Assalamualaikum w.b.t.
****this entry is a continuation of series of thoughts. better to read it from the first entry so you can understand better =)
LAPAN : Allah yang sedang mendidik
Sebaik mendapat nombor telefon ayah kepada M, aku terus menuju ke kaunter jururawat untuk mencari gagang telefon. Kepalaku berpusing dan berkecamuk. Semak terasa fikiran ingin menyusun ayat yang sesuai untuk memberitahu si ayah tentang keadaan anak perempuannya yang satu ini. Apa yang harus ku katakan?
"Encik A, maaf saya nak beritahu anak encik selamat melahirkan bayinya di Hospital Melaka. Keadaan anak encik stabil tapi bayi berkemungkinan mengalami cacat kekal lantaran kelahiran berlaku dalam keadaan tidak selamat di dalam tandas rumah adik perempuan encik di Melaka ini."
Begitukah?
Walaupun aku tidak mengenali encik A, tetapi dapat aku bayangkan perasaan beliau untuk menerima berita yang sebegini. Pasti hati nya remuk berkecai.
Aku tidak berhak menghakimi sesiapa, aku tidak kenal M, aku juga tidak kenal ibu dan bapanya. Dan apa yang menyebabkan M tergamak menjalin hubungan terlarang bersama seorang lelaki dan mengandung anak di luar pernikahan. Apa alasannya?
Sekilas aku terbayang wajah ayah yang telah membesarkan aku. Ayah punyai empat orang anak perempuan. Dan aku teringat pesannya yang satu ini saat pertama kali aku bertolak untuk belajar di luar negara.
'Adik kemana pun pergi akan bawa maruah dan air muka ayah. Maruah keluarga. Kalau nak buat sesuatu yang buruk, ingat muka ayah dan ibu ni. Kenangkan kami'
Itulah yang aku bawa, aku ingat di setiap langkah. Payahnya ibu dan ayah membesarkan dan memdewasakan. Mendidik dan mencurah penuh kasih sayang. Ketika lima tahun aku bertapa di tanah barat, banyak cubaan dan dugaannya, tapi wajah ibu dan ayah aku tidak pernah lupa. Aku hanya mahu mereka bangga dengan aku.
Tanpa aku sedari aku telah mendail nombor yang tercatat di atas fail, kedengaran suara garau seorang lelaki dari sebelah sana.
"Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam. Boleh saya bercakap dengan Encik A?"
"Ya saya A. Siapa yang memanggil ni ye?" Suara garau itu bertanya.
"Minta maaf ye cik. Saya Doktor Farah dari Hospital Melaka. Saya telefon encik ni berkenaan dengan anak perempuan encik, Cik M."
"Kenapa? Dia accident ke?! Dia ok ke tidak?" Suara yang garau tadi bertukar cemas, dan seakan menjerit.
Aku gugup. Menarik nafas dalam-dalam.
Breaking bad news.
Ini adalah skills yang telah di latih pada kami sejak di fakulti perubatan untuk menghadapi situasi situasi sebegini. Words that we are about to utter will change the whole world of a person.
"Tak, anak encik bukan accident. Maaf saya terpaksa minta encik datang ke Melaka hari ini juga.. Anak perempuan encik selamat melahirkan seorang bayi perempuan dan kini kedua-keduanya di rawat di hospital kami. Disebabkan anak encik baru sahaja berusia enam belas tahun, saya perlukan penjaga yang sah untuk datang ke mari."
Gagang di sebelah sana senyap sunyi. Encik A membisu lama. Aku juga mendiamkan diri untuk seketika. Aku tahu Encik A perlu menghadam informasi yang baru sahaja aku berikan. Mahu tidak mahu aku tetap juga harus memberitahu mengapa aku harus memanggilnya dari Johor ke mari hari ini juga.
"Bagaimana keadaan anak saya sekarang doktor?" Suara garau tadi bertukar menjadi amat perlahan. Sayu.
