Assalamualaikum,
9.09 malam, ampang, kuala lumpur.
Alhamdulillah, syukur jutaan syukur aku panjatkan ke hadrat Ilahi dengan rahmat kasih sayangNya, projek yang dirancang oleh aku dan rakan2 sejak tiga bulan lalu hanya melalui facebook berjaya dilaksanakan. Kami tidak pernah dapat duduk semeja untuk berbincang secara details bagaimana untuk mengendalikan majlis yang kuanggap bagi kami, agak besar ini. Iyalah, aku masih lagi berjuang dibumi dublin, ada di united kingdom, ada yang masih di rusia, ada juga yang berada di Malaysia. Namun, kerana nawaitu kerana Allah, dan kami percaya Allah akan mempermudahkan urusan, majlis ini berjalan lancar, lebih lancar dari apa yang dibayangkan. Subhanallah. Subhanallah.
Matlamat ku hanya satu, untuk berkongsi kasih sayang dengan yang memerlukannya, lebih2 lagi adik2 yang tidak mendapat anugerah terbesar seperti aku dan kita semua, iaitu nikmat kasih sayang ibu bapa dan keluarga yang mencinta. Aku sendiri tidak pernah terbayang yang aku akan merealisasikannya sejauh ini, walaupun tidak sehebat mama, Puan Hajah Norlina Alawi (penaung institusi yang dahulunya dikenali sebagai pernim) ataupun umi rose, penaung Raudatussakinah, tapi aku cuba untuk mencuba apa terdaya. Kerana kita semua percaya, kebaikan walau sebesar zarah pun akan dikira, di hari penentuan akhir kita semua, di negeri akhirat nanti. Sama - sama untuk mengumpul saham akhirat, kerana aku sedar, aku seorang insan yang terlalu banyak dosa dan kelemahan. Moga dengan usaha sebegini, dapat menjadi pendinding aku dari disentuh api neraka.
Aku rasa amat bersyukur kerana diberi kemampuan untuk merealisasikannya, walaupun dengan keadaan yang serba kekurangan. Semua rasa cinta ini bermula sejak aku mula menyertai misi-misi kemasyarakatan di bangku sekolah. Kepelusuk pedalaman di daerah Jelebu, kemudian mengikuti aktiviti ke rumah anak-anak yatim di Kajang. Kemudian aku dipertemukan dengan PERNIM, rumah perlindungan kanak-kanak HIV dan kanak-kanak terbiar. Rasa cinta itu bertambah dan bertambah hari demi hari. 6 tahun sejak aku mengenali adik2 di PERNIM ini, dari aku hanya melihat mereka lena di dalam buai ketika mereka bayi, hingga kini mereka dah besar, dan tadika, dah sekolah.
Aku jauh beribu batu dari Malaysia, namun rasa cinta itu tak pernah padam. Entah mengapa wajah adik2 tidak dapat dilupakan. Setiap tahun aku cuba yang terbaik untuk melakukan sesuatu setiap kali aku pulang bercuti. Dengan wang simpanan yang bersisa, aku cuba. Dulu semasa aku masih harus bergantung pada ibu dan ayah, aku hanya dapat memberi sedikit wang. Bila dah kaya sedikit, aku mengupah orang membuat bakso untuk adik2 dan makan beramai2, dan tahun berikutnya aku dan rakan2 akrabku cuba untuk membuat yang lebih besar, yakni buat majlis barbaecue kecil2an di rumah perlindungan mereka. Aku sendiri tak pasti dari mana datangnya kekuatan untuk melakukan semua ini sendirian di tahun-tahun yang lepas, tapi apa yang pastinya, rasa kasih dan cinta itu yang menguatkan.
