... I am A restless brain ...

Sunday, December 9, 2012

sayangnya saya sebagai sahabat

~~~sebuah kisah, sekadar buat renungan~~~
(kisah ini tiada kena mengena dengan sahabat2 saya disini, mereka semua wanita solehah, solat cukup dijaga =). ini hanyalah sebuah kisah rekaan untuk dikongsi dan direnung bersama)

Assalamualaikum,


Ini kisah saya dengan seorang sahabat. Saya harap awak tahu yang saya bersikap memaksa, saya bersikap 'pushy', saya tetap menasihati, saya tetap marah dan datang kembali bila dihindari, kerana saya amat, amat, amat kasihkan awak, kasihkan awak sebagai sahabat.


Kehadapan sahabat yang amat saya kasihi,


Entry ini saya tulis sebab saya stress sangat. Kesabaran saya dah teruji. Saya sedikit marah. Saya sangat tertekan dengan sikap awak. Saya dah tak tahu dengan cara apa lagi yang saya mampu buat untuk menyelamatkan awak dari murka Allah. Saya jadi buntu. Saya sayang sangat kat awak, saya tak nak awak masuk neraka. Saya minta maaf, saya tahu awak seorang insan yang sangat baik dan mulia. Tapi semulia manapun awak, sebaik manapun awak dengan manusia, sekiranya perkara 'yang satu' itu awak ambil ringan, awak tidak akan kemana-mana selain menuju murkaNYA.



Ini kisah sahabat saya. Dia sahabat yang paling akrab dengan saya, mendengar semua masalah saya. Menasihati saya bila saya salah. Mengesat air mata saya bila saya menangis. Dimata saya, dia seorang sahabat yang sempurna. Hatinya bersih tanpa permusuhan, malah dia tidak pernah menyakiti hati sesiapa. Dia sempurna di mata saya. Cuma, dia ada satu kekurangan.




Kekurangan sahabat saya ini ialah, beliau sangat liat bangun untuk solat subuh. Sangat liat. Sangat sangat liat. Pasanglah bom kat telinga dia pun, dia tetap liat. Dah macam tarzan saya setiap hari kejut sahabat saya ini solat subuh, tapi saya yang stress sendiri. Makin kuat saya mengejut, makin kuat lagi dengkur tidurnya. Subhanallah. Rasa-rasa kalaulah setiap hari level stress mengejut awak begini, saya boleh mati cepat sebab darah tinggi. Tapi walaupun begitu, saya tidak pernah putus asa, sudah bertahun-tahun, setiap hari, saya tetap kejut awak solat subuh, sebab bagi saya, solat subuh itu sangat besar nilainya.


Sudah berbuih-buih mulut saya menasihati awak. Sahabat, awak nak tahu tak kenapa walaupun saya tahu saya bakal dapat darah tinggi sebab stress kejut awak solat subuh tiap2 hari, saya tetap tidak berhenti? Walau saya penat jadi tarzan untuk gerak awak bangun, tahukah awak kenapa saya tetap setia ingin lihat awak menyempurnakan solat subuh awak?


Kerana solat subuh itu sangat besar nilainya. Nilai solat itu tidak tertanding harganya. Tahukah awak sahabat, bila kita dihadapkan di padang mahsyar kelak, perkara pertama yang akan dihisab ialah SOLAT kita. Sahabat, saya pernah beritahu awak, di padang mahsyar nanti ada berbillion billion manusia, dari zaman nabi Adam, hingga umat Nabi Muhammad. Ramai sangat. Matahari pula sejengkal atas kepala. Dikatakan, padang mahsyar banjir dek peluh manusia hingga ke paras kepala. Kalaulah solat kita tak jaga, bayangkanlah entah giliran keberapa kita akan terkebelakang. Saya sayangkan awak. Saya nak hisab kita mudah di mahsyar nanti. Saya nak perhitungan kita pantas disebabkan kita menjaga solat. Demi persahabatan kita, saya tak mahu awak jauh terkebelakang hanya kerana solat subuh yang awak abaikan ini.


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang dari sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman:” Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang dari sembahyang fardunya?” Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain. ”-Riwayat at-Tirmidzi


Sahabat, kadang2 tengah-tengah saya kejut awak, saya jadi mengamuk sangat. Dah hampir 5 tahun kerja saya tiap-tiap hari kejut awak solat, tapi awak tak pernah berubah. Kadang-kadang saya tertanya-tanya, tiadakah sekelumit rasa bersalah awak pada Allah? Kenapa sombong sangat dengan Allah? Sahabat, saya teringat bila awak dalam kesusahan, awak menangis, awak menangis sambil berdoa. Awak tanya Allah, kenapa awak diberikan ujian sebegitu berat. Tapi tidakkah awak terfikir, macammana sanggup awak tanya soalan begitu kat Allah, sedangkan hak Nya awak tak tunaikan. Hak Dia awak tak jalankan. Solat itu ialah kewajipan kita padaNya. Bukan kita kena buat 50 kali sehari macam mula2 Allah perintahkan sebelum diringankan dalam peristiwa isra' mi'raj. Hanya lima kali sehari. Apa yang susah sangat. Malulah dengan Allah. Malulah kita mampu berjalan di atas muka bumi ini dengan mendongak kepala, sedangkan kewajipan kita padanya kita lupa.. Tahukah sahabat hukum meninggalkan solat? (menurut hadis);

Sembahyang Subuh
Barang siapa meninggalkan sembahyang subuh , nescaya Allah akan mencampakkannya ke dalam neraka selama 60 tahun.

