... I am A restless brain ...

Sunday, June 5, 2011

...its hurting inside...

5 june 2011, 8.56 malam

Assalamualaikum,

Aku keseorangan di rumah kini. Semua housemates ku sudah tiada, 5 mereka sudah selamat sampai di Malaysia menikmati cuti musim panas yang lama ditunggu-tunggu. Seorang lagi telah berangkat menyertai aktiviti summer camp di belfast. Tinggal aku sendirian di rumahku, bersendiri di kamar yang menjadi syurgaku. Kadangkala aku begitu suka bersendiri, tenang, damai, dan aku menemui diriku sendiri. Sambil merenung gambar ibu dan ayah yang kuletak kemas di atas meja studyku, aku membisu, dan kubiarkan hanya suara unggas-unggas yang bergerak pulang berciak-ciak sayup ke sarang sedang waktu kini semakin merangkak senja. Hari semakin sunyi, dan aku masih sendirian di kamar ini..

Dalam gelak riang aku sewaktu berbual dengan keluargaku di skype petang tadi, ada satu riak rasa, pedih dan menghiris yang kusimpan kemas, jauh disudut hati. Aku tahu keluargaku tahu aku kini sendirian tanpa teman disini, dan mereka sedayanya cuba menceriakan aku, biar dari jauh. Terima kasih keluargaku, kamu semua cukup-cukup membahagiakanku dan sentiasa berada disisi ku disaat jatuh bangun hidupku. Ibu dan ayah tahu bahawa anak gadis yang telah mereka dewasakan ini tabah hatinya, kuat jiwanya. Begitu tenang melawan ombak rasa, yang seakan tidak sabar untuk pulang kepangkuan keluarga, meninggalkan duniaku yang begitu sunyi tanpa mereka dibumi Dublin ini.Aku kesini untuk menimba ilmu, menjadi seseorang yang menjadi kebanggaan keluarga, agama dan masyarakat. Jadi biar betapa pedih hidup kesunyian di tanah asing, langkah ini tidak sekali aku longlaikan. Ia tetap kukuh bertapak di mana saja aku berdiri. Akan kugagahi jiwa ini, sehingga aku pulang membawa kejayaan yang kita semua sentiasa harapkan.

Namun masih, dalam jiwa ini ada satu kepedihan. Tidak dapat aku ceritakan pedihnya kerana apa, kerana aku bukanlah seorang wanita yang suka untuk menghebahkan kisah peribadiku pada dunia. Kisah peribadiku, kisah cintaku pada seorang insan bernama lelaki. Suatu kisah yang terlalu banyak luka, terlalu banyak penantian, namun berakhir dengan terlalu banyak kekecewaan. Aku menanti penuh setia, penuh sabar moga suatu hari, dialah yang akan menjadikan aku sayap kirinya, menjadikan aku wanita syurga. Namun ternyata aku salah penilaian. Disaat jatuhnya, akulah yang sentiasa menyokong tanpa lelah, meyakinkannya bahawa Allah itu sentiasa bersamanya dan jangan sekali-kali dia berputus asa dengan rahmat Tuhan. Disaat semua orang membencinya, akulah yang setia tidak putus menjadi suara yang meyakini akan kekuatannya, kehebatannya. Tanpa lelah. Tanpa noktah.

Permintaannya supaya aku terus menantinya, apabila dia berjaya, dia akan mengotakan janjinya, dan aku tidak ragu. Maka bertahun-tahun aku menanti. Namun ternyata, manusia bersifat annaasiah yakni manusia mudah lupa. Setelah dia bertemu dengan apa yang dicarinya, dia hilang dan pergi. Apabila keselesaan kebahagiaan singgah kembali dalam dunianya dia menyepi, meninggalkan aku tanpa sebarang belas.Meninggalkan aku yang setia menanti, tertanya-tanya, apa kurangnya aku dalam kisah ini? Sewaktu dia jatuh dan tersungkur, seakan tidak mampu lagi bangkit, dan disaat semua orang menghindari, akulah satu-satunya yang tetap setia membangkitkannya semula. Namun disaat ini, sewaktu aku dalam kesakitan, keseorangan, kepayahan, dia menghilangkan diri. Tapi tidak mengapa kerana kini, dia sudah kembali bahagia bersama keluarganya, mentaati ibu dan ayahnya. Aku harap, dia menemui apa yang diacri-carinya selama ini.

Biarpun begitu, aku tidak menuntut janjinya. Tidak aku memaksa sesiapa untuk bersusah bersamaku. Sekurang-kurangnya aku dapat melihat siapa dirinya sebelum aku tersalah lebih jauh dan menjadi suri hidupnya. Aku hanya mahu seorang insan yang dapat melindungiku, menjagaku, terasa sakit bila aku disakiti, dan akan mengesat setiap titis air mataku. Aku tidak minta kemewahan. Aku tidak minta darjat dan kedudukan. Aku hanya minta seorang insan biasa yang bisa menyayangi aku seadanya.

Sering aku berdoa pada yang Esa, sekiranya dia bukan untukku, maka pisahkan aku darinya dalam keadaan aku meredhai perpisahan itu. Jauhi aku dari kesedihan yang membelenggu dan jadikan aku hamba yang memahami dengan erti qada dan qadarMu. Maka alhamdulillah, biarpun its really hurting me inside, aku tidak membiarkan rasa itu memadam rasa tenang aku dalam menghadapi apa yang telah Engkau takdirkan buatku. Sesungguhnya manusia itu hanya mampu merancang, maka Tuhan yang menentukan segalaNya, malah Dia lebih tahu apa yang terbaik buatku. Dan aku percaya,disebalik kekecewaan ini, ada hikmah yang menanti aku menyelak kemanisannya. Dan aku tahu, sesungguhnya cinta manusia bersifat sementara, cinta pada Allah lebih membahgiakan aku dari segalaNya, dan terima kasih Ya Rabbi atas ketenangan dan kekuatan yang Engkau resapkan kedalam jiwaku sehingga aku tabah menghadapi kelukaan ini.

Cukuplah Allah bagiku. Biar tiada cinta manusia bagiku. cintaMu lebih besar bertapak dijiwaku. Dan aku percaya janji Tuhan, wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Biarpun aku tidaklah sebaik mana, masih aku mengharapkan Kau berikanlah apa yang terbaik buat diriku. Dan sunyi malam yang terus mengikuti senja yang berlalu, seolah-olah terus ingin menemani aku dalam drama dunia ini. Aku terasa begitu tenang, masih tenang biar aku terasa sakitnya ujian ini..

Kualunkan lagu ini, yang sering mengubati luka dihatiku...



p/s : jangan ambil serius apa yang saya tulis di atas kerana hidup saya memang penuh drama. Apa yang penting, kita tahu bahawa hidup satu hanyalah persinggahan yang pendek. Maka akhirat jua yang kita kejar. ganbate ne! (^_^)

No comments: