... I am A restless brain ...

Friday, May 22, 2009

~Sekeras tangan AYAH~

Assalamualaikum..

Kutitipkan entry ini khas buat insan yang bergelar ayah, bakal bergelar ayah, ingin bergelar ayah, terutamanya buat insan-insan yang masih mempunyai seorang ayah atau untuk insan yang telah pun kehilangannya..

Ayah..Adalah seorang insan yang amat kusayangi, kuhormati dan kuperlukan. Namun, percaya atau tidak, aku pernah suatu ketika tidak menyenangi kehadirannya, tidak memahami kasih sayangnya, tidak suka mendengar tiap kata-katanya. Ketika itu, bagiku, segala-gala yang aku perlukan hanyalah ibu, yang sentiasa berada disisiku disaat-saat aku paling memerlukan sokongan dan kasih sayang. Pada pandanganku, ayah tidak menyayangiku, tidak mengambil berat tentangku, tidak ambil endah segala perkembangan hidupku. Namun, semakin aku dewasa aku semakin sedar, bahawa itulah kesilapan dan tanggapan yang paling buruk yang pernah kucipta sepanjang hidupku. Kerana pada hari ini, ayahlah segala-galanya, lelaki yang paling aku sanjungi selepas Nabi Muhammad, lelaki yang telah menjadi salah satu tulang belakangku, untuk aku terus maju dalam hidup.

Ayah.. andai ayah mendengar luahan hati ku ini..Luahan hati anak perempuan sulungmu yang degil,keras kepala, suka melawan kata-katamu. Ayahku seorang pegawai tentera. Ketika aku di zaman kanak-kanakku, ayah seorang yang sangat garang, tegas, salah sedikit melayanglah tangannya kepipiku, lebamlah mana2 bahagian tubuhku yang sempat dipukulnya. Silap cakap sedikit, ayah pasti akan mengamuk. Begitulah seingat aku tentang baran ayah ketika zaman mudanya. Ayah jarang ada dirumah, ayah banyak dihantar keluar dan dalam negara dalam menunaikan tanggungjawabnya sebagai pejuang bangsa. Pernah ayah bertugas di Rome, Filipina, di Indonesia dan paling aku ingat, ayah pernah ditugaskan dalam misi keamanan Bosnia Herzegovina selama 6 bulan.Sepanjang ketiadaan ayah, dalam hidupku hanya ada ibu. Bagiku ibulah segala-galanya. Sebaik celik mataku diawal pagi, ibulah yang memandikan, membersihkan aku, memenuhkan perutku yang lapar, menghantar aku kesekolah, mengambil aku pulang, menghantar aku mengaji, menghantar aku ketuisyen. Ibulah yang membuat segala-galanya untukku. Ketika itu, aku tidak menyedari kehadiran ayah yang telah banyak mencurahkan pengorbanannya buat kami sekeluarga. Kadangkala aku bertanya pada diriku sendiri, dimanakah ayah? Mengapa ayah selalu 'suka' berjauhan dari kami. Membiarkan ibu bersusah payah bercengkang mata untuk membesarkan kami. Mengapa ayah tidak mahu tinggal berkongsi semua ini bersama kami. Mana ayah. Aku selalu rindukan kehadiran ayah disisi kami. Apa yang aku tahu, setiap kali ayah balik, ayah selalu memarahiku, mungkin kerana sikap ku yang terlalu degil dan tidak mahu mendengar kata. Katakan sahaja, pukulan apa yang tidak pernah kurasai, ditampar, dirotan dengan batang badminton, dibaling dengan biji rambutan ketika aku bermasam muka dengan ibu dimeja makan, pernah sekali bajuku dihayun ayah sehingga terkoyak, dan aku dipijaknya. Begitulah garangnya ayah kepunyaanku. Dan apabila aku dipukul ayah, ibulah yang selalunya akan melindungiku. Kadangkala pukulan itu hinggap ketubuh ibu. Pernah juga aku sering terfikir untuk membenci ayah kepunyaanku ini kerana kegerangannya, kekasarannya bila mendidik adik beradikku, terutamanya aku, kerana aku adalah anaknya yang paling degil.


Walau seteruk manapun aku dipukul, kedegilanku tak pernah berubah. Kekerasan hatiku sukar sekali untuk dilenturkan oleh amarah ayah. Mungkin kekerasan dan kedegilan ini salah satu cara untuk aku mempertahankan diriku, ibuku dan adik2 ku dari dilukai dan dipermainkan oleh sesiapapun sepanjang ketiadaan ayah disisi kami. Perananku sebagai anak perempuan sulung dalam keluargaku telah mengajar aku erti tanggungjawab, erti prinsip dan pendirian hidup. Aku mulai menjadi seorang yang sangat protective. Tidak kubenarkan sesiapa melukai hati ibu atau adik2ku sepanjang ayah tiada disisi kami untuk melindungi kami dari semua itu.Dan mungkin juga kekerasan hati dan kedegilan ini wujud kerana cara ayah mendidikku. Aku anak seorang tentera yang tegas,berprinsip dan bertanggunjawab, kata ibu sikapku tidak tumpah sama seperti watak yang dibawa ayahku.


