Assalamualaikum w.b.t.
****this entry is a continuation of series of thoughts. better to read it from the first entry so you can understand better =)
TUJUH : Mengapa 'mereka' yang kau pilih dan bukan aku?
Sehingga detik ini, walaupun sudah banyak yang aku fahami dan pelajari..
Masih banyak persoalan yang masih belum dapat aku hapuskan dari kotak fikiran.
Manusia apabila diuji dengan dugaan yang berat, fitrahnya mereka akan selalu mencari sebab dan alasan.
Untuk menjawab persoalan,
... "Mengapa aku Tuhan?" "Mengapa aku Tuhan?" "Mengapa aku Tuhan?"
Itulah soalan yang muncul dalam kotak fikiran, dari celik mata hinggalah sewaktu aku ingin menutupnya semula.
Makin kau mencari jawapan, kadangkala kau makin tidak memahami rahsia di sebalik kejadian.
Walhal kau sedar, sekiranya Iman dan Islam sudah tertegak di dalam tubuhmu, soalan itu seharusnya tidak timbul langsung.
Kerana kau percaya, Allah memberi hanya yang terbaik untuk kita.
Firman Allah dalam Al-quran surah Al-Hadid ayat 22;
“Setiap bencana yang menimpa di bumi dan yang menimpa dirimu sendiri, semuanya telah tertulis dalam Kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami mewujudkan-nya. Sungguh, yang demikian itu mudah bagi Allah.”
Dalam pada aku meniti hari hariku tanpa zuriat, Allah telah buka mata ku seluas-luas nya pada perkara yang tidak pernah aku lihat atau terfikirkan sebelum ini.
Walaupun luka dan pahit di hati ini semakin hari semakin dalam.
Namun akal fikiran dan hatiku terus menerus mencari kekuatan dan hikmah. Aku sedar bahawa kini aku sedang berada dalam sebuah "peperangan" dan "jihad" yang paling besar dalam hidupku.
Yakni "jihad hati".
Ada suatu kejadian, berlaku sewaktu aku berada dalam posting ke lima program housemanship ku. Posting yang sentiasa membuatkan aku berperang dengan perasaan dan emosi. Kalau dulunya inilah posting yang amat aku minati, tapi pada ketika itu, hati jadi sakit menempuh setiap hari.
Posting Obstetrics dan Gynaecology (Bidang sakit Puan).
Aku pada ketika itu sudah senior houseman. Hanya dua posting lagi sebelum aku melangkah ke alam MEDICAL OFFICER. Posting O&G Hospital Melaka boleh dikatakan salah satu posting yang amat 'azab', dek kadar kesibukan yang melampau. Bayangkanlah, di dalam negeri Melaka hanya terdapat sebuah Hospital Besar sahaja. Jadi segala jenis case yang complicated di himpun di sana. Jadi tidak hairanlah kebanyakan pegawai perubatan O&G yang dulunya baik dan lemah lembut boleh bertukar 'malignant' sekelip mata.
Faham. Just imagine the workloads. Just imagine the pressure.
Dalam posting O&G ini basically kami akan bertugas di empat tempat yang berbeza ;
1) Di CDS (central delivery suite) - tempat di mana wanita mengandung yang mempunyai sebarang masalah datang mendaftar kan diri dan di periksa pegawai bertugas. Pegawai bertugas akan men'diagnosa' masalah pesakit dan seterusnya di daftar masuk untuk rawatan lanjut.
2) Ward antenatal/ gynaecology / postnatal - Basically wad-wad di mana pesakit di tempatkan mengikut masalah masing-masing.
3) Labour Room - tempat di mana ibu-ibu yang sudah memasuki 'active phase' of labour meneruskan perjuangan mereka melahirkan. Inilah tempat yang paling aku gemari sebenarnya. Tempat khalifah-khalifah kecil lahir melihat dunia.