Inilah gambar kenangan kami di tahun-tahun yang lepas. Teringat ketika tahun lepas ketika majlis barbaecue kami, ramai rakan-rakan yang patut hadir tidak dapat menghadirkan diri kerana pada hari tersebut ada pehimpunan BERSIH. So dengan hanya beberapa orang sahaja yang dapat hadir, kami menguatkan azam untuk menjayakannya dan alhamdulillah seperti yang aku katakan, kalau nawaitunya kerana Allah, pertolongan pasti datang. Alhamdulillah, majlis kami berjalan lancar walaupun kamilah yang bakar kambing dan ayam, kamilah yang mengendalikan games dan kamilah yang bantu di dapur. Tak menang tangan juga dibuatnya. Tak mengapalah, yang penting, adik-adik kami gembira (^_^) ;
Tahun ini entah mengapa aku berfikir yang aku harus melakukan sesuatu yang lebih besar untuk adik-adik. Entah mengapa tergerak hatiku untuk mengajak ramai rakan-rakan lamaku dan rakan-rakan di dublin untuk mengusahakan impian yang murni ini. Disinilah aku mula dilanda dilema dan konflik diri. Kata orang, apabila kita berbuat kebaikan, jangan dicanang- canang, takut diselebungi rasa riak dan megah. Kerana hakikatnya, kita melakukan kebaikan dan kebajikan kerana Allah taala. Kerana bukan sanjungan manusia yang kita cari dan impi, tetapi kita mengimpi doa dari penghuni langit. Kita mengimpi tanaman pahala yang dapat kita tuai di akhirat nanti. Itulah tujuan sebenarnya.
Namun, untuk merealisasikan sesuatu yang lebih besar dan murni seperti ini, aku masih tidak mampu untuk merealisasikannya sendirian. Aku perlu berganding tenaga dengan rakan-rakan yang punya rasa cinta yang sama. Lagipun, aku yakin ramai lagi di luar sana punya impian dan rasa cinta sepertiku, tetapi masih samar dari mana harus ia bermula. Aku mahu lebih ramai lagi insan yang dapat merasai betapa indahnya perasaan memberi ini. Indahnya perasaan kasih sayang 'anugerah' ini. Dan aku teringat kata-kata, "Tidak melakukan ibadah kerana takut dikatakan riak adalah riak". Apa yang penting nawaitu kita. Hanya Tuhan yang tahu.
Maka dengan beraninya aku meminta sumbangan tenaga atau wang melalui group MRSM Jasin di facebook. Dengn harapan ada rakan-rakan yang sudi menyumbang samada sumbangan tenaga atau wang. Masih aku takut kalau kemurnian usaha ini dicemari rasa riak, dan aku terus berdoa agar nawaitu ini hanya ikhlas keranaNya. Alhamdulillah sedikit demi sedikit Allah menghantar kasih sayang dan pertolongannya melalui rakan-rakan yang ingin menyertai dalam usaha yang lebih besar tahun ini, malah ada rakanku yang menyumbang sejumlah wang yang banyak hingga ribuan ringgit. Subhanallah. Alhamdulillah.
Aku bersyukur dikurniakan rakan-rakan yang murni hatinya, menjadikan impian ku kenyataan tahun ini, meraikan adik2 dengan makanan yang lebih sedap, dan hadiah yang lebih banyak! Kepada atiqah, fariza, haiqal, irzie dan pasangan, fatin, hanis, wawa, kak faiza, ezzat, maher, ain, erun, erin, adibah, fararo, luqman, dziya, wan nazihah, nasuha, hidayah dan ramai lagi, jutaan terima kasih kerana sudi menyumbang dari segi tenaga dan kewangan, tak terkata rasanya rasa syukur yang dipanjatkan atas kehadiran anda semua menambah mekar rasa cinta tanpa sempadan ini. Ya, kita tidak pernah berpeluang duduk semeja untuk merancang dengan lebih teliti, tapi kerana saya tahu rakan-rakan saya semuanya hebat-hebat belaka, dan yang paling penting nawaitu kita, majlis tempoh hari cukup-cukup menggembirakan kita semua, sepetang berkongsi cinta dengan anak-anak anugerah! Dan kita juga dapat menjemput beberapa keluarga miskin sekitar ampang untuk memeriahkan majlis. Tambahan pula, duit lebih sebanyak 800 ringgit dari hasil sumbangan, sudah disalurkan kepada beberapa keluarga miskin, dan institusi anak-anak yatim yang lain. Subhanallah, banyaknya cinta!
