... I am A restless brain ...

Monday, October 5, 2009

Allah knows...I am never alone...i really do...

8.11 malam, di atas katil
Sambil menunggu masuknya waktu Isya'


Indahnya nikmat Islam dan Iman, sehingga setiap kali aku bernafas, setiap kali aku melihat keindahan alam dengan sepasang mata indah kurniaan Illahi, benar, aku dapat merasai kasih sayangNya. Aku dapat merasai makrifahNya, aku dapat menghayati sifat lembut dan pengasihNya. Subhanallah, indahnya menjadi seorang hamba berTuhankan Allah. Terasa nyaman, terasa tenang disaat-saat keresahan dunia menghimpit kedamaian jiwa.
Hatiku sakit benar malam ini. Sakit dek memikirkan masalah duniawi ku. Hatiku terluka kerana disakiti insan yang kusayangi. Hatiku dicalari hingga mutiara jernih ini tidak henti-henti membasahi pipi ku yang masih basah dengan wudhu solat maghrib tadi. Ya Rabb, mengapa hatiku sakit benar ini. Aku menangis teresak-esak, tidak henti-henti mempersoalkan mengapa seharusnya aku disakiti begini, biarpun aku begitu menyayangi. Benarlah kalam Allah, cinta pada manusia, bahagianya hanya sebentar, namun cinta Allah, tak pernah ada penghujungnya. Cinta pada manusia, sentisa menghiris jiwa, namun cinta pada Allah, sentiasa meredakan resah nestapa.


Sedang aku menangis dan menangis kerana hal duniawi itu, hatiku tiba-tiba terdetik. Aku masih punya Allah! Aku masih punya Allah! Lantas ku ambil wudhu, ku kerjakan solat maghrib ku yang tertangguh dek melayan tangisku yang sia-sia itu. Aku bertemu Allah didalam solatku, suatu ketenangan meredakan sedikit sedih yang tadi itu. Ku capai Al-Quran teman setiaku itu, kualunkan kalamullah yang subhanallah, amat indah itu. Bertambah-tambah lagi ketenangan menyimbah terus api dan bara yang telah menitiskan air mataku tadi. Subhanallah! Aku punya Allah!


Lantas aku menerpa skrin laptopku, kucari-cari lagu Zain Bikha..Lagu pengubat hatiku..Lagu yang mngundang tangisanku, tangisan kealpaan, tangisan insan lupa diri. Disaat senang aku lalai dari mengingatiNya, disaat kesusahan menerjah, aku cari Allah yang Maha Agung. Bait-bait lagunya begitu mengusik sanubariku...menusuk terus kedalam..



"When u feel all alone in this world...and theres nobody to count your tears..just remember no matter where u are..Allah knows..Allah knows..."
Dan aku tahu aku tidak pernah keseorangan..Allah ada bersamaku..Ingatkah aku disaat aku hilang kad basku ketika aku menuju ke Dublin Mosque untuk berbuka tempoh hari, aku buntu.Perutku lapar, hendak menaiki bas, aku tidak ada wang. Namun dengan sifat pengasih Allah, diutuskan bantuan kepadaku. Pemandu bas itu berhenti, memberikan aku tumpang tanpa membayar sebarang tambang. Tak cukup dengan itu, dengan sifat Pengasih Allah juga, diutuskan lagi bantuan..Pemandu bas tadi menghulurkan aku 4 euro sebagai tambang pulang kerumah nanti..Subhanallah..Allah..Allah...Walau aku insan hina yang sering alpa, sifat pengasihmu tiada bertepi.Dapat juga aku menikmati berbuka puasa di Dublin Mosque hari itu.





