... I am A restless brain ...

Tuesday, February 23, 2016

ayah saya tidak jahat, doktor!

Assalamualaikum w.b.t.


Perkara yang paling aku cintai bila aku bergelar doktor ialah apabila setiap hari aku terasa ditegur oleh Tuhan. Setiap hari dalam pekerjaan ini aku diberi peringatan. Setiap hari dalam melakukan tugas ini, aku diberikan amaran.


Dalam pekerjaan ini aku melihat kematian. Aku merasakan hembusan nafas terakhir insan. Aku melihat kejung dan detak jantung yang terakhir mereka. Setiap hari aku melihat kesakitan. Setiap saat aku diajar Tuhan supaya bersyukur atas setiap satu nafas yang dihembus. Setiap saat aku dididik mengenali ajal. Kerana itulah aku mencintai pekerjaanku. Kerana aku percaya, pekerjaan ini menjadikan aku dan mereka insan yang lebih baik.


Ada orang menegur aku, mengapa aku ceritakan kisah-kisah pesakitku pada dunia. Adakah niatku untuk mengaibkan? Atau menjaja keburukan orang?


Satu perkara yang aku faham tentang kehidupan. Pendidikan rohani banyak biasanya datang dari pemerhatian. Kerana Allah tunjukkan kuasanya melalui apa yang kita lihat dan apa yang kita fikirkan. Kerana itulah Allah berulang kali menyebutkan di dalam AL QURAN. Orang yang paling beruntung ialah orang yang melihat dan berfikir. Kita sama-sama berkongsi kisah dan pengajarannya, bukan menghakimi mengadili sesiapa.





Mari aku ceritakan tentang seorang lelaki bergelar ayah ini.


Satu pagi, anak gadis berusia 14 tahun berjalan masuk ke bilikku. Dia penghidap kencing manis jenis pertama (type 1 diabetes mellitus) yang berpunca daripada kekurangan hormones insulin yang dihasilkan oleh pancreas yang tidak dapat berfungsi seperti biasa. Bagi aku kes-kes beginilah yang paling kasihan. Di usia muda tubuh badannya menjadi mangsa jarum insulin yang empat kali sehari. Menjadi mangsa symptoms hypoglycaemia yang boleh menybabkan kematian sekiranya tidak dijaga.



Tidak lama selepas adik itu masuk, masuk seorang lelaki berusia 40 an. Barwajah letih dan layu. Memakai t-shirt lusuh. Bau badannya dapat ku hidu. Mungkin baru pulang dari kebun atau ladang. Mengekorinya perlahan dua orang anak kecil berusia sekitar 3 dan 4 tahun. Memegang seluar lelaki itu.

" encik siapa? " tanyaku.

" Dia ayah saya.." adik tadi menjawab. Lelaki tadi duduk jauh dari aku, mendiamkan diri.

Aku selak dua tiga muka buku hijaunya (buku pesakit diabetes). Banyak angka berwarna merah. Melambung2 ke langit kadar level gula adik itu. Banyak catatan doktor2 sebelumnya:

'not compliant to medications, not taking insulin'
'symptoms of diabetic ketoacidosis noted, but patient's dad refused patient to go to hospital. explained risk might be death, but dad refused.'

Aku selak dan selak, adik itu pandang aku tak berkedip-kedip. Tangannya digenggam2. Macam dia tengah sediakan diri untuk dibebeli pula.


"awak cucuk insulin ada tinggal tak? Gula hari ini masih tinggi".

" kadang-kadang cucuk kadang tak. Tak sempat doktor. Nak sekolah lagi, jaga adik lagi." jawab adik itu perlahan. ayahnya masih mendiamkan diri.


" Adik, doktor bukan nak marah tau. Tapi awak ni masih muda. Kalau gula awak macam ini, dalam 5 ke 10 tahun, buah pinggang, jantung dan mata semua boleh rosak tau. Dah dua tahun dah awak kena kencing manis. Awak pun dah besar dah boleh faham penyakit ni kan..Nanti kalau buah pinggang rosak, kena cuci darah guna mesin." sungguh2 aku terangkan sambil aku buka gambar2 buah pinggang, jantung dan mata yang rosak di google images. Sambil2 menoleh kepada ayah budak perempuan tersebut.

Dalm hal sebegini, aku rasa pemahaman ayahnya lebih penting. Kerana peranan yang akan dimainkan ayah tersebut sangat besar, apatah lagi adik tadi masih terlalu muda untuk penyakit chronic begini. Support sistem adalah perlu. Dari kedua ibu bapa khususnya.


" Saya tahu doktor. Tapi.. saya betul2 tak ada masa..." bergenang air mata anak gadis itu.


"Takpe doktor.. doktor bagi saja dia ubat.. pandai2lah dia makan nanti. Saya pun bagi dia makan ubat-ubat tradisional. Esok-esok oklah tu. " si lelaki tadi jawab sedikit terganggu sambil sibuk memujuk anak anaknya yang berdua itu.


"encik saya nak tanya.. kenapa masa bulan 12 haritu doktor nak masukkan anak ke hospital encik tak nak ye.. ni dah masuk dua kali kena gula tinggi macam ni. bahaya kalau dibiar saja.." aku beranikan diri tanya.


" Doktor saya ni kerja siang malam tak henti-henti. kalau anak saya ni masuk hospital siapa yang nak jaga adik2 dia ni?! Isteri dah meninggal dua tahun lepas. Anak saya enam orang. Yang ini sakit kencing manis pula! Muda-muda dah kencing manis! Haih! " lelaki bersuara garau itu bagai melepas rasa kecewa. Nadanya tertekan. Aku diam. Adik itu juga diam. Dia menangis. Mungkin dia merasakan bahawa dia adalah beban.