4) Operation Theatre (OT) - tempat segala operation berkaitan sakit puan di jalankan sebagai contoh pembedahan caeserian section, bilateral tubal ligation (ikat tiub peranakan) dan berbagai lagi operation berkaitan kesihatan peranakan wanita.
Ketika itu aku sudah masuk penghujung tahun kedua perkahwinan kami. Sedih, kecewa , marah , sebak, perasaan ku memang bercampur baur saat menjalani posting yang satu ini. Apatah lagi setiap hari melihat nyawa -nyawa baru di lahirkan.
Comelnya bayi itu, putihnya bayi ini. Hati tertanya-tanya bilakah agaknya giliran aku pula? Dan biasalah, jawapan - jawapan itu biasanya hanya akan di jawab dengan air mata sahaja. hahahaha
Ada beberapa kes yang tak pernah aku lupakan. Salah satunya berlaku pada suatu hari, aku bertugas syif petang.
Kaunter depan CDS mendapat satu panggilan dari ambulans, menyatakan ada satu kes BBA (born before arrival) akan tiba lebih kurang 10 minit lagi. Kes seorang anak gadis muda berusia 16 tahun bersalin di dalam tandas rumah, baby keluar dalam keadaan songsang.
Ambulans sampai lebih kurang 15 minit setelah mendapat panggilan kecemasan dari mak cik nya yang menyedari anak buahnya telah melahirkan anak di dalam tandas rumah. Tali pusat telah di potong oleh jururawat masyarakat yang tiba bersama ambulans tetapi uri nya masih belum dapat di keluarkan. Keadaan ibu stabil tetapi keadaan anak yang dilahirkan tidak terlalu baik.
Maka kami bersedia menyediakan sebuah bilik di dalam labour room. Ketika itu aku bertugas bersama tiga lagi rakanku. Mujurlah pada ketika itu Labour Room agak lengang dan tidak sesibuk selalu.
Sebaik kes tersebut tiba, kami menjalankan tugas masing-masing. Seorang mengambil troli darah untuk memasang branula sambil mengambil darah, seorang lagi membantu pegawai bertugas menyediakan alatan untuk menjahit luka perineum si ibu yang agak teruk, sambil pegawaiku sibuk mengeluarkan uri yang masih tertinggal di dalam. Seorang lagi sibuk melabel darah yang telah di ambil dan mengisi borang -borang berkaitan.
Aku pula di tugaskan untuk mengambil 'history' dari si penjaga yang menemani dan juga dari si ibu nanti.
"Aaaaahhh kes kes sebeginilah yang selalu buat aku rasa ralat. Mesti ini kes ibu muda yang mengandung tanpa akad. Sebab itulah si ibu tak mahu datang bersalin di hospital."
Getus hatiku.
Sebelum bertemu gadis itu aku sempat singgah ke NICU untuk melihat keadaan bayi tersebut. Di lahirkan dalam keadaan breech adalah sangat berisiko kepada bayi kerana akan berlaku penyekatan oksigen kepada bayi kerana bayi tidak dapat bernafas saat kaki dan badannya keluar dahulu.
Sayang seribu kali sayang, bayi itu telah mengalami komplikasi Hypoxia Ischemic Encephalopathy - satu keadaan di mana bayi mengalami 'brain damage' kerana otak bayi tidak mendapat bekalan oksigen yang secukupnya ketika proses kelahiran.
Bermakna bayi tersebut mengalami kecacatan kekal. Allahuakbar.
gambar bayi sekadar hiasan
Aku tenung bayi itu lama. Pastinya bayi ini cukup sifatnya sewaktu di dalam rahim ibunya, namun kerana ke'gila'an sesetengah manusia, bayi kecil yang tidak berdosa ini menjadi mangsa.
Luluh hati aku. Sekali lagi hati ini menjerit dalam bibir yang bisu, "Kenapa, Tuhan? Kenapa gadis itu yang kau pilih tapi bukan aku?"