"When u carry a monster load..And u wonder how far u can go..Every step that u take on that road..Allah knows..Allah knows.."
Dan aku sentiasa sedar, dalam perjuanganku disini, biar sehebat mana sekalipun, Allah ada bersamaku..Allah sentiasa membantuku..Allah tahu setiap gerak hatiku.Allah tahu apa yang terbaik buatkua.. Dan Dia tidak akan membeikan aku beban, selain yang mampu aku pikul. Dan Allah tetap ada bersamaku disaat senang mahupun susah..Jika berat dugaan itu, makin bertambah besarlah sayangNya padaku, kerana Allah hanya menguji hamba-hamba yang dikasihiNya..

"And we all have a path to choose..Thru the valley and hills we go..If we upside and down never fret never frown..Allah knows..Allah knows.."
Dan aku tahu, dalam perjalanan hidup yang singkat ini, aku tak lari dari melakukan kesilapan. Aku hamba yang mengharap kasih sayang Tuhan. Aku daif dan tak punya apa-apa tanpanya. Namun aku tidak dapat lari dari sifat Annaasiah..Sifat pelupa.. Dan perjalanan ini, jatuh bangun aku..Senyum tangisku.. Semua Allah tahu.. Allah knows..Tiada satupun berkecuali..Dan dia mengira dan mengetahui setiap air mata yang jatuh kebumi. Dia tidak pernah mensia-siakan kesungguhan seorang hamba dalam mencari erti kehidupan yang hakiki.


"No matter what inside or out..Theres one thing that there is no doubt.. Allah knows..Allah knows..And whatever lies in the heaven and the earth..Every star in this whole universe..Allah knows..Allah knows.."


Dan setiap daun yang gugur itu dalam pengetahuan Allah. Masihkah kita tidak nampak, kebesaran Allah yang Maha Agung.Dari sekecil-kecil zarah, hinggalah sebesar-besar makhluk..Semua tunduk padaNya.Mengapakah kita manusia yang serba kekurangan, masih berjalan bongkak di atas bumi kepunyaanNya? Mengapa kita tidak sekalipun mengucap syukur atas rahmat Islam, Iman, Penglihatan, Pendengaran dan segala-gala belas ihsanNya? Besar sangat kah darjat kita? Terjaminkah jaminan syurga buat kita? Buatku?


Kesedihanku makin berlalu selama aku menulis entry ini. Mengenangkan betapa Allah ada disisiku, ombak resahku reda sepenuhnya. Aku tidak takut dibenci manusia, aku takut dibenci Allah. Allah bersamaku dalam setiap langkah, setiap nafas, setiap denyut nadi. Terima kasih Allah.

Ingatlah sahabat. Kebahagiaan dan ketenangan itu hadir setiap kali kita mengingati Allah..

Wallahualam

Saturday, October 3, 2009

Aku dan Wanita

12.41 malam
Dalam bilik di rumah kilmacud dublin
Mata mengantuk tapi tak mahu tidur

Assalamualaikum.. Letih badan tidak habis lagi, baru pulang dari Majlis Aidilfitri di university kelolaan Islamic Society. Kini, aku sibuk meneliti blogku yang sudah lama tidak berisi dengan post-post terbaru. Aku sibuk akhir-akhir ini, dengan module yang semakin lama semakin susah. Neuroanatomy, pharmacology, endocrine, Git...Hai...Semakin banyak kukejar ilmu ini, semakin banyak perlu aku dalami. Ilmu manusia hanyalah setitis air dihujung jarum peniti, sedangkan ilmu Allah seluas lautan. Manakan mungkin habis untuk kukaut semuanya.


Malam ini, entah mengapa jari jemariku nampaknya ingin ligat menekan butang-butang kecil di papan kekunci laptopku. Walaupun badanku keletihan, namun mindaku menggesa aku untuk menulis tentang sesuatu. Sesuatu yang sudah lama wujud dalam kepalaku, tapi mungkin tak pernah ku cuba untuk menzahirkannya. Tentang aku dan wanita.





