... I am A restless brain ...
Saturday, May 15, 2010
Ramadhan Yg Hilang..Nukilanku~~~
“Kuadaptasikan kisah ini dari kisahmu wahai adik yang kukasihi.. Fatimah yang kini kakak sendiri tidak tahu kemana kau menghilang.. Mungkin perit hidupmu kerana terpaksa membesar di rumah anak yatim itu.. Namun kakak yakin jauh di sudut hatimu, kau tabah..=)”
Ramadhan yang hilang
Hatiku resah. Seperti selalu benci benar aku mengenangkan Ramadhan yang menjelang ini. Hatiku remuk redam memikirkan bulan ini muncul lagi dalam diari kehidupanku. Tak dapat kulupakan saat-saat hitam itu. Kesannya masih berdarah jauh dilubuk hati. Peristiwa yang telah memusnahkan kegembiraan untuk seumur hidupku. Tak mungkin aku lupakannya. Aku tidak akan memaafkan Ayah Uda. Tak mungkin!!
“Isah sayang..” Perlahan suara Kak Yana menyapa telingaku. Lembut suara Kak Yana benar-benar menggugat keangkuhanku. Halus jari-jemari Kak Yana singgah ke bahu. Aku terus membisu.
“Kak Yana baru sampai?” Aku menjawab perlahan. Wajahnya yang lembut kutatap. Satu ketenangan singgah di jiwaku.
“Kak Yana baru sampai. Kak Yana bawa Abang Soleh sekali. Ingat tak, kawan lelaki akak yang pernah Kak Yana ceritakan pada Isah kelmarin..” Lembut tutur Kak Yana. Senyumannya manis penuh makna. Sesekali tudung labuhnya beralun-alun lembut ditiup angin menyerlahkan keayuan wajahnya. Kak Yana memang cantik.
“ Betul Kak Yana !?” Aku menjerit kegembiraan. Pantas aku mengukir senyum. Kak Yana benar-benar menepati janji. Baru kelmarin aku mendesak Kak Yana untuk memperkenalkan buah hatinya, merangkap tunangnya kepadaku. Kak Yana dan Abang Soleh baru sahaja menamatkan pengajian kedoktorannya di United Kingdom . Mereka sedang merancang untuk berkahwin.
“Isah ingat Kak Yana bohong Isah ye? Mari, Abang Soleh tak sabar-sabar nak jumpa adik kesayangan Kak Yana ni..” Lembut tanganku ditarik Kak Yana. Kemesraan Kak Yana benar-benar menjernihkan hatiku yang keruh ini. Sudah hampir 7 tahun aku mengenali Kak Yana. Pertemuan pertamaku dengan Kak Yana bermula ketika dia menjalani program khidmat masyarakat di Rumah Anak-Anak Yatim Kajang ini. Tutur katanya yang manis dan perwatakannya yang lemah-lembut dan mesra benar-benar membuatkan aku mengaguminya. Jika aku diberi peluang untuk dilahirkan semula aku ingin sekali menjadi seayu dan selembut Kak Yana…
* * * * *
“Isah..Mari tolong umi sekejap!” Nyaring suara umi melaung namaku. Bingkas aku menggagahkan diriku bangkit dari tempat tidurku. Lesu benar suara umi. Kulihat umi sedang sibuk di dapur . Umi tersenyum manis kepadaku. Terasa sayu membiarkan umi bekerja seorang diri menyediakan juadah sahur untuk kami tiga beradik…
“Ya umi, Isah datang umi..” Perlahan aku mendekati umi.
Ku paut bahu umi yang sedang sibuk menggoreng telur. Umi sedang sarat mengandung adikku yang keempat namun umi tetap gigih berusaha memberi kemanisan Ramadhan kepada kami tiga beradik. Sayu kulihat pinggan berisi nasi goreng di atas lantai di ruang tamu teratak kami. Kukucup dahi umi penuh kasih. Hatiku merintih. Kalaulah Abi tidak pergi, kita takkan jadi begini umi..
“Isah, pergi kejutkan Fatimah dan Ansor. Rezeki sahur kita murah hari ni. Semalam Nek Tipah ada bagi kita telur ayam sedikit..Mesti adik-adik Isah suka”, ucap umi girang. Nafasnya yang tidak teratur dapat ku dengar, maklumlah sarat benar nampaknya kandungan umi.