Bagiku, aku sedikitpun tidak kisah dengan pukulan2 ayah. Luka atau lebam yang ditinggalkan terlalu cepat sembuh, selepas luka itu sembuh, kedegilanku kembali semula. Tapi ada satu perkara dari ayah yang paling melukakan aku, lebih dari luka2 pukulannya, lebih pedih dari lebam2 libasannya. Iaitu kata-katanya. Bagiku detik-detik yang paling menakutkan yang dicipta ayah buatku adalah apabila aku melakukan kesalahan, ayah akan memanggil kami semua adik-beradik, dan dia akan memarahiku dihadapan semua adik-beradikku. Kata-kata yang dituturnya ketika dia memarahikuamat2 melukai aku, mencarik perasaanku, membuatkan bertambah jauh sayangku untuk insan yang bergelar ayah ini. Ketika itu, hati keanak-anakkan ku berkata, sudahlah ayah jarang ada dirumah, bila ayah dirumah, ayah lukakan hati ku seteruk-teruknya. Luka dikaki tangan, memangalah nampak dan bisa disembuhkan sekelip mata, tapi luka dihatiku kesan kata-kata ayah itu, amat sukar untuk kupulihkan. Kadang2 aku terasa seperti ayah membenciku.Oh ayah..


Bila kalian membaca apa yang telah kutulis tadi, mesti ada diantara kalian ada bersangka bahawa ayahku tidak menyayangiku atau sering mendera fizikal dan emosiku. Tapi kalian silap, kerana bagiku, ayahku adalah seorang ayah yang hebat. Pengorbanannya yang dicurahkan buatku dan adik beradikku, tidak mampu untuk kami balas, walaupun aku punyai intan setinggi gunung, emas seluas lautan. Jasa dan kasih sayangmu padaku ayah amat ternilai dan hanya Tuhan yang bisa membalasnya. Tiada siapa yang lebih memahami nilai kasih sayangmu sebagaimana aku memahaminya. Apabila aku meningkat dewasa, aku mula memahami nilai kasih sayang yang selama ini yang telah ayah curahkan buat kami sekeluarga. Benar, mungkin ada kalanya tindak tanduk ayah amat melukaiku, mencalari hati seorang anak kecil yang dahaga kasih sayang seorang ayah disisinya.Tapi sebenarnya, apa yang ayah lakukan adalah untuk mendidikku dan mengajar aku untuk menjadi seorang manusia yang berguna dan tinggi budi pekertinya. Mungkin ada antara kita yang tidak menyukai ayah sendiri kerana kebengisan atau kegarangan mereka, namun percayalah, seorang ayah itu, nilai kasihnya terlalu tinggi sehingga kadang2 kita sendiri tidak memahaminya. Aku tidak mahu ada sesiapa yang mempunyai perasaan 'tidak suka' yang aku punyai terhadap ayah sewaktu aku masih kecil, hanya kerana kita salah tafsir nilai kasih sayangnya.


Semakin aku dewasa, semakin aku mengenali ayah ku sendiri.Nilai kasih sayang ayah pada kami amat dalam, dan sering dapat kulihat dalam matanya. Ayah sanggup berjauhan dari kami, pergi mempertaruhkan nyawa demi memberi kami sesuap makanan dan mencari rezeki bagi memastikan aku dan adik beradikku mendapat pendidikan yang sempurna. Ayahku yang tidak pernah mengeluh penat setiap kali pulang dari hutan belantara selepas latihan ketenteraannya, terus menjenguk kami yang lena tidur ditengah malam sunyi. Ayah yang sentiasa cuba memenuhi keperluan dan kehendak kami biarpun diri ayah sendiri serba kekurangan. Gilakah aku ketika itu kerana aku tidak dapat melihat semua kasih sayang ayah yang begitu bernilai ini? Semakin aku menjadi gadis remaja, semakin aku mula mengenali ayah, namun masih, aku masih belum belajar menghargai nilai kasih sayangnya. Ayah tidak pernah jemu melayani kerenah manjaku yang selalu hendak pulang kerumah dari asramaku yang sejauh 100 km dari rumahku setiap hujung minggu. Diambilnya aku pada waktu pagi, dan dihantarnya aku pulang disebelah petang keasramaku sejauh itu melalui jalan jurang Genting Pra Jelebu. Tidak sedarkah aku ketika itu bahawa ayahku bertarung nyawa melalui jalan jurang,melayani kerenah mengada-ngadaku, namun masih, aku tidak pernah ingin menghargai dan berterima kasih padanya untuk pengorabanannya itu. Hujung2 minggu sebegitu seharusnya ayah beristirehat dirumah setelah seminggu penat bekerja, namun kerana aku, aku yang tidak tahu mengenang budi ini ketika itu, ayahku kepenatan dan keletihan setiap hujung minggu tiba. Ketika itu masih, hanya ibulah yang bertakhta dihati. Mungkin kerana keletah keanak-anakkan, pukulan2 ayah yang masih terasa ditubuhku, membuatkan aku tidak menghargai pengorbanan ayah. Dan tanpa aku sedari, hati ayahku terluka. Ayah berasa jauh hati kerana ketika itu, hanya ibulah yang terbaik dimataku.


