Sabtu, 2.00 pm (Waktu Malaysia)
Atas flight, sedang meretas Benua eropah menuju ke Stansted London
Kau pergi...Dalam kenangan.....Nurin Pernim......
Agak tiga bulan rasanya jari jemariku tidak menekan ligat butang-butang laptopku..Puas sungguh aku bercuti musim panas bersama ahli keluargaku di Malaysia. Dan kini aku masih di dalam kapal terbang, penerbangan selama 12 jam, pulang ke kota Dublin bagi meneruskan pengajian perubatanku. Walaupun berat sungguh rasanya hati meninggalkan insan-insan yang amat-amat kukasihi, namun hati ini aku gagahi demi memenuhi cita-cita dan impian. Bukan hanya impianku, tapi impian banyak lagi insan yang amat mengharapkan aku pulang dengan kejayaan. Supaya aku pulang menjadi pembela keluarga, agama, bangsa dan Negara. Aku memang anak yang sangat manja, berenggang dengan ahli keluargaku adalah salah satu perkara yang amat aku benci untuk melakukannya, tapi apakan daya, inilah jalan takdir yang telah Allah tuliskan buatku. Perjuanganku berjalan sebegini caranya. Akulah anak melayu dibumi barat yang akan mencedok dan mengambil seberapa banyak ilmu disini untuk aku jadikan pena ilmu yang akan kuazimatkan dan kulestarikan menjadi senjata perjuanganku. Ya Allah, kau kuatkanlah hatiku, hati ibu dan ayahku, hati abangku, adik2 adik yang amat aku sayangi, hati keluargaku dan hati insan istimewa dalam hidupku, Amir.
Aku menulis kali ini, adalah untuk mencoret satu lagi pengalaman perjalanan hidupku. Kisah pemergian seorang insan suci, insan bersih lagi amat dicintai. Oleh mama, oleh adik-adik pernim yang tidak pernah aku lupai, oleh aku, amir dan kami semua. Kisah adik Nurin. Adik Nurin yang baru sahaja pergi meninggalkan kami tanggal 30 Ogos 2009 yang lalu. KIsah adik Nurin yang perginya telah dijamin Allah kesyurga. Kisan adik Nurin yang telah menderita atas dosa orang lain. KIsah adik Nurin yang menanggung sengsara yang bukan lakunya. KIsah adik Nurin yang pergi kerana menghidap penyakit HIV.
Pada 29 Ogos yang lalu, aku dan amir telah melawati adik-adik kesayangan kami di pusat perlindungan kanak-kanak HIV ( Pernim) di Kampung Cheras Baru setelah hampir setahun aku meninggalkan Malaysia. Entah mengapa walau aku dan adik-adik Pernim tiada sebarang tali ikatan darah mahupun saudara, kasih sayang aku pada mereka terlalu dalam. Aku membawa sedikit buah tangan yang tak seberapa dari kota Dublin, Kota Egypt dan Danau Toba Indonesia yang baru sahaja aku lawati. Walaupun tidak cukup untuk kesemua mereka yang semakin ramai, aku harap ia dapat cukup mengggembirakan. Kereta yang kupandu kuletak di tepi bangunan kerdil yang menempatkan seramai 80 penghuni tidak bernasib baik itu. Sejujurnya, aku agak segan untuk bertemu mama kembali, yalah, hampir setahun kami tidak bersua muka setelah beberapa kunjunganku yang terakhir kali tahun lalu. Tapi demi kasih sayang dan kerinduanku yang tak bertepi itu, aku gagahi hati kecilku dan melangkah masuk kedalam rumah Pernim yang bercat ungu. Beberapa kanak-kanak yang sedang seronok bermain dikawasan dalam pagar memandang aku dan Amir dengan wajah kehairanan. Hati kecilku berkata, “ Adakah mereka semua sudah melupakan aku sepenuhnya?”. Namun bagiku itu tidak menjadi hal, yang paling penting, aku tidak pernah sekalipun melupakan adik-adikku yang tidak mendapat tuah nasib yang baik seperti aku. Mereka membesar tanpa kasih sayang ibu bapa kandung dan keluarga. Mereka membesar bukan dalam sebuah rumah yang memiliki segala sempurna seperti aku. Mereka membesar mengharap belas simpati kita semua. Kerana itu jugalah mereka akan menjadi sebahagian dari hidupku, bukan untuk sekejap, tapi untuk sepanjang hidupku.