“Baik Umi “ Lembut tuturku lantas kakiku melangkah laju ke arah Fatimah dan Ansor. Nyenyak benar tidur mereka walaupun teratak kami cukup dingin dan bocor di sana-sini. Perlahan kusentuh pipi Ansor sambil memangkunya lembut.
“Ansor.. Bangun sayang. Umi panggil sahur. Mari makan sama umi..” bisikku perlahan sambil tajam kumerenung ke wajah Fatimah yang sejak semalam demam panas. Ya Allah.. Tabahkan hatiku dan umi yang berjuang demi keluarga ini..
Praanggg!!!
Aku terkesima. Bingkas aku berlari kearah dapur. Umi!! Hatiku dipanah bimbang.
Ansor yang kupangku tadi diletakkan kasar di atas tilam. Difikiranku hanya ada umi. Ya Allah, selamatkan umiku!
Setiba di dapur, kulihat kelibat Ayah Uda bengis merenung tajam umiku. Ayah Uda ialah ayah tiriku. Dia ialah ayah yang paling tidak bertanggungjawab dimuka bumi ini. Kalau sahaja membunuh itu tidak berdosa, sudah lama aku tetak Ayah Uda dengan parang arwah Abi. Ayah Uda bukan sahaja kejam kerana sering memukul aku, Ansor dan Fatimah, malah Ayah Uda sering mengugut dan memukul umi kerana tidak memberinya wang untuk membeli arak yang menjadi minuman rutinnya. Aku benci ayah Uda! Benci sungguh!!
Aku cemas. Nampaknya Ayah Uda baru pulang dari kedai todi di hujung kampung. Ayah Uda masih mabuk dan kelihatan amat marah pada umi. Wajah umi tidak keruan. Ada garis-garis bimbang di wajahnya yang lesu. Hatiku dapat menjangkakan sesutau yang buruk bakal berlaku malam ini.
“Aku kata bagi duit tu kat aku! Bagi jelah! Yang kau nak memekak pagi-pagi buta ni nak buat apa!?!” Pekik Ayah Uda memecah hening subuh. Umi menangis. Aku juga kaku. Haruskah aku mencampuri urusan umi dan Ayah Uda?
“ Tak boleh Da. Jiha mesti simpan duit tu untuk anak-anak kita.. Jiha dah nak lahirkan anak kita. Kita mesti simpan duit..” rayu umi pada Ayah Uda. Telur yang digoreng dibiar hangus didalam kuali.
“Aku tak kira. Tu hal kau dengan anak-anak kau! Aku tak peduli! Yang aku tahu aku nak duit! Kau ingat kau boleh makan percuma je kalau kau kahwin dengan aku!?! Jangan harap!” pekik Ayah Uda lagi. Ayah Uda makin menyinga. Matanya meliar mencari tempat umi menyimpan simpanannya.
“Sudahlah Da! Jiha tak tahan lagi nak hidup dengan Da! Da tak pernah ambil tahu hal anak-anak kita! Apa yang Da tahu, Mabuk!. Balik rumah semua orang Da nak marah. Jiha dah tak tahan hidup macam ni. Jiha dah tak tahan!!” Wajah umi mula merona merah. Umi menggengam tangannya erat-erat. Tangisannya makin kuat. Ku tenung lesu wajah umi. Kesabaran umi mula memuncak. Oh Tuhan, selamatkan umi!
“Kurang ajar punya perempuan!” Satu tamparan kuat hinggap di wajah umi. Umi tersungkur ke sudut almari. Mulutnya berdarah. Umi tidak mahu mengalah. Umi bangun semula menghadapi Ayah Uda. Nafasnya dihela cepat dan jelas dapat kudengar. Kulihat umi memegang kandungannya dengan kuat. Fatimah dan Ansor sudah terjaga dan masing-masing memelukku ketakutan. Aku ingin membantu umi! Aku tak akan biarkan Ayah Uda sekali lagi mendera umi!
“Ayah Uda! Jangan sentuh umi Isah! Ayah Uda memang tak guna!” Aku memekik berani. Ayah Uda menoleh kearahku bengis. Sudah kuduga, satu tamparan kuat mengenai pipiku. Aku terjatuh. Kepalaku berpinar.