Aku seorang wanita, namun hakikatnya aku seringkali ingin tahu dengan lebih mendalam hakikat kejadian seorang wanita. Pabila aku lihat sekelilingku, aku lihat wanita yang pelbagai rupa, pelbagai ragam, pelbagai penampilan, pelbagai personaliti. Seringkali aku bertanya pada diri ini, diantara kesemuanya, siapakah yang paling menarik, anggun dan hebat serba-serbi. Pendek kata, wanita yang kemana saja dia pergi, semua orang menyanjunginya,menyayanginya, ingin
mendampinginya. Sedari kecil aku mencari jawapan itu.





Aku seorang kakak yang sulung, selepas abang. Aku masih terkenang sewaktu aku kecil-kecil dahulu, aku sering tercari-cari, siapakah aku? Bagaimana harus aku mengenakan pakaian yang terbaik dan kelihatan cantik? Bagaimanakah untuk berjalan dengan betul sebagai perempuan? Bagaimanakah untuk mengemaskan tudungku yang sering selekeh apabila aku kesekolah agama? Perlukah aku tanya ibu? Atau aku ikut saja cara abangku? Ketika itu aku sungguh keliru. Keliru mencari sebuah identiti. Mencari sebuah personaliti. Aku tiada kakak. Hendak kutanya ibu, aku tahu yang 'taste' aku dan ibu sering tidak seiring (aku tersengih sendirian). Walaupun aku bersekolah agama, aku masih belum cukup memahami konsep hijab dalam islam. Konsep menutup aurat dengan sewajar dan sebaik-baiknya. Aku bukan jahil dalam beragama, markah peperiksaan sekolah agamaku amat-amat cemerlang, malah aku pelajar terbaik sekolah agamaku. Namun sayang seribu kali sayang..Aku tidak memahami ilmu agama yang kupelajari. Aku tidak menghayati kalam dari Allah yang Maha Agung. Aurat tidak kujaga dengan sempurna. Biar aku bertudung namun masih kurang disana sini. Hinanya aku..hinanya aku..




Namun, Allah amat menyayangiku. Aku selalu yakin Allah tidak pernah membiarkan aku terkapai-kapai tanpa hala tuju. Allah utus hidayah untuk aku berubah. Allah utus sahabat untuk menjadi tulang belakang kepada perjuanganku mencari keimanan, mencari Tuhanku, mencari AD DIN yang jitu dan unggul. Aku merangkak mencari nur islam. Aku bertatih mencari diriku sebagai seorang muslimah solehah. Saat itu aku sedar, bahawa Allah telah menciptakan wanita sebagai hambaNya yang begitu istimewa. Allah telah meletakkan wanita di suatu kedudukan terhormat. Sedang Nabi Muhammad begitu gigih memperjuangkan hak-hak sebagai seorang wanita. Wanita, ciptaan Tuhan yang begitu istimewa, indah menjadi penyejuk hati, menjadi sayap kiri pada suami, menjadi tunjang pendidikan zuriat yang dikasihi, menjadi insan yang didalamnya rahimnya wujud suatu nyawa suci, menjadi insan yang menjadi perantara membawa kelahiran baru menemui dunia fana ini, menjadi janji syurgawi untuk para salihin. Namun malangnya, wanita juga menjadi fitnah terbesar seorang lelaki, menjadi punca peperangan, manjadi punca kehancuran masyarakat, menjadi punca runtuhnya iman seorang lelaki, berkecainya sebuah rumahtangga, rosaknya akhlak seorang anak. Begitulah kuasa wanita. Begitu hebatnya pengaruh seorang wanita di alam fana ini. Sedarkah aku, dalam golongan manakah aku berada. Akukah yang membina atau akukah yang meruntuhkan..