Ini gambar-gambar sekitar majlis pada 7 julai yang lalu di restoran tupai2 ampang;
Ketika aku berjumpa dengan pengurus restoran tupai2 ini untuk berbincang tentang majlis, dia bertanya kepadaku, event ini diadakan dibawah syarikat atau organisasi mana dan atas tujuan apa. Ketika itu aku terdiam seketika lalu tersenyum, "Mentaliti sungguh, kalau majlis sebegini diadakan je, mesti orang ingatkan dibawah organisasi atau atas apa-apa tujuan, pelik benarkah jika sekumpulan sahabat berkumpul untuk menggembirakan anak-anak anugerah ini?"
Dan aku menjawab selamba, "Tak ada apa-apa tujuan encik, saja, rezeki kami lebih, ingat nak bawa adik-adik kami tu makan besar sekali sekala. Sambil-sambil mengumpul pahala, insyaAllah"
Bagi aku perasaan cinta ini adalah anugerah. Bak kata mama, Puan Hajah Norlina Alawi, anak-anak ini tidak sepatutnya dipanggil kanak-kanak kurang kurang bernasib baik atau kanak-kanak yatim yatim piatu atau kanak-kanak istimewa. Kanak-kanak ini harus dipanggil anak-anak anugerah. Ya, mereka anak-anak anugerah, kerana itulah aku menganggap rasa cinta yang datang entah dari mana ini juga satu anugerah. Benar juga kata mama, cinta ini, cinta yang tiada sempadan. Cinta yang tunjangnya kerana Allah, hanya kerana rasa cinta kami kepadaNya. Mereka bukan darah daging kita, mereka juga bukanlah ada apa2 pertalian darah dengan kita, tetapi sekali aku memandang mereka, timbul rasa kasih dan cinta. Timbul rasa ingin melindungi, ingin memberi. Bukankah kita sebagai umat Islam kita semua bersaudara. Bak kata orang, cubit peha kiri, peha kanan akan terasa. Hati mana yang tidak meruntun melihat mereka tidak diberi perlindungan dan kasih sayang?
Aku tidak pernah sangka usaha yang hanya bermula sebagai hobi, dapat pergi sejauh ini. Semakin hari, tekadku semakin kuat. Aku tidak hanya mahu menjadi doktor yang berjaya yanag mana kejayaan itu hanya berlegar tentang kepentingan diriku sahaja. Aku ingin memberi kepada yang memerlukan selagi termampu. Aku bukan jutawan, bukan juga anak hartawan. Aku tidak punya wang berjuta untuk diberikan. Ayah dan ibuku tidaklah kaya raya, memiliki harta berjuta. Tapi bagi aku ibu dan ayahku amat-amat kaya lebih kaya dari jutawan, mereka kaya jiwa. Kerana aku mewarisi sifat ini dari mereka. Dek tangan ayah dan ibu yang sentiasa menghulur dan memberi kepada sesiapa saja yang memerlukan bantuan mereka.. Duit dan kemewahan boleh dicari, jangan kita takut untuk memberi kerana setiap satu pemberian itu ada rezekinya. Kerana ia datang dari Allah jua.