Aku tidak pernah menyedari bahawa aku telah melukai hati ayah. Tidak pernah aku sedar ketidakmatanganku telah membuatkan ayah jauh hati kerana aku melebih2kan ibu dalam segala hal. Anak jenis apakah aku ini yang tidak tahu langsung mengenang jasa2 ayah terhadapku. Ya, mungkin cara ayah yang terlalu garang itu memaksa aku untuk bersikap melebihkan ibu, tapi, sedarkah aku bahawa selama ini ayah juga adalah insan yang telah membawa aku hingga ketahap sekarang. Siapakah yang selama ini mencari nafkah untuk aku membesar sihat cergas sebegini?Siapakah selama ini yang bercengkang mata mencari rezeki memberikan aku kehidupan yang selesa dan memenuhi segala apa kemahuanku? Siapakah selama ini yang tidurnya tidak pernah lena dek perangaiku yang manja dan mengada-ngada ketika dibangku sekolah? Siapakah selama ini yang sanggup bertarung nyawa, mengorbankan waktu2 rehatnya demi memenuhi kehendak aku, insan yang tidak mengenang budi ini? Ayah! Ayah! Ayah! Ayah yang telah engkau pinggirkan dari hatimu itu Farah Syazana! Adakah suatu dosa baginya terpaksa berjauhan denganmu kerana keluar mencari pengharapan untuk keluargaku ini? Mengapa kau tega menghukum danm meminggirkan perasaan ayah setelah sebanyak itu ayah berkorban untukmu? Kau memang anak tak mengenang budi Farah Syazana!


Maafkan aku ayah.. Maafkan aku kerana tidak pernah sekali aku cuba menyelami benak hatimu itu. Maafkan aku kerana aku terlalu mengikut sikap keanak-anakkanku itu. Maafkan aku kerana terlalu lama aku melukai perasaanmu, sedang ayah tidak pernah jemu berusaha menjadikan aku seorang manusia yang berguna dan berjaya. Suatu hari ketika aku berumur 19 tahun dua tahun yang lalu, sebelum aku sampai menjejaki bumi Ireland ini, Allah telah memperlihatkan aku betapa terlukanya hati ayah kerana aku melebihkan ibu darinya dalam segala hal. Tanpa aku sedari, ayah berjauh hati kerana setiap kali aku menelefon rumah, aku hanya bercakap dengan ibu. Ayah berjauh hati kerana setiap kali aku pulang kerumah, aku sibuk untuk mengurut ibu. Ayah jauh hati kerana setiap penghargaan, biasanya aku tujukan buat ibu. Maafkan adik ayah.. Maafkan adik atas kebodohan adik yang tidak memahami betapa tingginya nilai kasih sayangmu buatku. Ayah, tahukah ayah..Sepanjang ketiadaan ayah dulu, aku amat merindui kehadiran ayah. Tahukan ayah.. Setiap pukulan dan kemarahanmu itu, telah menjadikan aku manusia yang berjaya hingga ketahap ini. Setiap kata-kata ayah yang memedihkan itu, telah menjadi pembakar semangat buatku sehingga aku berjaya hingga ketahap ini. Tahukah ayah.. Tanpa pengorabananmu itu, aku bukan siapa2 hari ini. Ibu dan ayah.. pengorbanan kalian terlalu besar untukku sehingga segala harta yang kukumpul dalam dunia ini masih tidak cukup untuk membayar segala budi dan bakti ibu dan ayah buatku..