Selama 21 tahun hidupku, masih aku tidak dapat lagi mencapai impianku, untuk menjadi wanita solehah yang hebat. Yang ideal, yang sempurna serba-serbi. Namun satu perkara aku lupa, ialah aku lupa untuk mendefinisikan kesempurnaan yang bagaimanakah sebenarnya yang aku dambakan. Seorang wanita itu adalah paling cantik sekiranya dia mempunyai ketaqwaan yang tinggi, mempunyai akhlak yang indah, menutupi auratnya dengan sempurna, berkata-kata yang baik dan tidak yang buruk, memandang yang baik dan bukan yang mungkar. Yang menjaga maruah suami dan keluarganya, yang menjadi penyimpan rahsia paling dipercayai. Yang palng penting yang amat menjaga hubungannya dengan Allah s.w.t. Aku masih teringat ketika aku menjejak makam Rabiatul Adawiyah ketika aku menziarahi bumi mesir bumi anbiya itu. Sebaik aku melangkah kaki kedalamnya, air mataku mengalir tanpa henti. Satu macam ketenangan tiba-tiba menerjah lubuk perasaanku.Seolah-olah Rabiatul Adawiyah masih ada disitu. Selama ini aku hanya membaca riwayat-riwayat hidupnya, kini aku sampai ketempat beliau disemadikan. Terasa nyaman, aman. Aku mengaguminya, ingin menjadi sezuhud dirinya.. Namun, mampukah aku.. mampukah aku... Sedarlah wahai Farah Syazana! Wanita yang baik tidak menyintai dunia! Tapi dia menyintai Allah dan akhirat lebih dari segala-galanya!




Aku ingin menjadi seperti Rabiatul Adawiyah, kezuhudannya telah menjadikannya teman disisi Allah, segagah hati Sumaiyah dan Asiah, tidak gentar pada seksaan biar tubuhnya yang lemah ditusuk lembing dan pedang tajam. Aku ingin menjadi sesetia Khadijah, tetap menjadi sayap kiri Nabi, biar dirinya yang kaya-raya menjadi miskin sekelip mata, aku ingin menjadi selembut dan semanja Fatimah, menjadi kesayangan dan tempat Nabi meluah resah. Aku ingin menjadi secerdik Aisyah, menyebar Islam keseluruh pelusuk dunia. Aku ingin seperti-seperti mereka. Aku ingin..Aku ingin..Mampukah aku..



Kini..aku tidak gentar lagi. Walaupun aku masih belum mampu untuk menjadi wanita solehah yang sempurna, sekurangkurangnya aku sentiasa mencuba untuk memperbaiki diri ini. Semoga aku dapat menjaga hubungnku dengan Allah dengan sebaiknya. Semoga aku kuat menjaga solat-solatku, semoga aku kuat melawan hawa nafsu yang sering membelenggu diri, semoga aku tabah menjaga perhubunganku sesama manusia, dan semoga aku dapat menjadi serikandi Islam yang menyumbang untuk islam walau sekecil-kecil sumbangan. Aku lemah,seringkali aku tersasar, aku tersungkur dari landasan. Tapi aku tetap akan terus berjalan mencari arah menemui Tuhanku! Aku tidak lagi ragu-ragu untuk berpakaian labuh dan melindungi auratku. Aku tidak takut atau risau kalau-kalau tiada lelaki ingin mendekatiku hanya kerana aku tidak cantik bila mengenakan hijab. Sungguh aku yakin, wanita kelihatan sempurna dan indah apabila mengenakan hijab. Bak mutiara yang indah, ia sentiasa tersimpan didalam karang yang tertutup rapi. Sesuatu yang indah sentiasa dilindungi, dan hanya yang berhak sahaja yang bisa menikmati keindahannya.


Wahai wanita..Wahai Farah Syazana.. Ketahuilah bahawa Allah menciptakan wanita sebagai hiasan terindah dunia. Dan hiasan yang terindah adalah wanita solehah.. Indah sungguh seorang wanita solehah. Wanita sebeginilah yang diimpikan setiap mujahidin, setiap para salihin. Jangan sesekali rasa ragu dan rasa ditindas, kerana Islam tidak pernah menindas wanita, tetapi Islam amat melindungi wanita. Aku akan cuba untuk menjadi wanita solehah.. menjadi hiasan terindah. InsyaAllah...