“Da, jangan berani pukul anak Jiha! Da kejam! Kejam!”Umi merentap kasar lengan baju Ayah Uda. Umi cuba menarik lengan Ayah Uda jauh dariku. Ayah Uda hilang pedoman, Umi ditolak kasar. Bagai orang yang hilang akal, Ayah Uda menendang umi. Umi mengerang kesakitan. Fatimah dan Ansor hanya mampu menangis memanggil umi. Pantas aku meluru membantu umi namun Ayah Uda lebih pantas menolakku sehngga aku terhantuk ke dinding. Kepalaku berdarah. Ayah Uda mengambil sebiji pinggan dan cuba melemparnya kearahku. Melihatkan keadaanku, umi cuba bangkit dan menarik kaki Ayah Uda dari terus menyakitiku. Dengan kudrat yang bersisa, umi menggigit kaki Ayah Uda sekuat hatinya.
“Ahhh!!!” Jerit Ayah Uda kuat. Ayah Uda benar-benar hilang akal. Dalam kekalutan itu, tanpa pedoman dan tanpa belas kasihan, Ayah Uda memijak kandungan umi. Berkali-kali. Sekuat tenaga lelakinya.
“Allahuakbar!!!!” Rintih umi kuat. Darah merah tidak henti-henti mengalir dari tubuh umi. Umi memegang kuat perutnya yang semakin kempis dipijak Ayah Uda. Mata umi semakin layu. Pegangannya semakin longgar.
“ Umi!!!” Aku meluru kearah umi. Ku ambil kayu api yang terletak disisi almari. Kuhentak di kepala Ayah Uda sekuat hatiku. Sepenuh tenagaku Ayah Uda rebah. Pantas aku meluru kearah umi. Keadaannya begitu tenat. Aku hilang arah. Dalam tidak keruan aku berlari ke rumah Tok Milah disebelah. Ketika orang lain sedang enak menikmati hidangan sahur, aku berlari-lari mengemis simpati minta diselamatkan nyawa umi. Tok Milah dan anaknya bergegas meluru ke teratak burukku. Sebaik melangkah masuk, kulihat tubuh umi telah kaku. Darah merah yang tadinya deras mengalir dari tubuh umi kini telah membanjiri ruang dapur. Fatimah dan Ansor masih disisi umi, meminta supaya umi dikembalikan kedunia ini. Tapi segala-galanya telah terlewat. Umi telah pergi. Umi membawa sekali adik yang tidak pernah diberikan peluang untuk bernafas dibumi Tuhan ini. Tubuh umi yang layu kutatap lesu. Dahi umi kukucup penuh kasih. Tangan Umi masih diperut.Tentu umi kasih benar pada adik. Umi..Mengapa umi perlu pergi dalam keadaan yang begini. Umi!!
* * * * *
“Isah sayang..” Perlahan suara Kak Yana menyapa lagi. Pantas aku mengesat air mata yang hebat membasahi pipiku yang putih bersih. Aku cuba melarikan pandangan mataku dari Kak Yana.
“Isah teringatkan umi Isah ke? Patutlah tiba-tiba saja Isah menghilang sebaik habis berbuka puasa tadi..” Perlahan pertanyaan pahit itu diutarakan. Air mata yang ingin kutahan berderai kembali. Rapuhnya hatiku diduga Kak Yana. Hatiku tak pernah melupakan umi. Umi!!
“Isah sayang..Kak Yana tahu Isah tak mungkin dapat lupakan kejadian hitam tu. Tapi Kak Yana minta Isah kuat menghadapi kenyataan itu. Di Bulan Ramadhan yang mulia ini, maafkan kesilapan siapa sahaja yang pernah melukai hati Isah. Lupakan segala dendam itu Isah..” Perlahan tutur Kak Yana. Kata- kata Kak Yana bagai mencarik-carik kembali luka lama. Maaf?
“Maaf? Tidak sekali-kali Kak Yana. Tak mungkin! Ayah Uda bunuh umi! Ayah Uda kejam! Kejam! Isah benci semua lelaki! Semuanya..” Balasku kasar. Aku hilang pedoman. Kak Yana terdiam sebentar tapi tenang. Perlahan jari-jemarinya masih menggengam tanganku.
