Assalamualaikum w.b.t.
****this entry is continuation of a series of thoughts. better to read it from the first entry so you can understand better =)
SEPULUH : maksiat yang 'terlihat indah'
Aku rabak sepanjang aku menjalani rotation O&G. Setiap hari aku menyaksikan keindahan detik sebuah kelahiran.
Aku lihat betapa gembiranya mereka memeluk dan mencium bau wangi syurga anak kecil yang baru sahaja menghirup udara pertama di dunia.
Ya, kata orang bekerja di wad bersalin adalah pengalaman yang sangat menakjubkan dan memberi kepuasan. Itulah yang aku bayangkan sewaktu aku bergelar seorang pelajar perubatan dulu. Namun kini realitinya sudah berbeza.
Kau tahu, bahawa setiap manusia terlahir sebagai wanita itu di anugerahkan naluri keibuan.
Naluri yang membuatkan kau sentiasa memberi kasih dan sayang. Naluri yang membuatkan kau penuh dengan kesabaran. Naluri yang membuatkan kau tetap menyayangi walau seteruk manapun seseorang itu menyakitkan.
Saat kau menginjak remaja, hati kau terusik melihat anak-anak kecil. Dan bila kau dewasa, kau berjanji pada diri, akan kau lahirkan rijal-rijal pejuang agama.
Itulah perjuangan hakiki seorang wanita, meramaikan umat Rasullullah s.a.w.
Mana aku tahu yang Allah merencanakan jalan yang berbeza untuk aku dan suami.
...Mana aku nak tahu yang aku masih belum mampu sehingga hari ini untuk menghadiahkan suami zuriat tanda cinta ini.
Ya Allah.. Tolonglah, buangkan naluri ini jauh-jauh!
************************************************************
Aku masih ingat kejadian pada suatu petang, ketika itu aku di tugaskan di PAC. Aku dan dua lagi rakanku terkejar-kejar untuk accomodate banjiran wanita berbaju pink yang tidak putus-putus mengunjungi unit o&g sejak pagi tadi.
Aku laju-laju mengambil fail yang tersusun di atas kaunter jururawat, memanggil nama yang tercatit itu kuat.
"Puan R!"
Datang seorang wanita berambut perang, berjalan perlahan dengan perutnya yang besar memboyot. Mulutnya terkumat kamit mengunyah sekeping roti di tangan.
"Puan R binti Asri?" Aku memastikan kembali identiti pesakit.
"Ya, sayalah tu doktor." Jawabnya sambil tersengih.
"Duduk ye Puan. Datang hari ini kenapa?" Sambil aku pantas membelek buku pink di dalam fail. Mataku terpaku memandang perincian di dalamnya.
"Perut saya mengeras-ngeras kuat dari semalam. Pagi tadi turun lendir darah." Ringkas jawapan Puan R.
Aku diam sekejap. Muka aku masih berkerut-kerut menghadam isi catatan buku pink Puan R. Puan R berusia 32 tahun. G4p2+1 (bermaksud kandungan keempat, dua anak hidup dan satu keguguran). Tapi aku lihat details suami di muka depannya kosong. SINGLE MOTHER.
sekadar gambar hiasan
"Kenapa doktor?"
"Puan ni tak pernah kahwin ke? Ke kahwin tapi dah bercerai?" Aku memandang muka Puan R dalam-dalam.
"Saya tak pernah kahwin lagi doktor. Mak boyfriend saya tak restu saya nak berkahwin dengan anak dia. Mak dia tak suka saya. Nak buat macam mana kan orang tak suka." Selamba Puan R menjawab. Dari nada suaranya tiada pun tanda sedikit kesal.
"Habis tu semua kandungan awak ni anak boyfriend awak lah? Ke ada anak lelaki lain juga?" Aku terus merenung dia tajam.
"Semua anak boyfriend saya lah. Saya setia dengan dia je. Dah sepuluh tahun saya dengan dia." Katanya sambil tersengih.
Aku mengetap bibir menahan amarah yang datang tiba-tiba. Memeriksa kembali nama Puan R. Ada 'binti'. Maknanya Puan R seorang muslim.
"Kenapa Puan tak pergi kahwin je kat Thailand. Halalkan hubungan. Ni sampai dah beranak empat ni. Kasihan anak jadi anak tidak sah taraf." Tegas aku mengajukan soalan walaupun Puan R lebih tua umurnya dari aku.