Wallahualam























Friday, October 2, 2009

Segenggam tabah=)

Kugenggam sebuah ketabahan, menjadi azimat dan kekuatan untuk aku mengharungi hidup yang penuh ranjau ini. Aku insan kerdil di bumi Tuhan mencari erti sebuah kehidupan, erti sebuah iman. Muflis, aku hamba yang sering melakukan kesilapan, tak terlepas dari noda dan dosa.













Hatiku sakit, pedih. Seorang sahabatku melukakan dan menghamburkan sepotong ayat yang benar-benar melukai hati dan perasaanku. Aku tersentak, terkejut. Pernahkan aku melukai perasaannya? Pernahkah aku mengeluarkan kata-kata yang tidak gemar untuk didengarinya?Seingat aku, tidak pernah. Namun mengapakan dengan mudah sahabatku ini mengucapkan kata-kata itu. Ya Rabb, ampunkan aku kerana aku tak sempurna. Aku sedih dan berlalu dari sahabatku itu dengan hati yang penuh amarah syiatan. Walau kucuba membisukan bibir ini dari melukakan hatinya kembali, hatiku membisikkan sejuta rungutan. Aku hampa. Ya Rabb, mengapa manusia sering takut malu dengan manusia darpada takut malu denganMu. Aku tahu Kau mengetahui setiap isi hati, yang terang juga yang tersembunyi. Ya Rabb. Hatiku pedih. Dia sahabatku, tapi dia meluakaiku..





YaRabb, aku tidak pernah sekali terlintas untuk melukai hati sesiapa, apatah lagi menghancurkan hati sahabat-sahabatku. Perjuangan ini kuharungi dengan tabah kerana adanya sokongan dari sahabat-sahabatku. Aku menyintai mereka keranaMu. Aku sedar, aku melakukan banyak kesilapan dalam hidupku, namun tidak sekali terlintas untuk aku melukai hati sesiapa. Tapi dia melukaiku.. Ya Allah, aku mohon padaMu, kau berikan kekuatan padaku untuk aku memaafkan dan membiarkan semuanya berlalu. Jangan jadikan duri kelukaan ini tersemat dihati sebagai dendam. Nauzubillah. Aku sentiasa memaafkan, dan sentiasa cuba melepaskan segala kebencian itu. Ya Rabb, bersihkanlah hati ini, sesuci para Rasul yang dikasihiMu. Junjunganku Nabi Muhammad tidak pernah membenci, biar penduduk Taif melempar batu ketubuh baaginda, hingga mengalir darah hingga kekaki. Malah baginda berdoa, "Ya Allah, berikanlah hidayah dan petunjuk pada mereka, sesungguhnya mereka tidak tahu". Dan mungkin sahabtku itu juga tidak tahu yang dia melukai hatiku. Aku memaafkannya seikhlas hati. Aku doakan yang terbaik buat dirinya, dan semoga beliau diberikan petunjuk untuk menjadi wanita solehah yang dikasihiMu.





Ya Rabb, aku sedar, Kaulah yang telah memberikan segala-galanya padaku. Kecantikan paras rupa, kebijaksaan, kecergasan tubuh badan, keluarga yang penyayang, rakan-rakan yang solehah dan segala-galanya. Tanpamu aku tidak punya apa-apa. Aku muflis Ya Allah, aku hina! Tapi mengapa sering aku melupakanmu, jauh daimu. Lupakah aku yang segala apa yang aku milki, hanyalah pinjaman yang Engkau berikan. Mengapa aku begitu bongkak dengan harta yang sebenarnya bukan milikku? Kadangkala tanpa aku sedari, aku berjalan megah dibumimu, sedang aku lupa aku tidak lain hanyalah insan yang tidak punya apa-apa. Ampunkanlah aku aku Ya Rabb.





Ya Rabb, sesungguhnya aku mohon ketabahan untuk segalanya. Apapun duri ranjau yang membentang jalan, kumohon secebis kukuatan dari Mu, agar dapat kujadikan bekalan. Jangan kau biar aku lalai dalam perjalanan bertemuMu ini. Aku milikMU...