Ayah..Tiada sesiapa yang lebih memahami nilai kasihmu itu, sebagaimana aku memahaminya kini..Hari ini, setiap kejayaan ini, aku hadiahkan buatmu dan ibu.Hari ini, matlamat hidupku yang paling utama, adalah untuk membahagiakan ibu dan ayah sehingga keakhir hayat. Aku rela menghadiahkan nyawaku ini untuk ayah dan ibu, dan sesekali, tidak dapat kutahan melihat air mata mu menitis. Jadi, jangan sesekali ayah dan ibu menitiskannya, kerana anak yang kalian besarkan ini, akan berbakti buatmu hingga ketitisan darahku yang terakhir.Aku teringat ibu pernah bercerita, ketika aku dilahirkan, ketika itu tiada siapa pun yang berada disisi ibu, ibu keseorangan. Ketika ayah berada didalam hutan menjalani latihan. Jauh di sudut hati ibu, ibu yakin, anak yang akan ibu lahirkan disaat ibu sakit keseorangan tanpa sebarang sokongan ini adalah seorang anak yang sangat tabah dan cekal dalam hidupnya, dan dia akan mewarisi semangat keperwiraan ayah, dan itulah aku. Ayah bersama baju tenteranya yang kotor dari hutan itu datang kehospital, mendukungku lembut dan mengalunkan kalimah Allah ketelingaku. Mungkin, ketika itulah, semangat ayah meresap kesegenap urat sarafku.


Aku sangat bangga mempunyai ayah perwira bangsa. Aku ingin dan mahu mewarisi semangat keperwiraan itu, semangat itu mengalir dalam darahku. Ayah..maafkan aku atas segala ksilapan dan kekhilafan anakmu ini. Tahukah ayah, bahawa ayah adalah lelaki terbaik dalam hidupku dan aku amat menyayangimu ayah. Aku, anak perempuan, yang akan sentiasa menyayangi dan menghargaimu. Setiap kali aku menelefon rumah, aku kini akan bercakap dengan ayah dan ibu. Aku amat menyayangi kedua-duanya. Segala apa yang kucapai hari ini, adalah hadiah dariku buatmu ibu dan ayah..

Rakan-rakanku.. segarang manapun ayah pada kita, kasih sayang seorang ayah itu terlalu sulit untuk difahami. Belajarlah untuk memahami kasih sayang mereka, kerana selalunya ego lelaki itu melindungI sifat kasih sayang yang ada pada seorang lelaki. Cubalah menyelongkar benak rasa seorang ayah itu, kerana kadangkala mereka tidak pandai untuk menzahirkan betapa sayangnya mereka pada kita. Hargailah mereka sementara mereka masih ada, kerana ada antara kita sudah kehialngannya, atau tidak pernah merasai kehadirannya..Ampunkan dosaku ayah..Ayah, adik sayang ayah..Adik rindu ayah..Semoga ayah panjang umur, murah rezeki dan sentiasa gembira..Salam kerinduan buat ayah ibu dari bumi Ireland..=)

wallahualam

Thursday, May 21, 2009

kerana yang derita itu aku kak..

"kakak tak kan faham..mana mungkin kakak mengerti segala yang terbenam dilubuk hati saya kak..kerana yang derita itu saya..yang terluka itu saya...yang kecewa itu juga saya kak.."

Mana mungkin aku lupakan kamu semua adik2ku..kalaulah kakak mampu, kakak akan jaga kamu semua, berikan kasih sayang yang seharusnya kamu miliki..namun kakak insan biasa, serba kekurangan..kakak pun masih dibela keluarga..


Teringat aku wajah adik2 yang kusayangi dirumah anak2 yatim di kajang..perkenalan yang telah kumulakan mana mungkin ku lupakan..kasih sayang yang terbina mana mungkin ku leraikan..maafkan kakak kerana jauh akak tinggalkan kamu semua..tanpa sebarang kabar berita..maafkan akak kerana akak mungkir janji, untuk sentiasa mengambil berat hal ehwal kamu semua..kakak tak punyai nombor telefon kamu semua, kerana kamu semua tidak punyai telefon.kakak tak dapat pergi menjenguk kamu semua, kerana kakak masih belum mahir untuk memandu sampai ketempat tinggal kamu semua..Aaaahhh..sudahlah farah syazana..Itu semue alasan, alasan yang kau cipta untuk melepaskan dr dari kekesalan..Maafkan aku wahai adik2ku..Maafkan kakak kerana kakak gagal menunaikan janji2 kakak..maafkan kakak..