Aku hanya harap, rasa cinta ini terus mekar dan menguatkan aku untuk terus berada dalam kasih sayang ini, agar aku dapat terus memberi perlindungan dan kasih sayang kepada yang memerlukan. Kerana aku sedar, dengan kelebihan akal fikiran dan kemurahan rezeki yang dikurniakan kepadaku, aku mampu untuk merealisasikannya. Aku tidak mahu mengulangi kesilapan dulu, dimana adik2 yang aku sayangi di rumah anak yatim kajang hilang begitu saja. Kepada Lina dan fatimah yang sering berutus surat denganku, kini hilang entah kemana setelah lari dari rumah anak yatim itu dek kerana tak tahan dengan penjaganya yang hanya makan gaji dan mendera perasaan mereka. Lina dan fatimah dihantar ke rumah di kajang itu setelah ibunya mati dibunuh bapa kandung mereka sendiri. Aku masih simpan surat fatimah dan pemberiannya, sebuah frame gambar berharga dua ringgit sewaktu aku masih kerap melawat mereka disana. Aku tahu, dua ringgit sudah terlalu besar nilainya buat mereka, dan dia sanggup membelikan hadiah untukku menggunakan wang simpanannya. Aku masih ingat Luqman yang setia menanti ayahnya keluar dari penjara, dan Ahmad yang menanti ayahnya yang murtad untuk kembali kepangkal jalan. Aku terputus hubungan dengan mereka semua kerana pada ketika itu aku harus terbang ke kota dublin untuk menuntut ilmu. Aku masih ingat suara lina yang menelefonku di lewat malam meminta bantuan, namun apa dayaku, aku telah jauh.
kenangan di rumah anak-anak yatim di kajang.
Aku tak mahu semua itu berulang lagi, kasih sayang dan ukhwah yang dibina dengan adik2 ini, biarlah kekal sampai ke syurga. Jangan ia putus atas alasan aku sibuk benar mengejar cita-cita. Aku mengharap doa anak-anak anugerah ini, untuk membantu aku dari jatuh di jurang neraka. Aku cinta mereka kerana aku cintakan Nabi Muhammad saw, kerana mereka anak yatim, begitu juga Rasulullah. Berbicara dengan mereka begitu meruntun hati. Ada orang kata, bila bertemu mereka, jangan bertanya mereka hal peribadi mereka. Namun tidak bagi aku, kerana mereka semua masih terlalu kecil untuk semuanya sendirian. Setiap kali aku ke sana, aku mahu menjadi bahu tempat mereka ingin bersandar sekiranya mereka terasa rapuh atau ingin jatuh. Sekiranya mereka tidak tahu, aku boleh memberi tunjuk ajar. Sekiranya mereka ingin bertanya, aku sedia menjawab. Mereka memerlukan bimbingan, mereka tidak punya ibu bapa untuk memberi panduan. Mereka terlalu kecil dan terlalu muda untuk semua liku perjalanan yang begitu sukar itu...
Ya Allah, jauhi aku dari sifat riak atau takbur. Sucikan hatiku, murnikan nawaitu ku. Sesungguhnya insan hina ini terlalu banyak dosa. Aku tidak sehebat orang lain, aku masih merangkak untuk mencari keredhaan Mu. Kekalkan rasa kehambaanku, agar aku dapat terus melakukan semua ini keranaMu ya Allah. Tujuan aku menulis, adalah untuk mengajak rakan-rakan semua untuk sama berganding bahu, untuk melindungi anak-anak anugerah ini, walau dimana pun mereka berada, walau siapapun mereka. Tidak susahpun, walaupun hanya 10 ringgit sudah amat besar ertinya buat mereka.
Semoga impian ku dan rakan2ku untuk membina pusat pendidikan Islam untuk kanak-kanak miskin dan anak-anak anugerah ini akan tercapai. Mari kita sama-sama menanam untuk negeri akhirat agar hasilnya dapat kita tuai bersama insyaAllah! Mari jadi insan yang bukan saja kaya harta, malah kaya jiwa. Kita bina kejayaan bukan saja untuk dunia, malah untuk bekalan disana.Ayuh, insyaAllah! (^_^)
No comments:
Post a Comment