"Anak encik stabil, keadaan bayi masih dalam rawatan. Encik boleh datang hari ini ya? Kami tunggu. Banyakkan bersabar dan pandu dengan selamat ye encik."
"Baik doktor. Saya dan isteri akan datang secepat mungkin. Terima kasih doktor farah. Assalamualaikum."
Kebisuan Encik A yang tiba-tiba menjelaskan semuanya. Sungguh aku rindu benar pada ayah aku hari ini.
Dan sekarang, giliran mengambil history dari pesakit pula. Aku harus bercakap dengannya, mengambil cerita.
"Farah, kau nak aku tolong tak? Tadi masa doktor T (medical officer kami) check patient tu, dia still beriya-iya kata dia tak tahu dia mengandung. Masuk toilet rasa nak berak, tiba-tiba keluar baby. Sumpah merepek gila. Dia ingat kita doktor ni tak tahu yang dia menipu agaknya.." Tiba-tiba rakan sekerjaku C menegur aku yang sedang merenung tajam bilik bersalin 8 yang menempatkan pesakit M.
"Dia menipu, mak cik dengan sepupu dia kat luar pun cuba putar belit cerita juga tadi, tapi terpaksa cakap benar juga bila aku sebut pasal undang-undang. Mereka ni ingat melahirkan bayi ni main-main agaknya. Apa ingat nyawa bayi dalam kandungan tu hak mereka agaknya! Walhal bayi sihat tapi hanya kerana si ibu tak bertanggungjawab anak yang kena menanggung akibat!" Aku merengus kasar. Sambil aku memegang rahim ku yang sudah dua tahun setengah kosong. Sakit hati memikirkan satu nyawa bayi tidak berdosa di persia-sia kan.
"Anak dia kenapa wei?" C bertanya laju, cepat-cepat menghampiriku yang masih marah.
"Anak dia HIE(HYPOXIC ISCHEMIC ENCHEPHALOPATHY). Deprived oxygen masa teran songsang tulah. Baby tu siap masuk dalam bowl toilet lagi okay." Pendek jawapan aku sambil terus menuju kamar 8 membiarkan C terpinga- pinga di situ.
M menoleh pada aku sekejap saat aku masuk ke dalam bilik, kemudian dia terus melempar pandangan ke luar tingkap. Wajahnya lesu.
"Dik, saya nak ambil keterangan awak sikit pasal kandungan dan kelahiran anak awak." Tegang suara aku.
"Saya dah cakap banyak kali dengan semua orang kat sini, saya tak tahu pun saya mengandung! Apa yang susah sangat nak faham ni?!" M tiba-tiba meninggikan suara. Berlari seorang jururawatku ke dalam bilik melihat apa yang telah berlaku. Aku masih tidak berganjak. Menarik dan melepas nafas perlahan. Hati aku membara. Geram.
"Doktor farah ok kah? Kenapa awak terjerit-jerit ni dik? Kan doktor tanya awak elok-elok tu!" Bentak Kak L yang sememangnya bengang dengan kerenah pesakit yang satu ini.
"Tak pe kak L, saya boleh handle. Terima kasih ye Kak L, biar saya bercakap berdua dengan patient ni."
Kak L mengangguk faham dan menutup pintu.
"Awak tahu tak betapa seriusnya keadaan sekarang ni, dik? Awak masih nak menipu semua orang kat sini ke? Awak ingat semua ni benda main-main ke dik?" Suara aku sedikit meninggi. Mata aku tajam cuba menentang matanya. "Mak cik dan sepupu awak dua-dua dah beri keterangan. Saya dah panggil ibu dan ayah awak dari Johor.."
"Doktor panggil ayah saya? Matilah saya doktor! Matilah saya doktor!" M menangis semahu-mahunya.
"M, sekarang ni kes ni bukan tentang awak sahaja. Ini juga tentang anak awak, anak yang awak kandungkan selama sembilan bulan. Awak tak kesiankan anak awak ke? Sampai awak tak nak mengaku anak yang duduk dalam badan awak selama ni? Saya dan semua staff kat sini hanya nak bantu awak dan anak awak, tapi awak kena bagi kerjasama. Kasihankan anak awak. Awak dah jadi seorang ibu, dik. Awak dah ada tanggungjawab.."
