duduk bersandar di dinding ruang tamu, membisu tanpa kata-kata. Dapat aku lihat helaan nafas umi deras turun naik bagai menahan amarah yang meluap-luap. Kelihatan juga Mia dan Sohan yang terintai-intai disebalik tirai dari dalam kamar depan teratak burukku. Aku tertanya-tanya 'acara' apakah sebenarnya yang sedang berlangsung disini? Mengapa umi masih membisu sekalipun sudah melihat aku pulang terpacak dihadapannya dan dari manakah datangnya gerombolan manusia yang tidak kukenali ini?
"Aila, mari duduk sini sebelah umi". Tiba-tiba suara umi memecah sunyi yang begitu menyeksa hatiku yang diserang seribu tanda tanya. Aku turuti perintah umi. Semua yang ada disitu masih tidak jemu melihat diriku, ada juga yang berbisik-bisik sambil tersenyum.
"Mereka ini rombongan meminang dari Orang Kaya Tuan Rahman dari kampung sebelah. Mereka datang ingin melamar kamu." Ringkas ucapan umi namun cukup membuatkan aku terasa bagai dipanah petir. Gila apa mereka ini yang ingin melamar aku yang masih belum mengahbiskan persekolahanku. Aku merenung muka umi yang dari tadi masih merah padam.
"Aila tak mahu. " Tegasku sambil terus memandang tajam wajah umi.
"Bagus." Jawab umi pendek. Bingkas umi berdiri.
"Kamu semua dengar apa jawapan kami kan? Kami tidak setuju. Tadi saya dah berikan jawapan saya dan kamu semua mahu mendengar jawapan dari mulut anak saya sendiri. Sekarang anak saya sudah menjawabnya. Sekarang saya mahu kamu semua pulang dan beritahu pada Tuan Rahman, bahawa kami terpaksa menolak". Lantang suara umi dan umi terus menyusun langkahnya ke dapur. "Aila, suruh mereka pulang". Tegas arahan umi tanpa langsung memandang kewajahku.
Aku tahu umi sedang menahan kemarahannya. Aku tahu umi merasa sangat terhina dengan lamaran tersebut. Lamaran dari lelaki tua yang sudah beristeri tiga, dan mempunyai 8 orang anak. Kini ingin pula lelaki tua itu melamar anak remaja umi yang belumpun menamatkan zaman persekolahan.Siapa yang tidak kenal perangai kasanova Tuan Rahman. Dia fikir harta kekayaannya dapat membeli maruah orang miskin seperti kami agaknya. Namun dia silap. Kami mungkin daif dan kedana, namun kami miliki harga diri yang tinggi. Semua yang hadir di situ-situ terpinga-pinga dan ada juga yang merengus marah. Mereka pulang dengan kecewa dan seribu satu cerita yang akan dicanang keseluruh kampung. Akan timbullah satu lagi cereka buruk tentang aku dan umi, dan semakin hebatlah kejian dan umpatan yang bakal kami terima selepas ini.
*****************************
Selang seminggu selepas kejadian itu, heboh satu kampung bercerita tentang aku dan umi. Ada yang mengatakan bahawa umi terlalu angkuh dengan kecantikannya dan aku sehingga sanggup memalukan Tuan Rahman. Ada yang mengatakan bahawa umi menghalau rombongan meminang Tuan Rahman dengan penyapu. Berbagai-bagai lagi fitnah dan cerca yang dicipta penduduk kampung yang sememangnya tidak senang dengan kami. Aku dan umi masih memekakkan telinga dan menjalani kehidupan kami seperti biasa. Perit lukanya hanya Tuhan yang bisa menguraikannya. SPM tinggal seminggu lagi. Dan aku terus menguatkan semangat untuk menggenggam kejayaan yang aku impi-impikan selama ini.
