Assalamualaikum.
Entry yang aku tulis ini khas untuk para jururawat tercinta yang baru mula, sedang dan sudah tamat berkhidmat. Sudah lama sebenarnya saya ingin menulis tentang ini, tetapi asyik tertangguh tangguh. Maklumlah, sejak akhir-akhir ini saya sangat sibuk dengan kerja-kerja di klinik.
Jujur secara peribadi, saya merasakan kerjaya jururawat adalah satu kerjaya yang paling saya hormati dan kagumi. Kalau anda tanya pada saya sendiri mahukah aku menjadi seorang jururawat, aku akan jawab,;
“Mahu, tapi aku tidak mampu!”
Ya, bukan semua manusia mampu menjadi seorang jururawat. Aku sendiri tidak mampu. Kerjaya jururawat bagi adalah satu tugas yang paling payah dan mencabar. Nampak sahaja mudah. Namun percayalah, ia amat susah untuk dilakukan. Menjadi seorang jururawat memerlukan kesabaran dan sifat ihsan yang tinggi Yang amat tinggi.
Kepada yang suka mencaci dan menghina tugas seorang jururawat, tolong fikir semula selepas kiranya anda membaca coretan saya ini. Perspektif saya sebagai seorang doktor terhadap jururawat sepanjang tiga tahun setengah saya bertugas sebagai pegawai perubatan di Malaysia. Walaupun baru setahun jagung kiranya khidmat saya di dalam kementerian kesihatan, tetapi banyak yang saya telah lihat dan lalui yang membuatkan saya bertambah hormat dan sayang kepada jururawat-jururawat yang pernah berkhidmat bersama saya.
Mereka sangat awesome!
Pada zaman media sosial tanpa batasan dewasa ini, saya dapati banyak pihak tanpa segan silu dan tanpa rasa malu menghina dan mencaci staff-staff kesihatan, tidak kiralah sama ada staff yang bekerja di hospital atau pun di klinik klinik kesihatan. Ada yang tanpa menyelidik terlebih dahulu menghentam dan menabrak para petugas kesihatan dengan pelbagai tohmahan dan fitnah.
Saya tahu sebagai manusia biasa, ada cacat cela nya di sana sini di dalam perkhidmatan yang diberi. Tapi bukanlah itu satu alasan untuk memukul rata dan menjatuhkan profesion kami sebagai para petugas kesihatan. Sebelum anda mengeluarkan sebarang ketidak puas hati an tentang cara kami bekerja, benarkah anda telah memeriksa dan menyelidik terlebih dahulu? Atau anda terus menghukum hanya kerana apa yang anda lihat atau rasa sahaja?
Terus terang saya katakan, menjadi staff kesihatan yang bekerja menyelamatkan nyawa manusia, berada disisi anda ketika anda sedang terlalu uzur dan cedera, menjadi pendamping anda ketika anda sudah hilang segala upaya dan hanya mampu terlantar, dan kami jugalah yang berada di samping anda ketika menghadapi kematian. Percayalah, bukan suatu tugas yang mudah. Kerjaya kami bukanlah kerjaya yang banyak gurauan dan canda, kerana ramai yang mempersoalkan wajah kami yang kadangkala masam dan muram. Yang kadangkala berkerut kerana stress dan kepenatan. Tidak dapat kami memenuhi hasrat anda untuk tersenyum 24 jam, percayalah, adakalanya kami memang tidak mampu.
Dalam entry ini, saya ingin memberi highlight kepada kerjaya para jururawat yang sering dipandang sepi oleh masyarakat. Tahukah anda tanpa jururawat, tidak akan terwujud hospital dan tidak akan ada sistem kesihatan yang kukuh. Para doktor sendiri tidak dapat memberi khidmat yang terbaik tanpa adanya para jururawat.
INI TIGA MITOS POPULAR JURURAWAT DI MALAYSIA.
MITOS PERTAMA : Mitos jururawat ialah orang suruhan anda di hospital.
Mereka bukan orang suruhan sesiapa pun di hospital. Bukan orang suruhan doktor, doktor pakar, matron, sister, dan bukan orang suruhan pesakit!
Okay. Saya akan mulakan point saya ini dengan memberi situasi kepada anda.
