Nama aku Laila. Laila Juwita. Aku dilahirkan dan dibesarkan di rumah kecil ini. Rumah kecil yang hanya punyai satu bilik yang mampu memuatkan sekeping tilam usang setebal 2 inci dan sebuah almari 'mewah' peninggalan arwah nenek. Almari 'mewah' ini sudah tidak punya pintu tapi masih mampu memuatkan helaian-helaian pakaianku, adik-adikku Mia dan Sohan, dan juga umi. Aku amat sayang almari 'mewah' kerana dalam almari 'mewah' itu kami simpan sehelai kain pelikat kesayangan arwah walid dan seruling kesukaannya. Kain pelikat dan seruling walid itu kami letakkan dalam rak paling atas namun kami susun kedua barang tersebut dalam posisi yang mudah kami lihat dan tatap setiap hari. Oh walid, betapa kami semua amat merinduimu...
Satu perkara yang amat aku banggakan tentang diriku adalah nama milikku. Laila Juwita. Kerana namaku ini adalah nama pemberian walid dahulu. Kata umi, walid amat menyukai nama Laila kerana dia begitu meminati filem Laila Majnun yang aku sendiri tidak pernah berpeluang menontonnya. Tapi aku pasti watak Laila dalam filem tersebut pasti hebat sehingga dapat memikat hati walid yang padaku tersangatlah garang pada usia mudanya. Juwita pula adalah nama pemberian Tok Ki, arwah ayah kepada umi. Kata Tok Ki Juwita bermaksud gadis jelita. Maka selalulah aku ini perasan habis yang apabila aku dewasa nanti aku akan jadi seorang gadis jelita seperti yang selalu dikatakan Tok Ki. Arwah walid pergi meninggalkan kami tiga tahun lalu akibat terkena jerat buatan orang sewaktu walid masuk ke hutan mencari buluh untuk dibuat lemang seminggu sebelum menjelangnya Hari Raya Puasa. Sejak kejadian itu, hari raya kami tidak pernah semeriah seperti sebelumnya, kerana pemergian walid terlalu amat dirasai. Hidup kami sekeluarga yang sememangnya daif semakin susah hari demi hari. Sewaktu pemergian walid, umi sedang sarat mengandungkan Sohan. Tunggang-langgang juga hidup kami ketika itu, kerana selama ini umi tidak bekerja dan kami hanya bergantung hidup pada walid yang bekerja sebagai kerani disebuah pejabat pemprosesan kelapa sawit di pekan Muar. Sejak walid pergi berjumpa Tuhan, setiap hari aku dan Mia terpaksa mengambil upah mencuci baju dan pinggan mangkuk orang-orang kampung yang ingin menggunakan khidmat kami atau kasihan kepada kami yang baru sahaja mendapat gelaran anak yatim. Pada mulanya, Mia sering menangis kerana pada waktu itu usianya baru sahaja mencecah 9 tahun dan Mia terkadang dimarahi dan diherdik kerana sering melakukan kesilapan seperti memecahkan pinggan atau tertidur sewaktu sedang bekerja. Lama kelamaan kami menjadi lali dengan kepayahan yang kami lalui. Penat kami terasa hilang saat kami berjaya membawa pulang beras dan sedikit pisang pemberian majikan kami dan menyuapkannya kemulut umi yang sedang dalam pantang selepas melahirkan Sohan. Dengan gaji kecil kami, kami juga dapat membeli susu tepung murah untuk memberi Sohan minum. Dari detik itulah, Laila Juwita telah mula hidup bertabah sebagai anak sulung keluarga dan belajar mencari rezeki demi umi dan adik-adik.
3 tahun selepas pemergian walid, aku kini telah mencecah umur 14 tahun. Alhamdulillah berkat usaha umi yang mengambil upah menjahit baju dan langsir untuk orang kampung, dapat juga aku, Mia dan Sohan merasa nikmat persekolahan. Kata umi, dengan ilmu sahajalah kami dapat mengangkat martabat keluarga, dan mengubah nasib kami yang hidup susah sebegini. Maka kemiskinan dan ketabahan umilah yang sering menjadi pembakar semangatku untuk terus menjadi salah seorang pelajar terbaik disekolah. Disamping belajar, pada sebelah petangnya aku membantu menambah pendapatan keluarga dengan bekerja di warung kepunyaan mak cik Suraya tidak jauh dari rumah. Walaupun gaji sebagai seorang pembantu warung tidaklah sebanyak mana, namun cukup untuk aku meringankan beban yang ditanggung umi keseorangan tanpa walid.