Tuhan itu Maha kaya dan Maha Mengetahui, aku lulus cemerlang dengan 10A1. Menitis air mata umi dek terlalu bangga dan memelukku erat. "Kita akan tinggalkan kampung ini Aila.Kita akan tinggalkan tempat ini yang telah banyak mencarik perasaan umi, Aila dan adik-adik." Aku terkejut dengan kata-kata umi. Rupa-rupanya umi sudah lama memasang niat untuk meninggalkan kampung ini dan dia hanya menunggu aku menghabiskan persekolahanku disini. Umi juga sebenarnya telah meminta bantuan seorang rakannya di Kuala Lumpur untuk mencarikan kami sebuah rumah sewa dan mencarikan pekerjaan untuk umi disana nanti. Umi juga telah menguruskan pertukaran sekolah Mia dan Sohan. Begitu tenang perancangan umi sehingga ku langsung tidak tahu menahu tentang rancangannya itu. Kata umi dia mahu kami sekeluarga berpindah secara senyap kerana tidak mahu ada sebarang masalah dengan penghijrahan kami itu. Kata umi juga dia ada mendengar ura-ura bahawa Tuan Rahman ada merancang sesuatu yang tidak baik terhadap keluarga kami untuk menebus malu kerana peminangannya kami tolak mentah-mentah.Umi tidak mahu memberitahuku semua ini kerana bimbang aku akan susah hati dan akan menganggu pembelajaranku. Seminggu setelah aku mendapat keputusan SPM, kami berpindah dari teratak kesayangan kami dengan bantuan rakan umi dari Kuala Lumpur itu. Berat rasa hati kami untuk meninggalkan teratak itu kerana terlalu banyak kenangan kami bersama walid yang ingin kami bawa bersama, namun aku tahu bahawa kami harus pergi untuk kami terus mengejar impian untuk memperbaiki kehidupan kami. Aku juga telah memohon untuk masuk keuniversiti dan juga biasiswa untuk meneruskan pengajianku dalam bidang perubatan. Aku tahu walid dan umi ingin benar melihat aku menyarung kot putih bersama suatu alat panjang yang sering aku lihat tergantung dileher doktor yang aku sendiri tidak tahu apakah namanya.Namun apa yang pasti, aku ingin menunaikan hasrat keluarga kami yang sudah lama tersimpan ini.
***********************
Kami memulakan kehidupan kami di Kuala Lumpur dengan baik. Kami menyewa di sebuah rumah kos rendah yang terletak tidak jauh dari pusat bandar. Umi mendapat kerja sebagai operator di sebuah kilang elektronik tidak jauh dari rumah kami. Mia dan Sohan juga meneruskan persekolahan mereka dengan baik. Biarpun pada mulanya kami makan kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang, namun semakin lama kehidupan kami semakin baik. Sementara aku menunggu keputusan permohonan universitiku, aku juga bekerja sebagai pembantu disebuah kedai buku tidak jauh dari rumahku. Dapatlah juga aku membantu umi menampung yuran persekolahan Mia dan Sohan. Setiap hari aku akan keluar bekerja seawal pukul 8.30 pagi dan pulang pada pukul 8 malam. Biarpun kehidupan kami agak susah, namun kami gembira kami dapat melepaskan diri dari tekanan penduduk kampung yang masih lagi dibelenggu pendirian iri hati dan benci. Majikanku berbangsa cina dan dia melayan aku dengan baik. Suatu hari, sewaktu aku sedang sibuk mengeluarkan stok buku-buku baru yang baru tiba dikedai, aku terlihat kelibat seorang lelaki tampan masuk kedalam kedai. Aku terpana seketika. Raut mukanya begitu bersih, baju yang dipakainya bersih dan kemas, haruman yang dipakainya dapat kuhidu walau jarak antara dia dan aku jauhnya 'sebatu'.Namun sayang, tiada satu senyuman pun terukir dibibirnya.Anak orang kaya agaknya,sombong semacam je, desas hatiku. Lantas aku menyambung semula kerja yang bertimbun dihadapanku ini. Waktu lunch dah nak masuk, nanti kalau aku tak selesaikan timbunan buku ini, alamatnya belaparlah aku sampai kemalam. Lagipun aku dah berjanji dengan Mia yang aku akan membelikannya uniform kadet polis di pasaraya besar selepas kerja nanti.
"Cik buku.." Suatu suara garau menyergah cuping telingaku, dan satu sentuhan singgah ke bahuku. Cik buku? Kurang asam punya orang, aku dipanggilnya cik buku siap pegang-pegang aku pula tu! Menyirap darahku lantas aku menoleh kebelakang ingin melihat manusia yang menggelarkan aku cik buku itu. Aku terpana dan mataku terbeliak. Aku menjerit terkejut.
...Bersambung............................
No comments:
Post a Comment