Saya hendak tanyalah kepada anda yang membaca. Sekiranya pada suatu hari, seorang saudara anda yang sudah lanjut usia meminta pertolongan dan perlindungan di rumah anda. Dan anda memberikan mereka perlindungan. Tetapi, anda dapati, saudara anda ini mempunyai masalah ‘incontinence’, yakni mereka tidak dapat mengawal pundi kencing dan sistem pencernaan mereka. Mereka asyik terkencing membasahkan katil dan terberak di dalam seluar. Even anda telah beri mereka pampers, tapi masih akan terbocor hingga ke tilam. Setiap hari pun begitu. Sehari dua ke tiga kali perkara ini berlaku.
Soalan saya.
Sanggupkah anda menghadapi situasi ini setiap hari. Dia bukan ayah dan ibu anda, malah bukanlah seorang ahli keluarga yang akrab dengan anda. Sanggupkah anda mencuci dan membersihkan najis mereka setiap hari dengan sabar?
Tidak. Jangan katakan saudara, saya percaya kalau itu ibu dan bapa anda pun, ada antara kita yang tidak sanggup.
Ramai orang memandang rendah kedudukan dan status seorang jururawat. Ada di antara mereka menganggap jururawat ini seolah-olah orang suruhan untuk menguruskan saudara mereka yang sakit.
Sebenarnya anda semua tahu atau tidak tugas hakiki seorang jururawat?
Ini pengalaman saya bertugas di Hospital Melaka selama dua tahun. Hospital adalah tempat orang-orang sakit. Boleh saya katakan juga hospital menjadi tempat berakhirnya hidup kebanyakan dari mereka. Pesakit sangat tua, atau sangat uzur atau pun sudah kritikal. Perkara perkara asas pun seperti kencing dan berak pun mereka sudah tidak mampu lagi.
Semasa saya bergelar seorang houseman yang mentah dan terkial-kial dahulu, selalu saya perhatikan gelagat para pelawat yang datang menziarah.
‘Misi, ayah saya kencing! Tolong tukarkan pampers!’
‘Akak nurse, ibu saya terberak dalam seluar. Nanti tolong cuci ya!’
‘Akak misi, mak saya tu dah nak terkecing nak ke toilet, tolong lah papahkan ke toilet.’
‘Misi, ayah saya nak makan. Nanti jangan lupa suapkan makanan Dia tu tangan dah mengigil tak boleh suapkan sendiri.’
Ada yang baru sahaja melangkah masuk ke wad, tanpa salam tanpa senyuman;
'Misi kenapa pampers ayah saya ni tak tukar lagi? Takkan tak perasan dia dah berak sejak tadi?'
Seriously people??
Ada waris anak cucu yang menziarah di sebelah katil. Tapi sedang sibuk bermain handphone di tangan. Ambil gambar selfie. Post di facebook;
‘Uuuuu ayahku sedang sakit. Anak-anaklah yang patutnya berkorban menjaga ayah bila mereka tua. Sayang ayah till jannah!’
Syahdu sangatlah. Padahal topeng oksigen ayah anda dah senget pun anda tak sudi nak betulkan. Ayah yang stroke itu air liurnya meleleh dibiarkan. Basah kuyup kolar leher sang ayah tadi.
Tidak cukup dengan post facebook tersebut, ada pelawat yang curi-curi mengambil gambar para jururawat yang sedang melakukan passover pada waktu pertukaran shift, selalunya pada pukul 1.50 petang. Pada pandangannya, jururawat-jururawat itu sedang berkumpul dan bersembang bersuka ria. Di post nya gambar jururawat tadi dengan caption.
‘Lihatlah para penjawat awam yang makan gaji buta. Masuk kerja duduk berkumpul bersembang beramai-ramai siap bergelak ketawa. Kebajikan para pesakit di abaikan. Only in Malaysia.’
Tahukah anda apa itu passover? Tulah, lain kali kalau tak tahu, TANYA. Bukan semberono sahaja menuduh tanpa usul periksa.
Passover ialah rutin setiap shift yang dilakukan oleh semua jururawat di dalam dunia ini setiap kali shift mereka bermula dan berakhir. Setiap pesakit keperluan, ubat, tahap severity penyakit mereka adalah berbeza setiap hari, dan semua ini perlu di passover kan dengan teliti oleh shift sebelum kepada shift yang selepasnya. Bukan mereka sengaja berkumpul tidak tentu hala.