Hati tambah panas bila aku melihatkan semua anaknya adalah anak perempuan. Kasihan mereka nanti, bila nak berkahwin walinya bagaimana? Dan aurat mereka dengan lelaki yang dikatakan 'bapa mereka' bagaimana pula?
"Susah lah. Lagipun banyak pakai duit. Anak-anak pun dah ramai. Kerja kat office pun bertimbun selalu. Nantilah bila dah betul-betul ready dan bila mak dia dah sejuk sikit, kami kahwinlah!" Puan R mula mencebik. Mungkin mula merasa tidak selesa dengan pertanyaanku yang bertubi-tubi.
Marah betul aku mendengar jawapan Puan R. Rasa hendak saja aku tampar wajahnya saat itu. Langsung tidak ada rasa bersalah melakukan zina sehingga sudah hendak keluar anak keempat! Nampak sangat yang si lelaki pun sebenarnya tidak mahu bertanggungjawab. Kamu berdua dah dewasa, pergilah sajalah kahwin, halalkan hubungan. Tak kasihan ke kepada anak-anak? Tak ada otak ke apa?! (Maaf kasar, emo sangat!)
Aku menghempas failnya di meja jururawat seusai selesai meletakkan Puan R di katil untuk pemeriksaan CTG. Dadaku turun naik mengawal amarah. Cepat-cepat aku beristighfar. Soalan yang selalu aku cuba elakkan laju-laju menerpa segenap fikiran.
"Kenapa Ya Allah? Kenapa wanita itu yang kau berikan empat cahaya mata? Kenapa bukan aku? Aku menghalalkan hubunganku, aku solat, aku berpuasa, aku bersedekah, aku menuruti perintahMu. Kenapa dia juga yang kau pilih menjadi seorang ibu? Ibu kepada empat cahaya mata! Muliakah dia berbanding aku?!!"
Ya, mana kita tahu keimanan seseorang itu. Mungkin hatinya lebih suci dan bersih dari aku. Namun, mana mungkin orang yang beriman tega menghalalkan zina?
Semakin lama aku semakin lemas mencari jawapan. Setiap hari aku cuba mendidik jiwaku dengan sabar, setiap hari jua aku terus di asak dengan situasi yang membuatkan aku lebih kecewa. Aku hamba yang terlalu lemah untuk memahami rahsia di sebalik setiap rencana yang di tetapkan Nya.
Allahuakbar. Aku beristighfar dalam-dalam.
Benar dia rasa bahagia kerana walaupun tidak menuruti tuntutan agama, dia masih dikurniakan dengan rezeki zuriat yang aku nanti-nantikan setelah sekian lama.
Namun, adakah ini bermakna aku juga sanggup menjual keimanan dan kesabaran ini?
Nauzubillah min zalik.
Tidak.
LA TAHZAN, INALLAHAMAANA.
Benarlah pesan Allah, dunia ini adalah 'syurga' bagi orang-orang yang tidak beriman. Segalanya terlihat indah.
Maksiat yang 'terlihat indah'. Kemungkaran bagai menawarkan sejuta kemanisan.
Dari Abu Hurairah, ia berkata bahwa Rasulullah s.a.w;
“Dunia adalah penjara bagi orang beriman dan syurga bagi orang kafir.” (HR. Muslim)
Manakala orang-orang beriman pula akan diuji pada keimanan dan ketakwaan mereka.
Dan kerana sesungguhnya syurga dan seisinya sangat MAHAL.
Iman aku juga turun naik. Bergegar apabila diuji.
Aku merenung lama Puan R yang berbaring di katil sana dengan hati yang berat. Memandang sayu gelagatnya yang mengusap-usap perut dengan senyuman dibibirnya. Apalah nasib anaknya nanti lahir dari ibu dan ayah yang tidak tega ingin menghalalkan hubungan yang sepatutnya terpelihara? Adakah anak itu akan dihina nanti dek kejahilan dan ketidakwarasan ibu bapa yang tidak betah menuruti suruhan Tuhan Yang Esa?
Mengapakah hati ini timbul rasa cemburu pada Puan R yang di berikan nikmat memiliki zuriat sedangkan aku tahu bahawa ketaatan kepada Allah itu lebih utama dari segala rasa?
Aku menekap lagi rahimku yang kosong. Untuk sekian kalinya.
Allah kuatkan hatiku!
....BERSAMBUNG....
No comments:
Post a Comment