“Isah..Tenang Isah Kak Yana nak Isah dengar cerita Kak Yana boleh tak?” Tutur Kak Yana lembut. Matanya merenung mataku dalam-dalam. Aku mengangguk lesu.
“Hidup memang tak selalunya indah Isah..Hidup ini banyak menjanjikan kepahitan dan kesengsaraan. Isah kena tahu semuanya datang dari Yang Maha Esa. Sebenarnya semua kepahitan itu bukan untuk menyakiti kita, tapi sebagai satu ujian untuk menguji sejauh mana kecintaan kita kepada Allah.. Ujian itu adalah tanda Allah sayang pada kita Isah..” Nasihat Kak Yana lembut sambil jemarinya masih memegang erat tanganku.
“Sayang Kak Yana kata?! Umi mati dengan adik Isah macam tu Kak Yana kata Allah sayang Isah? Kak Yana cakap memang senang sebab bukan Kak Yana yang menanggungnya. Isah Kak Yana ! Isahlah yang menelan semua kepahitan ini seorang diri. Kak Yana tak tahu betapa hancurnya hati Isah melihat umi dipijak tanpa belas kasihan. Kak Yana tak tahu betapa pedihnya hati Isah lihat Fatimah dan Ansor diambil orang lain. Isah kehilangan segalanya Kak Yana! Segala-galanya! Kak Yana takkan faham!” Tingkahku lantang memintas kata-kata Kak Yana. Aku bingkas bangun sambil tanganku meleraikan genggaman Kak Yana. Aku mengatur langkah untuk berlalu.
“Kak Yana tak sangka adik yang Kak Yana sayang selama ini begitu rapuh hatinya. Selama ini Kak Yana sangka Isah tak macam orang lain..Isah seorang yang cekal hati. Tapi nyata sekali Kak Yana silap..” Tegas suara Kak Yana menusuk kekalbuku. Meremukkan hatiku yang sememangnya telah hancur.
Aku menoleh kearah Kak Yana. Kulihat matanya berkaca. Kak Yana menangis! Rasa bersalah mula merajai sanubari. Namun kuturutkan ego dihati. Bagiku diriku ini lebih terluka dari Kak Yana. Suasana bisu. Aku kaku disitu.
“Isah..Kak Yana cemburu pada Isah. Kerana Allah lebih sayangkan Isah dari Kak Yana. Kak Yana cemburu pada Isah, kerana Isah lebih tabah dari Kak Yana. Pertama kali Kak Yana ditugaskan di sini, Kak Yana betul-betul mengagumi kecekalan hati Isah. Isah masih mampu tersenyum walaupun Kak Yana tahu, jauh disudut jiwa, hati Isah menangis..” Kak Yana bersuara perlahan. Air matanya mula deras membasahi pipinya yang merah cantik. Abang Soleh hadir disisi Kak Yana. Dia juga membisu.
“Isah..Kak Yana mahu Isah mencontohi kecekalan Rasulullah, biar dikeji dan dilempar najis, kasihnya pada manusia sejagat tak pernah luntur. Tak pernah Rasulullah sesekali menyimpan dendam kepada penduduk Taif yang telah menumpahkan darahnya hingga mengalir kekaki. Kak Yana mahu Isah mencontohi keteguhan hati Sumaiyah, biar diuji,biar disakiti malahan dibunuh, keimanannya tidak akan berkurang walau sedikit. Kak Yana mahu Isah mencontohi ketabahan Mashitah, biar nyawanya dan anaknya melayang, namun pendiriannya takkan berubah. Mereka semua juga menderita walaupun seluruh jiwa raga dihambakan hanya untuk Allah. Tapi mereka tidak pernah belajar membenci. Apatah lagi untuk membenci kehadiran Ramadhan yang tiba setahun sekali ini!” Tutur Kak Yana lagi. Lembut tapi ketegasannya nyata terpancar. Kak Yana terduduk dibangku sambil mengesat air matanya. Abang Soleh masih membisu. Mungkin mengerti pergolakan antara dua hati ini.
“Kak Yana..” Aku juga hilang kata-kata. Melukai hati Kak Yana sama seperti aku melukai hati umi.