Apabila aku masuk ke dalam rumah yang penuh dengan penghuni kerdil itu, aku lihat ada sekumpulan rakan-rakan sebayaku. Mungkin mereka sedang mengadakan program khidmat masyarakat sepertiku seawal mula-mula aku mengenali penghuni pernim ini. Aku duduk di atas sofa, tidak mahu menggangu dahulu perbualan mama dan mereka. Mereka semua bersila di atas lantai, memandang mama penuh khusyuk. Oh, lupa untuk aku perkenalkan mama. Mama adalah pengetua rumah Pernim ini. Beliau adalah insan satu dalam sejuta. Beliau adalah insan berhati malaikat yang dengan sepenuh rela mengabdikan diri menjaga kesemua anak-anak malang ini. Anak-anak yang sering dikeji masyarakat dan dipandang hina walau mereka lahir tanpa sebarang dosa. Anak-anak HIV, anak-anak luar nikah, anak-anak dibuang keluarga, anak pelacur dan anak-anak terbiar. Beliau adalah ibu semulia ibu dan aku berharap satu hari nanti, aku dapat menjadi gagah sepertinya. Aku lihat mama merangkul erat seorang adik kecil. Mama membelakangiku. Jadi aku tidak dapat benar-benar memastikan, siapakah yang sedang dirangkul erat itu. Dari jauh aku dengar esak tangis mama, rintihan panjang mama, entah kerana apa aku sendiri kurang pasti.Setelah hampir setengah jam menunggu bersama amir, aku mendekati mama perlahan, memegang bahu mama.Mama memandang aku terkejut. Dia masih mengingatiku. Dipeluknya aku lembut, diiring esak tangis yang masih lagi menjadi persoalanku. Mama tunjukkan aku kepada kanak-kanak yang dirangkulnya tadi. Itu Nurin. Kata mama Nurin sudah kritikal, kesan HIV yang bukan di carinya. Nurin hanya sedang menunggu detik-detik terakhir hidupnya. Nurin yang sedang sengsara. Aku lihat Nurin sayu. Kusentuh tepi badannya perlahan. Badan Nurin kurus kering mengerekot, seperti hanya tulang yang memenuhi komposisi badannya. Dalam mulutnya penuh dengan luka ulser yang membuatkan dirinya begitu tersiksa setiap kali ingin merasa nikmat makanan. Tapi yang paling aku begitu kagumi, badannya bersih. Tak seperti penghidap HIV yang lain yang mana badan mereka selalunya ku penuh dengan luka kesan jangkitan pada kulit. Kulit Nurin yang bebas luka itu cukup untuk membuktikan betapa mama telah menjaganya sepenuh jiwa dan raga. Mungkin lebih dari dia menjaga anak-anaknya yang enam orang itu. Nurin tak henti-henti meminta diberikan air, seperti dirinya dalam kehausan yang amat sangat. Berlinang mutiara jernih dimataku melihatkan kegagahan anak kecil itu cuba melawan kesakitan yang semakin menghakis semangatnya untuk terus hidup. Mama tak henti-henti menitiskan air mata. Beberapa kali dia mengajukan soalan kepadaku, “Kalau Farah lihat keadaannya, rasanya berapa lama lagi Nurin mampu bertahan?”. Aku terkedu. Aku bukan Tuhan mama, aku tidak tahu. Aku minta maaf walaupun aku pergi jauh untuk menimba ilmu perubatan, sungguh aku tiada jawapannya. Hanya Allah Maha Mengetahui.
Mama begitu gembira dengan kedatanganku dan Amir. Harapan mama supaya masyarakat semuanya, terutamanya golongan professional ( yang mungkin sering lupa diri) seperti aku dan Amir tidak melupakan anak-anak ini. Lebih-lebih lagi kami bakal doktor, yang mampu sekurang-kurang berikhtiar merawat anak-anak malang ini tidak meninggalkan mereka terkapai-kapai tanpa kasih sayang. Ingatkah kita? Mama menunjukkan aku kepada seorang lagi anak kecil , Atikah yang berlari-lari di halaman rumah kecil itu. “Dia juga menhidapi HIV, doktor kata dia mungkin boleh bertahan sampai umurnya 18 tahun”. Aku menjawab hiba “ Mama, harap biarlah lebih dari itu”. Aku tidak sanggup melihat nyawanya diragut pada usia 18 tahun itu. Bukankah pada umur 18 tahun itu kita semua sudah memasang cita-cita menjadi doktor, engineer, arkitek, interior designer, pilot, angkasawan dan macam-macam lagi. Bukankah pada usia itu juga kita sedang mengorak langkah pertama di gerbang cita-cita, memasuki matrikulasi, universiti, kolej-kolej persediaan luar Negara. Bukankan pada usia itu juga kita sedang meniti alam kedewasaan yang menjanjikan sejuta pengalaman. Ada juga antara kita yang menikmati kebebasan, hidup dalam dunia ramaja penuh warna. Seronok bukan? Tapi, Atikah? Pada usia 18 tahun itu, dia akan bersedia menghadapi kesakitan untuk menyuap nasi kemulut, menjamah hidangan yang lazat. Pada usia itu Atikah akan mula menderita sakit luka-luka dikulit, kesan jangkitan yang tak mampu dilawan oleh system badannya. Pada usia itu Atikah tidak mampu lagi menghargai dirinya, seorang gadis remaja yang seharusnya sentiasa ingin tampil cantik, tampil bergaya. Pada usia itu, Atikah akan makin jauh terpinggir dari masyarakat, dia dihina dan dikeji atas dosa yang bukan miliknya. Apa salah Atikah? Salahkah dia? Mengapa kita menjauhinya disaat-saat dia paling memerlukan kita? Mulia sangatkah kita berbanding Atikah? Berbanding Nurin? Suci benarkah kita? Dan kita lupa, Atikah dan Nurin dijanjikan syurga, kita masih lagi terumbang ambing dititian sirat. Malah kita lupa bahawa Nurin dan Atikah mungkin akan menyelamatkan kita dari jatuh kelembah neraka. Kita mungkin diselamatkan mereka kerana kasih sayang dan perhatian kita, kerana kesedaran kita yang seharusnya peka akan nasib insan-insan malang ini.