M masih membisu. Dadanya turun naik menahan tangis.
"Apa juga dosa awak yang telah awak buat, tak dapat mengubah apa yang telah berlaku. Apa yang lebih penting, ada nyawa baru yang harus awak fikirkan. Nyawa darah daging awak. Dik, saya yakin mak ayah awak akan maafkan awak. Sekarang kita kena fokus pada anak awak, kebajikan dia, masa depan dia. Jangan tambah dosa dengan abaikan dia." Aku mendekati M, duduk di sisinya, sambil memegang tangannya lembut.
"Saya takut kak. Saya takut. Bila saya dapat tahu saya mengandung, saya tak tahu nak buat apa. Boyfriend saya kata dia nak bertanggungjawab, sebab tu saya tak gugurkan kandungan ni. Tapi tiba-tiba bila baby dah masuk 5 bulan, dia ada perempuan lain. Dia lari kak. Saya tak tahu nak buat apa, sebab tu saya lari ke Melaka rumah mak cik saya.. Ayah saya garang.. Nanti dia bunuh saya.. Dia garang kak.."
"Dia tak akan bunuh awak. Dia tak akan pukul awak. Macam mana sekalipun dia tetap ayah awak. Tapi saya nak cakap satu ni dik. Lepas ni sekalipun satu dunia akan menentang awak, awak kena protect anak awak. Kena fikirkan anak awak. Ingat pesan saya ni."
M mengangguk perlahan. " Macam mana keadaan anak saya kak? Saya panik sangat pagi tadi, perut saya dah sakit sangat. Saya takut, tak sempat panggil mak cik. Sedar-sedar sahaja kaki baby dah keluar.."
Aku memandang wajah M. Otakku ligat untuk menyusun kata-kata bagaimana untuk aku memberitahu keadaan bayinya yang kini sudah mengalami kecacatan kekal. Semua nya terlalu berat untuk gadis semuda ini. Baru sahaja berusia 16 tahun. Sudah berbadan dua. Sudah memiliki zuriat. Dan kini harus menjaga zuriat yang tidak sempurna sifatnya sepanjang hayat. Beratnya ujian kau, dik.
Aku ketika berusia 16 tahun, masih lagi seorang budak perempuan polos yang tidak tahu langsung tentang perhubungan seksual berlainan jantina. Tidak tahu tentang intercourse. Tidak tahu tentang apa-apa.
Dulu, mati-mati aku ingatkan ibu dan ayah tidur sebelah sebelah boleh bagi adik baharu. Tak pernah terfikir pasal persetubuhan. Mungkin masa zaman aku internet masih belum wujud. Otak hanya fikir nak dapat A sebanyak mungkin. Zaman mungkin dah banyak berubah.
M minta aku bawa dia berjumpa anaknya di NICU. Aku menolak kerusi rodanya ke arah NICU yang terletak hanya bersebelahan dengan Labour Room. M bagaikan hancur di hadapan aku sebaik melihat anaknya yang nampak begitu sakit. Dengan tiub pernafasan, dengan tali yang berselirat memenuhi badannya yang genit dan kecil. Anak itu sedikit pun tiada dosa, tapi di takdirkan tidak lagi normal seperti kanak-kanak lain. Kita manusia yang sudah diberi akal fikiran dan sudah diberi kebertanggungjawaban, tetapi kita pilih untuk ingkar. Aku harap M kuat. Aku harap M tidak lagi melakukan kesilapan dengan mensia-siakan anaknya.
.......................................
Ya, aku sebagai manusia memang tidaka kan faham RENCANA Allah s.w.t.
Diberi zuriat kepada orang yang mensia-siakan, sedangkan ada insan yang memuliakan cinta dengan perkahwinan ternanti-nanti ketibaannya.
....BERSAMBUNG...
No comments:
Post a Comment