... I am A restless brain ...

Sunday, September 4, 2011

Antara PENGORBANAN, CINTA dan IMPIAN..

4th September 2011, 8.43 pagi

Assalamualaikum..

Sepi benar pagi ini.. Namun terasa nyaman dan tenang sekali. Sesekali apabila angin dingin pagi menghembus ke wajah dari bukaan kecil jendela kamarku, aku terasa dilahirkan semula. Seolah-olah baru aku tersedar dari keletihan dan kesibukan mengejar dunia. Rumahku terasa begitu sunyi, sekali lagi, disini aku semula. Dibumi Dublin, keseorangan di rumah yang kuhuni dibumi asing ini, kerana housemates ku yang lain masih menikmati cuti raya panjang yang begitu menyeronokkan. Sedang aku sudah sekali lagi memulakan perjalanan dalam perjuangan mengejar cita-cita; menggulung segulung ijazah MEDICAL DEGREE dan mengutip ilmu dan kebijaksanaan dari guru hebatku yakni; PENGALAMAN.




Sedang perlahan aku memutarkan irama indah kegemaranku oleh YIRUMA (kiss the rain), jari jemariku ligat memuntahkan apa yang sedang berada didalam fikiranku. Jujurnya, hati masih terasa sakit dek terpaksa berjauhan dari orang-orang yang tercinta sekali lagi. Sedang hatiku begitu enggan pulang ke tanah asing ini lagi, tapi jiwaku kuat mengatakan bahawa Farah Syazana sememangnya bukanlah seorang anak gadis lemah yang akan mengaku kalah sebelum menamatkan perjuangan, maka gagah juga kakiku longlai meninggalkan ruang perlepasan di KLIA tempoh hari.

Antara pengorbanan, cinta dan impian. Cinta dan impian adalah dua perkara yang terlalu diinginkan oleh setiap insan, tapi berapa ramaikah antara kita yang sanggup melaksanakan pengorbanan? Lebih-lebih lagi dek pengorbanan itu kita terpaksa berendam air mata setiap hari dan terpaksa menempuh perkara-perkara yang paling kita benci didunia ini. Semestinya, seperti manusia biasa yang lain aku ingin memiliki cinta, yakni cinta paling agung dari Allah dan Rasul-rasulNya, dari ibu dan ayah tercinta, dari along dan adik-adik yang sentiasa dirindui..InsyaAllah, cinta dari lelaki yang bakal kupanggil suami dan cinta dari keluarga nya juga, cinta dari rakan-rakan yang setia malah cinta dari seluruh umat Islam seislam dan sesaudara. Maka kerana cinta, hidup kita jadi lebih indah dan bermakna, kerana cinta membuatkan kita lebih mengerti tentang erti sebuah kehidupan. Kerana cinta kita punya semangat dan sebab untuk terus maju dalam hidup. Bahawa siapa dapat menyangkal, bahawa cinta itu adalah kurniaan Allah yang paling indah, kerana kerna cinta juga, kita mengenal pencipta kita. Ya, aku ingin sekali memiliki cinta itu, malah aku sedang memilikinya, cuma aku kini sedang berada jauh dari cinta-cintaku. Terlalu jauh sehingga aku merasakan hatiku telah hilang,hanya jasadku sahaja yang berada dibumi Dublin ini. Hanya jasad dan akalku.




Berbicara tentang impian. Impian adalah harapan.Impian ialah keinginan. Tanya diri kita sejak bila kita sudah pandai memasang impian. Jika aku, dari bayi lagi aku sudah pandai mereka impian yang lebih tepat aku bahasakan angan-angan pada waktu itu.Impian aku sewaktu kecil seawal umur 3 tahun ialah, aku ingin ayah selalu berada disisi aku, along dan ibu kerana sewaktu aku kecil, ayah selalu outstation, bekerja jauh dari kami. Maka aku selalu berharap maka satu hari nanti ayah akan selalu disisi kami, kerana kami amat merindui kehadirannya.

my lovely dad..