Teringat aku saat kali pertama aku menjejak kaki kerumah anak2 yatim itu. Memang menjadi impianku sejak kecil, untuk menyelami dan berbakti kepada anak-anak kecil yang tidak bernasib baik ini.Aku ingin menyelongkar segala rasa yang bersarang dijiwa mereka. Sebelum aku pergi, senior2 ku begitu beria benar berpesan,"jangan kau tanyakan kisah silam mereka, nanti mereka menangis, mereka sedih.tak payah tanya apa2, main je biasa2 dengan mereka." Hati kecilku bertanya, mengapa tidak? Adakah suatu dosa jika aku mahu mereka berkongsi rasa. Mereka hanyalah anak-anak kecil yang ingin didengari, ingin mencari tempat mengadu sakit perit kehidupan yang terpaksa mereka lalui. Biasalah aku dengan sikapku, degil. Bila saja kami sampai kerumah anak-anak yatim itu, aku lihat mereka begitu segan dan takut untuk bergaul dengan kami. Yalah, kami orang asing. Lembut aku melempar senyum, cuba berbual-bual dengan mereka, membuat mereka selesa. Lama aku memerhati dan membantu mereka membuat kerja sekolah, lantas ringan mulut aku bertanya. "Mengapa mak meninggal Loqman?"Tanyaku pada seorang budak lelaki manis,bertahi lalat ditepi bibir. Loqman memandangku sambil tersenyum. "Loqman tak tahu kak, tapi Loqman adsa ayah lagi. Tapi ayah Loqman dalam penjara sekarang, jual dadah."


Tersentak aku mendengar laju Loqman menjawab. Tambah menghairankan, senyuman yang telah Loqman lemparkanbersama jawapannya. Tiada pun kesedihan yang terlihat pada riak air mukanya, seperti apa yang telah dicanang2kan oleh seniorku sebelum aku sampai kesini. "Loqman sayang ayah?" Aku bertanya lagi,berani. "Sayang lah kak. Loqman hanya ada ayah, ada adik yang dijaga oleh orang. Bila dah besar, Loqman nak bebaskan ayah dari penjara, dan nak tinggal sama2 balik.Loqman tak suka duduk sini sebab selalu kena marah dengan pak cik Man.Loqman nak keluarga sendiri."Tersentak aku dengan jawapan Loqman. Tiada sebarang kebencian dalam setiap kata-katanya. Dia tidak malu untuk menyayangi ayah yang telah mengabaikan dirinya kerana terlibat dengan najis dadah. Jika aku ditempat loqman, seberapa sucikah hatiku untuk memaafkan perbuatan ayah itu? Mungkin hatiku masih belum setulus hati Loqman.


Aku teringat juga kepada Faris, berkulit gelap, berketerunan mamak mungkin. Bibirnya sentiasa mengukir senyum padaku. Yang paling aku ingat, dia pernah memujiku yang aku cantik. Tersipu-sipu juga aku dibuatnya. Faris, dalam setiap senyuman yang kau ukir itu, kakak tahu, kau menyimpan seribu satu kepediihan, keresahan, kebimbangan yang tidak mungkin sesiapa pun dapat memahamainya. Faris adalah seorang kanak-kanak berhati mulia. Ibunya telah meninggal dunia. Ayahnya juga kini dipenjara,jika tak silap juga kerana najis dadah. Namun apa yang tambah memilukan aku ialah, ayahnya kini telah murtad dari agama. Kulihat deraian air mata dari kelopak matanya yang sayu, namun cepat diusapnya. "Faris sayang ayah Faris?" Sekali lagi soalan pahit itu ku utarakan. "Faris sayang kak. Sayang sangat2. Nanti bila Faris da besar, Faris nak ayah kembali kepada Islam. Faris tak nak ayah masuk neraka. Faris akan bela ayah, jaga ayah. Faris nak jumpa ayah, dah lama sangat Faris tak jumpa ayah. Lama sangat kak." Kali ini mutiara jernih itu jatuh jua dari matanya. Ku pandang sayu wajah Faris yang lembut itu, ku biarkan Faris melayan rasa. Kubiarkan Faris memecah segala kepiluan yang tak pernah diberi kesempatan untuk diluahkan. Karut saja segala omong2 yang mengatakan kita tidak perlu mengetahui sejarah silam kanak-kanak ini. Ternyata mereka perlu teman berbicara. Mereka masih terlalu kecil untuk menelan semua derita itu keseorangan. Terlalu kecil..
Aku juga tidak mungkin lupakan Fatimah dan Lina, dua beradik berbeza rupa, tapi punyai jiwa yang sama cantik. Namun kulihat, Fatimah lebih terseksa dengan sejarah hitam hidup mereka jika nak dibandingkan dengan Lina. Ibu mereka, telah mati dipijak semasa sarat mengandung oleh ayah mereka sendiri. Mungkin Fatimah menyaksikan sendiri detik hitam itu, aku dapat lihat ada dendam dalam mata yang seharusnya masih suci dan bersih.Aku dapat lihat Fatimah amat amat membenci bapanya yang kini telah meringkuk dipenjara. Pernah aku juga mensihatkan Fatimah. "Imah, walau bagaimanapun, dia ayah Imah. Kakak harap dendam imah tak memakan diri Imah sendiri.."
"Kakak takkan faham. Yang derita itu Imah, yang terluka itu hati Imah, yang kecewa itu juga Imah..Imah lihat sendiri ibu mati..adik Imah mati..Hancurnya hati Imah Tuhan saja yang tahu kak..Imah tak mungkin dapat maafkan ayah! Tak mungkin!"
Aku tidak dapat melupakan jawapn Fatimah itu. Hatinya yang remuk berkecai mana mungkin bisa sembuh. Lebih2 lagi bila mereka terpaksa menempuh kehidupan dirumah anak-anak yatim yang serba kekurangan itu.Ya Allah, betapa beratnya dugaan yang telah kau beri pada anak-anak kecil ini. Dalam usia yang masih muda hati mereka hancur lumat. Kesan2 luka dijiwa mereka masih mengalir darah merahnya. Setiap senyuman dan jernih mata mereka, tersimpan seribu satu kisah luka yang belum tentu mampu ditanggung oleh sesiapa. Termasuk aku. Hatiku masih belum semurni Loqman, setulus Faris, dan segagah hati adikku Fatimah.
Mereka masih kecil. Terlalu muda untuk menanggung derita itu.Zaman kanak-kanakku dulu penuh warna dan gelak tawa, tiada sebarang kebimbangan,kesedihan. Jika aku jatuh terluka, ibu akan datang padaku, mengubati luka itu. Jika aku nangis kecewa, ayah akan datang membelai penuh kasih.Tapi mereka? Luka mereka yang bernanah itu siapa yang sudi merawatnya. Jiwa mereka yang pilu itu siapa yang sudi memulihnya.Mereka perlukan kita semua.Mereka perlu tempat berkongsi rasa.Mengadu suka duka perjalanan hidup mereka itu. Nyata bukan suatu dosa aku bertanya kisah2 hitam mereka. Setiap kali aku menyelongkar rahsia kehidupan mereka, aku mula lebih memahami jiwa mereka, terjalin suatu hubungan persaudaraan yang begitu indah.Mereka memerlukan tempat bercerita. Tempat untuk bisa mereka menumpahkan air mata yang telah kering dan tandus. Kakak bangga punya adik2 setabah kamu semua sayang..Sejak hari itu, setiap kali aku datang, mereka akan bercerita, dan terus bercerita padaku. Adikku, jika berat nuranimu dengan derita itu, luakan pada kakak, agar ringan sedikit beban jiwamu itu.. Adik2ku..kakak rindu untuk bertemu kamu semua, namun kakak jauh diperantauan.. Moga Allah aturkan kembali pertemuan kita suatu hari nanti..Kakak sangat merindui kamu. Dimana jua kamu berada, kakak sentiasa mendoakanmu. Dan daoakan kakak berjaya agar kakak dapat kembali dan membantu kamu semua segala yang kakak terdaya..
Buat yang mempunyai ibu ayah dan keluarga yang sempurna, hargailah dan bersyukurlah dengan RahmatNYA. Kerana ada antara kita yang tidak pernah mempunyai nikmat itu.
wallahualam