Sebab itu jangan datang di tempat orang, tahu hendak menjadi salah sahaja! Budaya fitnah tanpa usul periksa begini seolah sudah menjadi norma masyarakat. Menyedihkan.
Seusai waktu melawat tamat, beredarlah para pelawat tadi. Maka datanglah jururawat yang bersifat ihsan dan kasihan membersihkan mulut pak cik tadi yang berlumur air liur. Satu jam waktu melawat disisi ayah anda, tetapi bubur di meja tidak di beri. Sibuk dengan handphone dan bersembang dengan para pelawat lain. Inilah kerenah anak-anak zaman sekarang.
Maka datanglah jururawat yang penuh rasa ihsan dan belas kasihan itu, menyuap bubur ke mulut pesakit yang sudah tua dan uzur itu. Gelojoh lah pak cik tadi mengunyah dan menelan bubur yang sudah sejuk itu. Kelaparan. Ingatkan anak anak datang melawat untuk memberi ayah makan, tetapi sangkaannya meleset. Nasib baik lah ada jururawat yang di fitnah tadi.
Kerja mereka sebenarnya ada banyak lagi, mahu buat report pesakit, mahu bagi ubat, mahu indent ubat, mahu bancuh ubat, belum lagi mahu membuat arahan arahan special dari doktor yang bertugas. Tetapi dia berasa kasihan kepada pesakit yang uzur tadi. Maka dia meluangkan lima belas minit berharga mereka untuk memberi pesakit itu makan.
“Nak, pak cik minta maaf tapi pak cik terberak dalam pampers ni. Tak sempat nak bangun nak, dah tercirit. Tadi dah beritahu anak yang datang tadi, tapi dia suruh saya tunggu misi buatkan. Minta maaf pak cik susahkan anak.” Sayu luah pesakit itu sambil muka yang merah menahan malu.
“Takpe pak cik. Nanti saya tukar pampers pak cik.” Seusai habis menyuap makanan, si jururawat tadi terus berlari mendapatkan pampers dan baju baru, menarik tirai dan membersihkan najis pesakit yang bukan darah dagingnya itu.
Kalau diikutkan kesibukan wad pada hari itu, boleh sahaja dia bertangguh membersihkan najis pesakit tadi. Lagipun pesakit di dalam wad ini bukan seorang dua, tetapi boleh mencecah 40 orang. Setiap shift jururawat mungkin ada lima ke enam orang sahaja. Tapi atas kerana rasa ihsan dan belas kasihan sesama manusia, di tukarkan pesakit itu pampers dan pakaian baru. Kalau dibiarkan lama pak cik itu akan merasa tidak selesa. Punggungnya akan mula melecet. Berlinanganlah air mata pak cik tua tadi menahan malu apabila pampers terpaksa ditukar oleh orang yang bukan darah dagingnya.
Saya nak tanya pada Tuan dan Puan yang bukan main mengecam kami di wad dengan pelbagai kecaman dan tohmahan. Anda ingat sembarangan orangkah yang sanggup mencuci najis orang lain? Memimpin orang tua anda ke tandas penuh sabar. Menjadi pendengar setia pesakit yang sedang dalam kesakitan? Menjaga melayan para pesakit dengan penuh lembut, penuh sabar. Menjaga orang yang sakit bukannya mudah ye tuan tuan dan puan puan sekalian. Mampukah anda?
Dan helo Tuan dan Puan yang saya hormati!
Anda kena tahu yang tugas mencuci berak dan kencing orang tua anda bukanlah tugas hakiki para jururawat di wad. Menyuap makanan ke mulut orang tua anda yang sedang sakit bukanlah tugas kami sebenarnya tapi tugas anda! Itu adalah tugas anda sebagai anak-anak. Itu ialah ibu dan bapa anda. Orang yang mencuci najis anda semasa anda kecil. Orang yang membesarkan anda.
Saya dah lihat ramai manusia yang bila tiba waktu-waktu perayaan, di hantarnya orang tua mereka yang sudah ke hospital. Bila sudah di discharges, seorang anak pun tidak datang mengambil. Maka terkebil-kebillah orang tua mereka menanti salah seorang anaknya yang sepuluh orang itu mengeluarkan mereka dari wad. Mereka anggap hospital ini seperti rumah kebajikan. Sudahlah dibiar orang tua mereka begitu, jururawat pula dikecam seolah merekalah orang yang menganiaya ibu bapa mereka. Really??