Sewaktu aku melalui alam tadika, impianku adalah untuk berpuasa penuh seawal umur 5 tahun, seperti along yang ketika itu berusia 6 tahun. Maka aku masih ingat sewaktu semua rakan-rakanku enak menikmati hidangan tengahari didalam kelas, aku duduk keseorangan di laman tadika menahan lapar sambil memerhatikan bangkai seekor kucing dimamah semut api. Dalam hatiku, "hai..semut api pun tak puasa..". Dan semakin aku meningkat dewasa, impian-impianku mula menjadi semakin besar dan semakin melibatkan orang-orang disekelilingku. Tidak seperti sewaktu aku kecil impianku berlegar berkenaan diriku sahaja. Baik impian ingin khatam al-quran lebih dahulu dari along, impian mendapat tempat pertama dalam kelas (kerana ayah cakap kalau dapat nombor 1-3 ayah akan belikan hadiah terutamanya set barbie yang amat aku sukai ketika itu, malah aku dapat kumpul set dapur,set rumah, set bilik tidur barbie hahahaha), impian mendapat 5A dalam UPSR dan bergelar tokoh pelajar sekolah, impian lulus cemerlang 8A dalam PMR dan impian cemerlang dalam SPM 10A1 dan terbang melanjutkan pelajaran ke tanah barat, mengejar cita-cita menjadi seorang doktor perubatan. Namun impian-impian ini adalah satu landasan untuk mengejar impian sebenarku. Impian sebenarku ialah, aku ingin membalas jasa bakti kedua ibu bapaku yang selama ini telah berkorban segalanya..segala-galanya untuk menjadikan aku seorang manusia yang baik dan berjaya. Yang telah melayan kerenah nakalku dan mengada-ngada. Yang telah mengikat perut untuk memberikan aku apa yang aku mahukan. Yang telah meredah malam pekat menghantar aku kekelas tambahan supaya aku bergelar pelajar cemerlang. Yang telah memberikan aku bekalan agama sehingga lidahku fasih ayat-ayat suci al-quran dan aku mengenal Islam dan iman sehingga aku kenal dan cinta pada penciptaku. Impianku adalah untuk membahagiakan ibu bapaku dalam setiap detik kehidupan mereka, sehingga mereka tidak sesekalipun akan merasa penat kerana telah membesarkan aku. Walau aku tahu dengan segunung emas pun tidak setimpal dengan apa yang telah mereka lakukan buatku maka dalam setiap detik hayatku, adalah untuk membuat mereka rasa bahagia. Maka aku belajar bersungguh-sungguh untuk buat mereka rasa bangga. Maka aku menjaga diriku supaya mereka tidak merasa malu atau dihina. Aku cuba menjadi seorang manusia berguna kepada semua agar seluruh dunia tahu bahwa ibu dan ayah telah mendidik aku menjadi seorang manusia yang baik.

beloved mom...



Berbicara tentang CINTA, IMPIAN dan seterusnya PENGORBANAN.Perkara yang paling aku tidak suka dalam hidupku ialah, berada jauh dari keluargaku. Biarpun usia aku makin meningkat tua, berada disamping keluarga adalah segalanya yang aku mahukan. Kerana berada disisi mereka, aku rasa aku dapat melindungi mereka,mungkin kerana sebagai kakak yang sulung, aku bersifat sangat protective. Apabila dekat, aku rasa aku dapat berada disisi mereka disaat-saat mereka paling rapuh. Tapi atas rasa CINTA, dan demi melaksanakan IMPIAN ku, aku terheret jua akhirnya untuk melaksanakan PENGORBANAN. Pengorbanan berada jauh dari sisi mereka. Jujur aku katakan, biarpun kadangkala apabila orang kata, pabila kita dewasa, kita mahukan freedom. Kita mahukan ruang untuk hidup sebagai seorang dewasa, bebas dari sekatan orang tua. Kita boleh pergi kemana kita suka tanpa perlu meminta kebenaran, kita boleh keluar malam. Kita boleh buat apa yang kita mahu, kita bisa cari syurga dunia yang selama ini mungkin kita tidak jumpa dek terkurung didalam rumah. Tapi ternyata, RUMAHKU TETAP SYURGAKU. Aku rasa lebih bahagia mengemas rumah, mencuci baju-baju kerja ibu ayahku. Aku rasa lebih bermakna menghantar adik-adik kecilku kesekolah dan mengambil mereka pulang kerumah. Aku rasa lebih gembira begitu. Pelikkah aku? Tapi itulah duniaku, dan juga syurgaku.