Namun, ujian Tuhan pada kami bukanlah setakat pada ujian kemiskinan dan pemergian walid sahaja. Umi kepunyaanku ini sebenarnya sangat cantik dan digilai oleh banyak jejaka didalam kampung. Ibu kapada umi mempunyai darah keturunan Belanda dan berkahwin dengan Tok Ki yang merupakan pemuda tempatan. Wajah umi mempunyai iras-iras wanita Inggeris, kulitnya putih mulus, susuk tubuhnya tinggi lampai, rambutnya lurus di bahagian atas dan berombak pada hujungnya. Tambah memaniskan raut wajah umi ialah lesung pipit di tepi bawah bibir. Pada usia muda umi, umi amat digilai namun ternyata walidlah lelaki pilihan hati umi. Lamaran-lamaran dari orang-orang kaya dari dalam dan luar kampung semua ditolak umi tapi lamaran dari kerani biasa jualah yang memaut cintanya. Sejak umi membina mahligai rumahtangganya bersama walid, keluarga kami agak disisihkan. Namun, kebahagiaan yang dicipta umi bersama walid nyata terlalu indah sehinggakan umi dan walid tetap gembira ditambah pula dengan kehadiran tiga cahaya mata yang menambah seri dalam keluarga kami. Namun sejak pemergian walid hati umi hancur berkecai bagai kaca yang dihempas kebatu. Walau umi tidak pernah bersuara, namun sering aku lihat mutiara jernih yang gugur dari kelopak mata umi ketika umi menjahit baju. Malahan ada ura-ura yang mengatakan bahawa walid dibunuh orang kerana ada yang tidak senang dengan kebahagiaan umi dan walid. Apapun cakap-cakap orang kampung aku dan umi pekakkan telinga.. Bagi kami biarlah walid pergi dengan tenang, dan biarlah Allah saja yang menjaga walid disana dan kami disini. Tapi apa yang merunsingkan aku ialah sejak pemergian walid, umi sering diganggu oleh lelaki-lelaki miang yang masih tergila-gilakan umi, bukan sekali dua umi dilamar malah banyak kali. Namun semuanya umi tolak mentah-mentah. Aku tahu umi masih menyintai dan merindui walid. Sebab itulah, umi lebih senang bekerja dirumah sahaja.Setiap kali umi keluar ke pasar atau mengambil Mia dan Sohan disekolah, ada sahaja mulut-mulut yang mengeji umi. Katanya umi janda miang yang ingin merampas suami orang,perosak rumahtangga orang, walhal sekalipun umi tidak pernah berbuat begitu. Aku kasihan pada umi. Sebab itulah, aku berazam untuk belajar bersungguh-sungguh dan berjaya menjadi seorang doktor dan aku ingin membawa umi keluar dari kampung yang telah banyak meremukkan hati kami ini.
* * * * * * *
Sejak mula aku bekerja di warung mak cik Suraya setiap hari selepas habis sekolah, semuanya berjalan seperti biasa. Sebelum pukul 8 malam aku sudah dibenarkan pulang. Namun ternyata, kejelitaan yang aku warisi dari umi telah mula membawa musibah sekali lagi kepada keluarga kami. Tahun demi tahun berlalu, aku semakin meningkat remaja dan semakin terserlahlah kejelitaan dan kewanitaanku. Kata umi, aku lebih jelita darinya sewaktu muda. Tubuhku yang tinggi lampai dan kulit putih mulus yang yang kuwarisi dari umi ternyata menggegar iman lelaki-lelaki yang datang makan di warung mak cik Suraya. Semakin hari semakin ramai lelaki yangdatang ke warung tersebut maka semakin larislah perniagaan mak cik Suraya. Baik yang muda remaja hinggalah lelaki tua bangka sudah punya cucu cicit. Ketika ini usiaku sudah 17 tahun dan pada tahun ini aku akan mengambil peperiksaan SPM, penentu masa depanku. Segala gangguan yang aku lalui aku tidak ambil peduli. Sesekali ada tangan-tangan miang yang ingin menjamah tubuhku sewaktu aku ingin mengambil pesanan makanan aku tepis dengan baik.Kalau ikutkan rasa baran remajaku ingin saja aku tampar lelaki-lelaki miang itu atau mahu saja aku tuang teh panas ke muka mereka. Namun mengenangkan umi dan adik-adik, kesabaranku membatasi segalanya. Aku tahu jika aku buat hal, tempiasnya akan terkena pada umi dan adik-adik. Silap-silap kami boleh dihalau dari kampung. Sudahlah musibah menimpa umi belum surut, kini timbul pula musibah dari aku. Kadangkala aku keliru dan tertanya adakah nikmat kecantikan yang kami miliki ini adalah satu rahmatNya atau musibah dariNya. Astaghfirullah.. Sesungguhnya kata umi segalanya ini adalah ujian yang menguji darjat iman kami..
Biarpun dengan gangguan tidak surut-surut aku gagahkan hati belajar bersungguh-sungguh dengan target 10 A1 dalam genggaman. Mia kini dalam tingkatan 3, manakala Sohan pula darjah 1. Wajah Mia saling tidak tumpah wajah walid, wajahnya manis dan ayu mewarisi kemanisan wajah walid yang sering dirindui umi. Mia juga merupakan salah seorang pelajar pintar sekolah begitu juga Sohan. Inilah anugerah yang telah Tuhan kurniakan buat kami sekeluarga, kebijaksanaan dan kecantikan yang telah menjadi bahan iri hati penduduk kampung terhadap keluarga kami. Sebut sahaja keluarga janda Sarimah, pasti orang mengenali kami. Biarpun banyak mulut yang mencerca dan mengeji, kami tenang melalui titian hidup kami. Sehinggalah pada suatu hari, saat aku pulang kerumah, aku lihat banyak kereta tersusun diluar teratak buruk kami. Jantungku berdegup laju. Difikiranku hanya ada umi. Apa yang telah berlaku pada umi? Umi!!
BERSAMBUNG........
No comments:
Post a Comment