MITOS KEDUA : Mitos jururawat Labour room garang macam singa.
Yang ini saya nak sentuh pasal para jururawat di Labour Room. Ramai orang kata jururawat labour room ni garang-garang macam singa. Ada yang kata mereka kasar lah, kurang ajarlah. Tak reti cakap lemah lembut lah. Ramai orang cakap jururawat tak ada hati perut, orang tengah sakit nak bersalin dia siap sindir-sindir, marah-marah. Tak ada belas kasihan. Betul ke?
Betul ke?
Masa saya bertugas di labour room hospital melaka dulu saya akui, jururawat dan misi di labour room semua memang orang yang otai-otai. Besar-besar badannya. Tua dan senior kebanyakannya. Tapi actually antara jururawat yang paling saya kagumi sekali ialah jururawat di labour room. Sebab mereka ni memang terer lah dalam bidang memberanakkan orang ni. Kebanyakan mereka adalah bidan bidan terlatih, tangan mereka ialah tangan rahmat yang menyambut sudah ratusan malah ribuan khalifah kecil yang lahir ke dunia. Tangan -tangan mereka adalah tangan tangan suci yang terpilih untuk menyentuh bayi anda buat kali pertamanya sebelum anda menyentuh anak anda sendiri.
Tuan tuan dan puan puan.
Tugas di labour room bukan tugas yang mudah. Labour room adalah sebuah tempat yang seperti roller coaster. Sekejap keadaannya aman dan tenteram . sekejap lagi boleh tunggang terbalik macam kapal karam. We are working under stress. Adalah perlu anda faham bahawa labour room hospital kerajaan sentiasa sibuk dengan pesakit yang bertali arus. Sebaik seorang ibu yang sudah hendak melahirkan masuk ke ruang labour room, maka bermulalah debaran dan tekanannya. Yang pastinya, hasrat dan impian setiap staff yang bekerja didalam labour room itu ialah, setiap ibu yang masuk, akan keluar berdua bersama anak mereka yang selamat dilahirkan.
Adalah anda perlu faham, terutamanya untuk sesiapa yang pernah melahirkan anak, proses kelahiran adalah proses yang menyakitkan, dan memerlukan semangat kuat dan kental, baik dari pihak sang ibu dan ayah, dan juga kerjasama mereka dengan staff yang terlibat. Di dalam kesakitan ibu yang sedang teramat sakit melahirkan, ada yang menjerit sekuat hati mereka, ada yang menangis, ada yang bagus berselawat dan berdoa supaya proses kelahiran berjalan lancar, ada juga ya yang mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya. Boleh saya katakan pesakit berada dalam keadaan yang sangat vulnerable ketika mereka hendak melahirkan. Keluarlah segala kerenah, segala perangai, segala ragam, segala attitude.
Teringat satu peristiwa yang tidak dapat saya lupakan ketika saya bertugas di Labour Room Hospital Melaka. Pernah pada suatu ketika, seorang ibu muda masuk ke labour room di saat bukaan os nya sudah 5 cm. Sebaik naik ke atas katil beliau berkata;
"Saya hanya mahu medical officer atau pakar sahaja yang menyambut anak saya. Saya tak mahu doktor pelatih atau jururawat. Saya hanya percayakan pakar dan pegawai sahaja." Sambil matanya memandang kami dan jururawat di sekeliling katil beliau.
Bongkak sungguh statement Puan yang seorang ini. Sudahlah anda hendak melahirkan, anda menyinggung pula perasaan orang mahu membantu anda. Saya buka fail pesakit. Besar sangatkah pangkat akak ni, sampaikan bongkak sangat lagaknya.
Pekerjaan : Seorang guru. Tidak semua guru bersikap begini, ada segelintir cuma. Ibu saya juga seorang guru, saya tahu seorang guru biasanya bepekerti mulia. Namun tidaklah kami berjauh hati dengan perkataan beliau, tetapi permintaan beliau kami penuhi dengan rasa hormat. Tak mengapalah, kami semua tidak layak menyambut kelahiran anaknya.
Ditakdirkan Tuhan entah mengapa, di saat os beliau semakin besar, beliau memekik-mekik kesakitan seperti orang hilang arah. Memekik sekuat kuat hati seperti meracau gayanya. "Sakittttttttttttttttttt!!!! Sakittttttttttt!!! Tolonglah aku sakitttt ni!!!" Begitulah lebih kurang jeritannya. Puaslah si suami di sebelah memujuk, tetapi beliau tetap menjerit sekuat hati.