Aku menulis coretan ini bukanlah untuk menuduh ada antara kita yang lupa diri dengan nikmat kurniaan Ilahi, bukan juga untuk menuduh sesiapa tidak bertimbang rasa. Aku menulis ini kerana aku ingin menjadi pena yang mungkin sedikit merungkai nasib anak-anak yang tidak kita bela ini. Mungkin aku tidak dapat merungkai sepenuhnya isi hati mereka, aku tidak merasa derita dan sarat luka jauh di sudut jiwa mereka. Tapi aku memahaminya. Aku bersamanya. Dulu, kini dan sehingga aku menutup mata. Satu aku pinta, wahai rakan-rakan seperjuanganku, setiap kali kita membelanjakan wang kita untuk memanjakan diri dengan baju baru, beg tangan baru, kasut baru, rantai dan anting-anting baru, ingatlah, bahawa dengan duit yang kita gunakan itu, jika digunakan ke jalan yang lebih tepat, mampu membuat 80 hati gembira, malah lebih lagi. Mereka dapat merasa kasih sayang. Merasa disayangi. Merasa diperlukan. Kita korbankan satu beg tangan untuk kita gayakan ke parti, kita beli ayam kfc atau kek secret recipe untuk 80 orang adik-adik ini. Kita beli walau sepek beras 20 kg yang cukup untuk anak-anak ini untuk 5 hari bekalan. Kita bawa adik-adik ini pergi berjalan-jalan seperti kanak-kanak sempurna yang lain. Apakah yang lebih membahagiakan hati kita dari semua ini?Apakah yang lebih membahagiakan selain melihat 80 senyuman dari anak-anak istimewa itu. Yang mana lebih menggembirakan kita, seutas beg tangan mahal tak bernyawa yang hanya biasa menggembirakan hati sendiri atau usaha menggembirakan hati 80 anak-anak malang yang juga ingin bahagia. Tanyalah diri? Bagi diri yang daif ini, melihat mereka gembira memberi sejuta kebahagiaan yang tak mampu kuluah dengan kata-kata. Janganlah terus hanyut dalam dunia sendiri. Bukalah mata. Ramai yang memerlukan kita. Hulurkan bantuan, ringankan beban. Tak rugi pun kita. Allah janjikan ganjaran bagi hambaNya yang pemurah. Adik-adik ini adalah generasi masa depan yang perlukan bantuan kita. Setiap mereka punyai potensi tersendiri, kebijaksanaan masing-masing untuk berjaya. Jika tidak digilap, rugilah bangsa kita, agama kita. Janganlah hanya kerana mereka tidak beribu berbapa, tidak berumah, menumpang kasih, bakat dan kebijaksaan mereka dibiar sia-sia. Mereka dipinggirkan, dikeji, dicaci dipandang rendah. Tanyalah diri, hebat sangatkah kita? Ingatlah bahawa Allah telah berikan darjat yang lebih tinggi pada anak-anak yatim berbanding kita. Ingatlah bahawa Nabi Muhammad s.a.w kita anak yatim, berbuat baik kepada mereka, bererti berbuat baik kepada Nabi. Mereka juga punya impian untuk hidup segembira orang lain. Mereka punya hati yang kita punyai itu. Mereka juga memasang cita-cita sepertimana kita semua. Mereka hanya kabur tetang siapa yang akan memacu mereka, membawa mereka kearah impian itu. Siapa lagi kalau bukan kita. Kita. Janganlah hanya menunggu orang lain untuk mencorak dunia. Jadilah kaki dan tangan yang mencoraknya. Walau sekecil-kecil sumbangan, impaknya amat besar kepada mereka. Kita semua sudah matang dan mampu menggalas tanggungjawab amanah yang Allah berikan ini.
Lewat petang, aku dan Amir berangkat pulang. Harap kita akan berjumpa lagi bila aku pulang lagi dari tanah barat. Doaku, setiap adik-adik pernim ini akan menjadi orang yang berguna pada agama, bangsa dan Negara. Keesokan harinya, mama telah mengkhabarkan berita pemergian Nurin. Kau pergi jua Nurin. Kakak doakan kau bahagia di samping Yang Esa. Biarlah kau sengsara didunia fana ini, tapi kau bahagia di akhirat kelak. Kau terlalu istimewa sayang, Allah telah memilihmu untuk mendampingiNya. Kakak ini masih terumbang ambing lemas dalam arus dunia. Maafkan kakak sekiranya kakak masih belum mampu untuk membantumu disaat-saat kau memerlukan bantuan kakak. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Nurin dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al Fatihah.
Dalam kenangan...........Nurin............