Wednesday, May 20, 2009

Buah hatiku manusia-manusia kerdil itu=)

Assalamualaikum..

Dalam hidup kita ni, cuba tanya diri, apakah perkara yang paling kita suka tengok, suka fikirkan, suka bayangkan.

Jika tanya pada aku, jawabku, buah hatiku adalah manusia-manusia kerdil itu! Manusia kerdil yang menjadi penyeri dalam setiap ruang dan waktu!


Manusia kerdil yang lincah, berlari kesana kemari dan tak reti2 nak duduk diam. Makin dikemas rumah makin bersepah dibuatnya! Manusia kerdil yang matanya bulat, hidungnya kecil, mulutnya halus. Tapak tangannya sepertiga dari besar telapak tanganku. Manusia kerdil yang selalu buat aku mengamuk bila dia kencing atas tilam. Manusia kerdil yang selalu suruh aku berhenti kat kedai beli gual-gula setiap kali aku mengambilnya pulang dari tadika. Manusia kerdil yang gemar kucium kepalanya, rambutnya pipinya. Oh! Betapa aku merindui manusia-manusia kerdil itu!

Setiap saat aku merindui manusia-manusia kerdil itu. Aku tahu aku kakak yang garang.Silap sedikit mesti kena lepuk manusia-manusia kerdil itu. Kalau sepahkan barang, manusia-manusia kerdil itu perlu mengemasnya semula, jika tidak, aku tidak mahu membawa mereka ketaman permainan. Aku merindui untuk memeluk mereka, rindukan gelagat mereka yang liat bangun pagi untuk kesekolah. Aku rindukan semuanya! Namun Allah takdirkan aku perlu berjauhan, terlalu jauh dari mereka. Aku tidak berkesempatan melihat mereka membesar, tidak berkesempatan mengajar mereka menulis dan membaca. Mengajar mereka solat dan mengaji. Mengambil mereka dari sekolah, mencium pipi dan dahi mereka setiap pagi. Kakak terlalu jauh sayang. Kakak jauh menunaikan impian ibu dan ayah. Jika kakak diberi pilihan, kakak ingin sentiasa berada disisimu wahai buah hatiku.