Pegawai perubatan yang bertugas hanyalah seorang, sedang sibuk merawat pesakit lain yang sedang meneran keluar anaknya. Sudah pegawai kami periksa laluan si guru ini tadi, bukaan masih 7 cm. Belum cukup 10 cm untuk bearing down dan pushing. Kami di luar bilik beliau berpandangan sesama sendiri. Hendak kami menenangkan pesakit ini, sudah terang-terang dia mengatakan dia tidak mahukan kami menyentuh beliau. Alhamdulillah, akhirnya beliau selamat melahirkan zuriat beliau. Dan dengan ketentuan Allah, midwife kami yang paling senior dan seorang houseman lah yang menyambut kelahiran anak beliau dengan selamat, bukan pegawai yang bertugas atas sebab-sebab tertentu.
Semasa beliau selesai untuk di tolak pulang ke wad, berkali-kali beliau memohon maaf dari semua staff yang terlibat. Kami hanya tersenyum. Tak apa. Janji Puan dan anak Puan selamat.
Tahukah Puan-puan semua, semasa Puan menlahirkan anak, jururawat yang Puan kecam inilah yang membantu Puan membuang air kencing Puan di atas tilam, saat Puan meneran, dan yang keluar itu bukanlah bayi Puan tetapi najis puan, jururawat lah yang membersihkan. Ada di antara kami siap pernah 'mandi' lagi dengan air ketuban Puan. Mereka bersabar, mereka tersenyum dan sentiasa memberi semangat terhadap Puan. Mereka melayan kerenah Puan walaupun Puan memandang rendah keupayaan mereka untuk membantu. Apabila Puan mengatakan Puan berputus asa dan tidak mampu lagi menahan sakit, merekalah orangnya yang tidak berputus asa terhadap Puan. Mereka tetap memberi galakan dan semangat agar semuanya selamat.
Tidak kami minta medal atau penghargaan, hanyalah ucapan terima kasih. Ucapan yang cukup untuk membuatkan kami tetap bersemangat untuk meneruskan tugas kami setiap hari. Tanpa jemu.
MITOS TIGA : Jururawat suka merimaskan anda membuat lawatan rumah
Kenalkah anda pada jururawat berbaju dan bertudung putih, dengan jalur ungu di atas tudung kepalanya? Ya, mereka di kenali sebagai jururawat masyarakat. Bagi yang pernah melahirkan anak, atau mempunyai ahli keluarga yang terlantar sakit, mereka pasti cukup kenal dengan jururawat masyarakat. Salah satu skop kerja jururawat masyarakat adalah membuat lawatan rumah untuk pesakit-pesakit yang tidak dapat menghadirkan diri ke klinik atas alasan terlalu uzur atau sebab -sebab khusus yang lain.
Baru-baru ini banyak sekali statement-statement sentap yang dikeluarkan oleh rakyat marhean di media-media sosial, yang menyatakan mereka rimas dengan kemunculan jururawat mereka yang melawat ke rumah mereka.
"Menyibuk sahaja akak akak misi ni. Pagi-pagi dah terpacak di depan rumah aku!"
"Rimaslah asyik datang, tahulah aku jaga diri dan anak aku sendiri!"
Sejak saya bertugas di klinik kesihatan, saya mula berasa sanagat kasihan dengan para jururawat yang menjalankan lawatan-lawatan rumah. Tahukah anda, tidak semua negara mempunyai servis lawatan ke rumah rumah. SERVICE INI IALAH FREE YE TUAN DAN PUAN PUAN SEMUA.
Dinegara-negara lain, sebagai contoh di United Kingdom atau di tempat saya belajar dahulu di Ireland, health services adalah berbayar. Biasanya kos perubatan akan di tampung oleh insurans yang dibayar oleh rakyat jelata. Dulu masa di universiti, saya nak berjumpa dengan staff nurse sahaja saya disuruh bayar 20 euro. Belum lagi berjumpa doktor. Pernah sekali saya di masukkan ke emergency kerana severe gastritis, saya perlu membayar 300 euro untuk pendaftaran masuk, belum lagi admission dan ubat-ubat extra. Walaupun pada masa tersebut saya boleh sahaja claim duit MARA untuk elaun sakit, tapi saya rasakan semuanya satu pembaziran. Jadi sepanjang lima tahun pengajian, saya bertahan supaya tidak jatuh sakit.