Lelaki tadi keluar dari bilik ketika itu juga. Mungkin keluar untuk menyorokkan air mata lelakinya dari pandangan aku dan anak perempuannya itu.


" mak meninggal kenapa? " aku pandang gadis muda yang sedang teresak2 dihadapanku.

" mak meninggal masa lahirkan adik."

"Bila mak meninggal ayah ke yang jaga semua adik beradik?" tanya aku lagi.


"ye.. ayah jaga semua. ayah kerja kontrak ladang je. Bila saya sakit, ayah lagi susah. Saya paling sulung, kalau saya masuk hospital, siapa nak tengokkan adik-adik. Kalau ayah tak kerja, nanti kat rumah tak ada makanan, nanti kena berhenti sekolah... Ayah saya bukan jahat doktor.. Bukan dia tak sayang saya.. Tapi dia macam tertekan sikit sejak mak dah tak ada...." tenang adik ni membela tindakan ayahnya.


Aku tahu dia juga terluka dan terasa. Dialah tulang belakang ayahnya, namun penyakit itu bagai beban yang tidak diundang.


Lima minit aku hanya diam dan biarkan saja adik ini menghabiskan sisa-sisa air matanya. Apabila dia kembali tenang, aku kembali menerangkan tentang masalah kencing manisnya. It is a hard truth, tough reality. But tetap perlu dihadapi.

"penyakit kencing manis bukan macam penyakit batuk selsema yang kita bagi ubat terus baik. Penyakit kencing manis seumur hidup. sekali kena, kita hanya boleh elakkan komplikasi saja. Nak ubat sepenuhnya dah tak mungkin. Yang kita mampu just make sure kesihatan awak maintain baik. Awak masih muda. Jauh lagi perjalanan. Adik beradik ramai. Sebelum awak jaga orang lain, awak kena jaga diri sendiri dulu.." aku pegang tangan adik ni.


Rasa bersalah pula aku bila aku bercakap soal kekuatan dan ketabahan dengan adik semuda itu. Bila aku terpaksa bercakap tentang tanggungjawab dan peranan di usia pada mana dia sepatutnya bergembira dan menikmati zaman mudanya. Kasihan, Sudahlah kematian ibu, dengan tubuhnya juga yang dihenyak penyakit kencing manis. Menggantikan peranan seorang ibu kepada 5 orang anak kecil yang sangat memerlukan kasih sayang dan belaian seoarang wanita. Allah beratnya rasa. Kalau lah aku ditempatnya, belum tentu aku setabah itu.



"Next time datang kita nak gula ni pakai pen hitam pulak ok?" adik itu mengangguk lemah. Aku harap, dia tidak jemu berjumpaku lagi. Aku tahu aku harus mendesak dia agar dia menjaga paras gulanya. Jika tidak, adik2 nya akan kehilangan seorang lagi 'ibu' mereka.


Kita rasa kita sudah cukup kuat dan mulia, walhal kita belum diuji dengan musibah hebat yang benar-benar akan menggoncang man kita. Ujian sebegitu hanya dikurniakan kepada orang-orang hebat, yang terpilih. Tolonglah malu pada diri sendiri, apabila kita belum pun diuji, tapi kita sudah merasakan kita sudah cukup beriman. Malah kita lupa untuk mensyukuri setiap nikmat yang kita telah perolehi.



Suatu ketika Imam Syafi’i pernah ditanya oleh seseorang, “Mana yang lebih hebat bagi seseorang, antara dikukuhkan (dimenangkan) atau diberi ujian.” Lalu Imam Syafi’i menjawab, “Ia tidak dikukuhkan sebelum diberi ujian” (لَا يُمَكَّنَ حَتَّى يُبْتَلَى) (Ibnu Al-Qayyim: 283).

Demikianlah sunnatullah terjadi pada orang-orang hebat di sisi Allah subhanahu wata’ala. Mereka tidak diberikan kemenangan sebelum diuji hingga berdarah-darah. Karenanya Rasul shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

أَشَدُّ النَّاسِ بَلاَءً اْلأَنْبِيَاءُ ثُمَّ اْلأَمْثَلُ فَاْلأَمْثَلُ يُبْتَلَى الرَّجُلُ عَلٰى حَسَبِ دِيْنِهِ فَإِنْ كَانَ دِيْنُهُ صَلَبًا اِشْتَدَّ بَلاَؤُهُ وَإِنْ كَانَ فِي دِيْنِهِ رِقَةٌ اُبْتُلِيَ عَلٰى حَسَبِ دِيْنِهِ (رواه الترمذي وابن ماجه)

“Manusia yang paling dashyat cubaannya adalah para anbiya’ kemudian orang-orang serupa lalu orang-orang yang serupa. Seseorang itu diuji menurut ukuran agamanya. Jika agamanya kuat, maka cobaannya pun dashyat. Dan jika agamanya lemah, maka ia diuji menurut agamanya” (HR. Tirmidzi dan Ibnu Majah).



Maka, nilailah sendiri diri kita, hebatkah ujian kita?





1 comment:

Anonymous said...

Hey doc! Believe it or not, I came to see you on 2/11/2016 dekat klinik kesihatan bentong. Ambil result ujian darah. I was curious since the 2nd time I came in also you pakai mask. I was thinking macamana rupa doktor ni ya. So I have to google. It brings me here.Nice writings doc! I'm not sure if you live here in bentong but if u need help ke or friend ke, just email me dalila_6987@msn.com

Sincerely,
Dalila Roslan