Setiap hari aku buka skype, aku melihat mereka dialam maya. Melihat ami pulang dari sekolah, ami sekarang dah besar. Adik lelaki kakak dah besar. Dah tahu erti tanggungjawa. Dah boleh jaga ibu ayah. Dah masuk darjah satu, tapi masih kencing atas tilam. Hai la adik jantan kakak yang sorang ni. Tapi kakak sedih bila tengok ami kena marah dengan ayah, dengan along sebab ami kencing atas tilam. Kalau kakak ada dekat sana, kakak akan peluk ami bila ami kena marah. Adik kakak kecil lagi. Kakak seronok tengok adik lelaki kakak da besar, tapi kakak sedih kakak tak dapat berada disisi adik2 kakak.
Ina pun da besar, tapi manja! Tiap2 hari tidur dekat ayah. Nak masuk tidur kena heret ayah untuk tidur sekali. Tapi ina kakak kuat. Bila kena lepuk dengan anis atau wawa, ina tak cepat menangis. Ina kakak walaupun kecil, tapi hatinya gagah. Kakak mahu ina ada hati yang kuat dan gagah, lebih kuat dari hati kakak walaupun ina perempuan. Ina sentiasa comel, lagi comel dari kakak masa kecil2 dulu.kakak masa dulu2 tembam, tak secomel ina. Nanti da besar ina akan jadi lebih cantik dari kakak, anis dan wawa.Ina, kakak rindu ina!



Dalam diri manusia-manusia kerdil itu, aku lihat sejuta pengharapan dan impian. Bila mereka dewasa, mereka akan jadi seseorang yang berguna kepada masyarakat dan agama. Dalam mata mereka, aku melihat banyak kasih sayang. Tiada kebencian, tiada hasad dengki, tiada sebarang cemburu. Manusia-manusia kerdil itu, kasih sayangnya tulus, tangisannya jujur tanpa sebarang kepalsuan. Indahnya pengciptaan dan anugerah yang Allah berikan kepada manusia-manusia kerdil itu. Betapa aku menyintai manusia-manusia kerdil itu. Kakak harap kamu tidak melupakan kakak yang jauh ni, kakak sentiasa merindui kamu walau dimana jua kakak berada.




Pernahkah kita merasakan betapa berharganya kanak-kanak ini pada diri kita. Tak kiralah samada mereka sempurna atau tidak, cacat atau sihat sejahtera, tetapi nyata mereka terlalu berharga. Biarpun mereka darah daging kita atau tidak, mereka berhak disayangi, dilindungi dan didengari. Kerana kanak-kanak itu tidak tahu mendiskriminasi dan memilih persahabatan. Setiap kanak-kanak itu terlalu istimewa, setiap dari mereka adalah pengharapan dan impian. Setiap dari mereka perlukan kasih sayang dan perhatian. Mereka tidak berdosa, mereka masih terlalu suci dan bersih. Jikalau aku mampu memberikan kasih sayang kepada setiap kanak-kanak, alangkah beruntungnya! Tapi aku yakin, bahawa setiap dari kita punyai kasih sayang yan sama banyak untuk dibahagikan kepada manusia-manusia kerdil ini. Kepada semua yang mempunyai manusia-manusia kerdil, jagalah mereka sebaiknya. Mereka ibarat kain putih, kitalah yang mencorakkannya!
Kakak amat merindui kamu semua wahai manusia-manusia kerdilku!=)
wallahualam





































saat pena kuangkat..dakwat kubancuh..segala rasa menjadi satu~~

Assalamualaikum..

Saat pena ilusi kuangkat..segala rasa kini menjadi satu..Lama benar aku tidak berkarya..Lama benar aku membuang segala perasaan jauh tanpa kucoret ia menjadi sebuah catatan perjalanan hidup yang terlalu singkat ini..

Saat ini, aku sendirian dirumah. Rakan serumahku telah pun selamat tiba ditanah air untuk pulang bercuti summer pertama kami. Rumah ini terasa terlalu kosong dan sunyi dan hanya suaraku y bergema disetiap sudut apartment ku. Dan aku, terus melayan angan-angan kosongku sambil menaip dan berfikir2 apakah filem seterusnya yang bakal ku tonton di arena YOUTUBE. Mentang2 lah exam ku telah berakhir, aku kini kembali menjadi manusia alpa dan lupa, enak melayan hiburan yang semakin lama semakin mengaratkan otakku. Merosakkan iman dan taqwaku, membuat aku lupa tanggungjawabku kepada Yang Satu.