Tapi di negara kita, misi dan kadangkala doktor sampaikan datang ke rumah! Yang lebih menyakitkan hati, ada antara pesakit kami yang SANGAT TINGGI BUDI BAHASANYA, nurse datang ke rumah mereka tidak buka pintu!
Ini saya nak tegur sedikit sikap ibu ibu moden dewasa kini, yang kebanyakan degil sungguh.
Satu kes baru baru ini, kes pesakit high risk pregnancy, blood pressure melambung tinggi siap ada protein ++ dalam urine. Tak mahu masuk hospital padahal dah nak melahirkan anak dah ni. Misi turun ke rumah sampai tak nak bukakan pintu, sudah buka pintu tetap berkeras tidak mahu ke hospital. Sampaikan hilang lah daya misi ini, di panggilnya doktor yang pada waktu itu TIDAK BERTUGAS untuk turun memujuk pesakit ini ke hospital!
Seriusly? Nak kena pujuk?
Kalau ikutkan hati kami yang kecewa dan marah, biar sahaja, biar berlaku sesuatu dan kamu tanggunglah sendiri. Suruh sahaja si ibu tandatangann surat discharge atas risiko sendiri, habis cerita. Tetapi, kami ini pasukan perubatan, dan kami tahu tiada apa yang lebih berharga selain nyawa seorang manusia. Dilayannya kami seperti sampah, tetapi kami kasihan pada kandungan yang Puan kandungkan itu!
Satu lagi kes, si ibu mempunyai sakit darah tinggi. Tidak mahu mengambil ubat, tidak mahu check ups. Ingin kandungan secara alami katanya. Misi datang ke rumah memujuk, tidak di endahkan. Akhirnya, si ibu sawan, anak meninggal di dalam perut, si ibu koma dan akhirnya meninggal dunia.
Ini belum lagi saya cerita tentang kes bayi jaundice. Yang ada antara ibu bapa yang menolak mentah mentah pemeriksaan jaundice. Kasihan pada anak yang dicucuk jarum. Anak itu dah nak bermuka oren dah, masih degil. Misi datang memujuk di bawa anak ke klinik untuk diperiksa, enggan. Sampaikan again, kena panggil doktor ke rumah anda untuk memujuk anda. Apabila datang, si ayah dah bercekak pinggang. Nak menasihatkan, keras kata-kata si ayah;
"Saya faham doktor, tak payah terang-terang banyak sangat. Mana nak sign meh saya sign je!" Sombong kata-kata si ayah.
Kami sebagai doktor dan misi, datang juga walau dilayan sebegini bukan kerana Encik. Tapi kami kasihankan ibu dan anak yang bau lahir itu. Mengandung kan dan melahirkan sangat payah, nanti kerana kedegilan encik, anak yang menjadi mangsa. Belum terkena. Encik belum terkena. Kalau kuning anak encik turun secara semulajadi alhamdulillah. Kalau di buatnya paras bilirubin naik dan sampai berkumpul di otak anak encik, maka akan lumpuhlah dan terencatlah bayi yang dilahirkan sihat itu.
Saya sebenarnya sangat ralit dengan attitude masyarakat Malaysia. Saya rasakan kita sebagai rakyat kurang rasa bersyukur atas perkhidmatan kesihatan yang baik, apatah lagi diberikan secara percuma. Kita tidak menghargai service yang tidak semua negara memilikinya. Anda ingat, berapa sen sangat lah elaun yang para jururawat dapat apabila melawat rumah anda. Ketika ekonomi gawat kini, minyak motor mereka pun guna duit sendiri kalau kenderaan jabatan tidak available. Mereka semua perempuan, sudahlah kena masuk keluar kampung, panjat bangunan tinggi tinggi itu belum kira lagi kalau mereka menagandung, sudah sampai ke depan rumah anda, anda buat buat tak dengar.Konon-konon tak ada di rumah, padahal kami boleh dengar bunyi TV dari dalam rumah. Ada yang buka pintu, tidak di beri masuk pula.
Adab mana adab?