“Isah..Kakak tahu Isah benci kehadiran Ramadhan kerana sejarah hitam itu pasti kembali dalam fikiran Isah. Tapi sampai bila Isah mahu Ramadhan itu hilang ertinya dalam hidup Isah? Ramadhan itu indah sayang.. Ramadhan itu bulan untuk kita semua. Syukurlah umi Isah pergi dibulan semulia itu..Isah, pahit bagaimanapun kenangan silam, hidup mesti diteruskan. Pedihnya hati umi sekiranya dia tahu hidup Isah diulit dendam yang tiada penghujung. Maafkanlah sesiapa saja yang pernah melukai Isah..InsyaAllah, Isah akan tenang. Ini bukan janji kakak, tapi ini janji Tuhan..Fikirkanlah Isah..” Ucap Kak Yana sebelum Kak Yana mengatur langkah pergi meninggalkanku. Abang Soleh yang tadinya membisu membisik perlahan ditelingaku, “Hidup adalah suatu perjuangan..”
Aku dibiar kaku. Kak Yana dan Abang Soleh telah berlalu. Meninggalkan seribu pengertian untuk kurungkai sendirian. Umi..Kalaulah umi ada disisi..
* * * * *
Aku memandang cemas jam ditanganku. Orang yang dinanti-nanti masih belum tiba. Mungkinkah dia lupa?
‘Penerbangan ke Manchester akan berlepas pada jam 11.50 malam. Para penumpang diminta masuk keruang perlepasan sekarang juga’
Pengumuman tersebut menambah gundah dihatiku. Haruskah aku menunggu lagi.? Mataku mula berkaca.
“ Isah!!”
Terdengar lembut suara yang amat-amat kurindu. Dari jauh kulihat kelibat Kak Yana, Abang Soleh dan seorang kanak-kanak lelaki yang comel menuju kearahku. Aku tersenyum girang. Pantas aku meluru kearah Kak Yana untuk mendakapnya semahu hatiku.
“Ooooppss.. Jangan kuat sangat Isah. Orang kat dalam tu nanti terjaga pula..” Jenaka Kak Yana lembut. Aku menghentikan langkahku. Hampir terlupa aku bahawa Kak Yana sedang sarat mengandungkan anaknya yang kedua. Lembut Kak Yana memaut bahuku lantas memelukku penuh kasih. Serasa seolah-olah umi yang mendakapku kini. Oh umi.. Kalaulah kau juga disisiku sekarang..
“Isah jaga diri baik-baik ya.. Ingat semua pesan akak dan Abang Soleh. Hidup satu perjuangan. Biar apapun yang berlaku, yakinlah pada janji Tuhan. Kuatkan semangat, kentalkan iman..Bila balik sini dan Isah pun dah jadi doktor, kita buka klinik sama-sama. Nanti si comel Mujahid boleh mewarisi kita..Semangat Kak Yana sentiasa hidup dalam jiwa Isah..” Lembut kata-kata Kak Yana sambil menggengam erat jemariku.
“Isah janji Kak Yana..Isah akan pulang dengan kejayaan insyaAllah.. Abang Soleh, tolong jagakan Kak Yana dan Mujahid ni. Kalau boleh, tolong carikan adik-adik saya. Mereka sajalah harta yang paling bernilai yang saya miliki..” Tuturku sambil air mata tidak henti-henti membasahi pipiku. Abang Soleh tersenyum penuh makna sambil mengangguk.
“Jaga diri. Abang Soleh sentiasa mendoakan Isah..” ucap Abang Soleh lembut.
“ Selamat tinggal semua”. Perlahan aku menuju ke pintu masuk ruang perlepasan. Kurenung wajah Kak Yana dari jauh. Sekilas wajah umi menjelma. Kutekadkan hati. Perjuangan ini baru bermula. Akan kuhadapinya dengan penuh ketabahan. Janjiku pada diri, Ramadhan takkan pernah hilang lagi..Tak mungkin hilang lagi.. Kerana Ramdhan itulah yang menjadikan aku seorang manusia.. Terima kasih Ramadhan.. Terima kasih Tuhan..
Rentetan rasa
kemboja putih..=)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment