Dalam bilik di rumah kilmacud dublin
Mata mengantuk tapi tak mahu tidur
Assalamualaikum.. Letih badan tidak habis lagi, baru pulang dari Majlis Aidilfitri di university kelolaan Islamic Society. Kini, aku sibuk meneliti blogku yang sudah lama tidak berisi dengan post-post terbaru. Aku sibuk akhir-akhir ini, dengan module yang semakin lama semakin susah. Neuroanatomy, pharmacology, endocrine, Git...Hai...Semakin banyak kukejar ilmu ini, semakin banyak perlu aku dalami. Ilmu manusia hanyalah setitis air dihujung jarum peniti, sedangkan ilmu Allah seluas lautan. Manakan mungkin habis untuk kukaut semuanya.
Malam ini, entah mengapa jari jemariku nampaknya ingin ligat menekan butang-butang kecil di papan kekunci laptopku. Walaupun badanku keletihan, namun mindaku menggesa aku untuk menulis tentang sesuatu. Sesuatu yang sudah lama wujud dalam kepalaku, tapi mungkin tak pernah ku cuba untuk menzahirkannya. Tentang aku dan wanita.
Aku seorang wanita, namun hakikatnya aku seringkali ingin tahu dengan lebih mendalam hakikat kejadian seorang wanita. Pabila aku lihat sekelilingku, aku lihat wanita yang pelbagai rupa, pelbagai ragam, pelbagai penampilan, pelbagai personaliti. Seringkali aku bertanya pada diri ini, diantara kesemuanya, siapakah yang paling menarik, anggun dan hebat serba-serbi. Pendek kata, wanita yang kemana saja dia pergi, semua orang menyanjunginya,menyayanginya, ingin
mendampinginya. Sedari kecil aku mencari jawapan itu.
Aku seorang kakak yang sulung, selepas abang. Aku masih terkenang sewaktu aku kecil-kecil dahulu, aku sering tercari-cari, siapakah aku? Bagaimana harus aku mengenakan pakaian yang terbaik dan kelihatan cantik? Bagaimanakah untuk berjalan dengan betul sebagai perempuan? Bagaimanakah untuk mengemaskan tudungku yang sering selekeh apabila aku kesekolah agama? Perlukah aku tanya ibu? Atau aku ikut saja cara abangku? Ketika itu aku sungguh keliru. Keliru mencari sebuah identiti. Mencari sebuah personaliti. Aku tiada kakak. Hendak kutanya ibu, aku tahu yang 'taste' aku dan ibu sering tidak seiring (aku tersengih sendirian). Walaupun aku bersekolah agama, aku masih belum cukup memahami konsep hijab dalam islam. Konsep menutup aurat dengan sewajar dan sebaik-baiknya. Aku bukan jahil dalam beragama, markah peperiksaan sekolah agamaku amat-amat cemerlang, malah aku pelajar terbaik sekolah agamaku. Namun sayang seribu kali sayang..Aku tidak memahami ilmu agama yang kupelajari. Aku tidak menghayati kalam dari Allah yang Maha Agung. Aurat tidak kujaga dengan sempurna. Biar aku bertudung namun masih kurang disana sini. Hinanya aku..hinanya aku..
Namun, Allah amat menyayangiku. Aku selalu yakin Allah tidak pernah membiarkan aku terkapai-kapai tanpa hala tuju. Allah utus hidayah untuk aku berubah. Allah utus sahabat untuk menjadi tulang belakang kepada perjuanganku mencari keimanan, mencari Tuhanku, mencari AD DIN yang jitu dan unggul. Aku merangkak mencari nur islam. Aku bertatih mencari diriku sebagai seorang muslimah solehah. Saat itu aku sedar, bahawa Allah telah menciptakan wanita sebagai hambaNya yang begitu istimewa. Allah telah meletakkan wanita di suatu kedudukan terhormat. Sedang Nabi Muhammad begitu gigih memperjuangkan hak-hak sebagai seorang wanita. Wanita, ciptaan Tuhan yang begitu istimewa, indah menjadi penyejuk hati, menjadi sayap kiri pada suami, menjadi tunjang pendidikan zuriat yang dikasihi, menjadi insan yang didalamnya rahimnya wujud suatu nyawa suci, menjadi insan yang menjadi perantara membawa kelahiran baru menemui dunia fana ini, menjadi janji syurgawi untuk para salihin. Namun malangnya, wanita juga menjadi fitnah terbesar seorang lelaki, menjadi punca peperangan, manjadi punca kehancuran masyarakat, menjadi punca runtuhnya iman seorang lelaki, berkecainya sebuah rumahtangga, rosaknya akhlak seorang anak. Begitulah kuasa wanita. Begitu hebatnya pengaruh seorang wanita di alam fana ini. Sedarkah aku, dalam golongan manakah aku berada. Akukah yang membina atau akukah yang meruntuhkan..
Selama 21 tahun hidupku, masih aku tidak dapat lagi mencapai impianku, untuk menjadi wanita solehah yang hebat. Yang ideal, yang sempurna serba-serbi. Namun satu perkara aku lupa, ialah aku lupa untuk mendefinisikan kesempurnaan yang bagaimanakah sebenarnya yang aku dambakan. Seorang wanita itu adalah paling cantik sekiranya dia mempunyai ketaqwaan yang tinggi, mempunyai akhlak yang indah, menutupi auratnya dengan sempurna, berkata-kata yang baik dan tidak yang buruk, memandang yang baik dan bukan yang mungkar. Yang menjaga maruah suami dan keluarganya, yang menjadi penyimpan rahsia paling dipercayai. Yang palng penting yang amat menjaga hubungannya dengan Allah s.w.t. Aku masih teringat ketika aku menjejak makam Rabiatul Adawiyah ketika aku menziarahi bumi mesir bumi anbiya itu. Sebaik aku melangkah kaki kedalamnya, air mataku mengalir tanpa henti. Satu macam ketenangan tiba-tiba menerjah lubuk perasaanku.Seolah-olah Rabiatul Adawiyah masih ada disitu. Selama ini aku hanya membaca riwayat-riwayat hidupnya, kini aku sampai ketempat beliau disemadikan. Terasa nyaman, aman. Aku mengaguminya, ingin menjadi sezuhud dirinya.. Namun, mampukah aku.. mampukah aku... Sedarlah wahai Farah Syazana! Wanita yang baik tidak menyintai dunia! Tapi dia menyintai Allah dan akhirat lebih dari segala-galanya!
Aku ingin menjadi seperti Rabiatul Adawiyah, kezuhudannya telah menjadikannya teman disisi Allah, segagah hati Sumaiyah dan Asiah, tidak gentar pada seksaan biar tubuhnya yang lemah ditusuk lembing dan pedang tajam. Aku ingin menjadi sesetia Khadijah, tetap menjadi sayap kiri Nabi, biar dirinya yang kaya-raya menjadi miskin sekelip mata, aku ingin menjadi selembut dan semanja Fatimah, menjadi kesayangan dan tempat Nabi meluah resah. Aku ingin menjadi secerdik Aisyah, menyebar Islam keseluruh pelusuk dunia. Aku ingin seperti-seperti mereka. Aku ingin..Aku ingin..Mampukah aku..
Kini..aku tidak gentar lagi. Walaupun aku masih belum mampu untuk menjadi wanita solehah yang sempurna, sekurangkurangnya aku sentiasa mencuba untuk memperbaiki diri ini. Semoga aku dapat menjaga hubungnku dengan Allah dengan sebaiknya. Semoga aku kuat menjaga solat-solatku, semoga aku kuat melawan hawa nafsu yang sering membelenggu diri, semoga aku tabah menjaga perhubunganku sesama manusia, dan semoga aku dapat menjadi serikandi Islam yang menyumbang untuk islam walau sekecil-kecil sumbangan. Aku lemah,seringkali aku tersasar, aku tersungkur dari landasan. Tapi aku tetap akan terus berjalan mencari arah menemui Tuhanku! Aku tidak lagi ragu-ragu untuk berpakaian labuh dan melindungi auratku. Aku tidak takut atau risau kalau-kalau tiada lelaki ingin mendekatiku hanya kerana aku tidak cantik bila mengenakan hijab. Sungguh aku yakin, wanita kelihatan sempurna dan indah apabila mengenakan hijab. Bak mutiara yang indah, ia sentiasa tersimpan didalam karang yang tertutup rapi. Sesuatu yang indah sentiasa dilindungi, dan hanya yang berhak sahaja yang bisa menikmati keindahannya.
Wahai wanita..Wahai Farah Syazana.. Ketahuilah bahawa Allah menciptakan wanita sebagai hiasan terindah dunia. Dan hiasan yang terindah adalah wanita solehah.. Indah sungguh seorang wanita solehah. Wanita sebeginilah yang diimpikan setiap mujahidin, setiap para salihin. Jangan sesekali rasa ragu dan rasa ditindas, kerana Islam tidak pernah menindas wanita, tetapi Islam amat melindungi wanita. Aku akan cuba untuk menjadi wanita solehah.. menjadi hiasan terindah. InsyaAllah...
Wallahualam
1 comment:
Maha suci Allah yang telah menaikkan darjat wanita dengan turunnya syariatNya. sejarah tamadun sebelum Islam seperti rom, mesir purba parsi dan arab jahiliyah telah menunjukkan betapa rendahnya darjat wanita di waktu itu. Hadirnya Islam membela dan memuliakan mereka. Hanya yang buta hati dan rohani akan menafikannya....
Post a Comment