Aku menarik nafas panjang. Beristighfar dalam-dalam. 'La tahzan, Innallahamaana.'
Aku menuju ke ruang menunggu untuk bertemu ahli keluarga pesakit, untuk meneruskan tugasku yang masih tertangguh.
Aku sudah siap-siap memakai 'mask'. Untuk menyembunyikan riak wajahku. Mereka bersalaman denganku.
"Saya Dr Farah, doktor yang merawat Puan M. Siapa Puan dan Cik kepada pesakit M ye?" Lembut aku memulakan perbualan.
"Saya ibu saudara M dan ini anak saya," mak cik itu memperkenalkan diri dan gadis muda yang duduk disebelahnya.
Belum sempat aku bertanya apa-apa, pantas mak cik M bercerita.
"Saya memang tak tahu langsung M tu mengandung. Dia pun tak pernah beritahu kami dia mengandung. Dua bulan lepas dia datang duduk dengan kami di Melaka, katanya nak datang bekerja. Betul ni, kami langsung tak tahu menahu." Sungguh -sungguh wanita separa abad itu menjelaskan posisi mereka.
"Takkan mak cik tak nampak perut dia yang memboyot? Tak rasa curious ke? Mustahil Puan tak perasan kandungan sembilan bulan gadis bertubuh kecil macam Puan M." Aku menduga. Enough of the lies please.
Mak cik itu terdiam sekejap, anak perempuannya juga terdiam seribu bahasa. Aku tahu mereka berbohong. Aku tahu mereka cuba melindungi kebenaran. But who is she trying to lie to?
Me? Or the world?
"Saya lebih suka mak cik beritahu hal sebenar. Anak saudara mak cik dah selamat melahirkan, tapi keadaan bayi tak begitu bagus. Ada baiknya mak cik berterus terang untuk memudahkan semua urusan. Lagipun ini ialah kandungan bawah umur, boleh jatuh kes Statutory Rape, ini kes polis." Suaraku keras namun masih berhemah. Aku mula rasa annoyed dalam keadaan sebegini pun mereka masih mahu menipu. Sakit hati memikirkan bayi yang tidak berdosa menjadi mangsa.
"M datang Melaka dari 3 bulan lepas, duduk di rumah kami sebab nak bersalin di sini." Gadis muda yang sejak tadi diam di sebelah ibunya kini bersuara. Namun matanya enggan menentang mataku.
"M mengandung anak teman lelaki dia di Johor, tapi lelaki tu tak nak bertanggungjawab. Ibu dan ayah M tak tahu pasal kandungan M, M tak berani beritahu ayah dia pasal kandungan dia sebab ayah dia garang sangat-sangat. Mati dia kena belasah nanti doktor.. Sebab tu saya berharap pihak hospital dapat rahsiakan perkara ni dulu.. Kami boleh jaga dia.." Terang gadis muda itu.
"M masih di bawah umur, jadi tak ada siapapun berhak memberi kebenaran dan jagaan selain daripada kedua ibu bapanya. Ini undang-undang. Tak kira apa pun situasinya, saya perlu panggil ibu bapa M dari Johor. Puan dan cik kena ingat, sekarang saya bukan bercakap hanya tentang M, tapi anak yang di lahirkan. Sekarang anak yang di lahirkan kemungkinan besar akan mengalami kecacatan otak kekal, Puan dan cik akan mengambil tanggungjawab itu juga ke?"
Aku membalas tajam. Aku rasa mereka-mereka masih lagi belum memahami betapa besarnya masalah M sekarang. Kalau lah dari mula lagi mereka berfikiran bijak dengan menghantar M ke klinik berdekatan untuk pemeriksaan menyeluruh, perkara sebegini tidak akan berlaku. Kenapa begitu cetek pemikiran? Kenapa? Kenapa?
Mak cik M mengangguk -angguk perlahan. Sambil menyerahkan nombor telefon ayah kepada M kepadaku.
...BERSAMBUNG...
No comments:
Post a Comment