Kalau anda menyampah sangat dengan muka kami, fine. Anda berterus terang, anda dengar penerangan kami dulu. Kiranya anda tetap berdegil, fine. Anda tandatangan surat atas risiko sendiri. Sekiranya berlaku apa-apa ke atas Puan atau anak Puan atau Tuan, jangan pula anda kecam sistem kesihatan, kritik dan menyalahkan para petugas kesihatan. Jangan anda canang seolah-olah kamilah yang membuatkan anak anda jatuh sakit. Nasihat saya, jangan membuka aib sendiri. Kami para petugas kesihatan boleh bersabar sekiranya anda tidak mahu mendengar nasihat, tetapi sekiranya kami difitnah dan air muka kami dijatuhkan, kami tidak akan berdiam diri.
Saya sangat berharap masyarakat dapat menghormati pada petugas kesihatan yang datang berjumpa. Apalah salahnya di hidangkan air kosong penghilang dahaga. Mereka datang ke rumah sudah menyenangkan anda dan keluarga. Jadilah masyarakat yang berakhlak mulia. Bersyukur dan saling menghormati. Petugas yang mengangkut sampah pun perlu kita hormati, besar jasa mereka pada kita. Tiada mereka, busuklah rumah kediaman kita berbau sampah. Sama juga kepada jururawat. Atau kepada pekerjaan yang lain.
Tuan tuan dan Puan puan,
Kami yang bekerja di klinik dan hospital dah melihat macam-macam kerenah manusia. Dari kes-kes anak derhaka si Tanggang moden sampailah kes - kes anak-anak yang meninggalkan ahli keluarga mereka berbulan-bulan di hospital. Kes anak yang datang menghantar ibu yang sakit terkial-kial di dalam bilik doktor, padahal anak di luar bermain handphone. Dihantarnya pagi, di jemputnya petang. Kadang-kadang kamilah yang menghantar si ibu tua tadi pulang. Kami menyaksikan kematian lantaran kedegilan. Kami tahu setiap aib dan kelemahan pesakit-pesakit yang kami jaga. Malah kami para doktor dan jururawat mengetahui segala rahsia gelap dan rahsia hitam semua pesakit kami.
Tetapi tugas kami untuk membantu anda, bukan menghukum atau menghakimi anda. Bukan untuk mengkritik kehidupan anda. Tidak seperti apa yang anda lakukan terhadap kami selama ini.
Tidak kami aib kan anda di media-media sosial. Tidak kami jaja wajah dan cerita anda yang membuat ibu bapa anda menangis. Tidak kami canang anda penghidap HIV, anda penagih dadah, anda penagih alcohol, anda pengamal seks bebas, anda mengandung anak luar nikah. Kerana itulah saya katakan, dalam kerjaya sifat IHSAN itu amat diperlukan. Sabar itu perlu. Tujuan dan komitmen perlu jelas.
Saya selalu membuat kesimpulan, bahawa telah Allah letakkan suatu sifat SABAR dan PENGASIH dalam hati setiap para jururawat di dunia ini. Supaya mereka tetap cekal menjalankan tugas. Supaya dapat meringankan penderitaan hamba-hambaNya yang sedang ditimpa musibah. Supaya mereka tetap terus sanggup menjulang amanah dan cita-cita. Tiada apa yang lebih penting dari harga sebuah nyawa dan kesihatan.
Rasulullah ﷺ bersabda, “Tidaklah seorang muslim yang tertimpa gangguan berupa penyakit atau semacamnya, kecuali Allah akan menggugurkan bersama dengannya dosa-dosanya, sebagaimana pohon yang menggugurkan dedaunannya.” (HR. Bukhari dan Muslim)
“Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepadamu sedangkan kamu mengetahui” [Al-Anfal : 27]
Niat kami, hanyalah untuk melihat anda sihat dan sejahtera bebas penyakit.
Akhir kalam, berbanggalah wahai para jururawat Malaysia dan seluruh dunia. Sekiranya manusia tidak menghargai penah lelah mu, maka Allah lah sebaik baik Penilai. Jangan diharap sanjungan dan pujian manusia, makin kita berharap makin kita akan kecewa. Niatkanlah baktimu kerana Allah, kalau bukan di dunia ini balasannya, akhirat pasti menjanjikan sejuta ganjaran. Ikhlaskan hati kita dalam menjalankan tugas, Allah mengira setiap keringat dan air mata kalian.
Allah Maha Melihat lagi Maha Mengetahui.
In sha Allah.
No comments:
Post a Comment