Menulis sendirian di kamarku dibumi Dublin ni membuat aku berasa sedikit tenang. Aaaah seolah-olah terasa aku masih berada di Malaysia berleter pada adik-adik kecilku ami dan ina kerana lambat solat dan menyepahkan rumah. Tapi disinilah aku, sekali lagi menguatkan hati dan perasaan untuk meneruskan perjuangan. Perjalanan menjadi semakin payah. Setiap kali apabila pesakitku tidak memahami aku dan aku tidak memahami apa yang mereka katakan (kerana accent mereka terlalu pekat), aku menjadi sangat frust dan sedih. Terasa ketika itu juga aku ingin pulang ke Malaysia. Lebih-lebih lagi berada keseorangan di rumah begini. Apabila aku kadangkala terasa begitu asing dan tersisih kerana terlalu sedikit bilangan pelajar Malaysia dalam batchku, aku mula berasa putus asa dan ingin sahaja menarik diri. Berjalan sendirian di kota Dublin dan melihat sekeliling dipenuhi mat-mat saleh, aku berasa asing, tiada hangatnya kemesraan silaturrahim. Tiada azan berkumandang,tiada hangatnya Islam. Semua ini memberi aku luka dan air mata. Tapi apabila aku rasa ingin lari dari masalah dan cabaran, aku teringat kata-kata yang ibu coret dalam sepucuk suratnya dulu;

"Adik..sesungguhnya hidup ini terlalu sukar untuk ditempuh..Sesekali kakimu terpijak kelikir yang melukai kakimu, maka anggaplah ia sehampar permaidani yang lebih enak untuk diinjak.. Sekiranya adik terjatuh, maka bangunlah semula, sesungguhnya ibumu ini telah mengajar adik bertatih sejak adik mula belajar berjalan..Dan ketahuilah bahawa ibumu ini akan tetap menyayangimu walau apapun jua keadaannya.."

Ibu selalu cakap hidup perlukan banyak pengorbanan. Ayah selalu pesan yang kesusahan mendidik untuk menjadi lebih kuat untuk menempuh kehidupan. Maka setiap kali air mataku menitis dek rindu kepada cinta-cintaku yang kutinggalkan jauh di Malaysia, aku tersedar bahawa pengorbanan ini yang menyatukan cinta dan impianku.



Maka wahai rakan seperjuangan.. Hidup ini memerlukan pengorbanan. Tanpa pengorbanan kita tidak akan tahu menghargai perkara-perkara yang kadangkala kita anggap remeh sedangkan ia sebenarnya terlalu penting untuk kita. Tanpa pengorbanan juga cinta yang kita ada tidak di kukuhkan dan impian yang kita ada tidak terlaksana. Kesusahan dalam hidup akan menjadikan kita insan yang berbeza. Bak kata ayah, kepahitan akan mendidik jiwa. Pengalaman memupuk kematangan. Dan air mata, mengumpul ketabahan. Tak sabar rasanya ingin menamatkan study ini kurang dua tahun dari sekarang kerana aku juga kini telah memasang satu lagi impian indah baru yakni impian ingin membina keluarga sendiri. Semakin lama impianku semakin besar bukan? Dan aku akan terus membina impian kerana dengan impian, akan bertambahlah cinta dan akan menuntut lebih banyak lagi pengorbanan. Dengan pengorbanan terasa hidup ini lebih bermakna.



Buat ibu, ayah, along, anis, wawa, ami, ina, 'abg feeeeef' sekeluarga..Terima kasih atas sokogan dan dorongan serta kasih sayang. Sokongan kalianlah bekalan ku untuk kuat menjalani hari-hari yang mendatang.

Lets strive for infinite excellence till jannah!

Salam sayang dari bumi Dublin.

Wallahualam

2 comments:

Anonymous said...

love thiss post :(

FArAh sYaZaNa zAkAriA said...

tq =) semoga bermanfaat insyaAllah=)