Aku selalu kecewa dengan sikapku sendiri. Aku selalu menyesali setiap kebodohan dan kelalaian yang aku rencanakan sendiri. Ada sebuah hadith Rasullullah yang berbunyi, "Tanda Allah menyayangi seorang hamba itu, adalah dengan memberikan kefahaman dalam agama".Ya, dari kecil lagi aku telah dididik dengan ilmu agama yang mencurah2, malah aku adalah pelajar terbaik disekolah agamaku dulu. Tapi persoalannya kini seberapa fahamkah aku? Adakah aku hanya mengingati hukum2 feqah dan Tauhid hanya untuk kutulis diatas kertas peperiksaan? Adakah aku benar2 memahaminya, atau aku sekadar mengingat tanpa pernah menghayati? Jika benar aku faham dan terlalu bijak diatas kertas peperiksaan agama, mengapakah karat2 jahiliyah itu masih lg ada dalam setiap sudut hatiku. Semakin aku ingin menjauhinya, semakin ia menghantui dan menyelebungi. Mengapa aku menjadi insan bodoh yang tidak mengaplikasi ilmu pengetahuan dan kasih sayang yang telah Allah berikan padaku.



Semakin aku merenung jauh keluar jendela kamarku, aku terlihat kelibat mat saleh yang kesana kemari, berseronok dan bergembira tanpa arah tuju hidup. Sentiasa timbul simpati jauh disudut nuraniku, mengenangkan hilangnya satu nikmat terbesar dari kehidupan mereka, iaitu nikmat Islam. Nikmat iman. Nikmat indahnya mempunyai Allah sebagai tempat bergantung, tempat bertawakkal. Bila kulihat rakan2 Irishku berpakaian seksi, berpeluk lelaki perempuan, minum arak, jauh disudut hati kecil ini, aku berasa begitu ingin mereka sama2 menghayati nikmat Islam ini. Keindahan rasa kehambaan ini terlalu berharga. Aku sedar, aku bukanlah insan yang begitu mulia, akhlakku jauh sekali hendak dibandingkan dengan akhlak Khadijah dan Fatimah, apatah lagi Nabi junjungan. Aku insan yang sentiasa alpa dan lupa,bagai insan yang tak takut mati. Tapi aku sangat2 mensyukuri nikmat Islam ini, aku dapat merasai kasihsayang dan makrifah Ilahi. Ia ternyata begitu indah, aman, tenang. Cuma karat2 jahiliyah itulah yang selalu menganggu gugat ketenangan dan kedamaian itu. Aku hambaNya yang lemah, aku akui.setiap saat aku menyesali kelemahan itu, namun malangnya aku tidak pernah dapat lari dari kelemahan itu, kadangkala, terlalu jauh aku tersesat dalam kilauan sinarnya yang palsu, yang hanya menjanjikan masa depan yang kosong.
Aku suka sangat dengan lagu Destinasi Cinta dendangan Mestica. Terutamanya pada rangkap ini.."Destinasi cinta yang kucari, sebenarnya terlalu hampir, hanya kabur kerana dosa didalam hati..Tak ternilai air mata dengan permata..yang bisa memadamkan api neraka.." Destinasi yang pasti adalah menuju Ilahi, tapi dunia yang penuh kepura-puraan ini membawa aku tersesat terlalu jauh. Aku mencari jalan pulang. Mohon diselamatkan dari lidah neraka yang menjilat setiap manusia derhaka pada TuhanNya. Ya Allah, ampuni dosa kelemahan kami ini. Sesungguhnya hanya padaMu lah tempat kami dikembalikan.
Terlalu banyak keluhan hati kecil ini yang ingin dicoret. Suara hati kecil yang tidak punya apa-apa yang muflis segala-galanya tanpa belas kasih Mu ya Rabb. Dan aku sedar hati ini terlalu liat untuk membuang karat2 jahiliyah itu. Namun aku tak sanggup menghadapi nerakaMu. Roh ini tak mampu menanggung siksa kubur yang begitu mengerikan. Tapi mengapa hati ini terlalu degil Ya Allah. Mengapa hati ini terlalu liar dan sukar benar dijinakkan. Aku alunkan jiwa ini dengan dendangan Al-Quran. Kudodoikan nurani ini dengan selawat ke ats junjungan mulia Rasulullah. Namun mengapa hati ini sukar benar untuk kembali kepangkal jalan.
"Tuhan..Dosaku menggunung tinggi..Namun rahmatMu, melangit luas..Harga selautan syukurku..Hanyalah setitis nikmatMu dibumi..Tuhan, walau taubat sering mungkir, namun pengampunanMu tiada bertepi..Bila selangkah kurapat padaMu, seribu langkah Kau rapat padaku.."
Titisan air mata ini moga memadamkan api nerakaku.Pada Mu jua aku bertawakkal dan berserah Ya Allah..
Wallahualam