Sembahyang Zohor

Barang siapa yang meninggalkan sembahyang zohor dengan sengaja dosanya sama dengan membunuh 1000 orang Islam

Sembahyang Asar

Barang siapa yang meninggalkan sembahyang Asar dengan sengaja , dosanya sama dengan seperti ia meruntuhkan Ka'abah (Rumah Allah)

Sembahyang Maghrib

Barang siapa yang meninggalkan sembahyang Maghrib dosanya sama seperti ia berzina dengan ibunya atau anak perempuan bagi orang-orang lelaki ataupun berzina dengan bapa atau anak lelaki bagi orang-orang perempuan.

Sembahyang Isya'

Barang siapa yang meninggalkan sembahyang Isya' nescaya Allah tidak akan redha ia tinggal di dunia ini ( bumi Allah ) dan menggunakan segala nikmat kurniaan Allah. Segala gerak geri adalah semata-mata dalam keadaan berdosa kepada Allah s.w.t.




Sahabat, tahukah awak saya sangat-sangat kasih dan cinta pada awak. Saya nak kita sama-sama meraih syurgaNya. Kenapa bagi saya solat subuh amat penting. Kerana bagi saya, "CANTIK SOLAT SUBUH SAYA, MAKA CANTIKLAH SEPANJANG HARI SAYA". Bila solat subuh saya cantik, bermakna 'date' pertama saya dengan Allah hari itu juga cantik. Maka Allah redha dengan saya, redha Allah berpanjangan untuk sepanjang hari tersebut. Maka segala urusan saya dipermudahkan, ilmu saya diberkati, dada saya dilapangkan, dan hati saya tenang. Sebab itu saya tak mahu awak tinggalkan solat subuh awak. Memanglah kalau terlanjur tidur solat boleh diqada'kan, tapi kalau dah tiap hari, itu bermakna kita sombong dengan DIA. Angkuhnya kita! Sepatutnya badan kita akan bergegas menunaikan perintahNya, atas rasa cinta, atas keimanan dan ketaatan. Kita mulakan hari kita dengan penuh rasa cinta dan redha dariNya. Lagipun, kita diberi akal dan tubuh badan yang sempurna, apa alasan kita? Malulah dengan Allah.. Malulah..




Sebagai sahabat awak dunia akhirat, saya tak akan putus berdoa agar awak berubah. Biar akan memakan masa bertahun-tahun, saya pasti hati awak akan dilembutkan. Takutlah pada Allah. Awak boleh benci saya sebab saya menganggu tidur awak, awak boleh anggap saya penyibuk, pushy, atau apa2 pun, kerana sayang saya pada awak kerana Allah, tak sanggup saya nak tengok awak tercampak dalam neraka. Saya akan tetap setia menunggu awak berubah. Kita kena menjaga hak Allah, dan Dia akan menjaga hak kita.

Dari Abdullah bin Abbas r.a: Adalah aku berada di belakang Nabi s.a.w., lalu baginda bersabda:

Wahai budak! Sesungguhnya aku ingin mengajar kamu beberapa kalimah (ajaran agama): Jagalah Allah, (nescaya) Dia akan jaga kamu. Jagalah Allah (nescaya ) kamu akan dapati Dia di hadapan kamu. Apabila kamu meminta, maka mintalah kepada Allah, apabila kamu memohon bantuan maka mohonlah kepada Allah. Ketahuilah sesungguhnya jikalau seluruh umat berkumpul untuk memberi sesuatu manfaat kepada kamu, nescaya mereka tidak berupaya untuk memberi manfaat kepada kamu melainkan apa yang telah di tetapkan oleh Allah kepada kamu. Dan sekiranya umat berkumpul untuk memudaratkan kamu, nescaya mereka tidak mampu memudaratkan kamu melainkan apa yang telah di takdirkan Allah ke atas kamu. Telah di angkat pena-pena dan telah di tetapkan takdir-takdir.-HR Al-Tirmiziy


Semoga awak akan berubah. Saya sayang awak, sayang kerana Allah. Mari raih syurga bersama-sama.

1 comment:

FArAh sYaZaNa zAkAriA said...

mr anonymous. janganlah menyangka2. housemates saya disini semuanya wanita solehah. solat tak pernah tinggal. kisah ini sekadar perkongsian. jangan dicari siapa orgnya, pandanglah pada hikmahnya. sekian~